Saya mendengar cebisan kisah-kisah Vikramaditya pada usia kanak-kanak di Aulong Lama, Taiping. Cerita berbingkai dalam tradisi India ini memang panjang dan terdiri daripada 25 cerita asas yang bersambung-sambung.
Apabila berkunjung ke rumah saudara-mara yang memiliki koleksi bahan bacaan, saya berpeluang membaca komik dalam siri Amar Chitra Katha, khususnya Vikramaditya (1972) dan Vikramaditya’s Throne (1975).
Bagi generasi muda kaum India di Malaysia, filem Vikram Vedha (2017) lakonan Madhavan dan Vijay Sethupathi sedikit sebanyak menimbulkan minat untuk mengambil tahu kisah dongeng Baital Pachisi yang dipercayai ditulis oleh Somadeva pada kurun ke-11 menggunakan Bahasa Sanskrit.
Kisah pengembaraan Vikramaditya dikenali sebagai Vikramaditan Kadhaigal (Cerita-cerita Vikramaditya) atau Vedhala Kadhaigal (Cerita-cerita Puntianak) dalam kalangan kaum India di Malaysia.
Selain daripada watak raja bernama Vikramaditya, watak Vethalam juga sangat penting dalam cerita dongeng ini. Dalam penceritaan semula dengan judul Vikram and the Vampire (1870), Richard Francis Burton menterjemah watak Vetalam sebagai vampire atau puntianak.
Dalam tradisi India, Vetalam merujuk kepada hantu yang berkeliaran di muka bumi. Ia biasanya menghuni jenazah atau mayat di tanah perkuburan. Vethalam juga selalu dikaitkan dengan pokok kelor atau merunggai. Malah, peribahasa “Vethalam sudah mula memanjat pokok merunggai” dalam kalangan kaum India merujuk kepada orang yang sudah mula menunjukkan semula perangai buruk mereka.
Gandingan watak Vikramaditya dan Vetalam menghasilkan siri cerita yang melucukan, menghiburkan, mendebarkan, dan merangsang pemikiran pembaca atau pendengar.
Sumber atau inspirasi bagi watak Vikramaditya tidak dapat dikenal pasti secara tepat. Dia dianggap legenda dalam kalangan pemerintah silam di India. Tidak hairanlah terdapat ratusan kisah, dongeng dan legenda tersebar mengenai raja berkenaan. Penyair agung Sanskrit bernama Kalidas yang menulis puisi romantik Megha Duta dipercaya dinaungi Vikramaditya.
Walau bagaimanapun, nama “Vikramaditya” adalah gelaran yang turut digunakan beberapa raja. Sejumlah pakar sejarah berpendapat bahawa sebahagian kisah dan legenda berkenaan terinspirasi daripada keperwiraan raja Empayar Gupta iaitu Chandragupta II yang turut menggunakan gelaran Chandragupta Vikramaditya.
Ada pihak mengatakan, pusat pemerintahan Vikramaditya adalah di Ujjain, Madhya Pradesh; manakala ada pula yang mengatakan watak itu bersumberkan Raja Yashodharman dari Dinasti Aulikara di Malwa, Madhya Pradesh.
Memasuki Alam Cerita Berbingkai
Bagi penggemar cerita dongeng seperti anda dan saya, mungkin tidak perlu menghabiskan terlalu banyak masa memikirkan serta mengkaji sumber watak dalam Vikramaditan Kathaigal. Kajian mendalam bolehlah dilakukan sendiri oleh setiap individu berdasarkan minat dan inisiatif masing-masing.
Lebih menarik jika ruang dan peluang yang ada di sini digunakan untuk mendalami kisah-kisah yang disajikan dalam cerita berbingkai ini. Orang ramai memang sudah biasa dengan format cerita berbingkai dalam tradisi hikayat lama.
Contoh terbaik adalah Hikayat Seribu Satu Malam atau Arabian Nights yang cukup popular di seluruh dunia. Di Malaysia dan Indonesia, Hikayat Bayan Budiman amat dikenali. Hikayat itu sebenarnya adaptasi daripada teks Sanskrit berjudul Sukasaptati.
Dalam Hikayat Seribu Satu Malam, seorang raja membunuh isterinya kerana menganggap semua wanita tidak setia kepada suami. Kemudian, dia mengahwini seorang demi seorang gadis; sebelum membunuh mereka pada keesokan pagi.
Akhirnya, seorang gadis yang baharu dikahwini mula bercerita sepanjang malam. Cerita itu tidak tamat, lalu terpaksa disambung pada malam kedua. Lalu, ditambah pula dengan bahagian awal cerita kedua, tetapi tidak dihabiskan. Raja leka mendengar cerita selama 1,001 malam.
Manakala dalam Hikayat Bayan Budiman, isteri seorang saudagar bercadang menjalin hubungan sulit dengan putera mahkota. Apabila burung tiung belaannya berterus-terang menghalang perbuatan tidak bermoral itu, ia dibunuh.
Kemudian, apabila wanita berkenaan meminta pandangan bayan peliharaannya, burung itu sebaliknya bercerita panjang. Si wanita leka mendengar cerita sepanjang malam sehingga tidak sempat pergi bertemu dan berkasih dengan putera mahkota. Secara keseluruhan, 70 cerita disampaikan dalam tempoh 70 malam.
Vikramaditan Kadhaigal juga sebuah cerita berbingkai seperti kedua-dua cerita di atas. Walau bagaimanapun, pada kali ini, tidak ada watak putera mahkota yang mahu meniduri isteri orang lain, atau raja yang menganggap semua wanita tidak setia.
Sebaliknya, watak utama ialah Vikramaditya, seorang raja yang berani, berintegriti, dan sanggup berbuat apa sahaja untuk membantu orang ramai. Satu lagi watak penting yang menggerakkan cerita ialah Vethalam, iaitu vampire, puntianak, atau hantu yang menghuni mayat.
Bagaimana Vikramaditya dan Vethalam bertemu? Apakah kisah-kisah menarik yang disampaikan dalam cerita berbingkai ini? Bersabarlah sementara saya menceritakannya satu per satu menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah difahami kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa. [bersambung]
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
3
2
1
5
4.5