Kehadapan pemimpin tertinggi,
Anak tanah tinggalan generasi,
Dah mula benci dimanipulasi,
Dulu berbudi; kini tak pasti,
Yang penting saku penuh berisi.
Kehadapan pemimpin tertinggi,
Tanah tempat pahlawan mati;
Yang merdekakan diri dari digari,
Dah hilang daya untuk berbakti,
Akibat tamak membuta hati.
Kehadapan pemimpin tertinggi,
Tanah tempat ilmuwan semadi;
Yang merdekakan akal dari bermimpi,
Dah hilang daya untuk berbudi,
Akibat ilmu dah mula lari.
Kehadapan pemimpin tertinggi,
Tanah tempat agamawan berumbi;
Yang merdekakan hati dari berdaki,
Dah hilang daya untuk menyuci,
Akibat hati dikabur rezeki.
Kehadapan pemimpin tertinggi,
Tanah tempat harta dicari;
Yang merdekakan perut dari diuji,
Dah hilang daya untuk memberi,
Akibat pentingkan poket sendiri.
Semua ini dah lama ditilik,
Ramai menyampah, ramai merengek,
Hati kamu dah hilang celik,
Banyak benda dah makin pelik.
Makhluk mana yang kamu angkat,
Diberinya rotan untuk menyebat,
Diarah kedepan, kaki dikerat,
Sedang kamu duduk berehat.
Makhluk mana yang kamu angkat,
Mata ditutup jangan melihat,
Siapa melawan bakal dirembat,
Sedang kamu diam tercegat.
Makhluk mana yang kamu angkat,
Saku yang ringan, kini dah berat,
Tanah yang sihat, kini dah tenat,
Bila ditegur, kamu meluat.
Makhluk mana yang kamu angkat,
Naik ke atas tanpa disukat,
Apa diludah, semua dijilat,
Kalau menidak, maruah dipecat.
Makhluk mana yang kamu angkat,
Bila tak untung, mula melompat,
Bagai tahi dihurung lalat,
Dimana kuasa, di situ melekat.
Budi pekerti dah lama hilang,
Anak tanah dah makin terbuang,
Ilmu hati dah makin menyimpang,
Bila daki dah mula bersarang.
Kamu di atas, kami letakkan,
Bukan untuk kami rehatkan,
Lepaskan kami memikul beban,
Sambil kamu bertepuk tangan.
Darjat kamu bukan ukuran,
Tanamkan itu dalam ingatan.
Kamu di atas, kami letakkan,
Bukan untuk kamu berangan,
Menunding jari bagai bangsawan,
Kami di bawah, dianggap beban.
Harapkan kami mencium tangan,
Bila datang buat lawatan.
Kamu di atas, kami letakkan,
Bukan untuk kamu lagakan,
Pelbagai bangsa, anak tempatan,
Agar kamu, kami biarkan.
Bergurau senda, asyik berdandan,
Harta negara buat mainan.
Kamu di atas, kami letakkan,
Bukan untuk digelar tuan,
Anak beranak, kamu angkatkan,
Membuli rakyat, berlagak tuhan.
Jawatan kamu bukan pegangan,
Untuk digenggam sepanjang zaman.
Kamu di atas, kami letakkan,
Bukan seronok tanpa tujuan,
Kami di bawah sebagai tuan,
Bukannya hamba, bukannya lawan.
Kembali memimpin dengan wawasan,
Sebelum kamu, kami turunkan.
Ayuh semua mara ke depan.
Tapi!
Sebelum kita cari jawapan,
Mesti kita cuba fahamkan,
Apa yang kita cuba soalkan?
Kehadapan pemimpin tertinggi,
Tak kira yang kanan, tengah dan kiri,
Apa kau pimpin, kami tak pasti,
Isi kau ambil, tulang kau kasi.
Dongeng kamu dah mula basi!
Gambar ehsan Markus Spiske di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.