Pengkhianatan ialah perkara paling hebat dan penting dalam kisah Brutus dan Julius Caesar. Mana tidaknya, Caesar dibunuh oleh Brutus; orang yang paling Caesar percaya! Ini yang menjadi asas dalam karya asal saduran Neo Disiden. Karya Neo Disiden bercakap tentang sifat dan pendirian Brutus yang cuba disampaikan sebagai seorang yang lembut hati dan pemaaf. Namun begitu, dalam masa yang sama dia juga perlu menghapuskan Caesar dengan alasan Caesar cuba untuk mengubah tradisi disiden dengan menjadi satu-satunya pemimpin ulung melalui sistem monarki dan akan terus menjadikan Brutus sebagai orang bawahannya.
Karya ini dimulakan dengan narator yang menyampaikan cerita. Peranan narator ini dilihat semakin lama semakin kurang relevan pada penghujung cerita kerana naskhah ini telah ditulis dengan kemas dan jelas. Jadi, mudah untuk difahami. Walaupun narator ini dilihat berbeza berbanding watak lain namun, dia perlu lebih unik selain daripada faktor badannya yang besar. Saya suka pilihan dia sebagai narator kerana secara visual dia berbeza daripada dunia disiden ini. Sekiranya narator ini salah seorang yang pernah telibat dalam perang disiden. Tetapi, perkara ini perlulah lebih jelas melalui penggunaan kostum dan sifat-sifat yang sama dengan mereka yang terlibat dalam disiden. Sekiranya narator tidak terlibat dalam acara ini, perlu ada satu penghubung antara dia dengan dunia teater ini tadi yang lebih jelas kerana naskhah ini telah ditulis dengan baik dan padat.
Perbincangan Brutus dan Cassius dijadikan satu ruang permainan lakon kepada kedua-dua pelakon watak ini. Cassius cuba untuk meyakinkan Brutus supaya menjatuhkan Caesar dan ini menjadi titik tolak kepada pengkhianatan Brutus. Cassius menjanjikan untuk mengumpul disiden lain yang mempunyai sejarah pahit dengan Caesar. Ini yang kemudiannya menjadikan Brutus sebagai pencetus disiden baru atau Neo Disiden. Bukan lagi Caesar yang cuba mencipta Neo Disiden dengan menjadi diktator ulung. Perdebatan mereka dibentuk dengan percubaan Cassius melontar dialog dengan cara yang lebih puitis. Terdapat kata kunci yang dapat kita tangkap sepanjang perbualan mereka. Antaranya, Brutus terlalu setia sehingga tidak sedar diperguna dan tradisi Disiden akan diubah dengan menjadikan Neo-Disiden satu kuasa mutlak – penyelesaiannya ialah Caesar perlu dihapuskan oleh Brutus, orang yang paling Caesar percaya.
Susun atur pelakon dibuat dengan pergerakan berdiri, kemudian berjalan seperti memikir sesuatu, kemudian duduk. Seketika pelakon akan minum air. Mengambil nafas dan meneruskan dialog. Saya banyak melihat keadaan minum air ini. Sekiranya semakin tegang, semakin banyak air diminum. Dialog pada sesi pertama nampak sedikit tenang berbanding dialog kali kedua dalam adegan lain kerana situasi sudah berbeza. Pada dialog pertama, mereka masih dalam fasa perancangan manakala dialog kedua pula lebih kepada penyesalan atas segala keputusan apabila perancangan mereka untuk membunuh Caesar bukanlah langkah terbaik. Jadinya, dialog kedua lebih tegang – dan lebih banyak gelas air diminum.
Pujian perlu diberikan kepada Rosdeen Suboh sebagai Caesar. Dia telah membawa teks ini menjadi lebih enak dengan rasa yang lebih humanistik. Rosdeen membawa satu karektor yang benar-benar licik, penuh dengan kekejaman dan bijak. Setiap butir kata bual yang disampaikan oleh pelakon ini benar-benar dirasakan hidup. Dia telah menjadikan kata bual Neo Disiden lebih bermakna dengan ritma realistik sepertimana manusia berkata-kata setiap hari. Dia benar-benar menghidupkan teks.
Perjalanan naskhah ini semakin menarik apabila ketua lain banyak ingin membantu Brutus dan mahukan Brutus sebagai ketua. Mereka berjaya menghapuskan banyak ahli Caesar sehinggalah Caesar terkepung. Caesar masih yakin Brutus berpihak kepadaanya. Tetapi dia silap apabila dia akhirnya mengetahui bahawa Brutus juga terlibat dalam pengkhianatan ini. Dia nampak bersedia dengan kematiannya. Cumanya sedikit terkilan kerana Brutus mengkhianatinya. Banyak peluru menembusi badannya sepertimana manisfetasi karya asal – ditikam berkali-kali. Maka, tamatlah idea diktator yang diinginkan Caesar untuk sementara.
Brutus tidak menghapuskan Antonius yang menjadi orang paling rapat dengan Caesar walaupun ahli-ahli lain nampak kurang bersetuju dengan tindakan Brutus. Brutus malah memberikan peluang kepada Antonius untuk memberi ucapan tentang kematian Caesar. Walaupun ahli pemberontak kurang bersetuju, tetapi mereka akur dengan keputusan Brutus.
Keputusan Brutus memaafkan Antonius membawa nasib tidak baik padanya apabila Antonius berjaya untuk membentuk kumpulan untuk menentang Brutus. Lakonan Caesar yang menolak untuk menerima takhta pada awal cerita dipercayai oleh ahli Antonius sebagai sifat merendah diri dan tidak tamakkan jawatan. Antonius malah berjaya menghapuskan kumpulan pemberontak satu demi satu. Naskhah ditamatkan dengan takhta dimiliki oleh keturunan Caesar menjadikan idea asal Caesar mahukan monarki berjaya.
Naskhah ini ternyata naskhah yang padat dan diisi dengan kemas. Namun begitu, terdapat beberapa bahagian dalam pementasan yang perlu digantikan dengan solusi yang lebih mudah untuk memberi fokus kepada rasa dan cerita. Ada keadaan cerita lebih utama dan ada ketika rasa lebih utama. Permainan ini kurang diekplorasi oleh produksi.
Ada beberapa cara komunikasi antara ahli yang menjadikan produksi ini sebagai produksi teliti seperti cara bersalaman, juga cara untuk mengikat janji dengan meghasilkan das tembakan pistol. Ketelitian sebegini menjadikan produksi ini jelas mahu meninggalkan kesan visual dan rasa yang ingin penonton bawa.
Dunia pementasan ini sedikit celaru apabila produksi kelihatan seperti cuba untuk mencampurkan dunia gelap gangsterisme dengan dunia politikal kerajaan. Mungkin ideanya seperti siri filem Godfather. Namun begitu, kecelaruan berlaku apabila pengkarya kurang berani untuk meletakkan dunia ini ke dalam dunia yang mana satu. Pengkarya boleh memilih salah satu dunia. Atau, sekiranya ideanya ialah untuk menjadikan dunia ini teradun dengan lebih baik, perlulah diberi perhatian kepada penyatuan idea dan konsep supaya lebih baik.
Rekaan pentas scalfolding dengan bantuan pancaran visual persekitaran ke atas set agak membantu untuk kita faham dan merasai dunia pementasan. Setiap adegan diberikan satu imejan yang jelas. Set juga digerakkan dari satu adegan ke satu adegan yang mana memerlukan perubahan set. Perlu ada solusi untuk melihat perubahan ini dengan lebih kemas walaupun kita sedia maklum idea Brecht membenarkan pelakon mengubah set di atas pentas ketika pementasan berjalan. Ada beberapa adegan yang hanya memerlukan spot pencahayaan sahaja untuk menjadi pemudah cara.
Pengarah sememangnya berminat dengan cara pementasan yang kelihatan seperti visual filem. Ini konsisten dalam kebanyakan pengarahannya. Pilihan tema gelap yang dibawa produksi menjadikan ini lebih jelas dalam Neo Disiden di samping bantuan pencayaan yang bersesuaian dengan rasa dan persekitaran. Pencahayaan tidak terlalu ekspresif, sebaliknya melihat kepada praktikaliti rekaan dengan adegan.
Karya ini dibawa dengan baik oleh nakshah yang sudah sedia ada kuat, lakonan mantap Rosdeen Suboh, dan juga pencahayaan yang benar-benar membantu mood dan penceritaan. Karya yang penuh konflik dan kompleks ini diadun dengan baik dan boleh menjadi satu produksi arus perdana yang digemari ramai dan memberi pilihan kepada pementasan teater tempatan.
*** Gambar ehsan Kakiseni dan Waffle
Suka review ini? Baca yang ini pula!
Ingin kongsi review pementasan teater, buku atau filem? Sila email [email protected]. Baca FAQ kami terlebih dahulu.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.