Semua sedang tinggalkan aku. Semua sedang pergi dari sini. Siapa yang akan menemani aku nanti? Kenapa tinggalkan aku seorang diri di sini? Siapa yang akan berborak dengan aku nanti? Budak-budak yang aku harapkan sangat pun sedang pergi. Mereka sedang pergi. Sedang pergi begitu sahaja, tinggalkan aku. Mereka sedang tinggalkan aku. Mereka sedang tinggalkan aku. Mereka …
Raasammah nama aku. Aku sungguh jelita pada usiaku yang ke dua belas. Tahun berapa itu? Tahun berapa? Hmm … aku dah lupa. Tapi memang aku sungguh cantik. Sungguh cantik.
Di kampung halaman aku di Kaaraikkudi, cuma aku seorang sahaja yang cantik. Aku tak tipu. Memang betul. Tapi aku tak dapat tinggal untuk menghirup udara nyaman di kampung halaman aku untuk tahun-tahun seterusnya. Bapa telah membawa kami adik- beradik dan emak ke Malaya.
Aku, bapa, emak dan adik lelaki bersusah payah menaiki kapal hingga terjelupuk di Sungei Laju estet ini. Aku masih boleh ingat hari-hari yang menyiksakan itu. Sungguh menyiksakan.
Emak aku ingat boleh bekerja senang dan dapatkan wang banyak di sini. Bila sampai di sini, baru tahu yang mereka terpaksa tebang semua hutan buas ini dan tanam pokok getah. Sebahagian kawasan sudah pun ditanam pokok getah sebelum kami datang. Emak rasa dan sedar, lebih baik tinggal di negeri, bekerja di sawah padi dan bercucuk-tanam sahaja. Memang sudah tertipu. Tapi apa boleh buat. Kata-kata bapa tidak boleh dibantah.
Memang amat susah. Semua bekerja bertungkus-lumus hingga ada yang mati semasa tebang hutan belantara ini. Mereka semua ingat boleh balik semula ke negeri selepas mendapat wang yang banyak. Tapi apa yang yang diangan-angankan tak tercapai. Gaji yang mereka dapat pun sangat kurang, mana nak balik?
Emak pula sudah meninggal dunia setelah hampir satu tahun bekerja di sini. Dia kena demam malaria. Aku sangat hairan. Seekor nyamuk kecil sahaja boleh membunuh manusia yang besar. Sangat hairan. Aku tak faham pasal malaria ketika itu.
Aku pun semakin tinggi dan cantik.
Ya, aku sudah besar. Dah 16 tahun masa itu. Pada suatu hari di estet kami datang van tayang filem wayang pacak seperti biasa setiap bulan. Pada kali ini mereka tayang filem lakunan Thiyagaraja Bagavathar bertajuk … ya tajuk apa itu … ya … Haridas.
Aku dan adik saya Raasappa bawa dua gulung tikar mengkuang ke padang tempat tayangan.
Memang bagus sungguh wayang gambar itu. Wajah Bagavathar sungguh kacak. Suara dia pun sungguh merdu. Mana ada pelakun-pelakun Tamil kacak dan pandai seperti dia, sekarang?
Kami berdua menghampar tikar di atas tanah berumput dan menantikan filem untuk ditayangkan. Setengah jam sudah berlalu tanpa saya sedar, seorang lelaki muda datang duduk di sebelah aku. Aku sungguh takut. Aku pegang erat tangan Raasappa.
Yang menakutkan aku lagi ialah, lelaki itu pegang tangan aku pula. Geli geleman dibuatnya. Aku bangun dan hendak menjerit. Suara tak keluar pula. Lelaki itu cepat sempat mengilangkan diri. Aku duduk semula seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Membetul-betulkan sari, aku toleh belakang tak nampak pun kelibat lelaki itu.
Selepas tamat wayang gambar, aku dan adik bergegas untuk balik. Tiba di kawasan yang agak belukar aku terasa tikar saya ditarik orang. Lelaki yang sama. Dalam samar-samar cahaya bulan itu pun aku dapat lihat wajah lelaki itu dengan jelas.
Sungguh kacak, tampan dan sasa. Ada sedikit iras seperti Thiayaraaja Bhagavathar dalam filem tadi. Rambutnya memang disikat begitu rupa. Tikar mengkuang di tangannya. Aku pandang dia. Dia pun pandang aku, sama seperti adegan dalam filem Tamil. Raasappa pula pandang kami dengan muka bengis.
Lelaki yang menyerupai Bhagavathar itu nampaknya penghuni baru di estet kami. Aku sahaja yang tak perasan langsung tentang kewujudannya.
Selepas itu apa lagi, kami mula bercintalah. Taklah seperti pasangan sekarang, tapi kami masih berpeluang untuk bertemu. Dia sudah mendapat kerja di kawasan aku. Kerja aku potong rumput, tak seperti yang lain toreh pokok getah. Dia mungkin sengaja minta ditukar untuk menoreh di kawasan ini supaya dapat lihat aku selalu.
Walaupun kami berdua tak berkata-kata, pandangan mata kami berkata-kata dengan penuh makna. Cuma dapat bercakap sedikit-sedikit bila tak ada sesiapa di sebelah menyebelah.Takut juga jika orang ternampak. Nanti kulit saya pasti akan disiat-siat oleh bapa.
Macam itulah pada suatu hari bila terluang masa untuk bercakap, tak tahu muncul dari mana, Kanggani Perumal sudah lihat kami berdua sedang bercakap. Dia melaporkan perkara itu pada bapa.
Apa lagi, bapa pun memukul dan menamparlah aku. Dan tidak beri aku pergi ke kerja lagi. Hati aku sangat sakit dan sedih dan aku menangis tak dapat berjumpa dengan buah hati.
Cuma dua bulan sahaja aku di rumah. Pendapatan bapa seorang tidak cukup. Bapa perlu hantar wang ke kaum keluarganya di India. Sebab itu bapa suruh aku kembali ke kerja semula. Aku mahu lompat-lompat. Tapi tak buat. Gembira bukan kepalang.
Selepas itu cinta kami berdua berkembang semula. Aku panggil dia datang ke rumah untuk minta kebenaran bapa untuk berkahwin dengan aku. Emak dan bapa dia semua di negeri. Dia tidak berani untuk berjumpa dengan bapa. Oh, lupa nak bagitahu nama si penawan hati aku. Namanya Suntharalinggam.
Selepas banyak kali aku menasihatinya, barulah dia datang berjumpa dengan bapa. Tapi bapa tak suka. Bapa mahu bersemuka dengan emak dan bapanya, baru dia boleh buat keputusan untuk mengahwinkan kami atau tidak.
Penawan hati aku pergi tanpa berkata apa-apa. Aku menangis lagi. Kemudian dia suruh melupakannya sahaja sebab cara bapa aku bercakap menyakitkan hatinya. Jika aku menjadi pasangan cinta zaman sekarang mungkin aku akan melupakannya. Tapi aku bercinta di waktu itu. Cinta sejati. Aku tahu dia pun sangat sayang terhadap aku, tapi apa boleh buat, keadaan memaksa.
Aku hendakkan dia sangat.
Aku memaksanya bawa emak dan bapanya ke sini. Dia setuju dan berjimat cermat simpan wang dan aku pun memberi sedikit wang simpanan. Dalam masa lima bulan dia ke India, pulang bersama emak dan bapanya.
Selepas bertemu dan berborak dengan mereka dan setelah mengetahui kasta mereka kasta yang baik dan selok belok keluarga, bapa pun suka dan setuju untuk melangsungkan perkahwinan kami.
Selepas berkahwin, kami berdua meneruskan kehidupan kami di estet ini di rumahnya. Kami tidak dikurniakan anak walaupun sudah beberapa tahun berkahwin.
Kami dah turun naik bersembahyang di pelbagai kuil, tapi permintaan kami tidak diendahkan agaknya. Mungkin kami pernah buat salah silap di kehidupan yang lepas. Kami langsung tidak dikurniakan cahaya mata. Ramai juga orang di estet mula menyebut saya sebagai maladi (mandul) di belakang dan depan aku. Biarkan mereka dengan mulut mereka. Aku ada suami pun sudah mencukupi. Aku menenangkan hati begitu.
Selepas enam tahun berkahwin suami aku membawa seorang budak lelaki dari Tong Lin Estet untuk jadikan sebagai anak angkat. Umur budak itu baru 3 tahun. Keluarga mereka ada dua belas orang anak. Mereka dalam kesusahan untuk menjaga kesemua mereka, jadi suami aku “beli” budak itu daripada mereka. Aku dah lupa dia beli budak itu dengan harga berapa.
Walaupun budak itu ada nama lain, suami aku masih mahu menamakannya dengan nama baharu. Anak angkat kami itu dinamakan dengan nama Somasuntharam. Nama suami aku pun Suntharam. Dua orang pun bernama Suntharam, jadi aku panggil anak angkat kami itu Somu sahaja.
Somu memang rajin belajar sejak kecil hingga boleh ke peringkat Universiti. Dia pun dapat kerja yang bagus. Dan kami mengahwinkan dia dengan gadis yang dicintainya. Tapi apa guna. Dia melupakan kami dan sudah melekat dengan ibu bapa sebenarnya dan isterinya. Raasi isteri agaknya. Anak sendiri pun tidak pedulikan ibu
bapa mereka pada masa ini, inikan pula anak angkat. Biarkan dia.
Kami pun semakin lama semakin tua seperti manusia lain. Oh, lupa aku nak bagitahu pasal bapa dan Raasappa. Selepas kami berkahwin bapa dan adik sudah balik ke India dan terus tinggal di sana. Bapa pun selepas lima tahun di sana sudah meninggal dunia. Raasappa yang selalu kirim surat. Selepas bapa meninggal dia pun jarang menulis. Cuma bila nak wang dia akan kirim surat.
Suami aku pun meninggal akibat sakit jantung semasa umur dia yang ke 61. Aku sangat sedih. Sedih sangat. Sedih hingga sakit.
Aku masih bekerja sebab usia aku belum sampai 55 lagi. Tapi aku pun tidak boleh tinggal di estet ini lebih lama lagi. Aku tidak seperti mereka yang lain. Mereka yang lain ramai sudah beli rumah di bandar berdekatan. Suami aku tidak berbuat demikian. Semua wang sudah dihabiskan untuk Somasuntharam. Sayang sangat dia pada anak angkat yang tidak kenang jasa itu.
Aku tidak rasa bosan sangat sebab jiran aku Paappamal sentiasa bertandang ke rumah untuk berborak pasal kisah-kisah pasal orang -orang di estet ini. Walaupun aku tak suka untuk dengar sangat, tapi apa boleh buat. Tonton tv boleh, tapi seminggu cuma ada dua tayangan gambar Tamil sahaja. Yang lain semua rancangan dalam bahasa Kebangsaan dan Inggeris sahaja, mana saya faham sangat.
Cuma aku suka tengok rancangan gusti sahaja. Jiran-jiran semua sudah beli tv warna. Di rumah aku masih hitam putih lagi.
Lima tahun kemudian Pappammal dan anak-anaknya bersedia untuk pindah ke bandar. Pappammal suruh aku tinggal di rumah anak angkat dan suruh aku beli rumah atau sewa rumah di bandar. Duit KWSP ada tapi aku tak pandai untuk urus semua itu.
Kini aku tinggal seorang diri di Sungei Laju ini. Ramai penduduk Indonesia dan Bangladesh sudah masuk ke dalam estet ini. Nasib baik pengurus estet ini baik. Masih bagi aku tinggal di sini. Tapi untuk berapa lama. Kini aku sudah tua. Tak cantik seperti masa aku muda dahulu. Semua hanya untuk sementara sahaja. Sementara sahaja.
Paappammal …kamu sudah tingalkan aku seorang diri di sini.
Paappammal! … Paappammal!
CERPEN | Buang oleh M. Mahendran
CERPEN | Perubahan oleh M. Mahendran
CERPEN | Bertemu Seniman Di Hotel Bajet oleh Abdullah Hussaini
CERPEN | Kuil ‘Kanni’ oleh M. Navin
Gambar ehsan Vigneshwar Rajkumar/Unsplash. Hak cipta ‘Raasammah Paatti’ adalah milik M.Mahendran.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.