Berikut adalah previu novel yang akan datang oleh Thanusya Shanmuganathan (Meera Natasya) yang berjudul, ‘Skandal’.
Dalam sekelip mata, aku kehilangan tunang dan adik kembar aku dalam kemalangan jalan raya. Danish, lelaki yang aku cintai sejak tiga tahun yang lalu telah pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya. Kami bertunang sebelum aku menerima tawaran kerja di Delhi. Majlis perkahwinan yang kami impikan bertukar menjadi upacara pengebumian. Danish ditakdirkan pergi dahulu sebelum aku. Dia pernah berjanji bahawa kami akan sehidup, semati. Namun, ajal dan maut di tangan Tuhan.
Vanisha, adik kembar seiras dan teman sepermainan aku turut “pergi”. Menurut ayah, mereka sepatutnya singgah di kedai barang kemas untuk membelikan aku hadiah sempena ulang tahun kelahiran aku yang ke-25 yang akan hadir dalam masa dua minggu. Malangnya, kereta yang dipandu Danish dilanggar dari belakang. Danish dan Vanisha meninggal di tempat kejadian kerana cedera parah di bahagian kepala.
Aku tidak dapat melihat wajah mereka yang telah siap dikapankan. Kata ayah lagi, wajah mereka hancur dan cedera teruk sehingga kami tidak mampu mengenali mereka. Aku cuba membuka kain kapan mereka tetapi dihalang oleh ayah yang tidak mahu aku trauma.
“Janisha, ini hadiah yang Danish dan adik kamu belikan sempena hari jadi kamu,” kata ibu Danish, Puan Meena.
Aku merenung kotak baldu berwarna biru di tangannya. Air mataku mengalir deras. Ibuku, Puan Sivakami memeluk bahuku.
“Sya jangan tinggalkan ibu dan ayah lagi. Kami tidak sanggup berpisah dengan Sya,” pinta ayah Janisha.
“Jangan risau, ayah. Sya takkan ke mana-mana lagi. Sya sudah berhenti kerja di Delhi. Sya mahu menemani ayah dan ibu di sini,” kataku.
Kegembiraan jelas terpancar dalam ahli keluarga aku. Keputusan untuk tidak pulang ke Delhi ternyata satu keputusan terbaik buat diri aku dan keluarga. Mereka lebih memerlukan aku.
“Baik, ibu. Sya mahu menganjurkan upacara sembahyang untuk Danish dan adik agar roh mereka tenang di sana. Ibu, jemput jiran tetangga dan saudara-mara terdekat. Kita sedekahkan sedikit makanan di kuil,” rancang aku.
“Tapi Sya, ayah tak mempunyai wang yang mencukupi. Semua yang ayah ada sudah ayah belanjakan untuk upacara pengebumian adik kamu. Jika mahu menyediakan makanan, tentu memakan perbelanjaan yang banyak,” kata ayah.
“Jangan risau, ayah. Sya kan ada. Sya ada simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan kita sekeluarga,” jawabku.
“Simpanlah duit itu untuk perkahwinan kamu…” kata ibu.
Aku tersentak. Perkahwinan? Mata aku mula berkaca. Tubir mata aku dipenuhi air dan akan tumpah bila-bila masa sahaja, bagaikan empangan air yang pecah. Tunang aku sudah meninggal dunia. Jadi, siapakah yang harus aku kahwini? Tidak. Tiada lagi erti cinta dan perkahwinan dalam kamus hidup Janisha Rani Sukumaran.
“Maafkan ibu sayang. Ibu tak sengaja. Ibu cuma…”
“Ibu, jangan risau. Sya tak apa-apa. Sya masuk bilik dulu ya?”
Masuk sahaja ke bilik, aku terduduk di sebalik pintu yang bertutup lalu menangis hiba. Mampukah aku melupakan Danish? Aku memejam mata. Wajah Danish tersenyum, wajah Danish merajuk, dan wajah Danish ketawa terpancar dalam kamera hati aku. Terlalu sukar untuk aku menekan butang “delete”. Aku bukan robot tetapi manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Aku tahu keluarga aku pasti akan mengungkit perihal perkahwinan aku. Namun, aku akan bertegas dengan mereka. Aku tidak akan berkahwin selagi Danish masih bertakhta di dalam hati aku.
Sedang aku mengelamun, telefon bimbit aku berdering. “Helo?” Aku menekan butang hijau untuk menjawab panggilan.
“Janisha…”
“Danish…”
“Janisha? Abang akan datang untuk membawa sayang pergi…”
Pandangan aku menjadi kelam. Selepas itu, aku tidak tahu apa yang terjadi.
Apabila aku membuka mata, orang pertama yang aku lihat ialah Jay, teman baik aku. Dia menarik nafas lega. Kepala aku terasa berat. Aku cuba bangun tetapi Jay menghalang aku. Masa itu, baru aku sedar bahawa aku berada di hospital dan tangan aku telah dicucuk dengan jarum dan air saline sedang mengalir ke dalam badan aku melalui saluran wayar yang bersambungan dengan jarum itu. Aku menjeling ke arah jam di dinding. Aku pengsan sejak 8:00 malam. Sekarang sudah masuk jam 8:45 malam.
“Bertenang Sya. Kau ada di hospital,” kata Jay.
“Apa yang terjadi?” Aku bingung.
“Kau pengsan dalam bilik. Tekanan darah kau turun mendadak,” ucap Jay.
“Pengsan?” Aku cuba mengingati semula rentetan peristiwa yang berlaku. Ada panggilan telefon dan aku menjawabnya. Apabila aku mengingati gerangan individu yang menghubungi aku dan butir bicaranya, badan aku mula menggeletar.
“Danish telefon Sya…” kata aku sambil menangis. Jay dan keluarga aku saling berpandangan antara satu sama lain. Aku tahu mereka pun terkejut juga dengan berita yang aku sampaikan.
“Sya… belajarlah menerima hakikat. Danish sudah meninggal. Dia tidak mungkin akan kembali lagi,” kata ayah.
“Sya tahu, ayah. Tapi ada orang telefon. Suara dia serupa macam suara Danish. Dia mahu membawa Sya pergi. Sya bukan gila. Sya masih waras lagi, tetapi Sya benar-benar terdengar suara Danish,” terang aku bersungguh-sungguh.
Penempahan novel Skandal oleh Thanusya Shanmuganthan (Meera Natasya) boleh di buat di sini.
Gambar ehsan Armin Lotfi di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.