ilustrasi gadis impian Sungai Nirvindhya. kredit gambar: Nana Joshi
Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.
Bahagian Poorvamegha sepanjang 66 sloka dalam puisi klasik Megha Duta karya Kalidasa menceritakan mengenai laluan yang perlu diambil oleh gumpalan awan untuk tiba di bandar mistik Alaka di Gunung Kailasa. Watak yaksa menyampaikan pesanan kepada awan dalam bentuk monolog.
Sloka 25 – Engkau akan tiba di bandar Vidisha, iaitu ibu negeri wilayah Dasharna yang sangat terkenal. Di sana, engkau akan dapat melepas rindu dengan menghirup sepuas-puasnya air dari Sungai Vetravati.
Perhatikan bahawa alunan air pada permukaan sungai itu menghasilkan gambaran seolah-olah muncul wajah seorang wanita; dan keningnya seperti bergerak-gerak sewaktu engkau menyusuri tebing sungai berkenaan.
Sloka 26 – Eloklah engkau berehat sebentar di Bukit Nichaih yang menjadi tempat tumbuhnya pokok bunga kadamba. Bukit itu pasti teruja sebaik sahaja engkau menyentuh tubuhnya dengan penuh mesra.
Ada beberapa gua batu di bukit berkenaan. Kalau engkau perhatikan, gua-gua itu diliputi haruman minyak wangi yang dipakai golongan pelacur di sekitar bandar berkenaan. Kalau engkau mahu tahu, gua-gua itu sebenarnya turut menjadi tempat persinggahan golongan lelaki muda yang mencari keseronokan.
Sloka 27 – Selepas berehat sebentar di kaki Bukit Nichaih, engkau teruskanlah perjalanan. Engkau akan melihat pokok bunga melur yang merimbun di tebing sungai. Curahkanlah air segar dalam bentuk hujan.
Engkau akan melihat golongan wanita sedang memetik bunga. Wajah mereka pasti berpeluh. Mereka akan mengelap peluh yang mengalir di pipi. Tindakan itu akan membuatkan tangan mengena bunga teratai yang diselitkan pada telinga; sekali gus menghancurkan bunga berkenaan.
Apabila engkau melihat kumpulan wanita itu, berikanlah mereka sedikit ruang untuk berteduh daripada panahan matahari. Gunakan kesempatan itu untuk berkenal-kenalan dengan mereka.
Sloka 28 – Perjalanan engkau mungkin berpusing-pusing sedikit. Akan tetapi, pastikan engkau tidak terlupa untuk terus mara ke arah utara. Dalam pada itu, jangan pula teragak-agak untuk mencuci mata dengan melihat keindahan bangunan dan rumah-rumah besar di Ujjaini (kini Ujjain).
Sementara engkau berada di situ, jangan lepaskan peluang untuk menghiburkan diri dengan golongan wanita di sana. Maksud aku, para wanita di sana memiliki mata yang cantik. Mata mereka bercahaya, dan mudah terkejut apabila berdepan pancaran petir yang berterusan.
Sloka 29 – Apabila engkau meneruskan perjalanan, maka akan kelihatan Sungai Nirvindhya yang juga dikenali dengan nama Sungai Sindhu. Sungai ini cantik seperti seorang gadis. Kawanan burung yang hinggap berbaris membentuk semacam tali halus pada pinggang yang ramping. Burung-burung ini akan bising setiap kali diganggu ombak kecil.
Sungai Nirvindhya mengalir membelok-belok umpama seorang gadis yang mabuk. Olakan air pula umpama pusat si gadis yang sungguh mengghairahkan. Hiruplah manisan dari tubuh gadis itu – maksud aku, sedutlah air dari sungai berkenaan. Jangan sia-siakan peluang untuk menikmati cinta berahi yang disajikan oleh gadis (sungai) itu. (Bersambung pada 23 Disember 2016)
Tags: Uthaya Sankar SBWe accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.