Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.
Berikut makna kata-kata yaksa kepada gumpalan awan yang cuba dipujuk supaya menjadi duta (utusan). Paparan ini bukan terjemahan langsung daripada apa yang ditulis oleh Kalidasa dalam puisi klasik Megha Duta; sebaliknya penjelasan makna rangkap demi rangkap puisi berkenaan.
Sloka 6 – Aku tahu bahawa engkau lahir dalam kumpulan awan Pushkaravartaka yang terkenal di seluruh dunia. Engkau merupakan pegawai kanan kepada Dewa Indra di kayangan. Salah satu kehebatan engkau adalah kemampuan untuk muncul dalam sebarang bentuk yang diingini.
Aku yang terpisah daripada isteriku menyedari segala keistimewaan yang engkau miliki. Atas sebab itulah aku kini merayu dan memohon bantuan daripada engkau. Rayuan kepada pihak yang lebih berkuasa adalah lebih berguna, walaupun tidak menjanjikan sebarang hasil. Ia lebih baik daripada merayu kepada pihak yang kurang berkuasa, walaupun mungkin membuahkan hasil.
Sloka 7 – Wahai megha (mega/awan), pemberi air yang budiman! Engkaulah tempat perlindungan bagi golongan yang tertindas. Bawakanlah utusan daripada insan ini yang terpisah daripada isterinya akibat kemurkaan Kubera.
Tempat yang perlu engkau tuju bernama Alaka, di Banjaran Himalaya. Itulah tempat tinggal golongan yaksa seperti diriku ini. Dewa Shiva tinggal di salah satu taman di tempat mistik ini. Bangunan dan rumah kediaman di Alaka disinari cahaya bulan sabit dari sanggul di kepala Dewa Shiva.
Sloka 8 – Pergilah engkau mengikut arah tiupan angin ke utara. Apabila melihat engkau berarak di langit, golongan wanita di atas jalan akan mendongak untuk melihat engkau. Rambut mereka tidak diikat kerana dalam tradisi India, apabila si suami pergi jauh atas urusan, si isteri membiarkan rambut tanpa disikat dan tanpa diikat sehingga si suami pulang.
Apabila melihat engkau, wahai megha, golongan wanita berkenaan akan mula yakin bahawa musim hujan sudah tiba dan suami mereka akan pulang tidak lama lagi. Ketibaan engkau yang membawa rahmat hujan juga akan membuatkan golongan suami tidak lagi mengabaikan isteri. Mereka mahu segera pulang.
Bukankah golongan lelaki itu bebas untuk berbuat demikian? Berbeza dengan situasi diriku ini yang dihukum dan terbuang di Ramagiri, serta tidak dapat pergi untuk bertemu dengan isteri tersayang yang dirindui. (Bersambung pada 11 November 2016)
Megha Duta adalah puisi epik Sanskrit oleh penulis India abad ke4, Kalidasa. Bahagian karya puisi ini, yang diulas oleh Uthaya Sankar SB, boleh dibaca di Eksentrika setiap hari Jumaat. Adakah anda mempunyai cerpen atau puisi? Hantarkan emel kepada [email protected]
Tags: Uthaya Sankar SBWe accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.