Kredit gambar: webneel.com
Baca bahagian-bahagian terdahulu di sini.
Dalam sajak klasik Megha Duta karya Kalidasa, watak yaksa yang berada dalam pembuangan di Bukit Ramagiri bercadang menghantar segumpalan awan sebagai utusan untuk menyampaikan perkhabaran kepada isterinya, yaksi, yang masih berada di Alaka. Bermula Sloka 22 di bahagian Uttaramegha, yaksa bermonolog mengenai rupa paras dan situasi mental yaksi yang keseorangan.
Sloka 20 – Wahai awan yang mahir! Engkau boleh mengenal pasti rumah kediaman aku menerusi segala gambaran yang sudah aku berikan. Simpanlah segala maklumat ini dalam hati. Rumah aku mempunyai lukisan kulit sangkakala dan bunga teratai pada pintu.
Rumah itu tentu kelihatan amat suram pada masa sekarang. Maklumlah, sudah hampir lapan bulan aku dibuang daerah. Apabila matahari sudah terbenam, bunga teratai di kolam tentu sudah hilang seri. Demikianlah perbandingannya.
Sloka 21 – Segeralah engkau mengubah tubuh engkau supaya menyerupai seekor anak gajah yang comel. Maka, engkau dapat bergerak turun dengan mudah, lalu duduk di atas bukit batu yang puncaknya terdiri daripada indranilamani (batu nilam).
Apabila duduk di sana, tubuh engkau akan kelihatan seperti kelip-kelip yang bersinar sedikit demi sedikit, sehingga cahaya itu mula bergerak masuk sedikit demi sedikit ke dalam rumahku.
Sloka 22 – Yaksi yang akan engkau lihat di dalam rumah itu bertubuh langsing dan kelihatan sentiasa muda. Giginya tajam dan bibir sebelah bawah kelihatan seperti buah bimba yang ranum.
Pinggangnya ramping, sepasang matanya liar seperti rusa yang terkejut, dan pusatnya masuk agak ke dalam. Dia berjalan penuh anggun, pahanya berisi, dan buah dadanya besar. Ringkasnya, dia adalah ciptaan terhebat Sang Pencipta (Tuhan).
Sloka 23 – Isteriku kurang bercakap. Dia tentu keseorangan, seperti angsa chakravaka yang terpisah daripada pasangannya. Angsa chakravaka biasanya hidup berpasangan, tetapi mengikut mitos, mereka pernah mentertawakan situasi Rama terpisah daripada isterinya, Sita. Maka, angsa chakravaka disumpah agar sentiasa hidup terpisah pada waktu malam.
Yaksi yang engkau akan lihat di dalam rumah itu adalah hidupku, nyawaku! Dia tentu sedang melalui kehidupan seharian penuh penderitaan sejak aku tiada di sisinya. Tidak mustahil bahawa rupa parasnya sudah berubah; seperti teratai yang rosak akibat kedinginan musim sejuk.
Sloka 24 – Tangan isteri kesayanganku tentu sahaja tertekup pada muka. Matanya pasti bengkak kerana menangis sejak hampir lapan bulan lalu. Warna pada bibir bawahnya mungkin sudah luntur serta terlindung oleh rambut yang mengerbang, kusut dan tidak terurus. Wajahnya pasti menggambarkan kesengsaraan.
Sloka 25 – Engkau tentu akan mendapat peluang untuk melihat isteriku di dalam rumah itu. Dia mungkin akan kelihatan sibuk melakukan upacara sembahyang khas bagi memohon Tuhan supaya segera membawa aku, suaminya, kembali kepadanya. Atau dia mungkin kelihatan melukis wajah diriku yang sentiasa hadir dalam bayangannya – yaksa yang kurus kering akibat penderitaan perpisahan.
Atau isteriku mungkin akan kelihatan sedang berdiri di sisi sangkar burung sarika (tiung) dan berkata-kata kepada burung betina itu: “Wahai Sarika! Apakah engkau masih ingat akan tuan engkau? Engkaulah binatang peliharaan yang amat disayanginya!” (Bersambung pada 21 April 2017)
Tags: Uthaya Sankar SBWe accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.