Kredit gambar: Denise Weaver Ross
Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.
Watak yaksa memberikan gambaran amat terperinci mengenai penduduk dan suasana di Alaka kepada gumpalan awan yang mahu dihantar sebagai utusan kepada isterinya.
Sloka 9 – Katil-katil dalam rumah agam di kawasan ini dipasang kelambu. Pada tali kelambu itu digantung batu-batu chandrakanta yang juga digelar “batu bulan”. Dalam tamadun India, Roman dan Greek, chandrakanta dipercayai terhasil daripada pancaran cahaya bulan.
Pada waktu tengah malam, apabila engkau, wahai awan, bergerak menjauhi bulan, maka pancaran cahaya bulan akan menimpa batu-batu chandrakanta dan membuatkannya mengeluarkan titisan air.
Titisan air itu amat mujarab apabila mengena kulit yaksi yang cantik jelita. Golongan jelitawan ini terasa amat penat setelah bermesra dan berkasih dengan pasangan mereka sebelum itu. Kulit mereka lesu dan berbekas akibat pelukan kekasih. Titisan air dari batu chandrakanta memulihkannya dengan penuh ajaib.
Sloka 10 – Golongan yaksa dan yaksi yang tinggal di rumah-rumah agam ini memang hidup penuh kemewahan. Setiap petang, mereka menghabiskan masa bersantai dan bergembira di taman awam bernama Vaibhraja. Pasangan yaksa dan yaksi bermadu kasih sepanjang malam.
Sementara itu, golongan makhluk mistik Kinnara pula bermain alat muzik dan menyanyikan lagu-lagu memuji Dhanapati (Kubera) iaitu ketua di Alaka. Suara golongan Kinnara amat merdu. Mereka memang pandai bermain alat muzik.
Sloka 11 – Segala pesta keghairahan sudah berakhir menjelang subuh. Apabila matahari terbit, laluan (denai) yang digunakan oleh golongan yaksi yang dikuasai nafsu pada malam sebelumnya dapat dikenal pasti menerusi kuntum bunga mandra yang gugur dari rambut.
Kelopak bunga teratai emas yang gugur dari telinga golongan yaksi juga menjadi saksi. Begitu juga dengan kalung mutiara yang putus dan bertaburan akibat aksi ganas (dikuasai nafsu) sewaktu tubuh yaksi ditindih dan dimesrai pasangan kekasih pada sebelah malam.
Sloka 12 – Pokok mistik Kalpavriksha yang terkenal dalam mitos dan purana Hindu tumbuh di sini. Dengan kuasa magis yang dimiliki, pokok ini membekalkan segala barangan yang diperlukan oleh golongan yaksi yang amat jelita dan menawan.
Pokok Kalpavriksha membekalkan barangan perhiasan, pakaian pelbagai corak, dan arak yang mampu menimbulkan keghairahan pada mata. Pokok mistik ini juga menghasilkan bunga-bungaan dan dedaun ajaib yang boleh dijadikan barangan perhiasan. Pewarna merah yang dihasilkan pula amat sesuai untuk melukis corak hiasan pada kaki yaksi yang cerah.
Sloka 13 – Di Alaka juga, engkau akan berpeluang melihat kuda berwarna hijau daun. Haiwan ini lebih gagah berbanding kuda yang dimiliki Dinakara iaitu Dewa Suria. Gajah-gajah di sini pula bertubuh sebesar bukit! Badan mereka amat besar dan dipenuhi lemak berlebihan – hampir menyamai tubuh engkau, wahai awan, yang tepu dipenuhi air.
Alaka juga menempatkan sekumpulan wira perang yang gagah perkasa. Mereka pernah berdepan dengan serangan daripada Dashamukha yang juga dikenali dengan nama Ravana dalam epik Ramayana. Pakaian perang yang pernah dipakai oleh para wira itu masih ada bekas serangan dan tikaman Chandrahasa, iaitu pedang sakti milik Ravana yang pernah menyerang Alaka. (Bersambung pada 31 Mac 2017)
Tags: Uthaya Sankar SBWe accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.