Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.
Dalam puisi Megha Duta, gumpalan awan (megha) yang mahu dikirim sebagai utusan (duta) belum lagi meninggalkan Ramagiri. Dalam bahagian Uttaramegha, watak yaksa sedang bermonolog dan bercerita kepada gumpalan awan tentang apa yang perlu dilakukan selepas tiba di Alaka.
Sloka 5 – Tanah dataran di depan rumah agam (mansions) di Alaka diturap menggunakan kristal sitamani yang kelihatan seperti bunga-bunga yang terhasil daripada pancaran cahaya bintang.
Engkau akan mendengar bunyi gendang-gendang besar yang dipalu perlahan sehingga menghasilkan bunyi menyamai guruh yang engkau sendiri hasilkan. Akan kelihatan kumpulan yaksa (lelaki) yang berkumpul di dataran itu bersama-sama golongan yaksi (wanita) yang cantik jelita.
Mereka berkumpul untuk menikmati ratipala yang terhasil daripada pokok mistik kalpavriksha yang dipercayai mampu memenuhi apa sahaja permintaan. Minuman ratipala dinikmati oleh golongan yaksa dan yaksi khusus untuk meningkatkan nafsu berahi apabila bertemu untuk bergembira.
Sloka 6 – Golongan yaksi di Alaka memang amat jelita. Para dewa di kayangan sendiri sering ingin memiliki mereka sebagai pasangan. Para yaksi biasanya meluangkan masa bermain penuh riang di tebing Sungai Mandakini yang mengalir tenang, sambil tubuh disapa angin dingin di bawah teduhan pohon-pohon mandara.
Permainan mereka agak unik. Mereka menyembunyikan barangan kemas berbentuk batu-batu permata dengan menggenggamnya pada tapak tangan. Kemudian, ia dibuang ke atas tanah yang diliputi emas. Maka, bermulalah keseronokan permainan mencari semula barangan kemas itu.
Sloka 7 – Golongan yaksi ini memiliki bibir yang mengiurkan seperti buah bimba. (Bibir Dewa Krishna juga dikatakan merah seperti buah bimba atau ivy gourd.) Sewaktu golongan yaksi asyik bermain, sering kali ikatan kain pada pinggang akan menjadi longgar, lalu memperlihatkan pakaian dalam mereka yang diperbuat daripada kain sutera bermutu tinggi.
Sebelum yaksi sempat berbuat apa-apa, yaksa akan bertindak pantas menarik terus kain yang menutup tubuh sang kekasih. Yaksi yang penuh sopan akan tersipu-sipu malu kerana tidak mahu mendedahkan tubuh di tempat awam.
Maka, golongan yaksi cuba untuk segera menggenggam serbuk pewarna safron atau serbuk kayu cendana. Mereka mahu menaburkan serbuk berkenaan pada sumbu pelita untuk memadamkannya agar tubuh mereka tidak kelihatan dalam kegelapan. Malangnya, lampu-lampu pelita yang diperbuat daripada batu-batu permata ternyata tidak mudah untuk dipadamkan!
Sloka 8 – Gumpalan awan seperti engkau akan ditolak angin kuat menuju ke deretan rumah di hadapan rumah-rumah agam. Titisan air halus di dalam tubuh engkau pasti menyebabkan lukisan pada dinding bangunan sedikit rosak. Serta-merta, bagaikan terkejut besar, lapisan yang rosak itu mula berpecah dan jatuh keluar melalui kekisi.
Demikianlah monolog watak yaksa yang dilucutkan segala kuasa magis dan dihantar oleh Kubera ke puncak Bukit Ramagiri di kawasan pergunungan Vindhya. Pesanannya kepada gumpalan awan masih belum tamat. (Bersambung pada 24 Mac 2017)
Tags: Uthaya Sankar SBWe accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.