Dewa Indra atas gajah mitos putih, Airavata. Gambar kredit: Riaz Padamsee
Baca bahagian-bahagian sebelumnya di sini.
Dalam purana dan mitos Hindu, kawasan Banjaran Himalaya digambarkan sebagai tempat Dewa Shiva bersemayam. Maka, dalam puisi klasik Megha Duta karya Kalidasa, gumpalan awan yang berarak menuju ke Kailasa diingatkan supaya turut mengunjungi Dewa Shiva.
Sloka 63 – Gunung-ganang di Banjaran Himalaya adalah tempat permainan bagi Dewa Shiva dan pasangannya, Dewi Gauri (Parvathi). Engkau mungkin berpeluang menyaksikan sendiri Parvathi sedang bersiar-siar di sekitar Kailasa. Kawasan ini terhasil daripada batu-batu permata dan kristal; lalu juga dikenali sebagai Manimahesh.
Engkau juga mungkin dapat menyaksikan sendiri Dewa Shiva mengalihkan ular tedung yang memilit lengannya seperti gelang. Kemudian, dewa berkenaan akan menghulurkan tangannya dengan penuh mesra kepada pasangannya.
Pada waktu itu, engkau bolehlah menjelma di hadapan Dewi Gauri dalam bentuk tubuh yang dipadatkan dan menyerupai anak-anak tangga. Besar kemungkinan, dewi berkenaan akan memanfaatkan kehadiran engkau untuk melangkah setapak demi setapak menuju ke puncak Kailasa.
Sloka 64 – Apa-apa pun, berwaspadalah terhadap kumpulan dewi dan bidadari yang turut menghuni Kailasa. Mereka mungkin menggunakan bahagian yang keras pada gelang tangan mereka untuk memukul-mukul tubuh engkau. Mereka mahu engkau memuntahkan siraman supaya boleh dijadikan air mandi.
Wahai kawan! Sekiranya engkau tidak mampu mempertahankan diri daripada aksi nakal golongan dewi dan bidadari itu, cuma ada satu cara terakhir untuk dimanfaatkan. Gegarkan gegendang telinga mereka dengan laungan gemuruh berbentuk guruh dari dalam tubuh engkau.
Sloka 65 – Wahai awan, pemberi air hujan! Apabila berada di Tasik Manasa, usah lupa untuk menghirup air segar yang turut menjadi tempat tumbuh bunga kiambang emas.
Engkau juga mungkin bertemu Airavata iaitu gajah mistik milik Dewa Indra. Gembirakan hati gajah berkenaan dengan menjadi pelindung kepalanya untuk seketika.
Pokok mistik bernama Kalpadruma juga ada di sekitar kawasan berkenaan. Bergeraklah sehingga menghasilkan alunan angin yang menyentuh pucuk-pucuk muda pohon itu. Ringkasnya, jangan lepaskan peluang untuk menikmati segala keindahan dan keajaiban di Kailasa.
Sloka 66 – Di kawasan pergunungan Kailasa inilah engkau akan bertemu Alaka. Kedudukannya umpama seorang gadis yang berbaring manja di pangkuan kekasihnya. Bandar Alaka bagaikan memakai pakaian serba putih yang terhasil daripada buih-buih pada Sungai Ganges.
Musim monsun membuatkan Alaka meluap-luap dengan air berbuih putih – umpama seorang wanita dengan rambut hitamnya yang disanggulkan menggunakan jaring mutiara. Wahai awan yang mampu bergerak mengikut kemahuan hati! Sebaik sahaja engkau melihat kawasan Alaka yang dimaksudkan, engkau pasti akan mengenalinya.
Bahagian Poorvamegha yang mengandungi 66 sloka berakhir di sini. Bahagian seterusnya dalam puisi klasik Megha Duta ialah Uttaramegha yang terdiri daripada 55 sloka. (Bersambung pada 10 Mac 2017)
Tags: Uthaya Sankar SBWe accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.