Sila baca dari Bahagian 1 terlebih dahulu.
Sesungguhnya Joseph Selvam seorang penulis kaum India yang sering disebut dan diraikan berikutan sumbangannya kepada Sastera Kebangsaan sejak tahun 1970-an. Beliau menerima Anugerah Tokoh Penulis Bukan Melayu semasa majlis penyampaian Anugerah Sasterawan Negeri Melaka pada Januari 2010.
Pengkaji sastera seperti Krishanan Maniam, Saravanan P. Veeramuthu, Muhamad Saleeh Rahamad dan Othman Puteh menyifatkan Joseph Selvam sebagai penyair yang bukan sahaja melakukan terjemahan karya Tamil, malah menghasilkan karya asli dalam Bahasa Malaysia. Kejayaan Joseph Selvam dalam bidang penulisan juga sering mendapat liputan akhbar pada tahun 1970-an dan 1980-an.
Joseph Selvam lahir di Ladang Merlimau, Melaka pada 6 Disember 1940. Karya bahasa Tamil tersiar di akhbar Tamil Nesan, Tamil Murasu dan Tamil Malar. Beliau cuba menulis karya Bahasa Malaysia mulai tahun 1967 tetapi hanya mula mendapat ruang siaran pada tahun 1972 menerusi Balai Muhibbah terbitan Kementerian Perpaduan Negara.
Cerpen “Meena” di Balai Muhibbah (Julai 1972) menceritakan mengenai Meena, seorang guru berumur 21 tahun. Kekasihnya, seorang guru subjek Bahasa Tamil bernama Peter, telah memutuskan hubungan cinta. Pada akhir cerita, Meena yang mengandung tiga bulan membunuh diri. Cerpen “Orang Miskin Timun, Orang Kaya Durian” tersiar di Balai Muhibbah (Ogos 1972), manakala cerpen “Kepulangan” di majalah Hiburan (September 1973).
Sajak-sajak tulisan Joseph Selvam antara lain tersiar di Balai Muhibbah, Mingguan Malaysia, Dian, Dewan Sastera, Mastika, Sarina, dan Famili dari tahun 1970-an hingga 1990-an.
Buku Nadi Perpaduan (1972) merupakan kumpulan sajak sulung bagi Joseph Selvam. Buku kedua berjudul Merintis Jalan Ke Bahagia (1973) diterbitkan dalam bentuk stensilan dan memuatkan 28 buah sajak. Seterusnya, beliau muncul dengan kumpulan sajak Dalam Perjuangan (1974) yang memuatkan 20 buah sajak.
Kumpulan sajak Dalam Sinar Matamu (1975) setebal 34 halaman dengan 25 buah sajak diterbitkan sempena Hari Puisi Ke-4 yang diadakan di Tanjung Kling, Melaka. Kumpulan sajak Penerimaan (1978) pula diterbitkan sempena Bulan Dakwah.
Sidek Baba pada pengantar buku itu menulis: “Mudah-mudahan Allah akan memberikan taufik dan hidayah kepada penyair Joseph Selvam yang berbakat besar ini.” Menurut Raja Rajeswari Seetha Raman (Al Islam, September 2002), Joseph Selvam “telah membuat keputusan untuk menerima sebulat hati ajaran agama Islam.”
Hasil rujukan dengan Richard Kumar, iaitu anak sulung Joseph Selvam, membuktikan bahawa penyair itu tidak pernah meninggalkan agama Kristian. Maka, tanggapan beliau sudah masuk Islam hanyalah andaian semata-mata.
Sementara G. Soosai menterjemah sajak panjang Kuyil Paattu (1923) karya Subramania Barathi dengan judul Madah Unggas Merana (1986), Joseph Selvam lebih dahulu melakukan terjemahan puisi itu dengan judul Nyanyian Burung (1979).
Joseph Selvam terus aktif pada tahun 1980-an dan karya-karyanya termuat dalam buku-buku seperti Perhimpunan (1982), Pertemuan (1982), Sajak-sajak Kecil (1984), Cita-cita (1984), dan Percakapan Puisi Untuk YAB Datuk Seri Abdul Rahim Tamby Chik (1984).
Sajak-sajak Joseph Selvam turut dihargai dan diterbitkan dalam antologi seperti Nafas Kemanusiaan (1980), Malaysia dalam Puisi (1988), Melodi Hidup (1989), dan Simfoni Kasih (1996).
Joseph Selvam mengalami strok tidak lama selepas bersara dan kini tinggal bersama-sama anak sulungnya, Richard Kumar di Ayer Keroh, Melaka.
Baca Bahagian 5.
Tags: Joseph Selvam
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.