Ketuk ketampi kerap kali dilihat sebagai satu isu penderaan dalam kalangan murid-murid sekolah. Media sosial juga memaparkan isu-isu ini. Ketuk ketampi merupakan denda yang paling mudah diberi oleh guru untuk mereka yang melakukan kesalahan atau kesilapan kecil di sekolah seperti tidak menyiapkan kerja rumah, tidak mendengar arahan dan tidak membawa barang yang disuruh untuk pembelajaran di dalam kelas.
Apakah ketuk ketampi ini sesuatu yang tidak patut dilakukan? Bagaimanakah ia boleh dilakukan dengan betul? Apakah nikmat melakukan ketuk ketampi? Persoalan ini akan terjawab di dalam esei ini.
Ketuk ketampi yang dilakukan sebagai satu hukuman sebenarnya mempunyai manfaat yang baik. Ia mula dikenali sebagai ‘Super Brain Yoga’, sesuatu yang baik untuk otak. Beberapa kajian telah dijalankan di luar negara tentang kebaikan ketuk ketampi. Kajian oleh World Pranic Healing Foundation (India) menunjukkan bahawa:
Ketuk ketampi yang berasal dari India dikenali sebagai thoppukaranam dalam bahasa Tamil. Sebenarnya, ia patut disebut thorpikarnam, di mana thorpi bermaksud dengan menggunakan tangan dan karnam bermaksud telinga. Maka, thorpikarnam membawa maksud “menggunakan tangan dan telinga untuk menyeimbangkan cakra-cakra dalam badan seseorang individu.” Thorpikaranam ini telah bertukar menjadi thoppukaranam mengikut pertuturan manusia dan peredaran zaman.
Thoppukaranam adalah perkara yang kerap dilakukan oleh mereka yang beragama Hindu apabila mereka menyembah Dewa Ganesha sama ada di rumah atau di kuil. Apabila melihat Dewa Ganesha di mana-mana sahaja seseorang itu akan dengan segera membuat thoppukaranam. Dewa Ganesha merupakan dewa pertama yang disembah sebelum menyembah dewa-dewa lain. Upacara di kuil juga akan dimulakan dengan Dewa Ganesha. Malah, apa jua upacara yang berkaitan dengan agama Hindu akan dimulakan dengan penyembahan Dewa Ganesha terlebih dahulu.
Thoppukaranam lazimnya dilakukan sebanyak tiga kali. Dewa Ganesha adalah dewa yang memberikan kebijaksanaan. Thoppukaranam adalah salah satu perkara penting dalam sistem persekolahan zaman dahulu yang dikenali sebagai gurukulum di mana anak-anak akan dihantar untuk belajar tentang kehidupan dan keagamaan daripada seorang guru.
Nikmat sebenar thoppukaranam hanya dapat dirasai apabila ia dilakukan dengan teknik yang betul. Tangan kanan akan memegang cuping telinga kiri dan tangan kiri akan memegang cuping telinga kanan. Cuping telinga kiri mewakili otak sebelah kanan, manakala cuping telinga kanan pula mewakili otak sebelah kiri. Jadi, apabila kedua-dua cuping telinga dipegang, ia akan mengaktifkan pergerakan sel-sel di dalam otak kita. Tangan kiri mestilah berada pada bahagian dalam tangan kanan apabila memegang kedua-dua cuping telinga.
Sambil menekan cuping telinga dan bernafas melalui hidung, turun perlahan-lahan dan mula mencangkung. Hembuskan nafas melalui hidung dan mula berdiri dengan perlahan-lahan. Pastikan tulang belakang dalam keadaan lurus. Ulanginya untuk beberapa kali. Ulangi mengikut kemampuan diri dan jangan memaksa diri sendiri.
Thoppukaranam mempunyai beberapa faedah. Antaranya, menyihatkan tubuh badan. Hal ini menyebabkan pergerakan bahagian yang penting di dalam tubuh tidak tersekat. Ia juga mengaktifkan sel-sel otak dan melancarkan peredaran darah. Apabila peredaran darah ke otak adalah lancar, secara tidak langsung ia akan membuatkan kita cergas dan dapat mempelajari apa yang diajar oleh guru. Sebab itulah, ia dijadikan sebagai satu unsur penting pada zaman dahulu di gurukulum dan telah beransur-ansur digunakan sebagai satu hukuman dalam sistem pembelajaran.
Setelah mengetahui hikmat thoppukaranam, janganlah kita menganggapnya sebagai satu hukuman lagi, malah mempraktikkannya untuk berjaya dalam hidup.
Namun, lebih banyak kajian perlu dibuat untuk melihat kebaikan dan kesan thopukaranam mengikut gender, umur dan faktor risiko serta persekitaran individu berkenaan.
Gambar ehsan parentcircle.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.