“Salam Puan. Saya mahu minta bantuan untuk beli susu dan pampers anak saya yang berumur 8 bulan.
Suami saya sudah lama tidak bekerja semenjak PKP lagi. Duit simpanan kami sudah habis!
Tolonglah kami Puan, kami amat memerlukan bantuan!”
Begitulah antara kandungan mesej yang masuk ke telefon aku seawal jam 3 pagi tapi hanya akan aku baca sejurus sebelum masuk waktu solat Subuh.
Semenjak tarikh 18/3/2020, aku menerima banyak mesej yang kesemuanya memohon bantuan akibat penangan Covid19 ini.
“Puan tolong kami Puan, kami sudah kehabisan beras. Telur hanya tinggal 3 biji sahaja. Kami ramai Puan, 15 orang semuanya. Kami sekarang berada di rumah ibubapa kami di kampung.
Duit kami sudah habis. Kami bekerja dengan menerima gaji harian. Jika tidak bekerja bermakna tiada pendapatan. Bila tiada pendapatan, dapur kami tidak berasap Puan”
Rayuan demi rayuan yang hampir sama sahaja kandungannya aku terima setiap hari. Masalah himpitan hidup akibat ketiadaan wang bukan masalah segolongan atau sekelompok atau sebilangan tapi hampir kesemuanya yang bergelar rakyat marhain.
“Saya dan suami bekerja sebagai pembantu kedai makan. Gaji harian kami RM30 seorang. Kalau bukan kerana PKP ini, kami tidak ada masalah kehabisan bekalan makanan walaupun gaji kami sekadar cukup untuk menampung belanja harian.
Tolong kami Puan. Memadai kalau dapat beras dan telur sahaja, dapatlah kami makan”
Ya, ramai yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan – COVID19. Mereka tidak dapat keluar bekerja dan tiada pendapatan.
Hampir kesemuanya yang memohon bantuan merupakan mereka yang menerima gaji harian. Tiada kerja, tiada gaji.
“Tolonglah saya Puan. Saya sekarang berada di wad bersalin Hospital KKM, menunggu masa untuk bersalin anak kelima. Duit tidak ada untuk beli keperluan anak saya ini Puan.
Suami saya diberhentikan kerja tanpa pampasan. Gaji terakhir yang diterima sudah habis digunakan untuk membayar sewa rumah, bil-bil dan membeli makanan.
Sekarang saya berada seorang diri di dalam wad. Suami tidak dibenarkan untuk menunggu dan dia perlu menjaga anak-anak di rumah.
Tolonglah saya Puan!”
Apabila terlibat secara langsung dalam misi menyampaikan bantuan makanan asas, perasaan simpati benar-benar menguasai diri.
Mereka yang lapar dan terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 ini ada di mana-mana.
Benar kata pujangga, kita dalam perlayaran yang sama, berhempas-pulas melawan musuh yang sama tapi berada di dalam kapal yang berlainan.
Besar kapal mungkin mudah menangkis ombak tapi jika bersampan dan bocor pula, pasti karam jua akhirnya.
RM50 pada simiskin dapat membeli bekalan makanan sebulan tapi bagi sikaya hanya ‘belanja celah gigi’ sahaja.
Sesungguhnya ujian dan dugaan bagi setiap orang adalah berbeza.
Gambar ehsan Focus Malaysia.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.