Saya tidak pernah ke tadika seperti abang saya. Tidak tahu kenapa. Dan saya pun tidak pernah bertanya pada ibu bapa saya. Saya masih tidak tahu apa kurangnya dengan mereka yang tidak pernah ke tadika dan apa pula kelebihannya bagi mereka yang pernah ke situ.
Walaupun saya tidak pernah ke tadika, itu bukan bermaksud saya berterbang bebas seperti burung di rumah. Mendiang ibu saya adalah seorang guru, jadi sebagaimana dia di sekolah, begitulah dia di rumah.
Seawal umur saya yang ketiga atau empat saya sudah pun diajar untuk menulis dan membaca dalam bahasa Tamil. Manakala bapa akan menyebut beberapa perkataan dalam bahasa Inggeris seperti Cat, Dog, Chicken, House dan sebagainya.
Mempelajari bahasa Tamil bukanlah mudah. Contohnya bunyi La, Ra, Na sahaja mempunyai pelbagai huruf dan cara sebutan yang berlainan. Palham untuk buah dan Balam pula untuk kekuatan. Di sini untuk bunyi Pa dan Ba hurufnya sama manakala untuk bunyi lha dan la hurufnya lain. Lidah perlu bergulung untuk lha dan tidak perlu begitu untuk la. Lebih-lebih lagi bahasa Tamil mempunyai 247 huruf, bukan sepert huruf rumi yang habis dalam 26 huruf sahaja.
Oleh sebab ibu saya bekerja sebagai guru bahasa Tamil (P.O.L) di Sekolah Rendah Sulaiman, Bentong, ketika itu, abang saya dimasukkan di sekolah yang sama. Abang saya pernah ke tadika selama dua tahun.
Saya juga dimasukkan di sekolah yang sama pada tahun 1975. Saya di darjah satu, abang pula di darjah empat. Saya masih ingat lagi hari pertama saya menjejakkan kaki di sekolah. Sebelum itu bapa sudah pun membawa saya ke sana pada bulan Disember untuk mendaftar.
Memang saya tidak gembira untuk ke sekolah. Takut. Memang takut. Sebab yang utama saya perlu tinggal untuk beberapa jam bersama orang yang tidak saya kenali dan sebab yang kedua adalah, saya tidak tahu bercakap bahasa lain, selain daripada bahasa Tamil.
Bapa meninggalkan saya dalam kelas dan bercakap sesuatu dengan guru kelas Mrs.Tan Bong Liang, seorang wanita berbadan gempal dan bermuka garang pada pandangan saya. Saya menangis dan mengambil beg untuk terus pulang bersama bapa. Bapa pula sudah hendak ke tempat kerjanya yang terletak tidak berapa jauh daripada sekolah. Bapa dan guru kelas sama-sama memujuk saya untuk duduk di tempat yang dikhaskan untuk saya, iaitu barisan pertama bersebelahan dengan seorang budak perempuan pula.
Setelah beberapa minit baru saya reda, dan duduk di sebelah budak perempuan yang gempal bernama Mariam. Dia nampak tidak takut. Malah seperti bersedia memulakan pelajaran pada hari itu. Mungkin inilah sebabnya mereka hantar anak mereka ke tadika sebelum ke sekolah rendah.
Pada waktu rehat ibu datang menemui saya untuk memberi sebotol air milo dan kepingan biskut tawar. Saya masih sedih dan takut ketika itu. Ibu juga datang bercakap sesuatu dengan guru kelas saya Mrs. Tan. Hari-hari seterusnya abang saya pula akan bersama saya ketika waktu rehat.
Masalah utama ketika itu, saya tidak faham bahasa Malaysia. Saya hanya berdiam diri walaupun Mariam bertanya sesuatu dengan saya. Saya cuma dapat berkomunikasi dengan beberapa rakan berbangsa India seperti Chandran dan Rajaram. Oleh kerana masalah bahasa ini, saya terpaksa menahan kencing dan berak sebab tidak tahu bagaimana untuk meminta izin ke tandas di dalam bahasa Malaysia ataupun dalam bahasa Inggeris. Saya pun tidak beritahu masalah ini pada ibu bapa saya. Suatu hari oleh kerana tersangat sakit perut, saya pun menangis. Saya tidak dapat menceritakan masalah saya pada Mrs.Tan. Nasib baik ibu saya berjalan melalui kelas saya ketika itu, lalu Mrs. Tan memanggil ibu saya. Katanya saya selalu begini. Saya pun menjelaskan kepada ibu perkara sebenar. Baru lega. Sejak hari itu saya sudah tahu bagaimana untuk meminta izin ke tandas.
Saya sendiri tidak tahu bagaimana saya mempelajari bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris ketika di sekolah rendah sehingga saya sudah boleh bertutur sebaik mungkin dengan rakan-rakan berbangsa Melayu dan Cina. Memang suatu situasi yang menakjubkan pada diri saya. Begitu jugalah dengan rakan-rakan yang lain agaknya.
Sejak saya sudah ‘pandai’ berbahasa Malaysia, saya dengan sendirinya mula berkawan dengan rakan-rakan Melayu dan Cina. Boleh dikatakan kebanyakan masa saya menghabiskan masa bersama mereka.
Sewaktu di darjah empat, abang saya telah ke tingkatan satu. Jadi saya terpaksa berpisah dengan abang saya. Pergi dan balik ke sekolah tidak sama haluan. Setiap pagi kami akan naik bas atau bapa akan hantar ke sekolah, abang pula akan naik bas dari setesen bas di bandar untuk ke sekolah menengah. Memang jauh sekolah menengah di dari rumah kami. Sekolah rendah pula terletak di bandar. Tidak jauh dari rumah kami. Boleh berjalan kaki sahaja. Cuma akan mengambil masa 25 minit untuk sampai ke rumah. Kereta di jalan raya pun kurang waktu itu. Pernah kami tumpang naik kereta lembu milik seorang Punjabi tua.
Jadi semasa di darjah empat saya akan berjalan bersama-sama rakan-rakan berbangsa Cina sewaktu pulang ke rumah. Rumah mereka di kawasan penempatan Kampung Bahru Cina. Rumah saya pula di Chammang, perlu melintasi Kampung Bahru Cina tersebut. Pada waktu inilah saya dapat seorang kawan bernama Fong Yip Hoong yang rumahnya kebetulan berada di Chammang juga. Bapanya bekerja sebagai mekanik di kawasan berhampiran dengan Padang Tras. Bapanya memiliki kereta Datsun berwarna hijau. Jadi Foong Yip Hoong mengajak saya menumpang keretanya , supaya boleh menurunkan saya terlebih dahulu di rumah sebab rumahnya jauh ke dalam Chammang. Tak tahu mana dia berada sekarang.
Semasa di darjah lima saya rapat pula dengan seorang yang bernama Tan Chiew Min. Orangnya lain dari lain sentiasa berkepala botak. Jika rambutnya tumbuh pun semua akan menegak-negak. Dia suka memanggil saya dengan nama John Major. Saya pula memanggilnya dengan nama Wantan Mee. Dia yang mengajar saya bagaimana untuk mencari labah-labah di celah-celah daun. Labah-labah kecil berwarna hitam. Kami akan letakkan dalam bekas tin bulat kecil, sepasang dan akan gembira melihat mereka berdua bergaduh. Sehelai daun turut diletak bersama. Tak tahu labah-labah itu akan makan apa, Cuma tahu mereka tidak hidup lama dalam tin itu.
Rakan-rakan dari kelas-kelas lain dikenali melalui terlibatnya saya dalam kegiatan kokurikulum Pengakap, Pancaragam dan Koir. Banyak pengalaman yang saya alami sewaktu melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum Pengakap dan Pancaragam. Baik yang manis mahupun yang pahit. Yang manisnya saya dikenali oleh ramai murid. Yang pahitnya, ibu saya menghalang saya pergi ke acara-acara yang berlangsung luar dari kawasan Bentong. Lebih-lebih lagi ke acara jambori pengakap yang kami harus berkemah di luar. Sedih. Ibu sebenarnya takut akan keselamatan saya.
Sememangnya kehidupan di sekolah rendah sangat indah jika dibandingkan dengan sekolah menengah ataupun alam pekerjaan. Bila diimbas kembali, ingin diperbaiki segala kesilapan yang dilakukan ketika itu.
Tetapi mana mungkin.
***Gamber ehsan M. Mahendran.
Ingin kongsi cerpen, sajak, puisi, atau esei bersama kami? Sila email [email protected]. Baca FAQ kami terlebih dahulu. Baca ini juga.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
5