Sepertimana menonton filem bersama keluarga berterusan, begitu juga menonton filem secara bersendirian juga berterusan. Ada yang dengan pengetahuan ibu bapa dan ada juga tanpa pengetahuan mereka. Kebanyakan filem-filem yang ditonton berseorangan adalah filem-filem Melayu, Inggeris dan Hong Kong.
Menonton filem secara bersendirian sudah bermula sejak umur saya yang ke 11 (1979). Filem pertama yang ditonton ketika itu, jika tidak silap adalah filem Esok Masih Ada. Filem yang dilakun dan diarah oleh Allahyarham Jins Shamsudin. Beliau yang dikenali sebagai James Bond Malaysia pada hujung tahun 60an memang seorang pelakun yang kacak lagi handal. Memang bagus filem itu. Kisah seorang Inspektor Polis bersama isteri dan anaknya. Allahyarham Azean Irdawaty, bintang air mata ketika era itu, melakunkan wataknya dengan begitu berkesan. Di antara filem-filem ‘Esok’nya, cuma filem Esok Masih Ada yang saya dapat peluang menonton di pawagam.
Setelah filem Esok Masih Ada menawan hati saya, saya mula meminati filem-filem Melayu yang mula rancak berkembang sejak hujung tahun 70an. Filem-filem seperti Sumber Ilhamku, Ceritaku Ceritamu, Adik Manja, Jejak Bertapak, Anak Tunggal dan Tuan Badol adalah filem-filem yang ditonton sehingga tahun 1980.
Baca Kaki Wayang Bahagian 1 di sini.
Saya yang sentiasa hadir ke kelas ko kurikulum seperti Pancaragam dan Pengakap, akan adakan ‘kelas’ sendiri dan akan ke pawagam Lido dan Cathay yang terletak tidak jauh dari rumah. Dengan berjalan kaki sahaja, sudah boleh sampai ke pawagam. Saya tidak berkawan rapat dengan sesiapa sejak dahulu lagi. Jadi ini memudahkan lagi untuk menonton wayang secara sendirian dan mereka tidak akan dapat sampaikan kisah ‘kelas’ saya itu kepada ahli keluarga saya.
Yang saya paling takuti adalah bau asap rokok. Dahulu penonton bebas merokok di dalam pawagam. Bau rokok akan mudah melekat pada baju. Saya akan cepat-cepat mandi sebelum sesiapa ‘terhidu’ di rumah. Nanti mereka akan sangka saya hisap rokok pula. Wang untuk menonton wayang gambar akan disimpan daripada wang poket harian yang digunakan untuk kantin sekolah. 0.65 sen boleh dikumpulkan dalam masa dua minggu.
Selain menonton wayang. Saya dan abang juga sering ‘menayangkan’ filem di rumah. Kami sering mengunjungi tong sampah pawagam Lido untuk mengutip filem-filem yang di potong dan dibuang akibat kepanasan mentol projektor atau sebab-sebab teknikal yang lain. Filem-filem tersebut dari pelbagai bahasa dan negara itu ada yang terdapat dalam satu-satu kepingan dan ada juga dalam gulungan panjang.
Kami akan menyimpan filem-filem tersebut dalam bekas krim rambut Brylcrym dengan baik. Sebuah kotak dicari, di tampal kertas lukisan sebagai layar putih. Dibuat tiga lubang kecil. Satu untuk menayang filem dan yang dua lagi untuk kami tonton. Dengan menggunakan lampu suluh kami menyuluh filem ke dalam layar putih tersebut. Untuk gambar yang lebih terang, kami akan letakkan kanta di tengah filem. Memang gembiralah kami ditonton pada waktu malam. Satu perasaan yang tidak mudah untuk diluahkan sekarang.
Sejak saya di tingkatan satu, saya tidak dapat menonton apa-apa filem Melayu kerana saya bersekolah petang. Cuma dapat menonton filem Tamil bersama keluarga sahaja. Kami sentiasa akan menonton secara percuma di pawagam Lido (Shaw Brothers). Oleh kerana kami melanggan majalah filem Indian Movie News, bapa dan abang akan mengambil bahagian dalam peraduan yang diadakan di dalam majalah tersebut. Contohnya seperti peraduan ‘jigsaw puzzle’ dan ‘crossword puzzle’ tentang perfileman India. Tiket pas percuma kami gunakan sekeluarga untuk menonton filem di kelas khas di tingkat atas.
Filem-filem Hollywood mula ditonton sejak tahun 1974. FIlem The Towering Inferno adalah filem Hollywood pertama yang ditonton di pawagam, jika tidak salahlah. Untuk filem-filem Hollywood cuma saya, abang dan bapa sahaja akan pergi. Ibu akan jaga adik perempuan di rumah. Cuma untuk filem Jaws dan King Kong ibu turut bersama kami yang ditayangkan tahun-tahun berikutnya. Kekadang saya dan abang sahaja yang akan ke filem-filem Hollywood, setelah kami sudah besar sedikit. Banyak filem-filem Hollywood ditonton sejak kecil hingga dewasa di ketiga-tiga pawagam di Bentong.
Filem-filem Hindi amat jarang ditonton. Boleh dikira sangat. Haati Mere Saathi, Hare Rama Hare Krishna, Bobby, Sholay, Maa, Aag Lae Laag Jaa, Yaadon Ki Baarat, Naseeb, Disco Dancer. Itu sahaja filem-filem Hindi yang ditonton di pawagam. Hingga kini saya langsung tidak menonoton apa-apa filem Hindi di pawagam atau pun di TV. Tidak tahu mengapa. Mungkin filem Tamil sudah mewakili filem-filem Hindi agaknya.
Filem-filem Cina (Hong Kong) banyak juga ditonton . Kebanyakan filem-filem lakunan Jackie Chan, Chow Yeun Fatt dan Alex Man adalah pilihan utama ketika hujung 80an dan 90an. Sarikata filem-filem yang diedarkan oleh Shaw Brothers amat jelas untuk dibaca manakala sarikata filem-filem edaran Cathay pula tidak jelas dan tidak penuh untuk setiap patah perkataan yang dituturkan. Kadang-kadang sarikata akan hilang di tengah-tengah filem hingga saya terpinga-pinga untuk memahami jalan cerita filem-filem Hong Kong.
Kebanyakan filem aksi yang dilakunkan oleh Jackie Chan yang dibuat di Hong Kong jauh lebih menarik jika dibandingkan dengan yang dibuat bersama gandingan pelakun-pelakun Hollywood. Cuma filem Who Am I yang boleh tahan jalan ceritanya.
Filem-Filem Tamil tidak ditayangkan di Bentong sejak tahun 1985 lagi. Cuma pada tahun 1989 saya mula menonton filem Tamil semula di pawagam setelah berhijrah ke Temerloh. Filem lakunan Kamalahaasan Aboorva Sagotharargal ditonton semula di pawagam Grand Mentakab, setelah filem terakhir Rajinikanth Thaai Veedu yang ditonton di Cathay bentong pada tahun 1984.
Pawagam-pawagam di Bentong mula ditutup satu persatu pada pertengahan 90an. Kedatangan tape video dan vcd telah melembapkan perniagaan di pawagam. Kini pawagam-pawagam tersebut telah diubah suai menjadi pasaraya dan stor. Jadi saya pun terpaksa ke Kuala Lumpur untuk menonton filem. Kekadang ada juga dibeli dvd filem-filem hebat dengan harga murah. Dengan adanya Astro Box Office lagi menjimatkan. Boleh tonton 4 buah filem sebulan dengan harga murah.
Selain daripada menonton di pawagam, menyewa tape video mula menguasai diri sejak player video dibeli pada tahun 1991. Memang agak lambat juga rumah kami memiliki pemain video. Awal tahun 80an sahaja ramai sudah memiliki pemain video ini di Bentong. Ada juga keinginan untuk memiliki pemain video di rumah kami, namun keadaan ekonomi bapa tidak mengizinkan.
Apabila saya menyewa video filem-filem Tamil, saya tidak suka menyewa filem-filem terkini, kerana kebanyakan filem tidak jelas dan semua dirakam di pawagam. Saya lebih rela menyewa filem-filem lama. Cuma jika ada filem terkini yang ‘clear version’ baru saya sanggup menyewanya. Ketika itu sebuah tape video disewa daripada dua ringgit hingga dua ringgit lima puluh sen.
Kini keadaan semua telah berubah. Kita boleh membuat pilihan sendiri. Boleh beli tiket di online. Tidak perlu beratur di kaunter, boleh membeli tiket di mesin di ruang legar pawagam lagi. Malah filem-filem mudah ditonton di YouTube dan laman-laman web yang halal dan haram.
Semua telah berubah. Tiket pun sudah mahal.
Kegembiraan lampau bersama pawagam tidak akan dapat dikembalikan semula.
*** Gambar ehsan Julien Andrieux di Unsplash dan M. Mahendran.
Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada [email protected]. Baca yang ini pula.
Tags: Julien Andrieux, M. Mahendran
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.