Pada tahun 1989 saya telah ke Temerloh untuk bekerja di sebuah pasaraya. Tiga tahun berikutnya saya telah bertugas sebagai guru sementara di dua buah sekolah rendah, iaitu dari tahun 1990 hingga 1992 dan kembali bekerja sepenuh masa semula di pasaraya tersebut pada hujung 1992.
Sebenarnya ibu saya yang suka saya menjadi guru seperti dia dan adik beradiknya yang lain, malah datuk dan nenek saya juga adalah guru yang mendapat pendidikan di India. Saya langsung tidak berminat untuk mewarisi tugas itu. Lagipun saya tidak mempunyai kelayakan yang baik dalam SPM dan STPM untuk melanjutkan pengajian perguruan di mana-mana maktab perguruan. Saya tidak bercita-cita tinggi kerana saya tahu kemampuan saya di tahap mana. Saya hanya berminat dalam bidang nyanyian dan lakunan sahaja letika itu. Dan tidak ada sesiapa pun untuk tunjuk ajar ketika itu dan lebih-lebih lagi seperti tiada masa depan pula dalam bidang itu di Malaysia. Tiga puluh tahun dahulu tidak sama seperti sekarang. Sudah pasti saya tidak mampu mengadu nasib di India. Tidak ada keyakinan.
Pada bulan April 1990 saya memohon jawatan guru sementara di kawasan Bentong atau Temerloh atas desakan ibu bapa. Dengan amat berat hati saya menulis surat permohonan. Saya dipanggil untuk temuduga pada pertengahan bulan April di pejabat di sebuah sekolah Tamil di Kuantan. Bapa saya membawa saya ke situ. Saya ditemuduga oleh nazir sekolah-sekolah rendah Tamil di Pahang. Nama beliau adalah Encik Suppiah (mendiang). Gementar juga saya menjawab soalan-soalannya. Saya tidak ingat lagi soalan apa yang ditanya pada saya ketika itu.
Pada bulan berikutnya saya mendapat tawaran untuk bertugas di SRJKT Ladang Mentakab. Perkara pertama di sekolah, saya berjumpa dengan Guru Besar Encik Govindasamy Ramasamy. Seorang yang berbadan tegap dan tinggi. Suaranya agak tegas, lantang dan memiliki perwatakan peramah. Memang perwatakannya sangat sesuai untuk tugasnya sebagai Guru Besar ataupun tokoh politik.
Saya diberi tugas untuk mengajar pelajaran Moral dan Bahasa Inggeris pada hari pertama. Memang agak kekok dan tergagap-gagap pada hari pertama mengajar. Saya cuma berpandukan buku teks yang diambil daripada pelajar. Saya langsung tidak membuat apa-apa persediaan. Hanya pengalaman belajar semasa di sekolah dahulu sedikit sebanyak saya aplikasikan sepanjang tugas saya sebagai guru.
Sekolah itu tidak besar, maklumlah sekolah luar bandar. Murid-murid pun tidak ramai, ada lebih kurang 100 orang murid sahaja. Guru- guru pun ada enam orang sahaja. Saya baru ketahui ketika itu kebanyakan sekolah-sekolah Tamil luar bandar di seluruh Malaysia jumlah murid-muridnya memang begitu. Malah ada sekolah mempunyai jumlah yang jauh lebih sedikit daripada itu.
Setiap pagi saya akan bangun seawal 5.30 pagi untuk bergegas dari Temerloh ke Mentakab. Saya menaiki bas ke Bentong dan akan turun di persimpangan Kampung Batu Kapur. Seorang guru sementara wanita, juga datang dari estet berhampiran menunggu di simpang itu. Kami akan menaiki kereta guru besar yang akan datang dari Taman Saga, yang berhampiran di situ. Kami berdua menumpang keretanya setiap pagi dan begitu juga selepas waktu sekolah. Isteri guru besar turut mengajar di sekolah yang sama.
Jika ada kelas petang saya akan tinggal di sekolah, staf sekolah, uncle tukang kebun akan menghantar saya dengan motosikalnya hingga ke bandar Mentakab menggunakan jalan pintas melalui jalan keretapi selepas tamat kelas petang. Setiap petang selepas waktu sekolah saya masih bekerja di pasaraya, di tempat kerja lama saya. Walaupun ia meletihkan, saya tetap suka sebab ramai kawan-kawan saya bekerja di situ. Saya terpaksa berpindah keluar dari asrama pekerja dan tinggal semula bersama bapa saya di biliknya.
Kerja guru sementara tidak ada banyak beza dengan kerja guru bertauliah. Mereka mengajar dengan penuh pengetahuan, manakala saya sebagai guru sementara pula mengajar dengan kesangsian. Kerja guru membuatkan saya seperti kembali belajar pula. Setiap petang setelah pulang dari sekolah, saya akan ke rumah aunty untuk ambil bekalan nasi dan lauk, kadang-kadang bapa akan ambil terlebih dahulu. Setelah itu saya akan kembali ke bilik untuk menulis buku rekod. Memang menyiksakan.
Saya hanya sempat mengajar di SRJKT Ladang Mentakab untuk beberapa bulan sahaja. Pada bulan Disember tahun 1990 saya ditukarkan ke SRJKT Ladang Sungei Tekal (pada masa itu sesi sekolah bermula pada bulan Disember), Kuala Krau yang masih berada dalam zon Temerloh. Sekolah ini lebih jauh ke dalam jika dibandingkan dengan sekolah di Ladang Mentakab.
Pada hari pertama dan untuk dua bulan lamanya saya akan tunggu guru besar Encik Nadarajah di simpang pertengahan di antara Temerloh dan Mentakab. Beliau dan isteri beliau Puan Santha akan menumpangkan saya hingga ke sekolah, begitu juga pada sebelah petang. Oleh kerana saya tidak mempunyai kenderaan, saya tidak dapat adakan kelas petang dan awal pagi untuk murid-murid UPSR (darjah 5 dan 6).
Nasib saya baik kerana mendapat sebuah rumah staf di estet itu dengan sewa sebanyak empat puluh ringgit. Rumah-rumah pekerja dan staf di ladang Guthrie bagus dari segi rupa bentuknya jika dibandingkan dengan ladang-ladang lain milik pemilik tempatan. Ada sebuah ruang tamu yang agak besar, dua buah bilik tidur, sebuah bilik untuk memasak, sebuah bilik mandi dan sebuah tandas yang berasingan. Dua buah rumah bercantum berdiri dengan sendirinya di kawasan yang berbukit-bukau.
Jika dibandingkan kehidupan saya sebagai guru sementara di Ladang Mentakab dan di Ladang Sungei Tekal, di sini kehidupan saya dirasakan jauh lebih baik, sebab saya tidak perlu tergesa-gesa ke sekolah. Rumah pun amat dekat dengan sekolah. Di kawasan rumah saya dikelilingi oleh rumah anak-anak murid. Mereka sering sahaja bertandang ke tempat tinggal saya untuk sahaja berborak-borak ataupun untuk bertanya kemusykilan dalam pelajaran. Saya tidak dapat lakukan kerja sambilan di pasaraya di Temerloh seperti sebelum ini.
Saya tinggal seorang di rumah itu. Pada masa itu saya hanya memiliki sebuah radio kecil, tidak ada tv. Untuk menghubungi sesiapa, harus ke pondok telefon yang terletak di hadapan kedai runcit.
Selama setahun saya tinggal di situ saya makan di kedai makan yang terletak tidak jauh dari rumah. Di kedai itu jugalah kami guru sekalian akan bersarapan pada waktu rehat. Sekolah-sekolah Tamil di estet tidak memiliki kantin seperti sekolah bandar. Kebanyakan murid-murid tidak makan pada waktu rehat dan hanya beberapa murid terpilih sahaja yang akan dapat makan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) setiap hari.
Pada tahun kedua di estet yang sama pada tahun 1992, guru Bahasa Malaysia Encik Zulkifli berpindah dari Kerdau dan tinggal bersama saya. Saya tidak lagi makan di kedai, kerana Cikgu Zul pandai masak dan beliau akan masak setiap hari balik dari sekolah. Saya cuma akan tolong memotong sayur dan bawang.
Di sekolah, kami sebagai guru ada pelbagai tugas untuk dilaksanakan, bukan setakat mengajar sahaja. Setiap minggu seorang guru akan mengambil peranan sebagai guru bertugas. Guru berkenan harus mengendalikan perhimpunan pagi yang diadakan setiap hari. Setiap kali tiba giliran saya, jantung saya akan berdebar kencang. Jika berucap di hadapan murid-murid sahaja tidak menjadi masalah. Berucap disamping guru-guru lain dan guru besar, menggerunkan.
Begitu juga semasa mengajar, jika guru besar atau nazir masuk ke dalam kelas dan memerhatikan cara saya mengajar, pasti saya akan mengelabah. Lebih-lebih lagi, saya jarang menggunakan Alat Bantuan Mengajar (ABM) di dalam kelas. Saya masih mengajar dengan cara lama, kapur dan papan hijau.
Saya lebih suka mengajar pelajaran Moral dibandingkan dengan pelajaran Bahasa Inggeris. Saya akan membawa murid-murid keluar dari kelas dan akan duduk berteduh di bawah pokok dan saya akan kisahkan cerita-cerita ciptaan saya yang berunsur moral. Murid-murid suka akan ini kerana saya akan memilih murid-murid sebagai watak-watak penting dalam kisah itu. Keadaan yang sama juga akan saya gunakan dalam pelajaran Muzik.
Walaupun saya bosan mengajar dan tidak cekap dalam bidang perguruan, saya suka bergaul dengan murid-murid dan guru-guru di situ. Banyak pengetahuan dan pengalaman yang saya perolehi daripada mereka. Kini semua sudah besar panjang dan sudah beranak pinak. Walaupun saya sudah tinggalkan profesyen perguruan hampir tiga puluh tahun, saya masih ada berhubung dengan bekas anak-anak murid melalui media sosial.
Saya rasa bertuah kerana dapat bertugas di sekolah Tamil kerana saya tidak berpeluang semasa kecil. Pengalaman saya ini ada saya kisahkan dalam cerpen saya bertajuk ‘Cikgu Habibu’ terkandung dalam kumpulan cerpen ‘Karupaya’.
Gambar ehsan M. Mahendran.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.