‘So however, we are now in this situation, where really—our hands, as I said, really tight. We regret to inform that we could not renew your contract.’
Kata-kata yang aku dengar seperti itu kerapkali menyinggah dalam fikiranku, setiap kali suasana sunyi hadir menyelimuti. Seperti ia hadir bagai muzik latar yang mampu berkecamuk dalam gegendang telinga setiap kali aku mendengarnya.
Macam-macam perasaan yang timbul. Bercampur dengan pelbagai rencah emosi yang menganggu kehidupan aku berhari-hari. Sedih? Sudah tentu. Kecewa? Tipulah tidak. Marah? Tiada sebab. Walaupun kehidupan masih tidak berpaksikan apa yang aku rencanakan, namun kerapkali aku mengulangi alasan yang sama untuk terus melukakan hati aku sendiri. Beban kekecewaan yang terus menerus aku galas di bahu—sepanjang hari, dan aku mengalah untuk tidak mahu melepaskan ia pada orang lain.
Mungkin begitu kisah perjalanan aku untuk berkhidmat dalam sebuah organisasi yang melindungi hak asasi kanak-kanak dalam negara. Jodoh aku tidak panjang di situ. Agak berat, namun ia tidak boleh dijadikan tembok untuk aku terus berhenti dalam menjalani kehidupan di ibu kota.
‘Budak Ipoh baru nak belajar terbang di ibu kota, namun tersadai di tengah bangunan.’
Aku kerap mengulang kata-kata itu dalam hati. Sambil tertunduk senyum. Kali ini ia bukan lagi seperti muzik latar yang bermain di telinga, namun ia seperti sebuah kelengkapan perabot rumah yang sunyi pada setiap sudut pandang cuba bercakap dengan aku. Dan kalau dinding pun boleh bercakap, mungkin ia akan menyemburkan bait-bait puisi yang sering aku bacakan padanya.
Musim pandemik ini mengajarkan aku banyak hal. Tentang keberanian, kekecewaan, kesusahan dan melihat sudut pandang dunia ini dengan lebih luas. Mungkin ramai yang setuju bahawa dengan musim pandemik begini, kita mampu menyelak kembali helaian diri yang selama ini dibiarkan usang tanpa dibaca.
Baru-baru ini aku membaca tulisan Rien SD, di makalah Svara, yang menceritakan seorang kanak-kanak berumur 9 tahun di Sabah yang sudahlah tidak mempuyai ibu, negara, malah cita-cita sendiri pun sudah tiada. Terpaksa melontarkan tanggungjawab itu di rumah, bagi melangsungkan realiti kehidupan. Itu ketidakdilan yang berlaku pada kanak-kanak di Sabah, yang nasib tidak seberuntung aku, yang masih mampu bernafas dengan selesa di sini.
Diceritakan penulis, kanak-kanak itu tinggal bersama mak ciknya, dan bapanya jarang pulang ke rumah. Penulis terkesan dengan melihat kanak-kanak itu memakai sepatu koyak, dan tinggal diatas perkampungan air yang terletak dua batu dari pusat bandar Sandakan. Pada mulanya, perkampungan itu dibina secara haram melalui generasi ke satu generasi. Sungguhpun, keadaan rumah atas air itu turut dimamah koloni serangga, tanpa sumber air bersih, apatah lagi sambungan eletrik (walaupun secara haram). Belum lagi isu-isu kebersihan seperti tuala wanita yang baru dipakai, masih boleh dilihat hanyut dalam air yang surut. Kemiskinan dan ketidakadilan hak telah menekan kehidupan masyarakat yang majoriti bersuku Bajau dan Suluk itu hari demi hari.
Malah, sewaktu aku berada dalam organisasi kanak-kanak terbabit, sempat aku berkunjung ke Sabah, atas urusan kerja, tiga hari sebelum perlaksanaan PKP diumumkan. Pada awalnya kunjungan itu mengambil masa seminggu untuk dilaksanakan, namun atas pengumuman PKP, kami terpaksa pulang lebih awal dari tempoh yang ditetapkan, atas faktor keselamatan dan kesihatan pada jangka masa panjang.
Walaupun perjalanan itu singkat, namun aku masih mampu melihat sosok suasana kehidupan kanak-kanak di sana. Walaupun ini kali kedua aku sudah berada di Sabah. Ia menekan dada aku untuk terus menahan dari meraung bercampur geram, melihat rata-rata kanak-kanak masih tinggal di tepi jalanan, menjual rokok seludup, malah menagih simpati dari kami untuk diberikan sedikit wang bagi melangsungkan kehidupan hari esok. Kemiskinan masih lagi menjadi langit untuk diratap buat kanak-kanak di Sabah. Walaupun aku sedar, masih terdapat lagi mereka ini di luas pelusuk Sabah turut berkongsi payung keperitan yang sama. Dan aku disitu, masih tidak mampu berbuat apa-apa. Tertunduk malu aku sebelum tidur.
Tulisan Rien itu sedikit sebanyak membuka pekung dada aku, yang selama ini terlalu egois tidak bersyukur dengan nikmat yang Tuhan bagi. Seperti yang dikatakan, musim pandemik ini memberi ruang untuk aku (baca: kita) dalam menyelak lebih banyak helaian diri. Apa yang kurang, kita cuba tambahkan, apa yang lebih, kita cuba kekalkan. Untuk kekalkan apa yang lebih memerlukan komitmen yang tinggi, malah pengorbanan juga menjadi kunci pemula jika perlu. Namun, kekurangan adalah sebuah benua yang masih luas untuk diterokai. Masih boleh mencoretkan hal-hal yang indah. Sungguhpun, keindahan tidaklah selamanya kekal. Untuk kekal, kita kembali lakukan apa yang sudah aku tuliskan baris ayat sebelum ini.
Merangkumi keadaan ini, aku secara tidak langsung turut terkesan mengenai ucapan Perdana Menteri yang menjelaskan mengenai kadar pengangguran dijangka akan meningkat kepada 17.1% atau dengan kata mudah, seramai hampir 860,000 orang akan menganggur pada tahun 2020, dan salah satunya turut berpunca dari masalah pandemik yang melanda ini. Ini menjadikan unjuran pengangguran ini mencatatkan dengan kadar paling tinggi sejak tahun 1986 yang menyaksikan kadar pengangguran dicatakan sebanyak 7.4%. Perkara ini dilihat apabila sehingga bulan Mac tahun ini, pengangguran dicatatkan sebanyak 3.9 % atau sekitar 610,500 orang penganggur.
Jika dilihat dengan statistik begini, wajar untuk aku berasa risau. Apatah lagi status aku sebagai graduan masih lagi terumbang ambing dalam mencari pekerjaan yang tetap dan stabil. Manakan tidak, baru sahaja ingin terbang untuk berkhidmat dalam organisasi terbesar dalam negara, namun akhirnya terpaksa berhenti di tengah jalan. Melalui pembacaan dan mendengar laporan mengenai pengangguran ini, aku beranggap aku turut terasa dalam menjadi mangsa sebuah pandemik yang mengundang kemunduran sara hidup aku yang telah aku rancang sebelum ini.
Itu baru soal aku. Bagaimana pula nasib graduan-graduan yang masih lagi belum mendapat pekerjaan? Bagaimana nasib kanak-kanak pada hari yang mendatang? Aku risau suatu hari nanti, tidak ramai mahu ke universiti, atas alasan sukar mendapat kerja. Apatah lagi dengan persekolahan yang sudah tutup untuk beberapa bulan ini, telah mengundang ramai pelajar bersorak riang tanpa memikirkan bahawa persekolahan juga adalah salah satu gedung ilmu yang bergerak sekarang ini. Lagi pula, aku juga tidak menafikan kehidupan di luar juga adalah suatu ilmu yang perlu diterokai. Dan penerokaan ilmu itu perlu dimiliki oleh semua pihak, tanpa ada penindasan. Tanpa ketidakadilan.
Mungkin Tuhan nak gantikan dengan benda lain. Aku cuba untuk positif. Tapi semakin aku cuba, semakin kehidupan mendesak aku untuk mengikut telunjuknya. Kehidupan yang masih lagi aku tidak tahu mana pangkal hujungnya nasib dalam membentuk diri aku hingga kini.
Dari penceritaan kanak-kanak Sabah dan statistik pengangguran, aku cuba belajar dua hal; erti syukur yang perlu ditanam dalam diri, atas nikmat yang Tuhan bagi dan melepaskan hal-hal yang membaja egois aku untuk terus tumbuh sebagai papan tanda bongkak diri. Selebihnya, pengangguran pula cuba membuka mata aku untuk pandang dunia dengan lebih luas. Dunia yang semakin sakit dan aku tidak percaya ia akan pulih dengan cepat. Kemiskinan, penderitaan, ketikdakadilan dan hal-hal penindasan yang berlaku dalam realiti dunia ini, adalah benua yang perlu aku lihat untuk kembali kepada masyarakat. Kadang kita hanya bernasib baik dengan perkara yang kita ada, dan lupa bahawa sempurna itu bukan sifat kita sebagai manusia.
Sementara aku masih lagi begini. Terumbang ambing dalam rumah sendiri. Tidak menjenguk apa-apa di luar. Yang ada hanya gelap, tirai yang sengaja ku tutup bagi menghidupkan suasana paling sepi untuk meraikan hatiku yang sebegini. Mungkin begitu sifat aku. Walau aku cuma mampu mendengar detik jam, hati masih kosong tak berwajah. Mulut terkunci tanpa apa-apa nada. Jari terus menerus menekan papan kekunci untuk melahirkan tulisan ini sebagai anak. Tanpa mengharapkan apa-apa.
Apa khabar matahari di luar? Terikmu masih ku rasa hingga kini, seperti kehidupanku yang kian singggah memancar buatkan tubuhku terasa hangat. Seperti terpaksa ku telan segala kepedihan menahan terikmu, untuk ku bernafas lagi.
Apa khabar langit? Luas dadamu tidak seperti harapanku yang nyata kamu lebih beruntung dari segala hal yang terjadi dalam hidupku. Seraya kabusmu ku lihat di balik jendela ketika pekat malam, masih tersenyum padaku walau hanya sekadar sapaan.
Apa khabar ibu kota? Sisi konkritmu telah lama ku biar tanpa teguran. Ku dengar kamu telah bernafas kembali seperti biasa, setelah hampir tiga bulan perutmu tidak dipenuhi orang. Masihkah kamu ingat tapak kakiku yang selalu berjalan mengelilingi luas isi perutmu? Barangkali kamu hanya rindu akan orang-orang yang ghairah mendukung harapan, tidak sepertiku.
Apa khabar kamu? Yang sedang membaca tulisan ini hingga habis.
Gambar ehsan Deva Darshan di Unsplash.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.