Tempat itu juga ditujunya. Baru beberapa jam isterinya melahirkan anak, tapi dia sudah ke tempat itu. Muka anak pun belum sempat tengok.
Beberapa bulan lalu, setelah mendapat kenaikan pangkat sebagai pengurus, dia diajak ke tempat itu oleh seorang rakan.
Setiap kali ke sana, dia akan membeli dan membawa pelbagai barang. Barangan yang diminta oleh orang itu yang menjanjikan yang bukan-bukan.
Apa yang pasti, sebulan sekali, dia ke sana. Dengan barang-barang yang diminta oleh orang itu. Kadangkala sampai lewat malam atau awal pagi, dia akan berada di tempat itu. Isteri ditinggalkan berseorangan di rumah.
Kereta baharu juga dibawa ke sana. Memohon restu, katanya. Nombor pendaftaran kereta turut dicadangkan oleh orang itu.
Dia sanggup membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan nombor itu semata-mata kerana dicadangkan oleh orang itu. Nombor yang kononnya akan membawa tuah.
Hari ini, tanpa melihat wajah anak yang baru lahir, dia segera ke tempat orang itu. Kertas tercatat masa dan tarikh lahir anak dibawa bersama.
Tempat yang dituju kelihatan suram. Biasanya, akan ada ramai orang. Tetapi, pada malam ini, tiada seorang pun di sana. Orang itu yang ditunggu-tunggu juga tidak muncul.
Dia berasa hampa. Kegembiraan kelahiran anak tidak dapat dikongsi dengan orang yang pernah membantu.
Mesej WhatsApp diterima. Dia tersentak melihat klip video orang itu dibawa pergi dengan kedua-dua tangan digari. Matanya terbeliak.
Orang itu yang cuba menentukan masa depan orang, tidak dapat pula menentukan nasib sendiri.
Gambar ehsan Pasha Chusovitin on Unsplash. Ikuti kami di Telegram.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.