Sabtu, sekitar jam 10 pagi. Aku sedang berjalan ke kereta selepas meletakkan pakaian di dalam mesin pengering di kedai dobi layan diri.
Kebetulan pada waktu itu, lalu sebuah lori sampah beserta dua orang pekerja. Seorang menarik tong-tong sampah di sebelah kiri lorong, seorang lagi menguruskan tong-tong di sebelah kanan lorong.
Seperti biasa, orang yang menarik tong ke lori mengangkatnya dan menuangkan sampah ke dalam lori. Tetapi tong sampah dari kedai tomyam nampak berat semacam. Mungkin tukang angkut sampah itu sudah penat.
Dia meminta pertolongan rakan sekerjanya dengan bertutur dalam bahasa yang aku tidak begitu kenal. Aku hanya pasti bahasa itu tidak ditutur warganegara Malaysia.
Semasa mereka berdua menuangkan sampah dari tong tersebut, aku nampak cecair perang. Bau sampah menusuk hidung.
Kalau aku perlu melakukan tugas ini lapan jam setiap hari untuk enam hari seminggu, ada kemungkinan aku selalu muntah di tempat kerja dan kerap kali jatuh sakit.
Aku teringatkan reaksi warga media sosial yang berang apabila mengetahui satu pengilang roti terkemuka memberikan peluang pekerjaan kepada pelarian etnik Rohingya.
Pengilang tersebut kemudian memaklumkan kesukaran yang dihadapi dalam mengambil pekerja tempatan walaupun selepas menghebahkan kekosongan jawatan menerusi media sosial.
Sedangkan pengilang roti menghadapi cabaran untuk mencari pekerja tempatan, inikan pula syarikat pengurusan sisa dan bahan buangan yang sering dipandang jijik.
Dalam diam, sewaktu menunggu di dalam kereta, aku berterima kasih kepada golongan migran atas kesanggupan mereka menjalankan tugas yang dianggap jijik atau hina; demi mencari sesuap nasi.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.