Saya membuka mata. Pening rasanya. Saya melihat tempat saya sedang berbaring dan melihat di sekeliling. Saya faham. Kini saya sedang berada di hospital. Kaki kanan saya berbalut, begitu juga kepala saya.
Saya memandang ke atas. Kipas sedang berpusing dengan amat perlahan. Saya cuba untuk bangun dan duduk. Tidak boleh. Saya melihat katil di sebelah saya, kelihatan seorang wanita tua Cina sedang bercakap sendirian. Melihat keadaan cahaya dan keadaan di dalam wad itu; pasti tengahari.
Saya melihat katil-katil di depan saya, kesemua penghuni wad terbaring dalam keadaan sakit seperti saya. Mungkin bermacam-macam penyakit. Cuma saya seorang sahaja berbalut begini dalam kalangan mereka.
Pagi, masih gelap lagi. Saya sangka pagi itu akan seperti pagi-pagi yang saya lalui sebelum itu. Tetapi siapa tahu pagi itu akan menjadi pagi yang luar biasa bagi saya. Kalau saya tahu, pasti saya tidak akan ke kerja hari itu.
Kelihatan beberapa orang wanita bangun dan duduk di katil. Wajah mereka kelihatan sedikit ceria berbanding tadi. Wad yang lengang, kini sudah dipenuhi dengan sanak saudara pesakit.
Saya mencari suami dan anak saya. Tidak kelihatan. Risau juga saya. Di mana mereka? Selepas sepuluh minit menunggu, baru kelihatan kelibat mereka. Anak saya berlari ke arah saya.
“Appa, appa! amma dah bangun!” Anak saya kelihatan amat gembira.
Anak saya Marthini duduk di sebelah saya. Saya mencium kepalanya. Baunya sungguh menyegarkan.
“Baru hari ini kamu sedar sebenar-benarnya,” kata suami saya sambil melihat balutan pada kaki saya.
“Sakit lagi?” tanyanya lagi.
“Hmm, dah berapa lama saya di sini?”
“Kamu tinggal tiga hari di wad ICU dan hari ini di sini.”
“Berapa hari lagi saya kena tinggal di sini?” Ini adalah kali kedua saya terpaksa tinggal di wad. Dahulu semasa bersalin. Itu menggembirakan, ini … Siapa yang suka tinggal di wad hospital, kalau bukan kerana terpaksa. Sungguh meletihkan fikiran.
“Mungkin seminggu lagi agaknya. Tapi, tapi doktor kata, kaki kamu yang patah ni cuma akan sembuh sepenuhnya selepas dua bulan. Dan saya dah buat laporan polis.”
Seminggu lagi? Lama juga. Geram betul! Semua kerana mereka berdua itulah saya kini di sini, menanggung semua ini.
“Mereka masih belum ditangkap?” Saya teringatkan kembali kejadian hari itu. Jantung saya berdegup kencang. Amat takut dan marah.
“Mungkin hari ini atau esok pihak polis akan ke sini untuk soal siasat. Harap kau dapat bekerjasama dengan mereka.”
Lagi gementar pula rasanya.
“Amma, kalau saya jumpa orang jahat itu, saya nak tembak mereka dengan pistol!” Marah sungguh dia.
Saya gembira anak saya begitu sayangkan saya. Namun mereka telah membenihkan perasaan balas dendam dalam diri anak kecil ini.
Selepas suami dan anak saya beredar, seperti kata suami saya, dua orang pegawai polis wanita datang. Mereka bertanya pelbagai soalan sehingga saya sukar hendak menjawabnya. Memang sukar untuk menerangkan secara terperinci mengenai wajah mereka berdua. Bolehkah mereka tangkap penjahat-penjahat itu dengan keterangan yang saya beri. Saya tidak pasti. Saya menjawab soalan mereka setakat mana yang mampu.
Seminggu lagi di sini? Pasti membosankan. Kalau di rumah, boleh juga saya masak masakan kegemaran Marthini.
Mata saya mengantuk. Saya tertidur, namun mereka berdua…
Dalam gelap itu saya bersendirian, dua orang menghentak kepala saya dengan topi keledar. Mereka meragut tas tangan saya. Saya ditolak, disepak. Saya menjerit. Saya melihat wajah mereka, sungguh menakutkan, sungguh menakutkan. Saya terkejut. Peluh membasahi seluruh badan, sama seperti hari kejadian itu juga. Mereka tidak akan biarkan saya aman dalam tidur. Sering saya bermimpi kejadian ngeri itu. Saya perlu sembuh segera dan balik. Saya perlu sembuh dengan segera.
Saya dapat panggilan dari balai polis seminggu selepas balik dari hospital. Saya perlu hadiri ‘kawat cam’. Boleh aku cam kedua rupa penjenayah itu? Rasa-rasanya boleh. Walaupun waktu subuh, saya masih dapat lihat wajah mereka berdua dengan bantuan lampu jalan dan kedai. Tapi…
“Saya takutlah atthan.”
“Buat apa awak nak takut? Tak perlu takut kalau perkara itu benar.”
“Mak, nanti tunjuk mereka pada saya. Saya nak tembak mereka semua dengan pistol ini.” Marthini mengacu-acukan pistol mainannya ke arah saya.
“Atthan mengapa belikan pistol mainan untuk Marthini?” Geram saya melihat Marthini dalam keadaan begitu.
“Dia kan kecil lagi. Takkan saya nak sekat keinginan dia, bukannya pistol betul pun.”
“Tapi pistol ini sudah membenihkan sikap balas dendam di dalam diri dia.”
“Biarkan itu semua, yang penting esok kamu cam mereka betul-betul. Tak usah takut. Biar mereka kena belasah dalam lokap.”
“Semalam dahlah pergi buat kad pengenalan dengan kaki patah ini, esok bagaimana, entahlah.”
“Pengecaman awak sangat penting. Baru orang lain boleh keluar dengan tenang di luar sana.”
Malam itu saya tidak dapat tidur dengan lena. Ada-ada sahaja mimpi yang menakutkan. Saya bermimpi kedua peragut itu masuk ke dalam rumah kami dan mencuri segala barang di dalam rumah. Dan, dan mereka menikam ketiga-tiga kami! Dahsyat sungguh. Perlukah saya hadiri kawat cam nanti? Nanti kejadian di dalam mimpi akan menjadi kenyataan? Perlukah kami bertiga mati pada usia yang muda? Gerun!
Suami saya tidak mendengar kata-kata saya. Dia paksa juga saya ke balai. Bukankah seorang isteri perlu taat pada si suami. Saya akur.
Seorang mata-mata gelap lelaki dan seorang polis wanita membawa saya ke bilik kawat cam. Suami saya tidak ikut. Dia membaca akhbar di ruang menunggu di balai. Jantung saya bedegup kencang. Lagipun susah nak berjalan bertongkat. Polis wanita itu mengapit saya.
Saya memasuki bilik kawat cam, seorang pegawai polis wanita sedang menunggu kami. Melihat keadaan saya yang amat ketakutan itu, dia menenangkan saya. Ada enam orang di dalam bilik itu. Kesemua mereka berdiri tegak. Kedua belah tangan mereka diletakkan di belakang. Sekilas pandang sahaja sudah nampak dia. Tetapi ada seorang sahaja. Mana seorang lagi? Mata-mata gelap itu menyuruh saya lihat betul-betul dan cam. Susah hendak bersemuka dengan keenam-enam orang itu. Semua muka samseng. Saya cepat-cepat menunjukkan tangan saya kearah si peragut dan cepat-cepat saya tunduk ke bawah. Si peragut memandang saya seperti hendak ditelannya. Bagaikan jantung saya terkeluar dari badan ketika itu. Pegawai polis itu memberi jaminan akan tangkap seorang lagi secepat mungkin. Saya tidak dapat memberi apa-apa reaksi ketika itu. Cuma dapat mengangguk dengan muka masam.
Suami saya amat gembira dengan tindakan saya. Dia memuji-muji keberanian saya. Marthini pula hendak sangat melihat si peragut itu. Dia hendak tembak dengan pistol mainannya. Mereka berdua gembira. Saya di dalam ketakutan.
Setelah enam bulan berlalu, kaki saya pun berfungsi seperti biasa. Saya dipanggil hadir ke mahkamah.
Di mahkamah, selain daripada saya, ada dua lagi wanita yang menjadi saksi. Ini memberi sedikit keyakinan pada diri saya.
Si peragut tidak mengaku kesalahannya. Oleh kerana bukti dan saksi amat kukuh, dia dipenjarakan untuk lima tahun. Lima tahun sahaja? Selepas itu dia akan keluar dengan bebas, senang lenang dan buat ‘kerja’nya lagi.
Selepas peristiwa malang itu, suami saya tidak lagi membenarkan saya keluar bekerja. Sayang juga pada isteri rupanya. Saya sendiri takut untuk keluar ke mana-mana, bersendirian.
Apa sudah terjadi dengan penduduk negara ini? Kita yang pernah hidup aman damai dahulu, kini perlu berdepan dengan gejala-gejala buruk seperti ini. Salah siapa sebenarnya? Kerajaan atau si penjahat itu sendiri? Adakah keadaan ini akan berterusan? Atau cuma bermusim?
Apakah lagi kejadian yang bakal yang perlu saya hadapi nanti? Kalau memikirkan hal-hal sebegini, pasti saya tidak dapat melaksanakan kerja harian saya seperti sediakala. Mungkin saya akan mati dalam ketakutan agaknya.
Aku pasti, sepasang mata sedang memerhatikan aku.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.