Setiap insan yang melalui kawasan itu, pasti mata mereka tertumpu ke sana. Pelbagai soalan akan timbul dalam fikiran.
“Ibu, kenapa kita tidak boleh ke sana?”
Seorang kanak-kanak bertanya, seolah-olah hairan melihat selama ini ada bahagian yang terlindung daripada pandangan mata. Rasa ingin tahu anak kecil itu tidak mampu disembunyikan.
“Mira, itu kawasan larangan. Kita tak boleh pergi ke sana,” si ibu menerangkan secara ringkas sambil menarik tangan anak kecilnya.
“Kenapa ibu?”
Si anak kecil masih tidak berpuas hati. Dia ingin sekali tahu tentang sesuatu yang tidak dapat dilihatnya.
Si ibu hanya terdiam. Patutkah soalan itu dijawab?
“Mira suka haiwan, ‘kan?” si ibu bertanya.
“Mira suka kucing!” Mira menjawab segera sambil membayangkan si comel manja yang suka menggesel-geselkan badan pada kakinya.
“Haiwan ada banyak, Mira. Ada yang comel dan manja. Ada juga yang garang.”
Mira membulatkan mata. Bagi anak kecil yang baru berumur lima tahun, pasti tidak terbayang rupa haiwan yang garang.
“Sebenarnya, di sebalik tembok itu ada harimau yang garang. Tidak ada pelawat dibenarkan masuk ke sana.”
Akhirnya, si ibu berjaya memberikan penjelasan yang dianggap terbaik tentang harimau belang yang dikatakan menyerang seorang pengunjung, baru-baru ini.
Si anak memandang wajah si ibu seperti berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan. Mereka meneruskan lawatan di zoo.
Gambar ehsan Benjamin Raffetseder di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.