“Nah, rantai awak. Pakailah sendiri.”
Zulkifli hulur rantai ubi kayu kepada Nana. Dia letakkan rantai di leher dan sambung hujung tangkai daun ubi dengan lidi. Nana tersipu-sipu malu apabila Zulkifli senyum padanya.
Petang itu, Zulkifli tunaikan janji. Dia buat pintu gerbang pada jalan masuk taman sukaria mereka. Dia belit daun pokok sekentut pada kiri kanan dua batang pokok.
Pucuk pokok tersebut bertaut seperti pintu gerbang. Zulkifli ambil pula dua kuntum bunga dari pokok pucuk manis. Nana sambut dan tekan bunga tersebut pada dua cuping telinga.
“Kita kawan sampai besar nanti tau. Sumpah?”
“Sumpah!”
Zulkifli tabik Nana seperti askar. Mereka ketawa lucu.
Nana tak mahu berpisah dengan Zulkifli. Setiap petang, Nana pastikan emak terlena semasa buaikan adik. Kemudian, Nana ke semak sebelah rumah. Bukan semak, tetapi itulah “taman sukaria” yang Zulkifli bina untuk mereka bermain.
“Nanti Nana kena sorok hantu. Asyik cakap sendiri!” jerkah emak, semalam, apabila Nana pulang daripada bermain dengan Zulkifli dan mengadu bahawa di celah jari kakinya ada pacat gemuk tak mahu turun.
Pagi tadi, Nana berlari keluar dan memanjat pokok jambu bol. Air mata mula deras mengalir melihat tiga orang lelaki sedang menebas taman sukaria.
“Orang nak buat rumah,” ujar emak dari tingkap bilik.
Nana menangis sambil memanggil nama Zulkifli. Emak dan abah menggeleng sahaja melihat perangainya.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.