Semenjak kekalahan pihak British dan negerinya dijajah pula oleh Jepun, Diyal tidak lagi bekerja sebagai askar. Dia mengusahakan tanah miliknya untuk menyara keluarga. Mujur sewaktu bertugas dia berjimat cermat dan mampu membeli beberapa ekar tanah. Dia dan isterinya menanam pelbagai jenis sayuran selain dari menanam padi. Sekali sekala bila ada masa lapang dia akan berjumpa dengan bekas rakan setugasnya.
“Dengar cerita ramai bekas tentera yang bekerja dengan pihak British dibunuh oleh pihak Jepun,” Danin, rakannya, memulakan bicara sewaktu mereka duduk di kedai kopi kegemaran mereka.
Diyal menghela nafas, “Kenapa mereka bunuh?”
“Mereka menuduh bekas tentera British memberi maklumat kepada pihak British.
“Kita bukan menyokong British tetapi kita bekerja demi untuk menyara keluarga,” sampuk Damit rakan mereka yang seorang lagi.
“Lagi pun sewaktu pemerintahan British kita masih boleh menikmati kehidupan. Semenjak Jepun memerintah rakyat hidup dalam ketakutan. Dulu pihak Jepun kata “Asia untuk Asia” sekarang apa jadi. Orang asia juga yang banyak dibunuh mereka,” Damit meluahkan ketidakpuasan hatinya.
“Hari-hari kita dengar pelbagai jenayah dilakukan. Anak gadis dan isteri orang dirogol mereka dengan sewenang-wenangnya. Bumi kita yang aman ini telah menjadi bagai neraka dunia,” merah padam muka Damit meluahkan marah yang terbuku di hatinya.
“Entah apa akan jadi dengan anak bini kita kalau kita ditangkap Jepun,” Danin mengeluh. Dia memandang ke wajah dua sahabat karibnya.
***
Petang itu seperti biasa Diyal berada di bendang. Tubuhnya bermandi peluh. Sekali-sekala dia menyeka peluh yang mengalir di mukanya. Isterinya datang menatang dulang. Kopi kosong dan biskut kering kesukaan Diyal dihidangkan oleh isterinya. Ditangan isterinya ada sepucuk surat. Diyal memandang surat itu dan kemudian pandangannya beralih ke wajah isterinya.
“Surat siapa?” tanya Diyal.
Isterinya memberi surat itu tanpa sepatah kata. Diyal membuka sampul surat dan mengeluarkan surat dari dalamnya. Surat yang tidak bertandatangan itu meminta semua bekas tentera British untuk berkumpul di sebuah tempat sulit.
Menurut surat itu lagi setiap orang di minta membawa surat yang diterima untuk pengenalan diri apabila sampai ke tempat berkumpul. Tanpa surat itu mereka tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat yang akan dijalankan.
Setahu Diyal, tempat itu hanya diketahui oleh anggota tentera British.“Patutkah saya percaya pada surat ini, tanyanya sendirian. Dia memandang surat itu. Kemudian meletakkannya semula ke dalam sampul. Dia kemudian meletak sampul surat itu ke dalam kocek seluarnya.
Isterinya yang sejak dari tadi merenungnya bertanya, ”Surat siapa?”
“British,” jawabnya sepatah.
“Kenapa?” isterinya cemas. Dia dengar pihak Jepun amat anti dengan penyokong British dan kebanyakan bekas tentera British dibunuh mereka. “Apa British mau?” tanyanya lagi.
“Mereka mengarahkan supaya kami berkumpul di sebuah tempat rahsia,” Diyal merenung wajah isterinya. Wajah yang tadinya putih kini bertukar kemerah-merahan.
Beberapa titik air mata membasahi pipi isterinya.“Jangan risau, tiada apa-apa yang akan terjadi,” Diyal meyakinkan isterinya.
“Nanti Jepun tahu,” isterinya tidak dapat meneruskan ayatnya. Tangisannya menjadi-jadi.
“Saya akan siasat dulu samada surat ini benar-benar dihantar oleh pihak British,”
Diyal memujuk isterinya.
***
Petang itu Diyal, Danin dan Damit berkumpul lagi di kedai kopi kegemaran mereka. Ketiga-tiga mereka membawa surat yang di terima.
“Siapa yang hantar surat ini?” tanya Diyal ingin tahu.”Menurut isteri saya surat itu dijumpai di peti surat tanpa mengetahui siapa yang menghantarnya.”
“Waktu itu saya tidak ada di rumah tetapi anak saya kata seorang lelaki yang kudung tangan kanannya yang hantar,” Danin mencelah.
“Kudung tangan kanan?” Damit mengulangi kata-kata Danin.
“Mungkinkah itu si Suin? Damit meneka. “Seingat saya dia berhenti menjadi tentera lebih awal dari kita apabila tangannya terpaksa dipotong akibat cedera.
“Kalau begitu mungkin juga surat ini dari pihak British tetapi yang hairannya apa tujuan mereka menghantar surat ini,” sampuk Diyal pula.
Walaupun masih uas-uas dengan kesahihan surat itu, mereka bertiga membuat keputusan untuk pergi ke tempat berkumpul yang dimaksudkan.
“Kita pergi berasingan. Jangan jalan bersama,” cadang Diyal.
Semenjak kedatangan Jepun mereka bertiga sudah terputus hubungan dengan pihak British. Mereka cuma mendengar khabar bahawa ketua mereka telah dihantar pulang ke England.
***
Hari perjumpaan telah tiba. Setelah mengenakan baju dan kain pelikat lusuh, Diyal beredar dua jam lebih awal. Sambil mengatur langkah sampul surat itu dibelek-belekkannya. Dia berasa sedap hati. Dia berhenti di tepi jalan. Ditatapnya sampul surat itu lagi. Kemudian dia melangkah lagi.
Tempat yang ditujuinya itu hanya beberapa ratus meter sahaja di hadapannya. Atap rumah usang yang sering dijadikan markas oleh pihak British itu jelas kelihatan. Diyal melangkah namun terasa payah. Teringat olehnya akan pesanan ibunya. Jika terasa berat hati untuk melakukan sesuatu perkara pasti ada musibah yang menanti.
Dia berhenti sekali lagi. Kemudian meneruskan langkah. Kali ini dadanya terasa berdebar. Dia tidak dapat meneruskan langkah. Beberapa meter di hadapannya terdapat sebuah pondok yang dibina oleh penduduk kampung. Pondok itu sering dijadikan tempat berlindung oleh orang kampung pada hari hujan. Dia duduk termenung di situ. Dia hairan kenapa pihak British memanggil mereka semula. Setahunya pihak British sudah lama pulang ke negara mereka .Yang masih ada pun adalah tahanan perang. Dia juga tidak yakin bahawa surat itu bakal membawa kebaikan untuknya.
Akhirnya setelah lama duduk di pondok itu dia membuat keputusan untuk tidak masuk ke dalam rumah usang itu sebaliknya bersembunyi di semak berhampiran. Suasana senyap. Diyal duduk di atas tanah. Dia tidak akan berganjak sebelum mengetahui perkara sebenar.
Tidak berapa lama kemudian kedengaran suara orang sedang berbual. Diyal tergamam seketika. Dia memasang telinga untuk mendengar dengan lebih jelas. Bahasa orang yang bercakap itu bukan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Dia kenal benar dengan bahasa itu.
“Bahasa Jepun?” Diyal terkesima. Dia mendengar dengan teliti untuk memastikannya.
“Ya! memang bahasa Jepun,” katanya dalam hati. Dengan perlahan dan berhati-hati dia meninggalkan tempat itu. Dia tidak mahu orang di dalam rumah usang itu perasan akan kehadirannya. Dia ingin memaklumkan kepada dua orang sahabatnya. Surat di tangannya dikoyak dan dibuangnya ke dalam longkang.
Hujan pula mula turun dengan lebat. Air hujan membasahi tubuhnya namun tidak dihiraukan. Dia berjalan pantas menuju ke rumah Danin. Dia mengetuk pintu rumah namun tiada jawapan. Dia kemudian beredar menuju ke rumah Damit pula. Rumah itu juga kosong. Dalam hujan lebat itu dia tidak tahu di mana hendak mencari dua sahabatnya itu. Dia buntu.
“Mungkinkah mereka telah pergi ke pondok itu?” fikirnya.Dia segera menuju ke jalan besar. Dia ingin pergi semula ke rumah usang itu. Langkahnya dipercepatkan namun terhenti.
Di sepanjang jalan kelihatan tentera Jepun berbaris sambil memeggang senjata.
Kelihatan seorang tentera Jepun memeriksa setiap orang yang melintas di hadapan mereka.
Beberapa orang lelaki berbaris di tepi jalan. Di tangan mereka kelihatan surat yang sama dengan surat yang dikoyakkan oleh Diyal tadi.
Diyal cuba untuk menyimpang namun dia sudah semakin hampir. Dia tidak dapat mengelak. Dia melintas di hadapan barisan tentera Jepun yang berkawal itu. Badannya diperiksa. Tiada surat pada pakaiannya. Dia dibenarkan pergi. Sewaktu hendak beredar, dia terlihat dua wajah yang amat dikenalinya.
Damit dan Danin memandangnya dengan wajah sugul. Mata mereka bertembung. Dia cuba berkata sesuatu tetapi Damit dan Danin segera memalingkan muka. Mereka tidak mahu Diyal ditangkap kerana mengenali mereka.
“Jalan cepat?” sergah pegawai Jepun di hadapannya.
Dia melangkah longlai. Dia sedih kerana tidak dapat membantu sahabat-sahabatnya. Apabila berada jauh dari tentera Jepun yang berkawal itu Diyal berselisih dengan seorang lelaki yangu memakai topeng. Tangan lelaki itu kudung.
“Suin,” katanya dalam hati.
Lelaki itu tidak memandang ke arahnya. Dia tergopoh gapah berjalan menuju ke arah tentera Jepun yang berkawal. Mungkin dia terlewat.
“Suin sudah jadi pemberi maklumat pada tentera Jepun,” getus hati kecil Diyal.
Seketika kemudian kedengaran beberapa das tembakan dilepaskan.Diyal menoleh.Kesemua orang yang berbaris di hadapan tentera Jepun tadi kini bergelimpangan di atas tanah dengan darah memercik.Diyal menyeka airmatanya.
*** Gambar ehsan Joanna Kosinska on Unsplash.
Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada [email protected]. Baca yang ini pula.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.