Karya ini asalnya ditulis dalam Bahasa Tamil oleh M. Navin. Ia diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh S.T. Saravanan.
“Saya rasa tak selamat kamu membawa anak kamu dengan kita,” kata Dato Malik.
Dia tercungap-cungap setelah penat mendaki jalan bukit itu. Wap air dapat dilihat dengan jelas melalui nafas yang dihembus dari mulutnya. Pembantunya pula tidak memakai pakaian tahan sejuk seperti yang kami pakai, malah dia hanya memakai sehelai kemeja-T biasa yang berwarna perang. Dia kelihatan agak normal dengan suhu rendah di kawasan itu sambil memikul beg yang berat.
Semenjak jatuh sakit, saya juga tidak mampu bertahan dengan cuaca yang terlalu sejuk. Kesejukan di luar sana itu membuatkan tulang-tulang badan saya menggigil. Saya mengusap kepala anak saya, Balu. Kepalanya dibasahi wap kabus. Saya pernah berjanji kepadanya bahawa saya akan membeli topi sejuk untuknya sebelum sesi persekolahan bermula. Dia hanya memandang saya apabila kepalanya diusap. Balu juga kelihatan teruja untuk melihat burung Si Kuning yang akan muncul dari hutan tebal itu.
“Dia tidak akan memberitahu sesiapa, dato,” balas saya kepada Dato Malik. Saya bersusah payah untuk menyebut kata-kata tersebut dalam bahasa Melayu tanpa menunjukkan perubahan suara yang saya alami.
Kabus yang melitupi kawasan luas itu makin menebal. Kami kelihatan seolah-olah ditenggelami kabus yang tebal itu. Dalam kabus putih itu, pokok-pokok yang warna hijau muda kelihatan secara samar-samar sahaja. Cahaya malap daripada lampu-lampu jalan yang belum dipadamkan juga dapat dilihat dari jauh. Bentuk tubuh Dato Malik yang dapat dilihat di belakang dalam kegelapan awal pagi dapat melegakan hati saya sedikit ketika itu.
“Saya tidak kisah kalau dia memberitahu pun. Tidak ada sesiapa yang berani menyoal saya setelah saya masuk ke dalam negara Brunei,” balas Dato Malik sambil mengelap wap air yang terlekat pada cermin matanya. Kabus di sekeliling itu bertindak seperti tirai pentas; menyelebungi dan menjauhi kami secara selang-seli.
Saya tidak berkata apa-apa. Nanti Dato Malik dapat mengesan masalah suara yang saya alami. Nanti hancurlah segala perancangan yang saya aturkan. Saya lantas memasuki laluan denai di sebelah kiri sambil menunjukkan isyarat kepada mereka agar mengikuti saya di belakang. Selepas melalui denai tersebut seketika, kami terpaksa menyusuri kawasan belukar dan pokok-pokok cambuk.
Memandangkan hari itu hari bekerja, kemungkinan besar surat yang saya hantar telah dibaca oleh Encik Abu yang berkhidmat sebagai pegawai pemuliharaan hidupan liar di kawasan hutan Bukit Fraser itu. Dalam hati, saya yakin bahawa Encik Abu akan bersiap sedia di dalam hutan dengan pasukannya sambil menunggu ketibaan kami. Saya masih yakin bahawa diri saya tidak akan ditimpa bahaya ataupun ancaman. Saya tidak putus-putus membayangkan perancangan yang saya buat itu sejak pagi lagi. Tekanan dalam hati saya makin berkurang apabila saya membayangkannya setiap kali.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa hati tetap keliru apabila memikirkan kejadian yang bakal berlaku. Saya bernazar kepada Dewa Hutan agar selamatkan diri saya dan anak saya daripada masalah yang dihadapi itu. Saya yakin bahawa Dewa Hutan akan menyelamatkan kami berdua dengan menganggap kami sebagai sebahagian daripada golongan yang bergantung pada sumber alam hutan tersebut.
Ketika berjalan sambil menyusuri kawasan bersemak, kami mendengar bunyi burung ‘Robin’ berekor putih lalu menoleh ke arah utara untuk melihatnya. Burung itu mengeluarkan bunyinya yang halus seolah-olah meniup wisel di hujung bibir. Apabila kepulan kabus bergerak, saya dapat melihat badannya yang melompat-lompat di atas ranting sebatang pokok dengan jelas. Saya yakin bahawa itulah burungnya. Pasangannya mesti berada di situ juga. Namun, bukan mudah untuk mengesannya dalam kegelapan awal pagi itu.
“Burung itu ada dalam koleksi saya,” kata Dato Malik.
Saya terus mencari-cari kelibat burung Si Kuning sambil menyiulkan bunyinya. Namun, saya sedar bahawa bunyinya tidak dapat disiulkan dengan sempurna melalui bibir saya. Kesejukan pada awal pagi itu merimaskan tekak saya. Penyakit barah yang saya alami makin buruk dalam tempoh seminggu itu. Saya menyesal kerana saya tidak mampu lagi untuk menyiul bunyi burung. Saya dapat membayangkan penyakit barah ini umpama seketul buah nanas yang tercekik pada kerongkong dan menyukarkan saya secara berulang kali. Saya tidak tertahan dengan kesakitan yang saya alami seumpama dicucuk sisik ketika hendak menelan air liur. Saya berasa hampa dengan takdir diri saya. Bunyi siul untuk memanggil orang pun tidak mampu saya lakukannya, apatah lagi untuk memanggil burung.
Balu berjalan di hadapan sekali dengan penuh semangat. Maklumlah, dia mahir dengan selok-belok di hutan itu. Saya pernah membawanya ke dalam hutan semenjak kecil lagi untuk melihat burung-burung. Dia tidak pernah jemu untuk melihat burung-burung yang muncul dari kegelapan di dalam hutan itu walaupun pernah melihatnya untuk puluhan kali.
Setelah melangkah beberapa meter, saya berhenti untuk menunjukkan hakisan tanah yang berlaku di hadapan kepada Dato Malik.
“Bukankah kamu mampu memanggil burung ‘Warbler’ itu dari sini?” tanyanya setelah meninjau kedalaman tanah yang terhakis di kawasan cerun itu.
“Tidak boleh,” saya cuma menggelengkan kepala. Memandangkan waktu masih awal pagi, burung Si Kuning mesti akan berada berhampiran di kawasan gunung. Mungkin kelibatnya dapat dilihat di tepi kawasan tasik selepas matahari naik ke puncaknya. Namun, agak mustahil juga untuk menarik perhatian burung itu dengan masalah suara yang saya alami pada kerongkong.
“Benarkah sukar sangat untuk menangkap burung sekecil itu?” tanya Dato Malik dengan penuh hairan sambil menjeling mata kepada pembantunya. Pembantunya pula lantas memahami kehendaknya lalu menyarungkan sarung pada tangan Dato Malik.
Setelah memeriksa keutuhan akar pokok yang berjuntai ke bawah kawasan hakisan itu dengan menarik-nariknya, saya menurun ke bawah. Kedua-dua tangan saya terketar-ketar kerana tidak lagi bermaya seperti dahulu lagi. Selangkah demi selangkah, saya menuruni kawasan yang cerun itu dengan berhati-hati. Balu yang mahir dengan tekniknya tersendiri sudah turun dari kawasan cerun itu dengan berpaut pada seutas akar yang lebih nipis, sebelum saya tiba ke bawah.
Sebenarnya ada jalan lain untuk sampai ke kawasan tersebut. Namun, saya mengikuti jalan cerun itu secara sengaja untuk melambatkan perjalanan kami. Apabila saya tidak mampu menyiul bunyi burung, sudah tentu Dato Malik akan berasa kecewa atau marah terhadap saya. Bagaimanakah saya mampu mendapatkan duit daripada hospital sekiranya beliau menuntut duit yang diberinya kepada saya semula? Sudah tentu beliau akan berasa marah dan menganggap bahawa saya sengaja memperdayakannya semata-mata untuk mendapatkan duit. Saya tahu bahawa Dato Malik juga memiliki sepucuk pistol. Pistol yang lebarnya bersaiz tangan itu pernah saya lihat sebelum itu.
Saya terus berdoa pada Dewa Hutan.
Memandangkan tidak ada kesan tapak kaki di atas permukaan lumpur di sana, saya sedar bahawa pegawai perhilitan dan pasukannya masih belum tiba lagi. Adakah mereka akan serbu ke arah kami setelah perangkap untuk menangkap burung yang kami cari itu habis dipasang? Hati saya mula berdebar-debar setelah memikirkan soalan tersebut. Terdapat banyak mata-mata yang berada di kawasan Bukit Fraser untuk meninjau keselamatan sumber dan hidupan alam yang terdapat di situ. Alangkah bagusnya jika mana-mana daripada mata-mata tersebut terus memerhatikan gerak-geri kami.
Dato Malik menuruni kawasan cerun itu dengan bantuan pembantunya yang berdiri di atas. Pembantunya menghulurkan akar pokok kepada Dato Malik, setelah memeriksa keutuhannya. “Eh, apakah yang menyengat saya ini?” kata Dato Malik ketika bersedia untuk menurun ke bawah.
“Ayah, tebuan mengeremuni lelaki itu untuk menghisap peluhnya,” kata Balu kepada saya setelah melihat gelagat Dato Malik yang menghayun-hayunkan tangannya untuk mengusir tebuan yang mendekatinya. Saya hanya mengusap kepalanya tanpa berkata apa-apa. Dato Malik pula menuruni cerun itu secara gopoh-gapah lalu terjatuh ke atas lantai. Saya berasa kelakar apabila melihat gelagat Dato Malik yang merupakan seorang jutawan ini sanggup bersusah payah semata-mata untuk mendapatkan seekor burung Si Kuning yang kecil itu. Pembantunya pula pandai bergayut seperti seekor monyet; pantas mendarat di bawah dengan hanya melompat sedua langkah sambil berpegang pada akar. Kalau tidak silap, mungkin dia berasal daripada kaum asli yang tinggal di Brunei. Rambutnya yang keriting, kulitnya berwarna sawo matang dan hidungnya yang rata menggambarkannya sebagai seorang yang bengis dan kasar.
Kini kami berada tidak jauh dari lokasi habitat burung Si Kuning yang kami cari. Hati saya mula berfikir-fikir tentang apa yang sepatutnya saya lakukan selepas itu.
“Muthu, kamu kelihatan agak kebingungan. Jangan risau. Tidak ada sesiapa yang akan datang untuk menghalang kita. Mereka semua sudah berkompromi setelah saya memberi apa yang sepatutnya. Kemungkinan besar, sekarang mereka masih leka di bawah selimut setelah berseronok dengan isteri masing-masing akibat minum vodka pada malam tadi,” kata Dato Malik sambil tersenyum sinis.
Saya terperanjat setelah mendengar kata-katanya. Saya tidak sangka bahawa beliau sudah melakukan perancangan lebih awal seumpama itu. Saya telah menulis sepucuk surat layang kepada pegawai pemuliharaan hidupan liar Bukit Fraser untuk membongkarkan muslihat yang dirancang oleh Dato Malik. Sebelum bertolak keluar dengannya, saya sempat masukkan surat itu ke dalam peti surat di rumah pegawai tersebut pada malam sebelumnya. Nampaknya, semua usaha saya gagal membuahkan hasil. Entah bagaimana saya hendak melepaskan diri daripadanya. Kini saya benar-benar menyesal bahawa saya tidak sepatutnya membawa Balu bersama saya. Sekiranya Dato Malik dapat tahu bahawa saya tidak dapat membantunya untuk menangkap burung Si Kuning walaupun setelah menyusur jauh ke dalam hutan itu, sudah tentu beliau tidak akan memaafkan saya. Mungkin pembantunya akan dipinta oleh beliau agar menyerang saya. Tambahan pula, agak gerun juga untuk melihat pembantunya itu yang bertubuh sasa dan memiliki lengan yang keras dan kuat seumpama dahan kayu. Di samping itu, mata saya melihat-lihat juga beg galas yang dibawa bersamanya. Mungkin pistol milik Dato Malik itu disimpan di dalam beg tersebut.
Hanya kaki-kaki yang meneruskan langkah, sementara hati saya buntu dan diselebungi ketakutan. Saya menyesal kerana saya telah memandang rendah pada keupayaan Dato Malik yang mampu membuat apa-apa sahaja demi kemahuannya.
***
Saya bertemu dengan Dato Malik buat kali pertama lebih kurang lapan bulan yang lepas di Bukit Fraser.
Kami bersua dalam suatu pertandingan mencari spesies burung yang dianjurkan oleh organisasi ‘World Wild Fund for Nature’ (WWF). Sudah menjadi lazim kepada saya apabila ada orang baharu yang datang bertemu dengan saya ketika tiap-tiap kali pertandingan tersebut diadakan. Saya dapat meneka tujuan mereka yang mendampingi saya dengan mudah sebaik sahaja melihat senarai nama burung yang dipegang pada tangan mereka.
Dalam pertandingan tersebut, peserta yang dapat melihat seberapa banyak daripada jumlah 175 spesies burung yang tinggal di Bukit Fraser itu akan diumum sebagai pemenang. Peserta juga perlu merakam gambar setiap jenis burung yang dilihatnya sebagai bukti untuk rujukan pihak juri.
Sebenarnya, bukan mudah kepada seseorang peserta untuk mencari setiap spesies burung di sekitar kawasan Bukit Fraser, hanya dengan berpandukan peta yang dibekalkan oleh pihak penganjur. Tambahan pula, amat mustahil bagi seorang peserta baharu untuk mencari burung selebih-lebihnya 20 spesies dalam masa tempoh tiga hari, Namun, perkara tersebut tidak mustahil jika saya berkenan untuk membantu mereka.
“Kamu tanyalah jumlah banyak bayaran yang kamu hendak, hanya dengan satu janji, kamu perlu berada di sisi saya untuk tempoh tiga hari yang seterusnya,” kata Dato Malik secara terus-terang setelah bertemu dengan saya.
Saya telah tertarik hati dengan cara pendekatan dan tawarannya. Antara peserta pertandingan tersebut, ada yang datang meminta pertolongan saya setelah jemu merantau dua tiga hari di kawasan Bukit Fraser itu. Ada juga peserta yang mencari saya untuk mengenali beberapa spesies burung yang tertentu sahaja. Jadi, agak jarang saya lihat orang yang datang membuka tawaran secara terus terang seperti Dato Malik.
Setelah melihat kereta Mercedes-Benz S600 yang dipakainya itu, saya mula mengira-ngira dalam hati saya untuk menyatakan bayaran.
“Lima ribu ringgit,” katanya dengan pantas sebelum saya membuka mulut untuk tawar-menawar. Bayaran yang ditawarkan olehnya itu sepuluh kali ganda daripada bayaran yang saya lazim terima, maka saya terus mengaku seolah-olah bersetuju dengan penuh semangat.
Saya berasa sangat gembira untuk menghabiskan tempoh tiga hari bersama-sama Dato Malik ketika itu. Suasana kondusif dan tempat duduk yang diperbuat daripada kulit berkualiti dalam keretanya itu cukup memberangsangkan saya. Dato Malik menginap di Banglo Chini bersama-sama pembantunya sepanjang tiga hari tersebut. Beliau mengizinkan saya untuk tinggal bersamanya di bilik tetamu yang terletak di belakang banglo itu.
Walaupun menetap di Bukit Fraser sejak lahir, namun itulah kali pertama saya mendapat peluang untuk memasuki kawasan Banglo Chini itu. Terdapat banyak lagi banglo mewah seumpama itu di sekitar kawasan Bukit Fraser. Suatu ketika dahulu, kediaman seumpama itu dibina khasnya untuk golongan penjajah untuk berehat di kawasan bukit itu. Selepas mendapat kemerdekaan, beberapa syarikat korporat telah mengambil alih tugas untuk memelihara kediaman-kediaman tersebut lalu menjadikannya sebagai rumah penginapan.
Pada waktu malam hari pertama itu, pembantu Dato Malik telah datang ke bilik saya untuk menghantar sebuah botol arak yang berjenama tinggi ‘Blue Label’. Pembantunya yang berkulit cerah itu mungkin berasal daripada kaum Murut agaknya. Saya berasa begitu teruja apabila dapat memegang sebuah botol arak yang mahal dengan tangan saya sendiri. Yang paling mengkhusyukkan, kini botol arak itu menjadi milik saya.
Sedangkan saya belum menghabiskan botol itu, sebuah lagi botol arak yang mahal ‘Remy Martin’ dihantar ke bilik saya pada malam seterusnya.
Dalam tempoh tiga hari itu, saya sempat membawa mereka ke bahagian hutan dalam yang terletak di kawasan Bukit Fraser itu. Semuanya berlangsung secara rahsia dan terkawal tanpa diawasi oleh orang lain. Kami memasuki kawasan hutan sebelum waktu subuh dan keluar dari sana setelah matahari terbenam.
Ada peserta lain yang pernah melihat gerak geri kami lalu membuat aduan kepada pihak penganjur. Pernah juga pihak organisasi penganjur menegur tindakan saya yang membantu peserta secara peribadi. Namun, mereka tidak mampu menghalang saya daripada melakukannya.
Sebelum ini, mereka pernah berkompromi dan menasihati saya sebaik yang boleh. Mereka mengeluh bahawa pertolongan yang saya hulurkan kepada segelintir peserta telah mengubah nasib peserta lain yang sepatutnya menjadi pemenang. Pihak organisasi juga sanggup menawarkan wang kepada saya untuk mendapatkan persetujuan agar saya tidak lagi membantu mana-mana peserta. Namun, wang yang ditawarkan oleh mereka itu tidak cukup untuk menampung bayaran sewa rumah saya, apatah lagi dapat menampung segala kehendak saya. Maka, saya tidak akur untuk menerima mana-mana perjanjian mereka.
Tugas saya mudah sahaja.
Hanya dengan melihat pada cara pemakaian peserta yang datang ke pertandingan itu, saya sudah boleh meneka pengalaman yang sedia ada pada diri mereka. Sekiranya peserta yang datang ke sana memakai pakaian yang cerah berseri atau berwarna-warni, maknanya mereka langsung tidak tahu apa-apa tentang burung dan habitatnya.
Mula-mula, saya akan pinta mereka secara tegas untuk memakai pakaian yang pudar warna. Sebaik sahaja mereka menurut kehendak saya, barulah saya akan mula berunding dengan mereka tentang bayaran yang hendak dikenakan. Seterusnya, saya tidak akan membawa peserta untuk mencari burung mengikut turutan nama burung yang diberi dalam senarai. Sekiranya saya berbuat demikian, mereka berpeluang untuk meniru teknik pencarian dan turutan yang saya gunakan pada tahun-tahun seterusnya.
Bukankah perkara itu akan menjejaskan mata pencarian saya?
Jadi, saya sengaja akan membawa mereka berjalan jauh dan merayau-rayau di sana sini untuk melihat burung walaupun tempat itu terletak berhampiran dengan kami. Segala maklumat seperti nama spesies burung, lokasi habitatnya dan masa yang sesuai untuk melihatnya sudah terpahat dalam minda saya mengikut turutan. Namun, saya sengaja akan melepaskan peluang untuk melihat burung tertentu supaya mereka tidak dapat mencatat maklumat berkaitan masa dan lokasinya. Kerja yang sepatutnya disiapkan dalam tempoh sehari akan dilambatkan secara sengaja sehingga memakan masa tiga hari.
Pendek kata, saya mahir memanipulasikan maklumat yang hendak dikumpul oleh mereka mengenai burung yang tinggal di sini. Terdapat juga beberapa pemandu peserta lain yang mampu menunjukkan burung-burung dan habitatnya di sekitar kawasan Fraser itu. Namun, saya memiliki kelebihan yang tidak ada pada mereka yang lain, iaitu saya mampu memanggil burung dengan mengeluarkan bunyi siulan mengikut jenis burung.
Setelah mendengar bunyi siulan saya, burung-burung yang tersembunyi di celah-celah dahan akan tampil menghinggap di atas dahan pokok yang berdekatan. Ketika itu, peserta dapat merakam gambar burung tersebut dengan lebih mudah.
Entah bagaimana Dato Malik dapat mengetauhi tentang kebolehan saya melalui kenalannya. Apabila burung ‘Barbet’ kecil yang datang setelah mendengar bunyi siulan saya, beliau melihatnya sambil bertepuk tangan dengan penuh teruja seperti seorang kanak-kanak sehinggakan lupa untuk merakam gambarnya. Burung itu unik kerana mampu mengeluarkan bunyi ‘ku…ku…ku…’ secara berterusan dengan mengembangkan kulit pada bahagian tengkuk tanpa membuka mulutnya. Apabila saya menyiulkan bunyinya dengan meniup udara dari dasar perut ke tekak, burung itu pun muncul dan berterbangan di hadapan kami.
“Bagaimana…bagaimanakah kamu boleh melakukannya?” tanya Dato Malik dengan penuh hairan.
Beliau bertambah kagum dan hairan apabila melihat pelbagai spesies burung keluar dari tempat persembunyiannya satu demi satu setelah mendengar bunyi siulan saya. Saya mampu mengeluarkan bunyi siulan pada pelbagai aras nada mengikut keperluan; ada kala menyiul bunyi yang nyaring seumpama bunyi desiran ranting pokok ara; ada kala menyiul bunyi yang merdu dari paras dada; ada kala menyiul bunyi yang tajam menggunakan bibir sahaja.
Dato Malik kagum dengan kebolehan saya yang mampu menyiul lebih daripada 30 jenis bunyi burung.
“Ketika saya menyertai pertandingan mencari burung yang diadakan di Thailand pada tahun lepas, saya membawa telefon bimbit yang sudah dimuat naik dengan suara pelbagai spesies burung. Namun, tidak ada burung yang keluar apabila suaranya dimainkan,” kata beliau dengan hampa ketika memuji saya.
Ini bukan kali pertama saya mendengar kata-kata pujian sebegitu. Jujur kata, saya sudah tidak hirau dengan kata-kata pujian sejak kehilangan ayah saya. Saya hanya berniat untuk meningkatkan permintaan terhadap bayaran yang hendak dikenakan; bukannya terhadap kata-kata pujian. Namun, ketika ayah saya masih hidup, beliau langsung tidak berkenan dengan niat saya itu.
Saya sudah belajar cara menyiulkan bunyi-bunyi burung daripada ayah saya sejak kecil lagi. Jika ada hari kelapangan, saya dan ayah saya akan pergi mencari burung dan menghabiskan masa berjam-jam lama untuk melihatnya.
Ayah saya tahu musim-musim penghijrahan burung dari pelbagai pelusuk dunia. Ayah saya pandai meneka ketibaan burung-burung tersebut hanya berpandukan dengan isyarat tertentu yang dibunyikan oleh burung tempatan.
Sebenarnya, semua burung tidak mengeluarkan bunyi yang sama pada setiap masa. Sama ada ketika hendak mencari makanan ataupun ketika hendak mencari pasangan, perbezaan bunyi yang ketara dapat didengar dalam kalangan burung-burung ini. Begitu juga, semua jenis burung ini akan membunyikan suara yang berbeza ketika berada dalam ketakutan ataupun ketika hendak memperdayakan musuhnya.
Lazimnya, kebanyakan daripada spesies burung akan hidup secara berkelompok atas dasar keselamatan. Namun, aneh juga apabila saya mendengar bahawa ada kala burung-burung yang tinggal secara berpasangan akan bertenggek pada dahan-dahan yang berbeza dan sengaja membunyikan suara yang berbeza-beza untuk mengelirukan musuhnya. Saya juga pernah melihat burung jantan dan burung betina yang menjaga telur-telurnya secara bergilir-gilir. Setelah telur-telur tersebut menetas, burung jantan dan burung betina akan keluar satu demi satu untuk mencari makanan.
Oleh sebab gagal dalam peperiksaan SPM, ayah saya telah mendapatkan saya kerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah yang berhampiran. Maka, dapatlah saya meluangkan masa yang lebih banyak di sekitar kawasan hutan yang berhampiran dengan sekolah tersebut.
Dahulu, ayah saya cuma bekerja sebagai seorang kerani di pejabat pos yang terletak di Bukit Fraser. Namun, ayah saya mula disanjung oleh penduduk di situ apabila beliau berpeluang untuk mengiringi Raja Philips ketika masuk ke dalam hutan untuk melihat burung. Raja Philips merupakan suami kepada Ratu Elizebeth kedua yang mengunjungi Malaysia ketika itu untuk menyaksikan Sukan Komenwel. Beliau juga seorang penggemar burung. Apabila beliau dapat tahu kebolehan ayah saya untuk memanggil burung, maka beliau membawa ayah saya bersama-samanya untuk mengelilingi Bukit Fraser sambil melihat pelbagai spesies burung dari jarak yang dekat. Serta-merta pada keesokan hari, temu ramah ayah saya telah disiarkan dalam saluran ‘British Broadcast Centre’ (BBC). Nama ayah saya menjadi buah mulut seluruh penduduk sekitar kawasan Bukit Fraser itu.
Namun, saya berasa kecewa dengannya kerana dalam temu ramah tersebut, ayah saya asyik menyatakan bahawa segala detik-detik yang membanggakan dirinya itu berlaku semata-mata atas keberkatan Dewa Hutan.
Ayah saya tidak pernah memulakan apa-apa tugas tanpa berdoa kepada Dewa Hutan. Tambahan pula, beliau akan berpuasa pada setiap hari Isnin dari pagi hingga petang sebagai tanda bernazar kepada Dewa Hutan tersebut.
“Muthu, adakah kamu menganggap bahawa burung-burung ini mendekati kita hanya kerana kita memanggilnya? Jawapannya, tidak. Burung-burung ini bijak kerana mampu terbang sejauh ribuan kilometer untuk tiba ke sini tanpa tersasar di mana-mana. Ketika pulang, semuanya akan bertemu di awan dan seterusnya terbang secara berkelompok. Adakah burung yang sebijak itu tidak sedar perbezaan yang terdapat antara siulan burung dengan siulan manusia? Burung-burung itu tahu bahawa kita yang tinggal di bukit ini telah diberkati oleh Dewa Hutan. Sebab itulah burung-burung tersebut secara rela datang mendekati kita apabila terdengar bunyi siulan. Kehadiran burung-burung itu menunjukkan alamat bahawa datangnya Dewa Hutan untuk memberkati kita,” jelas ayah kepada saya. Bagi dirinya, burung-burung tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada kuasa alam yang terdapat di kawasan itu.
“Sekiranya ayah terlalu setia pada Dewa Hutan, mengapa pula ayah tidak membina kuil untuk-Nya?” tertanya juga saya kepada ayah ketika itu.
“Hutan yang terbentang luas inilah sebenarnya dewa yang saya berdoa itu. Jadi, tak perlulah kita membina kuil ataupun rumah ibadat untuk-Nya sedangkan kuasa-Nya dapat dirasai di sekililing kita. Jika kamu benar-benar menaruh harapan pada-Nya, pasti kamu dapat merasai keberkatan-Nya,” katanya lagi dengan penuh keyakinan.
Kepercayaan terhadap Dewa Hutan yang wujud dalam hati ayah saya itu sebenarnya disemai oleh ayahnya pula, iaitu datuk saya. Jadi, tidak hairanlah beliau mengikuti jejak langkah ayahnya untuk berdoa dan menyampaikan rasa kesyukuran terhadap Dewa Hutan itu sejak kecil lagi. Setahu saya, ayah saya hanya memulakan tugasnya pada setiap pagi setelah berdoa kepada Dewa Hutan di situ sehinggalah hari terakhir sebelum dia menghembuskan nafas akhirnya.
Kehilangan ayah dalam hidup saya itu membuatkan keadaan saya ibarat jatuh ditimpa tangga lagi. Sudahlah kehidupan saya menjadi hambar setelah isteri saya melarikan diri daripada saya, kini ditambah dengan kehilangan ayah pula. Dalam keadaan tersebut, agak bergelut juga saya untuk membesarkan Balu.
Ketika itu, saya pernah menyesal juga apabila memikirkan peristiwa yang menjadi punca kepada isteri saya untuk meninggalkan saya. Isteri saya mendesak saya untuk berpindah ke pekan Raub, bekerja di sebuah kilang dan hidup secara serba selesa berbanding dengan kesempitan hidup yang dialami sekarang. Apabila saya enggan menurut kehendaknya, maka dia meninggalkan saya dengan Balu bersendirian.
Kadang kala, terlintas juga dalam fikiran untuk memujuk isteri saya dan berjanji agar menuruti permintaannya, namun saya mati akal apabila terfikir di manakah saya hendak mencarinya lagi. Makin hari makin pudar niat saya untuk mencarinya semula. Saya sedar bahawa saya tidak mampu berpindah ke mana-mana dengan meninggalkan cuaca sejuk, kabus pagi dan burung-burung yang terdapat di situ.
Mungkin isteri saya juga tahu mengenainya terlebih dahulu. Maklumlah, kaum wanita ini mampu mengetahui isi hati kaum lelaki walaupun tidak diberitahu secara terus terang. Lambat-laun, barulah saya tersedar bahawa sifat kaum wanita ini menyerupai sifat burung yang berpura-pura seperti tidak tahu apa-apa, pada hal mereka meneliti segala-galanya.
Pada tahun tersebut, Dato Malik diumumkan sebagai pemenang yang mengumpulkan gambar burung yang paling banyak berbanding peserta-peserta lain. Kalau tidak silap, 42 jenis gambar burung jumlahnya. Kemenangannya itu memang menjadi isu yang dipertikaikan oleh pelbagai pihak. Ada juga peserta yang datang dari luar negara melepaskan geram kepada pihak penganjur. Namun, Dato Malik tidak hirau dengan segala pertikaian yang ditujukan kepadanya.
Setelah menyerahkan duit ganjaran yang dimenanginya kepada saya, dia terus meninggalkan tempat itu hanya dengan membawa piala yang diperbuat daripada kristal. Agak kelakar juga untuk melihat perbuatannya itu. Entah bagaimana saya hendak memberi justifikasi terhadap keinginan seorang jutawan sepertinya yang sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan sebuah piala itu.
Lebih kurang sebulan kemudian, saya menerima khabar daripada beberapa orang asli bahawa mereka telah menemui satu mayat manusia dalam keadaan reput di sebuah gaung berhampiran hutan di Bukit Fraser. Saya turut mengikuti mereka ke lokasi itu untuk melihat keadaan mayat tersebut. Apabila melihat pakaian mayat tersebut, saya terkejut kerana dia merupakan orang yang bekerja sebagai pembantu kepada Dato Malik ketika beliau berkunjung ke sini pada bulan lalu.
Saya tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa. Jika saya berbuat demikian, nanti mereka akan menganggap bahawa saya mempunyai hubungan rapat dengan Dato Malik pula. Saya berasa takut kerana saya bakal menghadapi sebarang masalah nanti. Secara umumnya, orang asli yang tinggal di sekitar kawasan ini dinasihatkan untuk melaporkan kepada pihak Balai Polis Bukit Fraser jika menemui mayat.
Namun, golongan asli yang tinggal di sini tidak pernah mengendahkan arahan tersebut. Bagi mereka, kejadian bunuh diri dan kemalangan yang meragut nyawa sudah menjadi perkara biasa yang sering berlaku di gaung-gaung yang berbahaya di sekitar kawasan Bukit Fraser itu. Jadi, kami secara sebulat suara memutus kata untuk menyembunyikan kejadian tersebut daripada pengetahuan pihak polis.
Setelah saya disahkan menghidapi penyakit barah, saya sudah lupa tentang Dato Malik sepenuhnya. Bukan tentang beliau sahaja, malah hampir semua perkara yang ada di sekeliling telah saya lupa kecuali anak saya dan penyakit yang saya hidapi. Ketika itulah datang Dato Malik mencari saya sekali lagi. Kali ini beliau datang dengan menaiki kereta ‘Rolls Royce’. Rambutnya diwarnakan menjadi kelabu, misainya pula sudah dicukur; beliau kelihatan lebih muda kali ini.
Beliau juga diiringi oleh pembantu baharu.
Memandangkan masa itu bukan musim pertandingan, maka saya menerima kunjungannya dengan penuh kejutan. Seperti yang saya katakan dahulu, Dato Malik merupakan orang yang suka bercakap secara terus terang. Setelah bertanya khabar, beliau keluarkan kamera digitalnya lalu bertanya, “Apakah nama burung serupa ‘angry bird’ ini?”.
“Burung ini ‘Yellow-rumped Warbler’ namanya,” balas saya kepadanya.
“Adakah kamu masih mengingati apa yang kamu beritahu mengenainya?” tanyanya lagi.
Saya dapat mengenangnya semula. Burung jenis itu berhijrah dari negara Korea pada bulan September tahun lepas. Ada enam ekor burung lagi yang sama spesiesnya di sini. Tiga daripadanya ialah burung betina. Apabila burung-burung tersebut pulang pada bulan Disember lalu, satu daripadanya sudah tinggal di sini. Perkara ini biasa berlaku dalam kalangan burung. Burung-burung yang tidak pulang pada musim ini akan menunggu untuk pulang bersama kumpulannya yang datang pada tahun hadapan.
Ada kala burung tersebut tinggal di tempat yang dihijrah dengan pasangannya. Kening yang berbentuk tajam dan berwarna putih yang dimiliki oleh burung itu menawan hati saya. Saya memanggilnya sebagai burung Si Kuning. Dalam masa yang singkat semenjak mengenali spesies itu, saya sudahpun berlatih untuk menyiulkan bunyinya.
Burung Si Kuning bukan seperti burung yang lain. Suara yang dikeluarkannya itu mempunyai kadar getaran yang tertentu. Burung itu mampu menyuarakan bunyi dengan pelbagai nada pada masa yang sama. Orang yang tidak tahu rahsia ini tentu akan terpedaya bahawa terdapat burung-burung berlainan spesies di tempat itu. Ada juga orang yang akan terpedaya bahawa dua ekor burung saling berbunyi di tempat itu. Jadi, aspek getaran pada suara amat penting untuk membunyikan suara burung Si Kuning itu. Saya sudah terlatih dengan kemahiran itu sejak kecil lagi.
Dato Malik berasa sangat ghairah apabila dapat melihat burung Si Kuning yang berhijrah dari luar negara itu pada jarak yang begitu dekat. Sebenarnya saya juga tidak sangka bahawa burung Si Kuning itu akan menghampiri kami pada jarak tersebut. Badannya kelihatan kuning berseri. Kepalanya berwarna hitam pekat; kepaknya pula berwarna kelabu. Pelepah dan keningnya pula dihiasi dengan garisan-garisan berwarna putih. Dengan paruhnya yang kecil, burung Si Kuning itu mula mengeluarkan bunyi dengan pelbagai nada sambil memerhatikan kami.
Dato Malik membesarkan imej burung yang terpapar pada skrin kamera digitalnya.
“Warna burung itu menyerupai warna bendera negara kami bukan?” tanyanya pada saya.
“Ya, sama,” balas saya kepadanya setelah mengimbas kembali reka bentuk bendera negara Brunei dalam fikiran sejenak.
“Saya mahu burung itu,” katanya.
Saya tidak faham dengan apa yang dikatakannya.
“Dato mahu merakam gambar burung itu?” tanya lagi saya kepadanya.
“Saya mahu burung itu dengan hidup. Saya hendak membawanya ke negara saya,” balasnya pula.
“Dato, burung itu spesies burung yang berhijrah dari negara lain. Salah di sisi undang-undang jika dato hendak menangkapnya,” saya terangkan kepadanya secara berdebar-debar. Kerongkong saya mula sakit apabila saya bercakap dengan suara yang terketar-ketar. Kata-kata akhir yang saya sebut tadi hanya keluar sebagai angin, memandangkan suara saya sudah pecah.
“Sabar dahulu,” kata Dato Malik sambil mengambil telefon bimbitnya lalu menunjukkan suatu rakaman video. Sebuah rumah mewah yang besar dan sebuah taman alam buatan manusia yang dipenuhi dengan sangkar-sangkar besi dapat dilihat dalam video tersebut. Setiap sangkar tersebut dipenuhi dengan pelbagai spesies burung. Saya tidak mampu mengenali jenisnya setiap satu menerusi video tersebut yang dipaparkan pada skrin yang kecil. Namun, bunyi kicauan burung-burung yang dikurung dalam sangkar itu agak ganjil dan gerun untuk didengar. Cuma satu sahaja yang saya faham apabila melihat rakaman video itu; burung-burung tersebut mengalami kesengsaraan yang tidak terhingga.
“Ini taman burung milik saya sendiri,” kata Dato Malik sambil senyum sinis.
“Oh, begitu rupanya!” balas saya kepadanya.
“Dalam taman itu terdapat pelbagai spesies burung yang jarang dapat dilihat. Jadi saya berniat untuk menambahkan burung ‘Warbler’ ini dalam koleksi saya. Saya akan berasa bangga jika mempunyai seekor burung yang menyerupai warna-warna bendera negara kami. Niat saya akan tercapai jika kamu membantu saya,” kata Dato Malik.
Badan saya mula berpeluh walaupun dalam sejuk pagi itu. Menunaikan hasratnya itu bukan mudah seperti mana yang dikatakannya. Burung-burung yang tinggal di kawasan Fraser ini dijaga dan dipantau oleh beberapa orang pegawai yang dilantik secara khas oleh organisasi WWF.
Tujuan sebenar organisasi tersebut menganjurkan pertandingan mengenali burung adalah untuk mengenal pasti spesies burung yang baru berkunjung ke bukit itu dan juga untuk memastikan burung-burung sedia ada di situ masih hidup ataupun tidak, berdasarkan pada tag yang dipasang pada kakinya.
Ramai individu yang membuat cubaan untuk menangkap dan memburu burung-burung di situ pernah diberkas oleh pihak berkuasa. Hukuman yang dijatuhkan juga agak berat jika dibuktikan bahawa mereka bersalah. Bukan saya risau tentang hukuman itu, cuma saya risau kerana tidak dapat menyiulkan bunyi burung akibat menghidapi penyakit barah kerongkong sejak empat bulan yang lalu.
Saya berasa teragak-agak untuk memberitahunya.
“Dulu, saya pernah bertugas sebagai pengawal peribadi kepada Putera Jeffery. Adakah kamu pernah mendengar tentangnya?” tanya Dato Malik.
Saya menggelengkan kepala sebagai tanda tidak tahu mengenainya.
“Baginda ialah Putera Diraja Negara Brunei. Mengikut sejarah, baginda Putera Jeffery merupakan orang terakhir yang memiliki ‘seraglio’, iaitu rumah gundik yang paling mewah di dunia. Gadis-gadis tercantik dari pelbagai negara di dunia ini pernah ditempatkan di rumah itu. Baginda mempunyai caranya tersendiri untuk memilih gadis-gadis yang tercantik. Mula-mula, gadis-gadis yang disenarai pendek akan menerima panggilan melalui ejen masing-masing. Gadis-gadis tersebut akan diminta untuk menghantar gambar bogel mereka untuk dipilih oleh putera. Jika baginda berkenan,barulah gadis-gadis yang dipilih akan dibawa ke rumah itu. Mereka akan ditawarkan dengan kekayaan yang banyak sehingga tidak perlu untuk bekerja lagi selepas itu,” katanya secara panjang lebar.
Sedang leka saya mendengar keterangan Dato Malik itu, Balu datang ke luar rumah untuk melihat kereta ‘Rolls Royce’ itu dengan penuh teruja.
“Tahukah kamu mengapa Putera Jeffrey memiliki minat seumpama itu?” tanya lagi Dato Malik.
Saya segera meminta Balu masuk ke dalam rumah. Saya tidak mahu dia terdengar isi perbualan antara saya dengan Dato Malik.
“Ketika itu, baginda juga memangku jawatan sebagai menteri kewangan; memiliki kuasa autonomi yang tertinggi dalam tangannya. Namun, kejelitaan yang dimiliki oleh gadis-gadis yang cantik sering mengusik keangkuhannya. Jadi baginda mengambil keputusan untuk mengatasinya. Mula-mula, baginda melakukannya hanya untuk keseronokan semata-mata. Lama-kelamaan, bilangan gadis yang dimilikinya itu kian bertambah sehinggalah membina ‘seraglio’ yang mewah itu.”
Setelah habis berkata, Dato Malik mengeluarkan sebatang rokok daripada koceknya; pembantunya pula menyalakan rokok itu.
“Saya pernah membuat banyak pembunuhan sepanjang tempoh bekerja sebagai pengawal peribadi Putera Jeffrey. Maklumlah, saya bertanggungjawab untuk mengatasi segala musibah yang boleh menjadi ancaman kepada baginda,” katanya lagi sambil melepaskan asap rokoknya.
Saya berdiri kaku tanpa berkata apa-apa.
“Ketika saya mencari benda yang lebih cantik daripada kaum wanita, barulah saya mula mengenali burung-burung. Berbanding dengan gadis-gadis yang cantik, burung-burung pula lagi cantik, terutamanya burung jantan. Burung jantan memiliki keunikan dan gaya tersendiri untuk memikat burung betina. Jujur kata, spesies burung merupakan ciptaan Tuhan yang benar-benar mengindahkan bumi ini. Kecantikan yang dimiliki oleh seekor burung mampu menyebabkan semua lapisan manusia mahupun muda atau tua berasa cemburu terhadapnya. Mulai hari itu, saya mula mengumpulkan pelbagai spesies burung untuk dipelihara. Saya hilang minat untuk berasmara dengan mana-mana gadis semenjak itu juga. Saya juga sudah bercerai dengan isteri saya.”
Entah apa penjelasan yang patut saya beri kepada Dato Malik. Saya masih buntu memikirkannya.
“Nah, ambil duit ini!” saya terperanjat apabila Dato Malik menghulurkan duit RM10 ribu kepada saya.
“Ini jumlah duit perbelanjaan yang saya perlukan jika saya hendak ke Korea untuk mendapatkan burung itu. Saya bagi pada kamu. Jikalau kamu berjaya dapatkan burung itu untuk saya, maka saya akan menambahkan lagi ganjaran kamu nanti,” katanya.
Saya tidak dapat menafikan tawarannya. Ketika itu, memang saya bergelut untuk mengumpul duit bagi membiayai kos rawatan pembedahan penyakit barah yang saya hidapi. Tiap-tiap hari hati saya merintih apabila memikirkan nasib yang bakal menimpa Balu jika saya terpaksa meninggalkannya.
Terlintas juga dalam hati saya untuk memberitahunya perkara sebenar kepada Dato Malik bahawa saya tidak dapat membunyikan suara burung lagi. Namun, duit yang ada di atas tangan saya itu terus membisukan saya. Alangkah beratnya jumlah wang tunai yang bernilai 10 ribu itu? Saya tidak dapat berjalan sambil memegang pada tangan jumlah duit yang seberat itu.
Saya mula melangkah dengan perlahan-lahan. Dalam hati, saya berharap agar beliau meninggalkan tempat itu dengankadar segera yang boleh. Apabila kereta yang dinaiki oleh beliau mula beredar, saya menatapnya dengan bergenang air mata.
***
“Inikah tempatnya?” tanya Dato Malik.
“Ya,” saya mengangguk.
“Ya, inilah tempatnya. Saya masih ingat lagi,” katanya lalu menunjukkan isyarat kepada pembantunya.
Pembantunya pula segera memanjat sebatang pokok yang terdapat di situ sambil memikul beg galasnya, lalu memasang perangkap yang diperbuat daripada jala. Saya hanya memerhatikan kerja yang dilakukannya tanpa berbuat apa. Jala yang dipasang sebagai perangkap itu terlalu halus buatannya; hanya dapat dilihat apabila merenungnya dengan tajam.
“Pembantu saya ini memang mahir menangkap burung menggunakan jala sebagai perangkap. Dia orang keturunan Dusun,” kata Dato Malik.
Memang betul katanya. Pembantunya itu memasang perangkap dengan cekap; jari-jemarinya bekerja pantas seperti seekor labah-labah. Siapa yang tahu, jala yang digunakannya itu juga mungkin disirat olehnya sendiri. Saya berasa kagum melihat kecekapan dan kepantasannya. Jari-jari kakinya yang panjang juga memudahkannya untuk berpaut kuat pada kulit batang pokok. Dia dapat melompat ke bawah dan memanjat ke atas pokok semula dengan mudah. Sambil memasang perangkap, dia menoleh ke arah saya sedua kali. Namun, saya elakkan diri daripada saling memandang.
“Pernahkah kamu bertemu dengan pembantu lama saya di sini semula?” soalan yang ditanya oleh Dato Malik itu membuatkan saya terperanjat lagi. Beliau senyum sinis setelah bertanya soalan itu.
“Dia berkata bahawa dia juga berhasrat untuk memiliki taman burung sama seperti saya. Jadi saya membenarkannya pergi ke kawasan gunung untuk menangkap burung. Adakah kamu melihatnya di mana-mana?” tanyanya lagi.
Saya terus membisusahaja. Saya mula berasa takut melihat sifatnya yang boleh menyatakan kesalahan yang dilakukannya dengan begitu tenang. Saya mengusap kepala Balu yang leka melihat perangkap yang sedang dipasang oleh pembantu Dato Malik itu.
Pembantu itu sudah pun memasang perangkap yang berbentuk trapezium terbuka. Jala yang dipasang padanya hanya dapat dilihat apabila merenungnya dengan tajam.
“Muthu, usah kamu bimbang. Saya hanya berhasrat untuk membina taman alam yang mewah, khususnya untuk burung-burung. Burung-burung dalam koleksi saya itu akan hidup secara riang di sana; di bawah jagaan saya,” kata Dato Malik lagi.
Pembantu itu menghampiri Dato Malik lalu menundukkan badannya sebagai tanda bahawa dia sudah siap memasang perangkap. Ketika itu, saya pula mendongak ke atas untuk melihat langit. Entah mengapa saya berbuat begitu, saya tidak dapat memikirkan sebabnya. Mungkin hati saya mencari-cari kuasa yang muncul dari langit itu untuk menyelamatkan saya. Kabus yang menyelebungi kawasan itu mula berkurangan apabila matahari makin terbit. Suasana kehijauan hutan dapat dilihat dengan lebih jelas.
“Kini kamu boleh memanggil burung ‘Warbler’ itu, Muthu,” pinta Dato Malik lalu beredar dari sana untuk bersembunyi di belakang sebatang pokok. Saya dan Balu berdiri di tengah kawasan hutan yang dikelilingi dengan pokok-pokok.
“Ayah hendak menangkap burung Si Kuning?” tanya Balu. Saya tidak menjawab soalannya. Dia seolah-olah faham situasi genting yang sedang berlaku itu. Alangkah bagusnya jika saya juga berada dalam keadaannya itu; tidak perlu merunsingkan fikiran sejak pagi tadi.
Saya membayangkan seolah-olah pokok di sekeliling saya ditumbuhi kaki dan bergerak menghampiri saya. Saya menutup mata dan mula tumpukan perhatian.
“Saya boleh…Saya mampu melakukannya…,” kata dalam hati saya secara berulang kali. Setelah membetulkan suara, saya menarik nafas panjang lalu meniup melalui bibir. Bunyi burung yang bernada rendah kedengaran melalui angin yang ditiup itu.
Balu melihat saya dengan aneh sambil meninggikan keningnya. Saya berasa segan untuk menoleh ke arahnya ketika itu.
“Janganlah, ayah. Jangan panggil burung itu.”
Saya menenangkan hati lalu mencuba untuk membunyikan suara Si Kuning sekali lagi. Kali ini saya gagal melakukannya; hanya angin sahaja keluar apabila meniup.
Kaki-kaki saya mula menggeletar. Terlintas dalam fikiran saya bahawa Dato Malik sudah bersedia dengan pistolnya dari arah belakang dan sedang menyasarkan kepala saya untuk ditembak. Mungkin beliau akan tersedar jika saya menoleh ke belakang. Anggota badan saya yang sudah mula menggigil itu akan membuktikannya bahawa saya tidak mampu untuk memanggil burung Si Kuning itu.
Saya mencuba secara berulang kali. Namun, fokus saya makin tersasar. Kerongkong mula berasa sakit. Saya sedar bahawa saya gagal untuk menyiul bunyi burung walaupun pada nada yang rendah. Kegagalan itu menambahkan keresahan saya lagi. Saya tidak lagi berasa tenang untuk meniup bunyi itu. Saya mula meniup bunyi itu dengan teknik-teknik lain, gara-gara boleh menghasilkan apa-apa bunyi untuk memanggil burung itu. Kerongkong saya bertambah sakit. Otot-otot di bahagian tekak saya berasa pedih ibarat disapu garam. Saya mula merasai kesakitan yang berbeza ketika hendak menarik nafas dan juga ketika menghembus nafas.
“Kasihan untuk melihat ayah,” kata Balu. Saya tidak berkata apa-apa.
“Apa terjadi?” tanya Dato Malik juga. Saya tidak menjawabnya juga.
Saya terus mencuba. Dalam pada itu, bunyi unik burung Si Kuning dapat saya siulkan secara tidak disangka. Saya membuka mata saya. Adakah ini benar? Adakah bunyi yang saya terdengar tadi benar-benar dibunyikan? Apabila mendengar bunyi siulan balas, barulah saya menoleh ke arah muka Balu. Matanya mula melihat dahan di atas pokok itu dengan penuh teruja. Dia tidak menggerak-gerakkan matanya lagi.
Saya melontarkan pandangan saya secara tajam ke arah itu. Si Kuning bertenggek di sana.
Saya tidak mempercayai mata saya sendiri. Bagaimanakah itu berlaku? Bibir saya mula menggigil apabila saya hendak meniup bunyinya sekali lagi. Balu pula memegang tangan saya dengan sekuat yang boleh. Saya dapat meresai calaran kukunya.
Si Kuning itu bertenggek sambil menggerak-gerakkan kepalanya. Burung itu membunyikan suaranya pada nada yang berlainan seolah-olah berlakunya perbualan antara lebih daripada satu jenis burung. Apabila berterbang ketika hendak mendekati saya, Si Kuning tersangkut pada perangkap yang dipasang.
Bunyi Dato Malik yang bertepuk tangan dengan penuh riang dapat didengar dari arah belakang. Saya pula hanya melihat Si Kuning yang meronta-ronta di dalam perangkap itu dengan penuh sayu. Beberapa pelepah kuningnya berguguran ke bawah akibat mengepak-ngepak untuk melepaskan diri daripada perangkap itu.
Dato Malik memegang bahu saya dari arah belakang lalu berkata, “Kamu ini memang hebat, Muthu. Kamu berjaya memanggilnya dengan bunyi yang bernada rendah sahaja. Saya masih tidak dapat mempercayainya.”
Pembantu Dato Malik terus mencapai perangkap yang dipasangnya itu. Dia mengeluarkan Si Kuning daripada jala itu lalu memasukkannya ke dalam sebuah sangkar kecil yang diperbuat daripada buluh. Burung Si Kuning itu tidak putus-putus berkicau sambil memandang ke arah saya. Sehingga kini, saya tidak pernah mendengar bunyi rintihan seumpama itu.
Hari itu pertama kali saya mendengar bunyi rintihan seekor burung yang begitu berbeza.
Dato Malik terus menghulurkan lagi wang sebanyak RM10 ribu kepada saya.
“Nah, simpan duit ini! Jangan kamu berdiri di sini lagi. Tempoh masa yang saya mohon daripada pihak berkuasa sudah hampir tamat. Kamu beredar dari sini sekarang. Saya akan menguruskan yang selebihnya.”
Saya tidak dapat melangkah dari situ. Mata saya makin kabur. Jantung yang berdegup di dalam itu mula kedengaran dengan nyaring seumpama gelombang bunyi yang memecahkan kesunyian kawasan hutan itu. Saya terus jatuh pengsan apabila tersedar bahawa sinaran keemasan yang dilihat di antara celah-celah ranting pokok itu bukan milik pancaran fajar yang menyinsing.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.