Sepasang mata memandang tajam ke arahku.
Aku tidak dapat bergerak. Tidak boleh ke sana. Tidak boleh ke sini.
Aku mula berasa semacam. Takut dan kecut perut. Kalaulah sesuatu berlaku, bagaimana aku hendak berlari dan menyelamatkan diri? Bukan mudah. Aku perlu merancang strategi.
Mata itu terus memandang ke arahku. Hatiku berdebar-debar. Jantung bagai hendak tercabut.
Tiba-tiba, kedengaran mangga pintu dibuka. Diikuti dengan bunyi dia menolak jeriji pintu. Sudah balik rasanya. Baik aku duduk diam-diam seperti biasa.
Sudah disuruh jangan ke sana dan ke sini, tapi masih berdegil.
Ada sebiji bola dan beberapa beg plastik di tangannya. Mungkin dia pergi membeli-belah. Banyak juga barang yang dibeli.
Aku terdengar suara. Suara yang jarang kudengar. Kawan baharu, rasanya.
“Awak nak minum? Saya boleh buatkan teh atau kopi.”
“Cantik dan kemas rumah awak. Saya nak air suam sahaja.”
Sepasang mata yang tadi asyik memandang aku, sudah hilang dari pandangan.
Suasana sunyi seketika. Aku diberi bijirin, dan air di dalam bekas ditukar. Selepas itu, dia bergegas keluar bersama kawan. Mata tadi muncul semula!
Pandangannya sangat tajam. Aku gerun. Degupan jantung semakin kencang. Perutku kecut. Rupa-rupanya, selak tingkap terbuka.
Aku berlari ke sana dan ke sini. Dia mengejar. Aku cuba terbang. Berjaya!
Gelas pecah di atas meja berdekatan. Berkecai.
Kepalaku terhantuk pada tingkap dan aku jatuh terkulai. Sepasang mata tajam terus memperhatikan aku. Sebelum pengsan, aku tidak pasti sama ada ia menghampiri aku atau bergerak meninggalkan aku.
Gambar ehsan Hannah Troupe di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.