Kalau Tok Mak masih ada, pasti beliau berkata dalam loghat utara, “Apa hang ni, waktu Maghrib keluaq ambik gambaq. Isy! Pelik sungguh.”
Tok Mak sudah tidak ada. Apa yang tinggal cuma suara beliau yang masih terngiang-ngiang di telinga. Kata-kata yang membuatkan aku teragak-agak untuk mengambil foto pada lewat petang begini.
Isy! Dilema antara pesan orang tua dan momen fotografi yang dikenali sebagai blue light disebabkan oleh peralihan siang ke malam.
Tergerak hati mengajak suami ke ibu kota dengan membawa anak-anak untuk melihat suasana Kuala Lumpur pada waktu senja. Selama terperuk di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka cukup cemerlang membawa diri. Tidak ada sekelumit rungutan kerana kebosanan.
Berbekalkan kamera biasa dan dua botol air mineral, kami berlima berjalan santai menelusuri lorong-lorong suram yang bermula dari Kasturi Walk bersebelahan Pasar Seni.
Destinasi kami ialah Masjid Jamek Kuala Lumpur. Aku mahu anak-anak menyaksikan keindahan bangunan bersejarah itu dengan mata kepala mereka sendiri.
Ketika sang mentari semakin ditelan bumi, landskap masjid tua yang terletak di antara pertemuan dua sungai itu bertambah dramatik kerana dikepung asap yang memutih dengan limpahan cahaya lampu kebiru-biruan.
Aku tercenung memikirkan tentang kehidupan. Uban yang memutih di kepala setia mengingatkan bahawa aku juga sedang menuju senja. Senja bukan noktah. Andai sisa nyawa terus terisi makna, senja adalah transisi indah menuju malam gemilang
dihiasi bulan bintang.
Aku dan Kuala Lumpur pada waktu senja, hampir serupa; berkemilau cahaya.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.