Hari panas terik seperti biasa. Kemilau cahaya mencucuk mata. Haba meruap dan debu berterbangan dihembus angin. Di dalam sebuah kelas sekolah rendah, Darren ralit merenung ke luar kelas. Melalui celahan tingkap dia melihat jalan raya di sebelah sekolahnya itu sibuk dengan kereta dan motosikal yang lalu lalang dan kelibat manusia yang melintas sambil mengelek buku atau menggalas beg. Di bahu jalan, gerombolan pelajar dari kampus universiti berhampiran mengerumuni sebiji kereta sorong.
Kereta sorong itu menjual cendol yang sangat sedap pada harga seringgit semangkuk. Mangkuknya berwarna oren dan dari jauh kelihatan seperti sebiji mentol lampu yang menyala. Darren melingas matanya memerhati cekatan tangan Pak Selva yang sibuk memutar skru mesin pengisar ketulan ais, mencedoknya ke dalam mangkuk, dibubuh cendol, kacang merah, sagu, gula merah dan disenduknya santan yang likat ke dalam mangkuknya. Darren menelan liur. Tekaknya terasa kering dan haus. Sudah berapa lama dia tak merasa cendol Pak Cik Selva. Sejak dia masuk darjah enam dan jadual kelas bertukar jadual anjal, dia sering lewat pulang dan terlepas. Cendol Pak Cik Selva itu sangat laku. Semua orang sukakannya dan jika lambat memang tak dapatlah merasanya. Cendolnya lain. Santannya berlemak, air gula merahnya pekat dan cendol hijaunya itu dibikin sendiri. Bukan seperti kebanyakan penjual cendol yang menggunakan cendol buatan kilang yang mana teksturnya keras dan rasanya kosong. Darren menelan liur melihat sekawanan pelajar yang menyudu cendol ke mulut. Dia geram kerana sudah lama tidak merasa cendol itu.
Darren terasa rambutnya ditarik. Dia berpaling ke kiri. Azim buat muka tak tahu dan pandang ke arah bukunya. Kali ini rambutnya ditarik lagi. Dia berpaling ke kanan dan Badar memandang ke depan sambil bersiul. Darren mengetap bibirnya. Memang celaka kerana dia duduk di tengah-tengah antara Badar dan Azim. Dua budak itu bukan saja pengacau malah juga sering menghambur kata-kata kesat berunsur perkauman. Mentang-mentanglah dia satu-satunya pelajar Cina di dalam kelas itu. Badar dan Azim juga suka mencarut dan Darren juga membalasnya dengan carutan. Dia cukup pasti mereka berdua itu juga menonton banyak filem Seth Rogan.
Kawan sekelasnya yang paling rapat ialah Rafik, seorang nerd yang berkacamata sepertinya juga. Seorang lagi ialah Syuhada, budak perempuan berambut lurus yang sangat cantik. Darren sangat suka tatkala Syuhada membuka tudungnya dan tersenyum manis persis model jelita yang dikaguminya, Amber Chia. Tetapi malangnya Syuhada jarang membuka tudung. Dengan mereka berdua inilah dia kerap menghabiskan masa sewaktu rehat atau ke perpustakaan.
“Kelas dismissed!” Laung Cikgu Nurani. Semua pelajar seperti terkena renjatan elektrik dengan pantas berkemas.
“Jangan lupa, siapkan homework yang saya bagi.” Laung Cikgu Nurani lagi untuk mengingatkan pelajarnya.
Ya, inilah masanya. Aku takkan terlepas lagi cendol itu. Bisik Darren. Sekian lama dia mengidamkannya dan dia mahu juga cendol itu hari ini. Tanpa menunggu Rafik yang selalunya lembap dan Syuhada yang tidak hadir hari ini, Darren terus meluru keluar kelas dan berlari sekuat hati. Apabila dia sampai ke kereta sorong Pak Selva sedutan nafasnya sudah tercungap-cungip.
“Pakcik, cendol ada lagi?” Tanya Darren termengah-mengah. Pak Cik Selva merenung Darren seperti kehilangan seorang pelanggannya yang penting. Mukanya berkerut dan menimbulkan urat-arat dan kedutan.
“Minta maaf nak. Cendol sudah habis. Kenapa kamu lambat?” Tanya Pak Cik Selva tersenyum menimbulkan lesung pipit pada pipinya. Kulitnya gelap dimakan panas matahari. Setiap hari dia akan memakai pakaian yang sama, topi pemancing warna biru yang sudah pudar, baju t warna coklat, jean kelabu yang lusuh dan sepasang kasut kanvas hitam.
“Saya darjah enamlah. Sebab tu la lambat balik.” Rungut Darren kecewa.
“Oh, patutlah.” Balas Pak Cik Selva perlahan dengan suara paraunya.
“Kecewanya. Saya dah tunggu begitu lama untuk makan cendol pakcik. Dekat dua bulan tau.” Ujar Darren lagi.
“Hmm, kasihan. Beginilah, lepas ni pakcik akan tinggalkan sedikit khas untuk kamu. Jangan risau, esok pak cik akan pastikan kamu merasanya.” Kata Pak Cik Selva sambil tersengih. Rona wajah Darren masih ketat dan kejung. Pak Cik Selva tahu budak ini pasti sangat kecewa sehingga kata-katanya pun seperti tidak dapat menyenangkannya.
“Aduh, malangnya.” Luah Darren masih kecewa. Dia memang tidak percaya akannya. Dia berlari sehingga kehabisan nafas untuk mendapatkan cendol itu. Ini hari yang malang. Sudahlah Syuhada tiada, ibunya akan tiba hanya setengah jam saja lagi untuk mengambilnya tidak seperti biasa. Dia memandang ke arah pelajar universiti yang sedang asyik berbual dan menghilai tawa. Pelajar lelaki dan perempuan yang sedang duduk itu berborak dan saling bertepuk tampar. Alangkah seronok kalau dia sudah besar dan boleh mengawal hidupnya sendiri, fikirnya. Alangkah seronok kalau dia sudah besar dan Syuhada begitu juga.
“Oh, lihat.” Tiba-tiba Pak Cik Selva membawa sebutir mangkuk bersama sudu. Ianya cendol terakhir. Darren tersenyum lebar dan mengambil cendol itu dengan berhati-hati. Terangguk-angguk kepalanya mengucapkan terima kasih bila Pak Cik Selva memberitahu yang cendol itu percuma.
Darren berjalan perlahan di tebing jalan menuju ke bangku batu di pondok bas berdekatan. Dia menatang mangkuk itu berhati-hati dan rasa teruja kerana sudah lama tidak merasa kesedapan cendol itu. Sedang ia melangkah sebuah Mercedes hitam dipandu laju dan hampir kehilangan kawalan meluru ke arahnya. Darren mengelak dengan imbangan badan yang tidak sekata dan bila kereta itu sudah melepasinya cendol yang sangat diingininya itu sudah tertumpah.
“Cibai lu!” Carut Darren kuat. Dia memandang ke arah depan dan Mercedes itu sudah hilang dari pandangan.
“Lancau lu!” Jerit Darren lagi dengan kemarahan yang melimpah. Carutannya itu membuatkan beberapa pejalan kaki mengerlingnya. Pak Cik Selva terkedek mendekatinya, menepuk bahunya dan bertanya jika dia tidak apa-apa.
“Of course im alright. I have eyes unlike those cheeky bastards drivers.” Balas Darren marah.
“Nak, tak baik untuk seorang budak macam kamu mencarut.”
“Cendol saya sudah hilang sekarang. Siapa mahu ganti? Saya nampak plat numbernya. Saya akan pastikan kalau saya jumpa si gampang itu lagi saya akan hancurkan keretanya menjadi debu. Saya akan balas dendam.” Marah Darren menggertap giginya.
Pak Cik Selva ketawa mendengar rungutan Darren. Dia menggelengkan kepalanya dan berkata kepada Darren “Itu salah, nak. Kamu sepatutnya memaafkan dan melupakan. Mungkin pemandu itu mengejar masa. Mungkin dia mahu membuang air besar. Kemaafan ialah pembalasan dendam yang terbaik. Sekarang, kamu pulang, lupakan apa yang berlaku tadi, kosongkan negativiti kamu dan datang esok untuk dapatkan cendol kamu.” Pak Cik Selva senyum pada Darren dan tapak tangannya mengusap lembut kepala Darren.
“Pak cik dah lupa ek? Esok hari jadi raja. Selepas itu hari sabtu kemudian ahad. Bila hari isnin, saya akan terlepas lagi.” Kata Darren. Pak Cik Selva terdiam beberapa ketika kemudian membuka mulut semula “Tak mengapalah, kamu boleh datang esok dan pak cik akan berada di sini seperti biasa. Kalau kamu tidak dapat datang esok tunggu saja hari Isnin, pak cik akan simpankan untuk kamu.”
“Betul ni? Saya boleh datang esok?” Tanya Darren bersungguh. Pak Cik Selva mengangguk.
“Sudah tentu. Hey, pak cik perlu pergi sekarang. Ingat, jangan mencarut. Ianya tidak elok untuk kamu.” Nasihat Pak Cik Selva sebelum menolak kerta sorongnya dan perlahan-lahan bergerak meninggalkan kawasan itu.
Darren keseorangan. Sambil duduk di atas bangku dan menghayun kaki dia menunggu sehingga satu jam lamanya. Kelibat ibunya masih belum kelihatan. Dia tertanya-tanya mengapa ibunya sangat lewat hari ini? Dia membuat panggilan telefon kerana tidak sanggup menunggu lagi.
“Hello mak. Where are you? Dah pukul tiga sekarang ni.”
“Darren my dear, sorry. Mak minta maaf sangat-sangat okay. Mak ada mesyuarat hari ni. I will be there in 30 minutes. Okay?”
“What? Kenapa lama sangat?”
“Kan mak ada mesyuarat ni. Tunggu saja di situ okay. Don’t go anywhere.” Kata ibunya sebelum meletakkan panggulan itu. Darren menggigit bibir dan berasa marah semula. Bagaimana dalam satu hari terlalu banyak perkara malang yang berlaku?
Dia tidak mempunyai pilihan lagi. Badannya berpeluh, sudah mula berbau dan dia sangat lapar. Dia berjalan ke mesin ATM di seberang jalan dan mengeluarkan tiga puluh ringgit. Darren membeli burger keju, air kola dan makan sehingga kenyang. Kemudian dia menahan teksi dan meminta pemandunya menghantar ke rumahnya.
Tambang teksi dari Seksyen 2 ke rumahnya menelan belanja sebanyak RM15. Mahal juga, rungut Darren dalam hatinya. Dia membayarnya dan bergegas ke pintu pagar rumahnya, sebuah rumah banglo setingkat. Rumahnya besar, rekaan bercirikan binaan era Victoria dan berjarak sepuluh meter dari rumah banglo yang lain. Ada hiasan lanskap yang indah menghijau, air terjun buatan dan garaj kereta yang besar.
Darren mendekatkan wajahnya di pintu pagar yang tinggi, menyebut namanya pada alat elektronik pengesan suara sebelum pintu pagar terbuka. Seekor anjing baka German Shepard meluru mendapatkannya dengan lidah terjelir.
“Hari yang teruk, Brady.” Darren menunduk sedikit, mencangkung dan mengusap kepala Brady. Anjingnya menjilat tangannya, Darren bermain sebentar dengan Brady sebelum bangun semula. Apa yang mengejutkannya ialah bila mendapati sebuah kereta terparkir di garaj. Darren mendekati kereta itu, sebuah Mrecdes hitam. Terus saja Darren melihat nombor platnya. WQQ 2221.
“This cibai.” Carutnya.
Darren berlari masuk ke rumah dan menuju ke bilik ibunya. Pintunya tertutup namun dia pasti ada orang di dalamnya kerana deraman pendingin hawa. Dia memulas tombol pintu, menolak daun pintu perlahan dan mengintip.
Dia mendengar suara ibunya dan suara lelaki saling bertingkah. Tona suara itu lebih kepada erangan, ada juga carutan dan sesekali jeritan. Ibunya mengerang ‘ah’ ‘ouch’ dan lelaki itu menjerit nama Jesus dan Holy Mary.
Darren pasti itu suara pemilik Mercedes yang di luar dan yang hampir melanggarnya tadi. Tentu ia teman lelaki terbaharu ibunya sejak ibunya bercerai dengan bapanya beberapa tahun dahulu. Berani sungguh lelaki jahanam itu!
Dia membuka pintu dan menghamburkan carutan. “What the fuck mom?”
Ibunya yang bertelanjang terkejut dengan kehadirannya. Dia bangun dari tilam dan menutup badannya dengan selimut.
“Darren, buat apa kat sini?” Tanya ibunya. Ibunya dengan pantas menarik telinga Darren dan mengheretnya keluar dari bilik itu. Darren tidak dapat melihat wajah lelaki itu kerana bilik itu gelap. Dia dapat menghidu aroma wain, lilin wangi yang berbaris menyala tercatuk pada birai katil dan… bau hancing. Air kencing? Apa jadahnya dengan air kencing? Darren berasa aneh. Dia berharap dia dapat bertanyakan tentang itu kepada ibunya.
“Jangan main intip macam tu lagi. Mengintip ni perbuatan anak setan. Faham!” Marah ibunya dengan jegilan mata. Darren memandang ke lantai dan kemudian mengangkat mukanya kerana kecewa disamakan dengan anak setan. Ini kali pertama dia mendengar ibunya marah dengan perkataan yang lancang. Sejak perpisahan dengan bapanya, ibunya telah berubah dan kurang memberi perhatian padanya. Dia tidak menyangka ibunya kini menjalin hubungan dengan lelaki lain pula.
“Understand Darren?” Kata ibunya lagi dengan wajahnya yang marah.
“Mak jahat!” Jerit Darren sebelum berlari menuju ke biliknya. Dia mengunci pintu, berbaring dan tanpa dia sedar air matanya mengalir dari pelipis mata.
***
Darren sering menganggap dirinya seorang yang gagah dan matang walaupun dia menangis malam tadi. Dia bangun dan mengemaskan katilnya. Dia melihat dirinya di hadapan cermin besar, membidangkan dada, mengepakkan bahunya, membengkokkan tangannya seperti ahli bina badan sebelum mengeluh. Dia memandang ke arah poster David Laid dan Bruce Lee yang tidak berbaju dan menampilkan otot sasa yang terlekat pada dinding biliknya.
Badanku seperti rangka sahaja, keluhnya lagi. Aku kena jadi kuat, aku perlu ke gym, makan makanan berprotein tinggi dan dilatih seorang jurulatih fizikal, katanya kepada dirinya. Dia teringatkan hal semalam dan berfikir patutkah dia menanyakan tentang bau hancing di bilik ibunya itu? Tidak, Pak Cik Selva nasihatnya supaya memaafkan dan melupakan. Dia menggeleng kepala dan berlalu dari cerminnya.
Dia berselisih dengan ibunya di dapur dan bereaksi seperti tiada apa yang berlaku. Ibunya cuba menjelaskan tentang semalam tetapi Darren berkeras yang dia tidak terkesan pun. Tapi dalam hatinya, dia tidak dapat menerima kejadian cendolnya yang tertumpah itu. Kemarahan masih bersisa terhadap lelaki Mercedes yang menjadi penyebab cendolnya tumpah.
“Mak, boleh hantar saya ke sekolah hari ni?” Tanya Darren tatkala melabuhkan punggung di atas sofa bersebelahan ibunya yang sedang menonton tv. Ibunya mencicip sedikit kopi dari mug dan meletakkannya ke atas meja lalu merenungnya dengan kerutan di dahi.
“Kenapa nak ke sana? Kan hari ni cuti. Mak ingat nak bawa kamu ke rumah Auntie Mary. Dia mengadakan parti harijadi untuk Alex.”
Darren ingat Alex. Si gemuk itu budak tak guna. Dia suka menunjuk-nunjuk gajet terbarunya, berbangga dengan koleksi kereta ayahnya dan pakaian barunya tiap kali dia ke rumahnya. Begitulah juga dengan perangai Auntie Mary yang suka berpakaian mahal dan menunjuk barang kemasnya kepada tetamunya. Mak borek anak rintik.
“Kenapa mak nak pergi ke rumah perempuan puaka tu lagi?” Kata Darren menyorot mata kepada ibunya. Ibunya masih nampak cantik walaupun berumur lewat 30an. Dia memiliki rambut yang ikal, badan yang lansing dan sepasang kaki yang panjang seperti model. Ibunya sering kelihatan seksi setiap hari dengan selalu memakai skirt pendek, baju tanpa lengan dan alat kemas ringkas.
“Hmm, its okay kalau kamu tak mahu temankan mak esok. Mak tak nak paksa kamu. Tapi kenapa nak ke sekolah?” Tanya ibunya. Darren terdiam dan berfikir mencari alasan.
“Darren kena jumpa rakan sekelas. It’s for the Science project that we worked on. Mak boleh hantar?” Tanya Darren.
“Sure honey.” Ibunya memandang lama wajah Darren sebelum mendekatinya, mengucar-ngucar rambut kepalanya dan mengucupnya.
“Mak, saya dah besarlah.” Rungut Darren menjauhkan diri dari ibunya. Dia bermuka masam dan memuncungkan bibirnya seperti itik. Dia terasa malu dibudak-budakkan.
“Haiya you grown up one.” Kata ibunya mencubit pipinya yang gebu.
Dia sampai di pondok menunggu bas tepat jam 12 tengah hari. Dia duduk di bangku dan memerhati sekeliling. Darren nampak beberapa pelajar dari kampus universiti berdekatan yang turut sama menunggu bas. Ramai daripada mereka memakai seluar dan baju berjenama serta kasut mahal. Dia tahu kerana ibunya juga ada pakaian sebegitu. Bapanya juga ada memakai kasut dan baju seperti itu. Tapi pelajar ini, daripada mana mereka mendapatkan duit untuk membeli pakaian mahal sebegitu? Mungkinkah mereka bekerja sambilan di wakltu cuti? Mungkin juga, fikirnya.
Setelah sepuluh minit menunggu Pak Cik Selva sampai dengan kereta sorongnya. Dia bertegur sapa dan berbual kecil. Pak Cik Selva mengisar bongkah ais, dikepal ke dalam mangkuk, menyenduk santan berlemak yang putih terang, menjirusnya dengan air gula merah, sirap ros yang menyala, menyudukan cendol, kacang merah dan sedikit jagung manis.
Kali ini Darren menyudu cendol ke mulut dengan kegembiraan. Cendol itu sangat sedap dan tidak sia-siap dia menipu ibunya. Cendol Pak Cik Selva lebih sedap daripada cendol Teochew di pasaraya Giant atau cendol mamak restoran nasi kandar yang cair. Dia mengangkat ibu jari kepada Pak Cik Selva dan orang tua itu membalasnya dengan senyuman. Beberapa pelanggan datang dan Pak Cik Selva sibuk melayani mereka. Apabila pelanggan sudah berkurangan dia mendekati Darren dan memberinya semangkuk lagi. Darren menyambutnya dengan girang.
“Jadi, kamu sudah belajar melupakan dan memaafkan?” Katanya kepada Darren.
“Hurm… I guess.” Balas Darren acuh tak acuh tanpa memandang Pak Cik Selva. Dia terlalu asyik menyudu cendol dan tangan kirinya menaip sesuatu di telefon pintarnya.
“Hahaha… itu tak benar, kan?” Kata Pak Cik Selva diiringi tawa kecil. Darren memandangnya kehairanan.
“Kenapa pakcik cakap macam tu?”
“Sebab, melupakan sesuatu bukanlah perkara yang kamu boleh lakukan dalam masa sehari. Dan memaafkan adalah yang paling sukar. Kerana itu, dua hal ini perlu dilentur pada manusia sejak mereka kecil lagi.” Ujar Pak Cik Selva. Topinya dicabut dan lengannya menyeka peluh di dahi.
“Jadi?” Tanya Darren.
“Biar pakcik ceritakan satu kisah.” Kata Pak Cik Selva. Dia terhenti seketika, mencapai botol air dan meneguknya. Kemudian menyambung.
“Dua puluh tahun yang lalu pakcik mempunyai seorang isteri yang dikahwini atas dasar cinta. Pak cik membeli rumah pangsa di Seputeh dan bekerja sebagai kerani sebuah firma guaman. Isteri pak cik bekerja di kedai runcit berdekatan kawasan rumah kami. Pak cik dikurniakan dua anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Mereka sangat comel. Keluarga kami kecil dan hidup kami tidaklah sesenang mana namun pakcik menjalani hidup dengan bersungguh dan bekerja dengan tekun shingga keadaan bertambah baik kemudiannya. Gaji pak cik meningkat dan isteri pak cik begitu juga. Pak cik rasa, itu perkara terbaik pernah berlaku dalam hidup pakcik. Sampailah suatu hari…” Pak Cik Selva jeda sebentar. Dia menarik nafas dalam dan menghembuskannya.
“Apa yang terjadi?” Tanya Darren tidak sabar.
“Satu hari ada polis telefon kami. Adik pakcik yang telah sekian lama menghilang tiba-tiba diberitahu telah ditangkap kerana mencuri. Jadi mereka minta pakcik memberi kenyataan dan menjaminnya. Pak cik cakap, No way. Tapi isteri pak cik memujuk pak cik supaya membayar wang jaminan tersebut. Jadi pak cik pun membayarnya. Apabila dia keluar dari jel, dia melarikan diri. Kamu tahu, bermula dari hari itu pak cik banyak mencarut dan menyumpah. Setiap masa, setiap hari. Disebabkan pak cik penjaminnya maka pakcik yang menerima kesannya. Pak cik ditangkap oleh polis, disoal siasat dan meringkuk dalam penjara selama hampir setahun. Firma guaman tempat pakcik bekerja mlwan ks ini dengan bersungguh dan akhirnya merekla menang. Adik pak cik yang tak berghuna itu akhirnya tertangkap. Tapi sebaik saja pakcik bebas, pakcik dapati rumah pak cik telah dijual. Isteri dan anak pakcik juga entah dimana.” Pak Cik Selva terhenti lagi dan kelopak matanya berkaca. Bila dia mengerdip, ada air mata perlahan mengalir.
“Dia, meninggal ya?” Kata Darren sambil menepuk bahu Pak Cik Selva.
“Tidak. Dia tidak meninggal. Pak cik tanya bank yang membeli rumah pak cik, jiran-jiran pakcik dan rakan sekerja isteri pakcik. Setengah daripada mereka memberitahu yang isteri pak cik sudah hijrah ke Kanada. Pak cik jadi terkejut dengan berita itu. Sangat terkejut sehingga meruntuhkan semangat pakcik untuk meneruskan kehidupan. Selepas itu kehidupan pakcik mula tunggang-langgang. Pak cik menjadi gelandangan, pinjam duit dari Ahlong, minum samsu dan todi dan hampir membunuh diri. Untuk beberapa tahun kehidupan pakcik seperti itu. Kemudian sewaktu pakcik mengemis kaki lima sekitar Petaling Street seorang sami telah menasihati pak cik. Dia datang setiap hari dan cuba mengubah pakcik dan semua pengemis di kawasan itu. Akhirnya pak cik mula termakan akan nasihatnya. Pak cik cari semula firma guaman tempat pak cik bekerja dulu namun mereka sudah berpindah. Tapi pak cik bernasib baik kerana seorang tauke restoran bermurah hati memberi kerja kepada pakcik. Namun walaupun pak cik bekerja sesekali ada along datang menganggu sehingga semua duit gaji pak cik dihabiskan untuk membayar hutang sahaja. Tapi ianya tidak cukup untuk membayar hutang. Pak cik mula terfikir untuk berniaga sendiri. Lalu pak cik berhenti kerja, meminjam sekali lagi duit along dan berpindah ke Shah Alam. Pak cik berazam untuk kumpul duit dan pergi ke Kanada untuk mencari keluarga pak cik. Baru-baru ini pak cik baru mengenali komputer dan internet. Jadi pak cik mencari keluarga pak cik dan mereka memiliki laman Facebook. Mereka nampaknya menjalani kehidupan yang senang. Anak lelaki pak cik bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat antarabangsa dan anak perempuan pakcik sedang belajar di universiti.” Pak Cik Selva berhenti dan mengulum bibirnya yang kering. Wajahnya mengukir senyum, menampakkan tulang pipinya dan dagunya yang tirus kecil tajam. Angin tengah hari bertiup hangat menerbangkan sama debu-debu jalan.
“Pak cik berhubung dengan mereka tak? Macam mana dengan isteri pak cik?” Darren mencelah.
“Pak cik tak berhubung pun dengan mereka. Pakcik cuma meneliti album gambar mereka dengan kegembiraan. Yang sedihnya isteri pak cik sudah meninggal setahun lepas. Jadi pak cik berasa malu dan tidak layak untuk menghubungi mereka. Lagipun kehidupan mereka jauh lebih baik tanpa kehadiran pak cik. Pak cik tidak tahu mengapa isteri pakcik berhijrah ke luar negara namun dia melakukan perkara yang betul. Pak cik mula belajar untuk melupakan dan memaafkan kesilapan pakcik atau mendiang isteri pak cik. Sekarang pakcik cuma menikmati hidup di sini, mengumpul duit untuk membayar hutang dan memberi kegembiraan pada sesiapa dengan cendol pakcik.”
“Wow pakcik. Saya tak tahu pakcik melalui jalan hidup sebegitu sukar.” Ulas Darren selepas mendengar cerita Pakcik Selva yang sangat mengharukan perasaannya itu. Kehidupan orang tua itu jauh lebih sukar daripada hidupnya. Bagaimana orang ini boleh mengharunginya dengan tabah? Bagaimana orang ini boleh meneruskan kehidupan sehariannya?
Sebuah kereta Mercedes berhenti di hadapan mereka. Dua lelaki Melayu yang kacak dan berpakaian kemas keluar. Seorang daripada mereka berwajah jambu dan mengenakan pakaian seperti artis Kpop mendekati kereta sorong Pak Cik Selva. Dia menendangnya dan melaung “Oi orang tua.”
“Nak, duduk sini dan jangan buat apa-apa.” Kata Pak Cik Selva kepada Darren. Dia bangun dan menuju kepada lelaki itu.
“Dah berapa lama ni Selva? Seminggu? Sebulan?” Tanya lelaki itu dengan nada suara tinggi dan pandangan angkuh. Seorang lelaki lagi yang berbadan tegap dan seluar pendek hanya tercegat di sisi kereta. Darren fikir lelaki itu orang suruhan lelaki jambu itu.
“Ah, Syuk. Alang-alang kau datang jauh dari KL ni, apa kata pekena semangkuk cendol aku dulu. Kau tentu penat. Kan?” Ujar Pakcik Selva memaniskan mukanya.
“Nah, cut the crap old man. Aku datang sini nak kutip duit hutang. Mana dia? Dah dua bulan ni.” Kata Syuk. Dua belah tangannya diseluk ke poket.
Darren memerhatikan situasi ini dengan kebimbangan. Dia dapat mengesan kecelakaan yang akan berlaku. Dia mendekat sedikit dan mendapati ianya kereta Mercedes yang sama. Kenapa ini lagi? Dia tertanya, yang mana satu berada di dalam bilik bersama ibunya? Nampaknya ibunya mempunyai selera yang baik dengan memilih lelaki muda dan kacak.
“Tolonglah Syuk, bukan di sini. Perniagaan tak berapa baik kebelakangan ni. Aku bersumpah, aku akan bayar bos kau. Tolonglah, tidak di depan pelanggan aku.” Rayu Pakcik Selva. Namun rayuannya tidak diendahkan. Lelaki tegap tadi mengeluarkan sebatang tukul panjang dari kereta dan mula menghentak kereta sorong Pakcik Selva. Orang tua itu cuba menghentikan tindakannya dan suaranya tidak putus-putus merayu. Dia cuba menahan tangan lelaki tegap itu namun belum sempat dia melangkah, kakinya disepak Syuk sehingga dia terjatuh. Lelaki tegap tadi terusan menghentak dan menghancurkan kerta sorong itu. Papan plywood, mangkuk, segala bekas habis bertaburan di jalan. Kawasan itu basah dengan santan dan cendol yang bersepah.
Libang-libut dan kekecohan itu menangkap perhatian ramai orang. Tapi semua yang menyaksikan tidak mahu masuk campur. Ada yang berdiri sekadar memerhati, ada yang mnjenguk kepala dan ada yang merakam dengan telefon. Tiada yang berani berbuat apa-apa. Darren mengutip batu di tepi jalan, berlari ke arah gangster itu. Tapi Pakcik Selva yang terbaring di jalan menahan kaki Darren dengan tangannya.
“Tolong, jangan.” Kata Pakcik Selva. Darren mahu bergerak namun kakinya direntap dengan kuat.
“Ingat orang tua. In two days. Two days okay. Atau kau mampus!” Kata Syuk memberikan amaran. Mereka naik kereta dan meninggalkan kawasan itu.
“Pakcik okay?” Tanya seorang pelajar yang berterpa kepada Pakcik Selva. Pakcik Selva hanya mengangguk dan bangun perlahan-lahan dipapah plajar itu.
“Kenapa smeua orang pengecut, hah!” Jerit Darren meluahkan kekecewaannya dengan sikap orang ramai. Suasana menjadi hening. Orang ramai mengunci mulut dan membatu kesunyian. Pakcik Selva, Darren dan pelajar tadi mengutip semua barang yang bersepah dan mengumpulnya di suatu sudut. Kata Pakcik Selva dia akan pulang dan datang semula bersama kawannya untuk mengemaskan barangannya petang ini. Dia mengucapkan terima kasih kepada Darren dan pelajar itu.
“Are you gonna be alright?” Tanya Darren. Dia risaukan orang tua itu. Selepas mendengar kisah hidupnya, dia menjadi kagum pula pada Pak Cik Selva. Dia merasakan semacam ada persamaan antara mereka berdua.
“Pakcik tak apa-apa. Terima kasih sebab cuba mempertahankan pakcik. Kamu budak yang berani, tapi jangan lakukannya lagi ya.” Balas Pak Cik Selva.
“Berapa banyak pakcik berhutang dengan mereka?” Tanya Darren. Dia mungkin boleh bercakap dengan ibunya dan meminta ibunya menyelesaikan hutang Pak Cik Selva sekaligus.
“Tak banyak pun. Biasanya sebelum ni pak cik membayarnya tanpa masalah. Cuma sejak dua bulan lepas, pak cik terpaksa keluarkan duit untuk rawatan buah pinggang pakcik. Jangan risau, lepas ni pak cik pasti akan membayarnya.”
“Tapi kereta sorong pak cik?” Pak Cik Selva menunduk, mengambil serpihan kerta sorongnya dan merenungnya.
“Kawan pakcik akan bantu membaikinya.” Kata Pak Cik Selva tersenyum tawar. Namun Darren hanya melihat keresahan dan tekanan pada wajah orang tua itu.
Darren menaiki teksi untuk pulang ke rumah. Sepatutnya dia balik lewat seperti yang dia beritahu kepada ibunya tetapi dek insiden tadi dia membatalkannya. Walhal pada asalnya dia merancang untuk ke rumah Syuhada dan mengajaknya berjalan. Sekarang dia membatalkannya kerana berasa tidak seronok.
Dia tidak sedar batu kerikil yang dikutipnya tadi masih tersimpan di dalam poket seluar. Bila sampai di rumahnya dia melihat kereta Mercedes tadi terparkir di rumahnya. Hatinya berapi marah. Dia mengeluarkan batu kerikil tadi dan mencalarkan kereta itu.
“Hoi, kau buat apa tu!” Ada suatu suara menjerit ke arahnya. Dia berpaling dan melihat Syuk. Darren memandangnya dengan tajam. Syuk terkedek berjalan dengan wajah kerisauan untuk mendekati keretanya. Darren, demgan kemarahan dan sakit hati yang melahar terus meluru. Dia merasakan dirinya seorang pahlawan spartan dengan badan sasa. Apabila jaraknya dekat dengan Syuk dia meloncat dan menghayunkan penumbuk padunya ke muka Syuk. Lelaki itu terjatuh dan mengaduh sakit. Tubuh Darren menimpa lelaki itu dan bersedia untuk melepaskan penumbuk namun terhenti.
“Darren! Stop!” Ibunya muncul dan menjerit. Darren bangun dan berasa puas hati.
“Lelaki jahat ni, siapa dia?” Tanya Darren pada ibunya. Dadanya berombak dan tangannya berasa ngilu kerana baru menumbuk orang.
“Ini pekerja mak. I am her boss. Sekarang, kamu mesti minta maaf pada dia.” Ibunya memandang Darren dengan wajah tegang.
“Apologise to him.” Kata ibunya lagi memberikan hukuman. Darren melihat Syuk yang merungut mengenai keretanya yang bercalar.
“Now Darren!” Kata ibunya lagi dengan suara keras. Darren masih tercegat. Syuk merenungnya dengan anak mata yang liar. Darren meluat melihat Syuk. Dia masih kaku, imejan Pak Cik Selva, Syuhada, Azam dan Badar silih berganti bermain di kepalanya. Kemudian dia mengangkat jari hantunya kepada Syuk.
Hari itu Darren makan penampar daripada ibunya buat pertama kali sepanjang hidupnya. Dan, ibunya juga akan menghentikan pemberian duit belanja bulanan selama tiga bulan.
Dia akan mengingati hari itu selamanya. Dia tidak akan mudah melupakannya dan tak akan memaafkan Syuk atau tindakan ibunya. Malamnya dan hari seterusnya Darren mengurung diri di dalam biliknya, dengan angan-angan yang suatu hari nanti akan menjadi gagah seperti David Laid dan Bruce Lee dan tidak sekali-kali menjalani kehidupan sendu seperti Pak Cik Selva.
Foto lukisan jalanan oleh Pok Jeh Allan.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
5
4.5