• Home
    Home 

  • Articles
    Articles 

  • Happenings
    Happenings 

  • Eksentriks
    Eksentriks 

  • Community
    Community 
  • Home
  • Asian Arts Magazine  ▾
    • News
    • Arts
    • Culture
    • Films
    • Literature
    • Music
    • Performing Arts
    • Photography
    • Poems
    • Stories
  • Artist Registry
  • Arts Community
  • Happenings

  • Sign In
  • Submit Stories & Poems
  • List Your Events
  • Be On Artist Registry

  • What Is Eksentrika?
  • Get In Touch With Us
  • FAQ
  • Join Our Monthly Newsletter
  • Eksentrika Facebook
  • Eksentrika Instagram
  • Eksentrika Twitter
  • Eksentrika Linkedin
  • Eksentrika Telegram
  • Start Writing
  • Asian Arts Magazine
  • Artist Registry
Arts & Culture Malaysia | Eksentrika
Eksentrika Login
CERPEN | Sebelas oleh Lucy Montk
Lucy Montk

Written by Lucy Montk

CERPEN | Sebelas oleh Lucy Montk

Share this article via


Lama dulu, di jalan itulah Sara temui sesuatu yang lebih besar dari kehidupan.

Ironinya, keberadaannya di situ adalah untuk menamatkan riwayat hidupnya tapi sebaliknya, apa yang terjadi, muncul pula seorang lelaki memapah tubuh tiga puluh satu tahunnya yang tersandar pada dinding, berbau alkohol dan air kencing, ke sebuah gerai makan kecil di hujung blok dan mengorek keluar pil-pil yang baru dikemamnya beberapa minit yang lepas tapi belum ada pun yang berupaya hancur..

Sara bangun terpinga-pinga, terkejut tentunya, dan menolak lelaki itu. Lelaki itu cuba menghampirinya kembali, tapi dia tak benarkan.

Jangan datang dekat, perempuan itu mengancamnya. Jangan! Saya jerit awak nak rogol saya, kalau awak cuba.

Sara rasa aneh mendengar jeritannya sendiri kerana baru beberapa ketika lalu dia memutuskan hidupnya tak lagi berharga tetapi apabila seorang lelaki asing menghampirinya (dengan niat yang baik) kehidupannya seolah-olah dipenuhi makna semula.  Lelaki itu hanya dapat terpegun melihat Sara, dengan langkahnya yang menyedihkan, terhuyung-hayang menuju ke pintu.

Malam itu benar-benar keruh. Mungkin kerana mata Sara masih belum kering setelah menangis beberapa jam sebelumnya atau kesan alkohol dan pil menganggu penglihatannya dari berfungsi sebaiknya. Namun, Sara rasakan dengan jelas bagaimana bahunya dicengkam sebaik saja dia sudah di luar kedai itu, membuatnya menoleh dan satu tamparan hinggap di pipinya. Kuat sekali, dia jatuh terduduk jadinya. Tamparan itu menjernihkan apa yang kabur. Di hadapannya, ada seorang wanita separuh baya menatapnya dengan mata paling menggerunkan pernah dipandangnya lalu semuanya jadi tak jelas kembali sebelum menggelap.

Pada waktu dia terjaga keesokan harinya, ada keriuhan dapat  dia dengari. Sara menguak pintu perlahan-lahan, di luar, lelaki yang dikasarinya dan perempuan iblis yang menamparnya semalam sedang melayan tetamu. Ternyata mereka rakan subahat dan tak melepaskannya pergi. Sepatutnya dia jadi berang dan bergegas keluar dari bilik tempat dia dikurung walaupun pintunya tak berkunci dan mengeji pasangan kriminal itu di hadapan pelanggan mereka. Tapi rasa loya dan kelesuan menuntutnya untuk berbaring semula. Baring mengiring, membelakangkan pintu, Sara sedari bahawa saat itu dia seharusnya tak bernyawa lagi. Seseorang akan menemuinya tersandar pada dinding blok, barangkali oleh seorang penyapu jalan, dan laporan akan dibuat. Seorang gadis ditemui mati kerana keracunan pil, begitu dan begini, lalu berita itu akan merayap cepat ke serata kota dan Jack akan mendengarnya. Tapi sekarang Sara masih lagi boleh bernafas. Dan dia masih lagi boleh mengingati Jack yang telah meniduri rakan kerjanya yang katanya dulu, hanyalah teman baik dan tak lebih dari itu.

Keriuhan yang beransur kurang menandakan sejumlah waktu sudah pun berlalu. Pintu bilik kedengaran dibuka dan bau makanan dapat dihidunya mendekat. Makanlah dan tukarlah baju, ucap seorang lelaki. Sara berkalih dan bersemuka dengan lelaki itu. Kemarahan yang rupanya tak habis lagi semalam, menjalar semula ke seluruh tubuhnya: siapa suruh kau selamatkan aku? Sara menengking. Kau nak jadi hero ya bodoh? Aku tak minta pun! Kenapa ya lelaki bodoh dan tak pernah nak faham?

Lelaki di hadapannya itu hanya mengangguk dan tersenyum. Ia sebuah senyuman yang jujur, dan kerana itu ia kelihatan bodoh dan menyakitkan hati. Lelaki itu mencadangkan Maslina untuk mandi terlebih dahulu sebelum mengisi perutnya. Mungkin kita boleh fahami satu sama lain dengan lebih baik setelah perut terisi dan tubuh yang letih dijirus air bersih. Ada tuala juga baju dan seluar ganti turut digantung di sana. Merasa tidak didengari, Sara cuba berdiri dan menyerbu lelaki itu, tapi kakinya enggan bekerjasama. Dia jatuh terduduk semula seakan-akan perempuan iblis yang mencengkam bahunya semalam secara ghaib menamparnya buat kali kedua.

 

***

 

Beberapa jam kemudian, barulah Sara keluar dari tempatnya berbaring tapi bajunya yang sudah bergomol tengik air kencing dan alkohol masih juga tak berganti. Okey baik, ucap Sara, mungkin aku mati terlalu dekat dengan kedai makan kau dan itu tak baik untuk bisnes. Boleh bawa suwey tapi aku tak akan minta maaf. Kau yang sepatutnya minta maaf dengan aku sebenarnya, kau tahu tak? Sebab masuk campur urusan aku. Malah, aku tak akan lapor polis yang mak kau menyerang aku.

Oh, dia bukan mak aku, jawab lelaki itu. Dia pekerja kedai makan ini. Mak Erna sudah pun balik sebentar tadi. Okey, beritahu perempuan itu, balas Sara, dia boleh ditangkap sebab menampar orang tanpa sebab.

Jadi apa sebabnya kau cuba menamatkan hidup? Mata Sara terbeliak sedikit. Hatinya jadi ngilu mendengar soalan berani itu yang membuatnya semakin mengingati Jack. Kau tak perlu tahu. Kau siapa nak tahu? Bentak Sara dan menuju ke pintu keluar mengenggam beg tangannya. Setibanya di pintu, dia tak ingat apakah memang begitu rupa pintu itu semalam – di bahagian atas pintu itu ada tulisan besar berbaca; Pencinta yang adil ialah yang tak lupa berbagi cinta buat dirinya sendiri sekali. Terima kasih kerana telah mencuba sebaiknya hari ini. Sila datang lagi. Manakala di tepi pintu itu pula, ada mannequin dalam posisi seperti memeluk sesuatu dan di bahunya, sebuah kad dipacak: peluk saya jika hari ini terasa berat. Kalau itu sukar, tangan saya sentiasa ada untuk berjabat.

Sara terpaku di depan pintu, dia tak tahu kenapa tapi tubuhnya seperti terpanggil untuk melakukan apa yang baru saja dibacanya. Hari semalam memang berat. Dan apa yang diperlukannya adalah pelukan. Bukan alkohol. Dan bukan pil untuk meracuni diri.

Saya tak akan beritahu siapa-siapa yang awak melakukannya, ujar lelaki di belakangnya. Tersentak Sara dan dia menoleh, segala kebengisannya tumbuh sekali lagi; kau ingat aku takut kalau kau cakap hal semalam dengan semua pelanggan kau? Hei, kau dengar sini…

Lelaki itu memintasnya, maksud aku, seandainya kau nak peluk mannequin itu.

Sara pandang patung di sebelah kanannya. Ia cuma objek tanpa jiwa tapi semacam ada ghairah memanggil untuk membiarkan tubuhnya yang telah retak dicantum semula oleh pelukan patung di sisinya. Persetankan! Sara melepaskan nafasnya dengan kencang sekali lalu melangkah keluar.

 

***

 

Namun, beberapa hari kemudian dia kembali lagi ke situ walaupun dia tak masuk ke dalam kedai yang telah menumpanginya. Dari jarak yang cukup selamat, dia mengamati saiz kedai itu. Ia tidaklah begitu besar dan kerana itu ia menawarkan satu pengalaman yang intim. Sara menyusupkan pandangannya ke dalam kedai; ada seorang lelaki tua boroi bertopi fedora sedang berbual dengan lelaki yang melarang kematiannya terjadi. Perbualan mereka kelihatan begitu bernyawa sekali. Kemudian masuk seorang perempuan bersama anak lelakinya dan perkara pertama dilakukan anak kecil itu adalah memeluk mannequin di tepi pintu.

Lelaki kedai itu menyapa girang seperti pelanggan itu kaum kerabatnya. Pelanggan yang sedang berbual dengannya turut mengangguk. Mungkin sama-sama kenal atau ia cuma tanda mesra. Lelaki fedora itu kemudian menghulurkan sejumlah duit tapi ditolak oleh lelaki kedai makan itu. Dia masuk ke dalam dapur setelah ibu dan anaknya yang baru saja masuk menyampaikan pesanan mereka. Lelaki berfedora itu meletakkan duit yang dihulurnya di atas meja. Sebelum beredar pergi dia berpelukan dengan mannequin itu dan tabik hormat kepadanya. Itulah apa yang dilihat Sara berhari-hari apabila pengintipannya itu yang pada mulanya hanyalah didasari oleh inkuiri yang baginya tidak berbahaya; berubah menjadi rutin harian.

Kedai makan itu tidak didatangi ramai orang tapi pelanggan yang berkunjung, selalunya hanyalah wajah yang sama dan mereka berbual panjang bersama lelaki tukang masak itu seolah-olah mereka ke situ bukan untuk menjamu selera tapi bagi memenuhi sesuatu di dalam diri mereka.

Sara turut dapati, kedai itu didatangi juga oleh orang-orang tak berumah dan haiwan yang tinggal di jalanan. Mereka keluar dengan sebekas makanan dan seperti semua pelanggan yang lain, akan bersentuhan dengan mannequin itu seperti ia adalah sebuah ritual. Mungkin itulah pelaris kedai itu, fikir Sara. Patung yang telah dijampi oleh bomoh Siam.

 

***

 

Seberlalunya masa, Sara tewas juga.

Inkuiriya ke atas kedai makan itu, terutama patung jampi yang berada di kawasan pintu masuknya tidak dapat diredakan. Lelaki tukang masak itu terkejut apabila melihat dia berdiri di muka pintu. Tidak ada pelanggan ketika itu, Sara memang sengaja memilih jam yang lengang, dia sudah hafal aliran trafik pelanggan kedai makan itu setelah memerhatikannya selama sebulan.

Aku cuma datang untuk makan bukan berterima kasih, Sara merasakan masih ada keperluan untuk memakai atitud yang sama pada hari pertama mereka bertemu. Namun lelaki kedai makan itu tidak pun terusik dengan kedinginannya, malahan ada kehangatan yang begitu mengalu-alukan dapat dia rasai terpancar dari riak wajah lelaki itu. Kehangatan yang sama dia rasakan dikeluarkan oleh tubuh lelaki itu tak lama dulu bila mana lelaki itu merengeknya dan membawanya ke kedai itu.

Sara memesan menu yang serba ringkas kerana dia ke situ bukan untuk menikmati air tangan lelaki itu. Apatah lagi untuk berbasa-basi seperti pelanggan lazim yang lain. Tidak ada apa yang pelik dengan patung itu, Sara fikir, ia tetaplah, seperti opininya dulu – hanyalah sebuah objek tanpa jiwa, tapi kenapa semua pelanggan begitu menyukainya?  Makanannya sudah habis separuh ketika seorang pelanggan tergesa-gesa masuk lalu mengajukan soalan; betulkah kedai ini akan ditutup? Sara tergamam. Mulutnya berhenti mengunyah. Ya, begitulah, jawapan yang didengari Sara.

 

***

 

Entah ada apa dalam masakan lelaki itu atau mungkin sekali pelaris kedai makan itu sudah melekatkan jampi ke atas dirinya kerana dia tak habis-habis memikirkan berita penutupan yang baru saja diketahuinya.

Menuju hari penutupan, pelanggan-pelanggan lazim kedai itu, Sara perhatikan, menyatakan duka dan rasa hampa mereka. Lelaki itu cuma tersenyum. Senyuman yang jujur tapi tidakah dia tahu ia kelihatan bodoh dan menyakitkan hati?

Sara rasakan jantungnya berdegup deras melihat panorama itu. Dia cuba menepis perasaan aneh yang cuba menyelubungiya tapi gagal dia lakukan. Ketika itu, hatinya jadi ngilu seperti hari di mana dia dicurangi Jack.

 

***

 

Waktu terus bergulir dan hari penutupan itu tiba juga.

Seawal pagi lagi, Sara sudah berada di tempat pengintipannya. Ketika pintu kedai makan itu dibuka, ada dorongan Sara rasakan untuk singgah dan bertanya apa yang boleh dibantunya tapi sebaik saja barang pertama dipunggah keluar, satu demi satu pelanggan tetap kedai itu muncul dan melakukan apa yang diperlukan apabila orang berpindah. Perempuan bersama anak lelakinya, lelaki tua boroi yang selalu memakai fedora, lelaki muda tak berumah dan ada empat orang lagi yang datang selepas itu. Lot kedai itu sekelip mata saja berubah kosong.

Sara hanya kaku berdiri di tempatnya tak dapat berbuat apa-apa. Sebelum bersurai, yang datang membantu memeluk mannequin itu buat kali terakhir. Anak kecil yang selalu datang bersama ibunya, Sara lihat, menangis seperti dunia tidak lagi dapat berputar.

 

***

 

Sara mendatangi semula lot kedai itu setelah sebelas tahun berlalu. Blok asalnya sudah diratakan dan dijadikan tapak parkir. Satu-satunya hal yang membuktikan kedai makan itu pernah wujud adalah sebuah tugu kecil telapak tangan mannequin itu yang  dibangunkan entah siapa di satu sudut tapak parkir itu. Cinta pernah tumbuh di sini, tertulis pada ruang tengahnya.

Sebelas tahun sudah berlalu, kata Sara kepada dirinya sendiri, tapi seperti semuanya baru saja berlaku semalam. Dia bukan lagi perempuan yang sama seperti sebelas tahun yang lepas. Sara sudah pun berkahwin dan melupakan Jack malahan mempunyai dua orang anak. Bagaimana dia boleh sampai ke kawasan kedai itu semula adalah kerana mereka sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan rakan suaminya di kawasan berdekatan. Ingatan itu datang kembali apabila kereta yang dipandu suaminya melintasi kawasan itu.

Sara minta kereta diberhentikan. Suaminya tanya kenapa. Dia hanya tersenyum, dengan jujur sekali tentunya dan menyuruh suaminya menunggunya di rumah sahaja. Ingatan sebelas tahun lalu itu kemudian perlahan-lahan penuh dan lengkap kembali.

Jika dia tidak diselamatkan dulu, dia tak akan bertemu dengan lelaki yang akan tulus menyayanginya dan melihat dua anak perempuannya membesar. Dia tak mungkin tahu apa rasanya menjadi seorang isteri apatah lagi seorang ibu andai kata tubuhnya ditemui penyapu jalan dan bukan lelaki kedai makan itu.

Sara menyentuh jari-jemari mannequin itu. Dulu dia tak pernah berpeluang menyentuhnya. Kini yang ada hanyalah sebahagian kecil jasad patung yang bermakna itu. Sara meluruskan jari-jemarinya dan berjabat dengannya. Setelah itu dia membuka beg tangannya dan mengeluarkan sebatang pen. Dipadamnya baris kata lama dengan menggarisnya berulang kali, dan di bawahnya, dia menulis baris kata yang baharu.

Cinta sentiasa tumbuh di sini.

Gambar ehsan Eduardo Goody di Unsplash

telegram eksentrika

siar cerpen malaysia eksentrika scaled

Lucy Montk

Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.

Contribute to Us

We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.

SUBMIT

Other Stories You May Like

CERPEN | Poppy oleh M. Navin

Poppy oleh M. Navin

M. Navin

cerpen kuil 'kanni' oleh m. navin

CERPEN | Kuil ‘Kanni’ oleh M. Navin

M. Navin

kuku m navin scaled

CERPEN | Kuku oleh M. Navin

M. Navin

Cerpen Bertemu Seniman Di Hotel Bajet oleh Abdullah Hussaini

CERPEN | Bertemu Seniman Di Hotel Bajet oleh Abdullah Hussaini

Abdullah Hussaini

jan kopriva Fkt gbaYJMs unsplash scaled

CERPEN | Bisa oleh M. Navin

M. Navin

milan ivanovic yFaDNEz4GQA unsplash scaled

CERPEN | Sayang? oleh Perevenia Shan

Perevenia Shan

About Eksentrika

Eksentrika is an arts community and an online Asian arts magazine with an artist registry. Join us to get inspired and find Asian artists here!

Quick Links

  • About Eksentrika
  • Contact Us
  • F.A.Q.

Join Our Newsletter

 


All Rights Reserved © 2021 Eksentrika | By eJeeban Web Design Company

  • Eksentrika Facebook
  • Eksentrika Instagram
  • Eksentrika Twitter
  • Eksentrika Linkedin
  • Eksentrika Telegram