Tembak! Tembak! Di belakang! Depan! Terjun … Cepat! Kejar sampai dapat. Ini peluang terbaik. Pastikan dia tertembak. Biar dia mampus. Sudah ramai yang kena sasaran. Ada yang terlepas. Tapi, akan dihapuskan juga akhirnya.
Sungguh ligat dan bersemangat. Tanpa bergerak dari tempat duduk. Tanpa mengeluarkan setitik peluh. Tanpa tumpahan darah, dia berjaya menumpaskan musuh. Musuh yang menawan empayar.
Setiap petang, inilah aktivitinya. Selepas makan tengah hari, jam 2:00 petang adalah saat yang ditunggu-tunggu. Pertempuran akan bermula.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), memang rancak aksi-aksinya. Kaki dan tangan juga bergerak. Seronok mengawal pergerakan menggunakan alat kawalan jauh. Jari-jemari bergerak cukup pantas.
Siap berkomunikasi dengan kawan-kawan di luar sana. Tanpa mengenal penat, dia sanggup duduk berjam-jam di kerusi. Minum pun tidak. Apa lagi makan. Penuh fokus. Kekadang, berlanjutan hingga malam.
Akhirnya, dia tidak mengenal simpati dan kasih sayang. Apa yang dia ingat hanyalah tembak dan tendang. Terjun dan lari. Dia mesti menang.
Dia tidak sanggup menolong orang. Dia tidak sanggup berkongsi makanan. Dia menendang anak kucing di belakang rumah. Dia bertumbuk dengan adiknya sehingga si adik terpaksa dibawa ke hospital.
Akibat terlalu khusyuk, alam maya bertukar menjadi realiti. Dia lupa diri. Dia tidak kenal perikemanuasiaan. Kini, dia perlukan sokongan ibu bapa dan nasihat pakar untuk kembali ke alam realiti. Sebelum nyawa melayang.
Gambar ehsan Lucas Ortiz di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.