Karya ini asalnya ditulis dalam Bahasa Tamil oleh M. Navin. Ia diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh S.T. Saravanan.
Poppy yang sedang leka berlegar sambil menghidu-hidu, entah bila mengangkat kakinya untuk berkencing di tepi pintu pagar rumah jiran. Apabila terkejut mendengar bunyi kasut yang terkena pada pintu pagar besi, Poppy mengundur beberapa langkah lalu menyalak ke arah datangnya kasut yang dilemparkan tadi. Poppy terus menghidu kasut itu sambil menggoyangkan ekornya. Setelah memastikan tidak ada benda lain yang berterbangan ke arahnya, Poppy mengangkat kaki sekali lagi untuk membuang baki air kencingnya. Saya berlari ke arah Poppy dengan tergesa-gesa apabila dua titisan air kencingnya terkena pada kasut itu.
Kasut yang dilemparkan itu merupakan kasut berwarna hitam yang kukuh dan diperbuat daripada kulit. Sudah tentu Poppy meraung kesakitan jika terkena kasut itu tadi. Saya cuba menarik Poppy sambil memegang kolarnya untuk dibawa pulang. Namun, dia enggan menurut kehendak saya. Cengkaman kukunya bergeser pada jalan tar tersebut.
“Hoi, adakah kamu bodoh?” Saya menoleh ke arah datangnya suara tersebut tanpa melepaskan genggaman pada kolar Poppy. Seorang lelaki tua yang berambut kusut-masai dan berjanggut putih panjang muncul di muka pintu rumah tersebut. Kepalanya kelihatan hampir botak sepenuhnya. Kemungkinan besar dia akan kelihatan lebih muda jika janggut putihnya itu dicukur. Kening matanya yang lebat menampakkannya sebagai seorang yang berwajah bengis. Kedua-dua belah lengannya panjang sehingga melepasi paras lutut kaki. Baru saya sedar bahawa dialah orang yang dikatakan oleh Lim.
“Sanggup kamu membiarkan anjing kamu membuang air kencing di rumah orang… Bodoh!” pekiknya dengan lantang dalam bahasa Inggeris.
Sebenarnya Poppy suka kencing di merata tempat ketika kami tinggal di kampung. Kadang kala orang kampung akan memberi roti kepada Poppy sungguhpun dia pernah kencing di pekarangan rumah mereka. “Anjing kamu tidak akan hidup jika kencing lagi di sini!” pekiknya sebelum saya sempat menyusun kata-kata dalam bahasa Inggeris untuk menenangkannya.
Kata-kata daripada mulutnya itu cukup menggusarkan saya, namun saya buntu apa yang perlu dilakukan dengan serta-merta. Jika ibu mendapat tahu tentang kejadian ini, sudah tentu Poppy akan dibelasah nanti. Saya pula akan menimpa nasib yang lebih buruk daripadanya. Sudahlah ibu amat marah atas saya dan ayah saya kerana tidak membantunya untuk menyusun pakaian yang dibawa dalam bungkusan. Hubungan baik dengan jiran tetangga amat penting kepadanya. “Selepas semua orang keluar pada waktu pagi, saya tinggal berseorangan. Jiran tetanggalah orang yang mampu menghindarkan kesepian saya,” ibu pernah kata sedemikian. Kami baru berpindah ke kawasan ini, jadi ibu tidak suka membuat pertengakaran dengan mana-mana jiran.
Ketika saya dan ayah mula menurunkan perabot seperti almari pakaian, meja dan katil pada waktu pagi, datanglah seorang lelaki Cina dari rumah sebelah membantu kami. Paras rupanya mirip seperti ‘Bruce Lee’. Beliau kelihatan sangat tegap walaupun badannya sangat kurus. Beliau ditemani olah anak lelakinya yang sebaya dengan saya. ‘Bruce Lee’ agak ketakutan apabila Poppy menyalak ke arahnya. “Wah, anjing kamu kelihatan seperti anak lembu,” katanya. Beliau berjalan dengan teragak-agak di hadapan Poppy yang diikat pada tiang pintu rumah apabila terpaksa berulang-alik ke lori untuk menurunkan barang. Namun, anaknya pula tidak sabar untuk bermain dengan Poppy. Namanya Lim. Lim sudah bermanja dengan Poppy dalam beberapa minit sahaja, hanya dengan menghulurkan bola yang dibawa bersamanya. Poppy juga sudah akrab dengan Lim sehingga menjilat muka Lim sambil bersandar pada bahunya.
“Biasalah anjing jenis ‘Great Dane’ ini. Jika seseorang itu sudah disukainya, dia akan bersandar pada bahu dan menjilat muka mereka,” kata saya kepada Lim dengan kagum. “Betul, sebab itulah anjing jenis ini membesar dengan badan yang tinggi,” kata Lim pula. “Adakah kamu juga membela anjing?” wajahnya bertukar menjadi murung sebaik sahaja saya mengajukan soalan tersebut. Tanpa berkata apa-apa, dia merenung muka Poppy dengan penuh sayu.
“Setelah tamatnya cuti penggal nanti, ayah akan daftarkan kamu di sekolah yang sama dengan Lim,” saya dan Lim saling senyum mesra apabila ayah mencelah tadi. “Di kawasan ini, ancaman terhadap anjing boleh berlaku pada bila-bila masa. Harap berwaspada,” kata ayah Lim setelah menoleh ke arah rumah di hadapan. Kemudian, mereka beredar pulang dari situ.
Sejurus kemudian, datanglah Lim ke rumah saya semula untuk mengambil bolanya yang diberi kepada Poppy. “Lelaki tua yang tinggal di rumah hadapan itu kurang waras orangnya,” kata Lim dengan nada rendah seolah-olah memberitahu rahsia. Mungkin niat dia datang semula itu adalah untuk memberitahu perkara tersebut. Poppy pula mendakap bola yang diberi oleh Lim tadi dengan kedua-dua kaki hadapan, gayanya seperti tidak mahu menyerahkan bola itu semula. Apabila Lim teragak-agak untuk mengambil bolanya daripada Poppy, saya pula pergi mengambilnya. Poppy mula menyalak kerana kecewa setelah bola itu diambil semula daripadanya.
“Dia gila orangnya,” kata Lim sekali lagi sambil memusingkan jarinya di tepi kepala. Agak pelik juga untuk melihat muka Lim ketika itu. “Dia pernah membunuh cucunya sendiri. Jadi, anak-anaknya sudah meninggalkannya sebagai sebatang kara. Kini dia sedang menyara hidupnya dengan bantuan sara hidup yang dihulurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat,” kata Lim lagi.
“Mengapa pula polis tidak menangkapnya?” tanya saya kepadanya dengan penuh terperanjat.
“Pihak polis pernah menjalankan siasatan. Namun, mereka menutup kes tersebut sebagai peristiwa kemalangan pada akhirnya,” kata Lim. Cucu lelaki tua itu dilanggar kereta berhampiran dengan jalan utama kawasan perumahan tersebut. Ayah Lim berpendapat bahawa lekaki tua itu telah menolak cucunya secara sengaja di hadapan kereta. Menurut Lim, dia dan ayahnya bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat mangsa kemalangan. Dengan menggerak-gerakkan muka dan bahunya, Lim melakonkan bagaimana budak itu terlantar dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. “Sungguhpun cucunya menemui ajal, lelaki tua itu tidak menangis. Gila benar orangnya,” kata Lim lagi.
“Semua penghuni di kawasan perumahan berkata bahawa orang tua itu hilang waras sejak kematian cucunya. Sebenarnya, dia sudah hilang waras sebelum kejadian itu lagi. Orang tua itu selalu berjoging dengan cucunya yang berumur tujuh tahun di sekitar kawasan perumahan ini sambil bergelak ketawa. Saya dan ayah saya pernah melihat mereka banyak kali. Cucunya meninggal dunia pada suatu petang ketika mereka keluar berjoging,” kata Lim secara panjang lebar.
Saya cuba menjenguk ke dalam rumah orang tua itu beberapa kali. Tidak ada sebarang pergerakan orang di dalamnya. Keadaan rumah kelihatan agak gelap. Halaman rumah penuh dengan daun-daun kering. Kawasan yang tidak disimen pula ditumbuhi semak-samun yang tebal. Dinding di luar rumah kelihatan berlumut manakala gril besi di anjung tingkat atas pula reput dan berkarat.
Saya tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian yang berlaku tadi. Namun, Lim sudah melihat apa yang telah berlaku. Pada keesokan pagi, saya pergi memetik daun mangga yang diminta oleh ibu untuk diikat pada muka pintu. “Nampaknya kamu sudah kena dengan orang tua itu semalam?” tanya Lim yang datang mengekori saya. Nampaknya Lim tidak biasa menggosok gigi setelah bangun pagi, bau mulutnya yang busuk itu membuatkan saya berasa pening. Saya memberitahunya bahawa Poppy yang menjadi punca kepada segala kesulitan yang berlaku semalam. “Mengapa kamu menyalahkan anjing? Kamulah yang patut melatihnya,” kata Lim. “Bagaimanakah hendak melatih anjing?” dengan penuh kekeliruan, saya bertanya semula.
“Saya pernah membela seekor anjing. Anjing itu akan patuh pada arahan yang diberi. Anjing itu akan duduk apabila disebut ‘sit’, makan apabila disebut ‘eat’ dan datang ke arah kita apabila disebut ‘come’. Apabila disebut ‘go’, dia akan pergi pula. Cukuplah kamu melatih anjing kamu dengan empat perkataan ini,” kata Lim.
“Ke mana pula anjing kamu itu sekarang?” tanya saya kepadanya.
“Sudah mati. Termasuk anjing saya, tiga ekor anjing sudah mati di kawasan perumahan ini,” kata Lim dengan renungan yang tajam lalu berjalan pulang sambil menundukkan kepalanya.
Sebaik pulang ke rumah, saya pergi ke arah Poppy lalu membuatkannya merenung pada mata saya. Apabila saya menyebut ‘sit’, Poppy datang menjilat muka saya. Sekali lagi, saya menyebut ‘sit’ dengan tegas. Kali ini, Poppy meletakkan kaki hadapannya di atas bahu saya lalu menggoyangkan ekornya. Saya mula berasa kecewa. Saya mengundur beberapa langkah ke belakang lalu mendapatkan sebatang kayu. Kemudian, saya menyebut ‘come’ kepadanya. Kali ini, Poppy mula menyalak sambil menghentakkan kaki hadapannya beberapa kali. Dari dahulu lagi, Poppy kurang selesa dengan kayu. Jadi, saya mencampakkan kayu tersebut lalu menyebut ‘come’ sekali lagi. Poppy lantas berlari ke arah saya lalu menyandarkan kaki hadapannya di atas bahu saya. Kali ini saya berasa lega dan yakin bahawa saya dapat melatihnya dalam masa yang terdekat.
Apabila waktu senja makin hampir, Poppy mula menyalak sama seperti semalam. Dia mula bermundar-mandir di tepi pintu pagar rumah. Nampaknya dia tidak mahu berkurung lagi dalam kawasan rumah yang berpagar itu. “Bawalah Poppy berjalan-jalan ke luar,” jerit ibu dari anjung tingkat atas. Poppy mula menyalak dengan lebih nyaring seolah-olah sudah faham maksud arahan yang ibu saya pintakan tadi. Kali ini saya bertindak dengan lebih waspada. Saya membawa seutas tali lalu mengikat pada kolar Poppy sebelum membawanya keluar. Poppy mungkin berasa pelik dengan tali yang diikat pada badannya. Dia memusingkan badan lalu cuba mengigit tali tersebut. “Go Poppy… Go!” saya mula menjerit kepadanya. Poppy tidak bergerak ke arah yang diheret, sebaliknya dia telah menarik saya ke arah lain. Kekuatannya amat luar biasa dan sukar dikawal. Pernah juga saya terfikir apakah akan terjadi jika Poppy terus membesar seperti lembu jantan. Tali yang dicengkam itu makin renggang dan melecetkan tapak tangan. Apabila cengkaman tadi longgar sedikit, Poppy terus menerjah ke halaman rumah orang tua itu lalu berkencing di sana sama seperti semalam.
“Hoi, bodoh! Bukankah saya sudah beritahu kamu semalam? Adakah kamu ini jenis tidak faham bahasa?” orang tua itu mula memekik setelah muncul di muka pintu rumahnya. Nampak seperti dia sudah siap menunggu di dalam rumahnya. Dia mencari-cari sesuatu untuk dibaling ke arah Poppy.
“Bukankah kamu tidak erti membaca apa yang tertulis pada papan di luar pagar?” katanya lagi lalu membawa sebatang kayu. Kemudian barulah saya perasan terdapat sehelai kertas yang ditulis “Dogs are not allowed” dalam bahasa Inggeris. Kertas nota itu digantungkan dalam sehelai plastik lutsinar di luar pintu pagar. Nampaknya, nota tersebut baru digantungkan sejak semalam. Apatah daya Poppy untuk membaca nota yang ditulis dalam bahasa Inggeris? Inikan dia baru belajar arahan yang ringkas seperti ‘come’ dan ‘go’. Mungkin orang tua itu akan bertambah marah jika saya memberitahunya tentang perkara ini. “Saya tidak mampu mengawalnya,” balas saya kepadanya, itu pun dalam bahasa Tamil.
Setelah terdengar suara pekikan orang tua itu, ibu bergegas ke halaman rumah untuk melihat apa yang sedang berlaku. Sebaik sahaja melihat ibu di halaman, Poppy berlari ke arah ibu dengan gembira, turut mengheret saya sekali. Setelah mencium kaki ibu secara manja, Poppy menyalak sedua kali, seolah-olah mengajak ibu sekali untuk bermain dengannya. Saya turut perasan bahawa Lim sedang menyaksikan segala kejadian yang berlaku di sana sambil berdiri di anjung rumahnya. Sudah tentu dia berasa kelakar melihat nasib saya yang terpaksa berlari secara tunggang-langgang di belakang Poppy. “Stop Poppy…Stop,” sudah berkali-kali saya beri arahan kepada Poppy, namun dia tidak mengendahkannya. Karenahnya makin melampau.
Orang tua itu tidak habis-habis merungut lagi. “Saya akan membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan esok. Cis, anjing yang celaka! Anjing kamu itu tidak ada lesen di lehernya. Tunggulah, ada pegawai yang akan datang menangkap dan membunuhnya nanti!” kata orang tua itu dengan penuh marah. Nampaknya, ibu sudah faham dengan situasi yang telah berlaku. Tanpa melengahkan masa, ibu mendekati orang tua itu lalu memohon maaf atas apa yang berlaku. Ibu bertutur dengan penuh sopan dan sabar. Ibu selalu bercakap begitu sopan kepada semua orang kecuali dengan ayah sahaja. Sementara ibu sedang berdamai dengan orang tua itu, Poppy pula melepaskan diri daripada kawalan saya dengan sepenuhnya lalu mendekati ibu. Sambil berdiri dengan dua kaki hadapannya, Poppy menyalak satu kali ke arah ibu, sebagai tanda menyuruh ibu agar memeluknya. “Balik ke rumah!” pinta ibu kepadanya sambil mengetap gigi. Tanpa mengendahkan arahan ibu, Poppy mula menarik-narik kain pelikat yang dipakai oleh ibu. Saya hanya mampu melihat apa yang berlaku itu dengan penuh cemas. Hidung ibu yang makin melebar, menandakan dia sedang bertambah marah. Tanpa berlengah lagi, saya mengheret Poppy dengan sekuat yang boleh lalu membawanya pulang ke rumah.
Ibu tidak bercakap dengan saya pada malam tersebut. Dari jauh, saya hanya dapat mendengar suara ibu yang sedang bercakap dengan ayah melalui telefon. “Saya tidak mahu menunggu selama satu bulan. Abang minta pertukaran ke cawangan Kuala Lumpur serta-merta pada minggu depan,” suara ibu tidak kedengaran lagi selepas kata-kata tersebut. Nampaknya, ibu sedang menangis di biliknya. Sebaik sahaja kami berpindah ke sini, ayah terpaksa pulang ke Pualau Pinang pada hari seterusnya atas urusan kerja. Syarikat pengeluaran rempah ratus yang ayah bekerja di sana telah menggesanya untuk menyiapkan urusan kutipan duit dan pemulangan stok yang diedarkan oleh ayah ke kedai-kedai pelanggan yang terdapat di seluruh Pulau Pinang.
Pada keesokan pagi, ibu bertemu dengan ‘Bruce Lee’ dan bertanya tentang cara mendapatkan lesen anjing untuk Poppy. Setelah mendengar proses kerja itu, ibu mula mengeluh dengan penuh kecewa. “Entah di mana terletak pejabat itu, kita terpaksa menunggu sehingga ayah kamu pulang,” kata ibu dengan kecewa. Ibu memandang Poppy dengan penuh kemarahan. Poppy yang sudah faham air muka ibu itu cepat-cepat membengkokkan telinga lalu meniarapkan kepalanya ke atas lantai. Dia terus melolong dengan nada yang rendah. Tidak lama kemudian, ‘Bruce Lee’ datang ke rumah kami lalu menyerahkan seutas rantai anjing kepada ibu. Setelah berbisik sesuatu kepada ibu, beliau beredar pulang. “Jangan sesekali melepaskan Poppy daripada rantainya sepanjang malam ini,” pinta ibu kepada saya.
Poppy tidak biasa dirantai sejak kecil lagi. Saya telah membesarkannya secara bebas. Dia memandang saya dengan pelik apabila saya merantaikan lehernya. Mungkin dia keliru tentang apa yang hendak saya lakukan dengannya selepas ini. Poppy mula mengeluarkan bunyi yang pelik seolah-olah hendak memberitahu saya sesuatu. Dia juga tidak makan tengah hari pada hari itu. “Up Poppy… Up… Come on… Sit Poppy… Sit…” sudah beribu kali saya memberi arahan untuk melatih Poppy, satu pun tidak diturutnya. “Biarlah kebulur jika biadap sangat,” Poppy tetap baring tanpa menunjukkan sebarang reaksi apabila ibu merungut. Apabila waktu malam makin hampir, saya mula berasa gelisah. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk membawanya keluar dan pulang tanpa membuat sebarang masalah. Saya mula merancang misi perjalanan saya seumpama seorang ejen perisikan.
Longkang utama kawasan perumahan itu terletak di sebelah kanan rumah saya, maka saya terpaksa bawa Poppy berjalan di sebelah kiri. Di pangkal jalan sebelah kiri, terdapat sebuah rumah yang digunakan sebagai prasekolah swasta pada waktu pagi. Tidak ada sesiapa yang akan berada di rumah itu sebelah waktu petang. Kawasan pinggir di luar rumah tersebut agak luas dan ditumbuhi rumput hijau yang subur. Poppy bolehlah kencing di sana. Tanpa melengahkan masa, saya membawanya keluar dari rumah.
Pada mulanya, Poppy meronta-ronta untuk pergi ke rumah hadapan milik orang tua itu. “Sudahlah dengan apa yang kamu buat semalam di sana… Ikut saya,” apabila saya menarik rantainya dengan kuat, Poppy mula berjalan secara selari dengan rentak kaki saya. Selepas itu, dia tidak meronta-ronta lagi. Sungguh aneh juga apabila memikirkan bahawa saya dapat mengawalnya dengan begitu cepat. “Come Poppy… Come,” saya membawanya sambil memberi arahan.
Seperti yang saya sangkakan, Poppy berasa teruja setelah tiba di kawasan berumput di luar rumah prasekolah itu. Dia mula mengusik-usik seekor katak yang berkeliaran dan seekor pepatung yang berterbangan di sana. Poppy leka menghidu-hidu ranting kayu yang bertaburan, najis kering yang pernah diberak oleh anjing jalanan dan juga pili air bomba yang terdapat di kawasan itu. Tiba-tiba, Poppy menoleh ke arah saya lalu menyalak sambil menggoyang-goyangkan ekornya. Sebelum saya sempat berfikir apakah yang hendak dilakukannya, Poppy berlari laju ke arah rumah. Ketika itulah saya sedar betapa lemahnya badan saya. Saya tidak dapat menarik Poppy dengan sebelah tangan. Saya terpaksa berlari di belakang sambil mencondongkan badan dengan sepenuhnya untuk mengimbangi kelajuan Poppy. Tubuh saya tidak ada dalam kawalan saya. Tubuh saya diheret ibarat objek yang disangkutkan pada rantai yang dipegang itu. Gaya Poppy berlari dengan menekan kaki belakangnya di antara kaki depan itu menampakkannya seperti seekor harimau bintang. Sambil berlari dengan khusyuk, Poppy menoleh ke arah belakang lalu menyalak seolah-olah berkata, “Larilah sepantas saya di belakang”. Seperti apa yang saya jangkakan, Poppy mula kencing di tepi pintu pagar rumah orang tua itu.
Kali ini, ayah Lim yang terpaksa datang untuk mendamaikan orang tua itu. Ibu hanya merenung saya dengan mata yang penuh kemerahan. Poppy pula masih melompat-lompat kemanjaan tanpa menyedari apa yang sedang berlaku di sana. Saya masih tercungap-cungap menarik nafas panjang. Sebaik sahaja ibu menjerit “Poppy!” dengan penuh kemaharan, Poppy lantas berlari ke dalam rumah lalu meniarapkan badannya ke atas lantai. Bunyi ibu yang serak tadi itu nampaknya sudah membuatkan orang tua itu terkejut sekali. “Cis, tengoklah apa yang akan berlaku esok!” kata orang tua itu lalu menghempas pintu dengan kuat setelah masuk ke dalam rumah.
“Dia orang yang tidak baik. Anjing yang saya bela didapati mati di halaman rumah saya dalam keadaan bermuntah darah. Terdapat telur rebus berdekatan dengannya. Dialah orang yang membunuh anjing saya dengan meletakkan jarum ke dalam telur rebus itu. Saya pasti bahawa dialah orang yang melakukan kekejaman itu sungguhpun saya tidak melihatnya dengan mata sendiri. Ada juga penghuni lain yang pernah mengadu bahawa dia membunuh beberapa ekor anjing sebelum ini dengan cara yang sama,” kata-kata yang diberitahu oleh ayah Lim itu menambahkan lagi kerisauan ibu. Ibu terus masuk ke dalam rumah sambil mengeluh. Poppy tidak berani mendongakkan kepalanya sehingga ibu masuk ke dalam rumah. Setelah memastikan suara ibu tidak didengar lagi, Poppy mendongakkan kepalanya lalu senyum ke arah saya sambil menggoyangkan ekornya. Ibu yang masuk ke dalam rumah terus membuat panggilan telefon untuk bertengkar dengan ayah.
Sepanjang keesokan hari, ibu tidak membenarkan saya untuk melepaskan Poppy daripada rantai. Sungguhpun Lim membawa bola untuk bermain dengannya, ibu menegaskan bahawa biar Poppy duduk berantai. Ketika bermain, saya dan Lim risau juga melihat pada rantai yang hampir terungkai apabila Poppy mula bermain dengan teruja. Setelah penat menyalak sekian lama, akhirnya Poppy baring di atas lantai dengan menyilangkan kaki kanan ke atas kaki kirinya. Poppy bernafas kencang sambil menjelirkan lidahnya. Saya mula berasa hiba melihat pada nasibnya. “Poppy, janganlah kamu pergi ke rumah lelaki tua itu lagi,” rayu saya kepada Poppy setelah duduk berhampiran dengannya. Dia hanya menjilat tangan saya tanpa bersemangat. Kemudian dia menelentangkan badan dan menunjukkannya kepada saya. Poppy masih menganggap dirinya sebagai seekor anak anjing.
Apabila dibawa keluar pada waktu malam, Poppy berjalan ke hadapan tanpa bersemangat. Dia tidak meronta-ronta; tidak mundar-mandir ke sana sini. Dia berjalan terus, seolah-olah sudah tahu ke mana tempat hendak ditujunya. Setelah berkencing dan berak di kawasan berumput, Poppy mula berjalan pulang menuju ke rumah. Dari jauh lagi saya dapat melihat orang tua itu sedang berdiri di luar rumahnya. Dia sudah bersiap sedia menunggu kami sambil memegang sebatang kayu yang tebal pada tangannya. Saya terus melangkah tanpa mempedulikannya. Sebaik sahaja tiba di laluan tengah antara rumah kami dengan rumah orang tua itu, Poppy menyalak secara mengejut lalu menerjah ke arahnya. Saya tidak bersedia untuk menangani kejutan tersebut, jadi saya tidak dapat mengawal kelajuannya. Tanpa diduga, Poppy melompat ke atas bahu lelaki tua itu lalu menjilat bibirnya. Maklumlah, Poppy mempunyai lidah yang panjang, jadi pipi, dagu serta hidung orang tua itu turut dijilat sekali.
Hebohan yang dibuat oleh orang tua itu membuatkan beberapa orang penghuni keluar daripada rumah mereka untuk melihat apa yang telah berlaku. Saya mencuba sedaya yang boleh untuk menarik Poppy dengan memegang rantai yang diikat pada lehernya. Ketika itu, kuku Poppy yang tajam telah mencalarkan kulit bahu orang tua itu. Dia mula meraung kesakitan bak terkena asid pada muka. Dia mencampakkan kayu yang dipegangnya lalu pergi membilas mukanya dengan air yang disimpan di dalam baldi di halaman rumah. Beberapa orang penghuni Melayu datang untuk menenangkannya, namun dia tetap menangis sambil berteriak. Sedangkan saya berasa cemas apabila orang ramai mula berkumpul di situ, Poppy pula bertambah semangat. Poppy terus menyalak seolah-olah hendak mengajak semua orang yang berkumpul itu untuk bermain dengannya. Apabila Poppy menggeleng-gelengkan kepala, air liur yang terkumpul pada gusinya mula terpercik ke semua arah. Apa lagi, mereka yang datang untuk menenangkan orang tua itu mula lari bertempiaran dari sana. Muka Poppy kembali murung apabila tidak ada orang lagi di sekelilingnya. Ibu pula langsung tidak keluar dari rumah.
Keesokan pagi, Poppy mula menggoyang-goyangkan ekornya dengan kuat setelah melihat saya. Dia langsung tidak ingat betapa buruk saya telah memukulnya selepas kejadian semalam. Lim yang menasihatkan saya semalam bahawa tuan seharusnya memukul dan mendenda haiwan peliharaan untuk mengawal kelakuannya. “Bukankah kamu ini budak lelaki? Mengapa pula kamu tidak mampu mengawalnya?” kata-kata makian daripada ayah melalui telefon turut membangkitkan kemarahan saya semalam.
Apabila hendak memukul, saya telah merotannya secara perlahan sahaja. Rotan itu sebenarnya dibeli oleh ayah untuk merotan saya. Sungguhpun dipukul perlahan, sakitnya dapat dirasai secara mendalam. Apabila Poppy tidak bertindak balas atas pukulan tersebut, saya memberinya satu lagi dengan lebih lebat. Kali ini dia telah menarik kedua-dua kaki hadapannya ke dalam. Kemudian, dia telah membaringkan badannya pada lantai lalu meringkukkan ekornya dengan perlahan. Cara Poppy bertindak sedemikian menambahkan kemarahan saya lagi, seolah-olah dia tidak menghormati saya. Pukulan ketiga diberi dengan lebih lebat, kali ini Poppy menyalak sambil menunjukkan taringnya. Tiba-tiba, dia baring sambil menelentangkan badannya, mungkin dia hendak menunjukkan saya bahawa dia merupakan seekor anjing yang masih bersifat keanak-anakan. Namun, perbuatannya itu membuatkan saya hilang kawalan. Saya telah melibasnya tanpa belas kasihan, bak melepaskan geram yang terpendam selama tiga hari ini. Poppy yang pada mulanya meronta-ronta akibat tidak menahan kesakitan, akhirnya mula meringkukkan badan dan mula melolong dengan suara yang serak sebagai tanda menyerah kalah. Lolongannya menjadi kuat apabila beberapa libasan rotan terkena pada tulangnya.
Setelah saya duduk di sebelahnya, Poppy telah meletakkan sebelah kaki hadapannya di atas lutut saya. Adakah dia hendak maksudkan bahawa dia tidak merajuk terhadap saya? Saya tidak dapat membaca erti pandangnya. Saya mula mengusap-usap badannya, termasuk bahagian badan yang dipukul semalam. Matanya masih menadah kesayuan. Kesayuan yang mengharapkan kasih sayang. Saya memeluk Poppy dengan seerat-eratnya. “Saya tidak akan memukul kamu lagi,” saya berjanji kepada Poppy sambil mengusap bahagian dadanya pula. Telinga Poppy yang menegak itu menandakan bahawa dia sedang leka dengan kenikmatan tersebut.
Hampir sehari suntuk saya telah meluangkan masa bersama Poppy. Dia bermain-main sambil mencakar badan saya dengan penuh manja. Peristiwa yang berlaku semalam langsung tidak ada dalam ingatannya. Pada malam tersebut, saya telah bertekad untuk membawa Poppy keluar berjalan tanpa dipanggilnya. Seperti yang dijangkakan, orang tua di rumah hadapan itu menunggu kami di luar rumahnya. Sambil menghulurkan sebatang kayu, dia menatap kami dengan muka yang berang. Saya berasa benci untuk melihat wajahnya kali ini. Terlintas juga dalam fikiran saya bahawa kejadian Poppy yang kencing di tepi pagar rumahnya itu bukan suatu kesalahan yang begitu berat. Maka, saya telah melonggarkan cengkaman rantai Poppy secara sengaja.
“Jikalau hari ini anjing kamu kencing di sini, saya akan memecahkan kepalanya,” kata orang tua itu.
Saya telah mendekati orang tua itu dengan tenang. Poppy pula mula menggoyangkan ekor setelah melihatnya.
“Sudahlah kamu tidak mampu mengawal seekor anjing… Adakah kamu ini anak jantan?” katanya lagi.
“Kalau pak cik mampu, cubalah sendiri,” orang tua itu memegang rantai yang saya lemparkan kepadanya secara kelam-kabut. Entah apa yang difikir, Poppy mula berlari sambil menariknya. Orang tua itu mengekori Poppy sambil memegang rantainya. Saya menjadi buntu apabila memikirkan mengapa saya telah bertindak sedemikian. Saya sedar bahawa perbuatan saya itu merupakan suatu kesalahan yang berat. Habislah saya nanti jika orang tua itu tercedera akibat perbuatan saya itu. “Pak cik, lepaskan rantai itu,” saya mula berlari di belakangnya sambil menjerit. Orang tua itu berlari di hadapan pada jarak yang tidak jauh, namun dia tidak melepaskan rantai Poppy. Dari jauh lagi saya dapat melihat kepantasan badan dan kekuatan otot Poppy yang sedang berlari. Bulunya bersinar terkena cahaya lampu di tepi jalan. Orang tua itu sudah tidak lagi memegang kayu di tangannya.
Poppy telah mengheretnya ke sana dan ke sini dengan penuh khusyuk, bak mendapat seorang teman baharu. Orang tua itu turut berlari di belakang Poppy seperti seorang kanak-kanak. Pergerakan kakinya selari dengan rentak larian Poppy ibarat pergerakan layang-layang mengikut rentak benangnya. Saya tidak dapat melihat wajahnya dalam kegelapan pada malam itu, namun naluri dalaman meyakinkan saya bahawa dia sedang tersenyum riang. Saya telah merampas rantai daripada orang tua itu setelah mendekatinya. Kali ini, dia tidak menghalang Poppy daripada menjilat mukanya sambil bersandar pada bahu. Mukanya sedang berpeluh; nafasnya juga agak kencang. Saya merayu kemaafan daripadanya atas apa yang telah saya lakukan tadi. Saya juga berjanji bahawa saya tidak akan mengulangi perbuatan seumpama itu lagi. Dia tidak berkata apa-apa. Dalam keadaan kepala yang tertunduk, orang tua itu berjalan pulang ke rumahnya dengan tenang.
Pada malam itu, dia ditemui mati menggantung diri di dalam rumahnya. Saya dan ibu mendapat berita tersebut melalui pekerja restoran yang datang menghantar makanan ke rumah kami.
“Bukankah saya pernah memberitahu kamu? Dia memang orang yang kurang waras,” bisik Lim di telinga saya. Saya tidak berkata apa-apa kepadanya. Jika dia mendapat tahu kejadian yang berlaku semalam, dia akan mereka cerita baharu yang boleh mengundang masalah kepada saya. Pihak polis yang datang membuat siasatan telah bercakap sekian lama dengan ‘Bruce Lee’. Kemudian, anak-anak kepada orang tua itu tiba di sana. Seorang wanita dengan rambut beruban menyerahkan beberapa dokumen perubatan kepada pihak polis lalu memberi penerangan berkaitan masalah kesihatan yang dihadapi oleh orang tua itu sejak pemergian cucunya. Setelah ambulans tiba di tempat kejadian, mereka menurunkan mayat orang tua itu daripada tali lalu membawanya keluar dari rumah. Anak-anak orang tua itu menatap ke arah Poppy dengan pelik apabila Poppy melolong kuat tanpa berhenti-henti ketika itu.
Gambar ehsan Lum3n / Pexels. Hak cipta ‘Poppy’ adalah milik M.Navin.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.