Karya ini asalnya ditulis dalam Bahasa Tamil oleh M. Navin. Ia diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh S.T. Saravanan.
“Apa yang pak cik bawa itu?” aku bertanya kepadanya.
Setelah memastikan tidak ada sesiapa di sekelilingnya, dia menunjukkan sekeping pita suara lalu menyimpannya semula ke dalam beg kain berwarna hijaunya.
Sebelum ini, aku sudahpun memiliki sekeping pita suara kepunyaan syarikat R.C.A yang gagal secara komersial dalam pasaran kerana saiznya yang besar. Kalau tak salah, pita itu dibuat pada tahun 1958. Selain itu, aku juga mempunyai sekeping pita milik syarikat Philips yang dibuat pada tahun 1962. Memandangkan aku masih menyimpan pita-pita yang tidak mahu ditawar oleh pelanggan, maka aku menghayunkan tangan seolah-olah tidak mahu mengambilnya.
Kebiasaannya, aku tidak membeli apa-apa barang daripada orang yang aku tidak kenali. Aku bukan seperti ayah yang banyak berpengalaman. Aku masih bergantung pada bantuan agen pertengahan untuk meneruskan perniagaan ini. Pelanggan yang hendak berurusan dengan aku lazimnya akan mendapatkan maklumat menerusi telefon sebelum datang terus ke kedai. Orang yang datang tadi agak tua umurnya. Jadi aku membalasnya dengan hormat menerusi celah tingkap.
“Pita ini sungguh istimewa. Jarang boleh jumpa sama sepertinya lagi,” kata orang itu.
Sudah pasti dia datang selepas tamat solat Jumaat. Dia memakai songkok di kepalanya. Mukanya yang muncung penuh dengan jambang putih. Aku mengangkat tangan seolah-olah menyuruhnya sabar sebentar. Aku mengeluarkan sekeping piring hitam milik syarikat ‘EMI’ lalu menunjukkan kepadanya.
“Saloma…” jawabnya dengan bersemangat. “Aku peminat tegarnya, namun pita yang aku bawa ini lagi bernilai,” kata lelaki itu.
Dalam tempoh lima tahun ini, aku pernah berjumpa dengan ramai penjual sepertinya. Kita patut mengabaikan kelebihan-kelebihan yang sengaja ditokok tambah oleh penjual terhadap barang yang dibawanya.Pada masa yang sama, kita pula perlu menokok tambah kelebihan sesuatu barang yang hendak dijual supaya dapat menarik minat pelanggan. Inilah rahsia besar perniagaan ini. Memandangkan dia tidak mahu bergerak dari situ, aku terpaksa membuka pintu dan membenarkannya masuk. Dia memberi salam lalu memperkenalkan dirinya sebagai ‘Ismail’.
Setelah melihat ada orang masuk ke dalam rumah, burung kakak tua aku, Meenatchi mula berkicau dengan cemas.
“Burung kakak tua berwarna kelabu,” kata Ismail sambil melihatnya.
“Ya, milik ayah aku,” balas aku.
“Spesiesnya banyak terdapat di Afrika. Burung yang sangat bijak,” tambahnya lagi.
“Dulu aku pernah datang ketika Maniram popular di sini. Dia masih ada lagi?” tanyanya sambil meninjau barang-barang antik yang disusun di bilik utama itu.
Aku terasa bengang apabila sedar bahawa dia mengenali ayah aku. Namun aku tidak mahu menunjukkan kepadanya. “Sudah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu,” balas aku.
“Ayah kamu lebih tua daripada aku”.
Dia tidak menunjukkan kejutan ataupun kesedihan atas berita yang aku katakan. Kemungkinan besar kematian hanya menjadi sekadar berita kepada golongan yang sudah berusia sepertinya.
“Banyak barang yang aku lihat ketika zaman ayah kamu sudah tiada lagi. Berhampiran daun muka pintu, dia pernah menyusun pedang-pedang yang digunakan oleh askar Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Di sinilah dia menyimpan peluru-prluru meriam yang berusia 600 tahun di dalam sebuah bakul. Barang-barang tersebut penuh berhabuk dan berkarat. Bagi dirinya, barang-barang antik tidak lagi bernilai jika dibersihkan. Bagaikan bersih itu musuh kepada antik,” katanya lagi sambil terus meninjau barang-barang di situ.
“Aku sudah menjual kebanyakan barang tersebut. Ada juga barang yang disewa oleh beberapa agensi untuk tujuan pameran tetapi tidak mengembalikannya. Daripada berkarat di sini, lebih baik digunakan oleh orang lain. Jadi, aku pun membiarkannya,” balas aku kepadanya. Aku berasa bosan untuk menerangkan secara panjang lebar. Sebenarnya, aku berasa mengantuk seperti biasa selepas makan tengah hari. Sekiranya aku tidak berehat seketika, aku terpaksa tanggung rasa sakit kepala sepanjang waktu malam.
“Bukankah pelanggan tidak akan datang ke sini sekiranya kedai sentiasa ditutup,” tanyanya lagi.
“Sebenarnya ini rumah kediaman aku. Aku tidak membenarkan sesiapapun ke dalam untuk melihat barang-barang di sini. Untuk Kepada siapakah yang aku boleh berniaga di kawasan pedalaman seperti Jerantut ini? Dulu, orang putih yang sering melancong ke Taman Negara menjadi pelanggan kepada ayahku. Selepas beliau meninggal dunia, tiada lagi sesiapa yang datang. Rumah ini pun sudah hendak dijual. Lagi beberapa bulan sahaja di sini,” balasku.
“Rumah yang cantik,” katanya sambil merenung bumbung rumah. “Ayah kamu suka akan rumah yang dibina dengan tiang-tiang kayu. Sebab itulah dia membeli tanah di atas bukit ini untuk membina rumah. Ketika itu, pintu rumah ini sentiasa terbuka bagaikan pusat pameran. Tambah lagi dengan angin yang bertiup dingin.”
Aku tidak membalasnya kata-katanya. Sebenarnya aku tidak suka akan orang yang bercerita tentang ayahku. Aku sengaja buat muka tidak hirau sebab beliau mula berleter sama seperti kebanyakan orang tua.
“Adakah kamu hendak tinggalkan perniagaan ini sepenuhnya?” tanyanya lagi.
“Tidak. Aku berniat untuk menjual barang-barang antik yang laku sahaja melalui jualan dalam talian. Lebih-lebih lagi, aku ada sumber pendapatan yang lain,” balas aku tanpa menyatakan kerja sebenar aku sebagai pereka bentuk laman web. Beliau tidak akan faham walau aku menerangkannya berulang kali.
Aku mula merenung beg berwarna hijau yang dibawah bersamanya. Sekurang-kurangnya beliau akan memberitahu sesuatu tentang tujuannya ke sini apabila aku berbuat demikian.
“Boleh bawakan aku segelas air?” tanyanya. Sebelum aku sempat membawa air untuknya, beliau sudah mengambil sebuah seterika lama yang disimpan di situ dan membeleknya. Perangai ini aku tidak suka. Itulah sebabnya aku tidak membenarkan sesiapapun masuk ke dalam rumah pusaka ini.
“Aku sudah menjualnya. Esok mereka akan datang untuk membawanya,” kata aku sambil menghulurkan gelas air lalu mengambil balik seterika itu daripadanya.
“Berapakah harganya?” tanyanya kepadaku.
“Aku mempunyai enam buah lagi sepertinya. Aku menjualnya dengan harga seratus ringgit setiap satu.” balas aku.
“Keenam-enam ini bukan sama harga. Yang ada ukiran bentuk ayam jantan itu agak unik dan mempunyai permintaan yang tinggi. Istimewa seterika buatan Malaysia ini terletak pada bentuk ayam jantan itu,” jelasnya setelah mengerutkan dahi.
Aku mula berasa bengang terhadap agen-agen pertengahan ini. Namun, aku tidak mahu menunjukkan perasaan aku di hadapannya. “Apakah uniknya pita suara yang pak cik bawa itu?” terus aku bertanya kepadanya.
Dia mengangguk kepala lalu berjalan ke tempat tersusunnya periuk-periuk makanan. “Periuk-periuk ini disimpan sejak zaman ayah kamu lagi. Koleksi yang boleh dijual dengan harga yang tinggi,” katanya.
“Dua ribu ringgit!” aku terus membuka harganya.
“Tidak. Boleh melepasi harga sepuluh ribu ringgit,” katanya lagi.
“Pak cik sengaja meninggikan harganya. Tawaran harganya tidak mampu cecah setakat puluhan ribu dalam talian,” balas aku dengan intonasi sindiran.
“Betul. Adakah kamu dapat lihat bunga berwarna merah muda pada periuk empat tingkat itu?”
“Itu bunga ros.”
“Tidak. Itu bunga Peony. Bentuknya seakan-akan seperti bunga ros. Jika ada lambang bunga Peony orang Cina sanggup membeli barangnya dengan harga melipat ganda.”
Aku tidak sabar lagi untuk mendengar penjelasannya. Penjelasannya sama seperti yang disampaikan oleh ayah aku sejak 35 tahun yang lalu. Ayahku begitu terkenal suatu ketika dahulu sehingga gambarnya sering disiarkan semasa temu ramahnya dalam televisyen ataupun dalam surat khabar. Apabila keluarga menghadapi masalah kewangan untuk mengubati penyakit barah yang dihidapi oleh ibu, ayah tidak membenarkan kami untuk menjual mana-mana barangannya. Ayah percaya bahawa nilai barang-barangnya akan berganda pada suatu hari nanti. Hakikatnya, inilah kepercayaan karut yang dipegang kuat oleh setiap orang yang menjalankan perniagaan ini.
“Bukankah suatu benda itu mempunyai nilai yang tidak terhingga jika mempunyai sifat kesenian?” tanyanya sambil melihat aku secara tajam. Aku sedar bahawa beliau memang ada niat tertentu ke sini. Nampaknya, beliau bukan calang-calang orangnya.
“Adik kenal tak Mona?” tanya pak cik itu kepada aku.
“Mona Fendi,” katanya lagi apabila melihat mukaku yang seolah-olah tidak faham.
“Oh, Mona Fandey! Ahli sihir yang popular,” balas aku dengan pantas.
“Itu sahaja yang kamu tahu mengenainya?”
“Pembunuh,” balas aku.
“Dia seorang penyanyi juga,” katanya.
“Aku tahu. Dia memulakan kerjayanya sebagai penyanyi pada tahun 80-an, bukan?” kataku lagi.
“Melalui album pertamanya iaitu Diana,” balasnya pula.
Aku sudah boleh membaca niatnya ke sini dengan jelas. Aku melihat jam tanganku; jam menghampiri pukul tiga petang. Aku berjanji dengan seorang kawan untuk berjumpanya di Kuil Maran pada pukul lima petang. Aku mula berasa gelisah apabila membayangkan diriku terpaksa memandu kereta di jalan hutan itu pada waktu malam tanpa rehat yang secukupnya. Ada juga orang pernah berkata bahawa gajah sering melintas di kawasan itu.
“Lagu-lagunya boleh didapati dalam talian sekarang. Kalau pak cik memberi pita ini secara percuma pun, aku tidak mampu menjualkannya,” kataku sambil berjalan ke tepi daun pintu. Perbuatan aku itu seolah-olah menyuruhnya untuk keluar.
“Sabar dahulu. Ini bukan album Diana.” mencelahnya. “Boleh kita duduk untuk berbincang?” tanya pak cik itu sambil menarik sebuah kerusi tanpa mengunggu balasan daripadaku. “Kerusi ini agak berat,” katanya sambil melihat kerusi itu dengan teliti.
“Kalau tak silap, ini kerusi yang dibuat oleh Haji Sufian yang mereka bentuk struktur istana tanpa paku yang dibina di Kuala Kangsar itu. Kerusi ini diperbuat daripada kayu-kayan yang berbaki di sana. Dia seorang tukang kayu yang hebat. Ini mesti kerusi buatannya,” katanya sambil duduk di atas kerusi itu. Aku segera mengambil sebuah kerusi besi lalu duduk di sebelahnya.
Dia berdiam diri buat seketika. Aku menganggap dia sedang bersolat. Dia menegakkan kepalanya.
“Aku percaya kamu tidak akan memberitahu rahsia yang aku kongsikan ini kepada sesiapa,” katanya. Biji matanya kelihatan putih; mengalami masalah katarak agaknya.
“Baik, pak cik. Ceritakanlah,” kata aku kepadanya.
“Pernahkah kamu membaca tuduhan yang disabitkan ke atas Mona?”
“Ya. Siapa yang tak pernah mengambil tahunya. Aku masih budak kecil ketika itu. Orang di kampung berkata bahawa Mona telah membunuh seorang ahli Dewan Undangan Negeri pada masa itu. Dia telah mengerat mayat tersebut kepada 18 bahagian untuk ditanam di sekeliling rumahnya, bukan? Cara dia bersenyum apabila dibawa ke mahmakah setiap kali itu memang menakutkan aku.
“Mengapakah kamu berasa takut melihat senyumannya?”
“Siapakah yang sanggup senyum setelah melakukan jenayah sekejam itu? Senyum pada mukanya tidak pernah pudar semenjak hari pertama dia diberkas. Dia memancung kepala si Mazlan itu dengan hayunan kapak sekali sahaja.”
“Betul. Sebelum berbuat demikian, Mona meminta si mangsanya untuk berbaring di atas lantai dengan membayangkan dirinya dihujani dengan duit emas.”
“Sungguh kejam. Ada juga saksi berkata bahawa dia memetik bunga di kebunnya sebelum melakukan jenayah itu.”
“Daya ingatan kamu agak baik. Ketika itu, aku bertugas sebagai jurugambar di syarikat Utama Malaysia.
“Oh, pak cik sebenarnya seorang jurugambar! Ketika itu sudah ada kamera Sony Mavica, bukan?” balasku kepadanya.
“Aga lambat juga kami menggunakan kamera Sony itu. Pejabat kami hanya ada kamera SLR sahaja. Namun, ada juga syarikat akhbar yang tidak ada kamera SLR ketika itu,” katanya.
“Aku mempunyai model SLR itu. Sebenarnya, aku lebih berminat untuk menjual alat-alat yang menggunakan teknologi lama. Itulah yang paling menguntungkan dalam perniagaan ini,” kataku kepadanya.
“Aku yang mengambil gambar-gambar di tempat kejadian itu. Mona dan suaminya mengerat mayat mangsa dengan menggunakan kapak, parang yang panjang dan pisau yang tajam. Itu bukan pembunuhan yang dibuat dengan serta-merta ataupun berlaku secara kemalangan. Tangan kanan dan kiri dikerat pada ukuran yang sama panjang. Kami temui tangan kanan dikerat kepada tiga bahagian manakala tangan kiri pula dipotong kepada dua bahagian. Begitu juga dengan kakinya. Kepalanya juga dibelah dua. Aku mengambil gambar-gambarnya satu per satu.
“Mayatnya sudah reput, bukan?”
“Sebahagian. Kemudian, aku masuk ke dalam rumahnya setelah mendapatkan kebenaran untuk mengambil gambar bukti peralatan yang digunakan untuk kerja sihirnya. Seorang pegawai polis turut mengikuti aku. Rumah tersebut memang besar. Aku mengambil gambar apa jua objek yang aku nampak di sana. Ketika itulah…” dia berhenti seketika. Badannya mula berpeluh. Aku membuka kipas lalu pergi membuka pintu.
“Jangan. Biar ruang ini gelap,” dia berkata dengan tegasnya.
“Ketika itu, sesiapapun tidak dibenarkan untuk memasuki bilik Mona. Polis berkata ada lagi pemeriksaan yang perlu dilakukan. Apabila pegawai polis yang mengiringi aku tiada di situ, aku mengambil kesempatan untuk masuk ke dalam biliknya. Segala kelengkapan bilik itu hanya memantulkan imej Mona sebagai seorang penyanyi sahaja.
“Tidak ada orang untuk menafikan bahawa dia seorang penyanyi yang terbaik. Lagu ‘Ku Nyanyikan Lagu Ini’ dimainkan dalam radio secara kerap kali sewaktu dia dijatuhkan hukuman gantung,” kata aku kepadanya.
“Aku gembira melihat kamu yang suka mendengar lagu Melayu,” katanya sambil menanggalkan songkoknya. Mukanya kelihatan berbeza tanpa songkok itu. Bahagian tengah kepalanya agak licin, berbotak dan terdapat beberapa kutil hitam. Aku berasa gelisah melihat wajahnya yang masih berpeluh. Aku menawar diri untuk membawa air kepadanya.
“Tidak mahu. Aku nak habiskan dulu cerita ini. Dalam masa yang singkat itu, aku menggeledak bilik itu seboleh-bolehnya. Memandangkan pihak polis akan memeriksa lagi bilik itu, aku mengikat sehelai kain pada tangan aku supaya tidak tinggalkan kesan cap jari di situ. Ketika itu, aku menjumpai sebuah peti kaca yang cantik. Agak sukar jugak untuk membuka peti kaca itu tanpa meninggalkan kesan cap jari. Dalam peti kaca itu, terdapat lagi sebuah peti yang diperbuat daripada kayu. Lekas aku memasukkan peti kayu itu ke dalam beg aku lalu meninggalkan tempat itu.”
“Pihak polis tidak curiga dengan pak cik?”
“Aku seorang jurugambar dalam syarikat surat khabar yang popular pada masa itu. Kisah jenayah Mona pula merupakan berita sensasi yang perlu diterbitkan pada muka hadapan. Akulah orang yang menentukan gambar apa yang sesuai untuk diterbitkan pada muka hadapan surat khabar itu. Tidak ada orang untuk menyoalku jika aku hendak mengoyakkan gambar-gambar setelah diproses di bilik proses syarikat. Maka, ramai orang mengenali dan menghormati aku pada masa itu.”
“Apakah yang ada dalam peti rahsia itu?” tanya aku kepadanya.
“Sebelum Mona Fandey menerbitkan album pertamanya, dia telah menyanyikan beberapa siri lagu. Dia menjadikan lagu-lagu yang tidak diterbitkan itu sebagai suatu koleksi,” katanya sambil merenung mata aku. “Pita suara ini mengandungi koleksi lagu tersebut,” katanya lagi.
Mindaku sudah mula mengira-ngira. Sekiranya pita suara dengan koleksi lagu sebegitu benar-benar wujud, maka tinggi nilainya dalam pasaran gelap. Kita tidak akan tahu siapa pembelinya. Begitu juga dengan penjual, tidak perlu mendedahkan identitinya. Pemindahan jumlah wang yang dijanjikan akan ditunaikan ke dalam akaun bank. Walaupun aku dapat membayangkan keuntungan yang bakal diperoleh, namun aku tidak menunjukkan sebarang reaksi pada wajah. Aku membiarkannya untuk sambung ceritanya.
“Ada sepucuk surat dengan pita suara itu,” tambahnya lagi.
“Surat yang ditulis untuk siapa?”
“Aku tidak tahu mengenainya. Namun, lelaki yang diberkas sekali dengan Mona itu suami ketiganya, iaitu Afendi.”
“Apa yang pak cik maksudkan? Adakah Mona mempunyai hubungan sulit dengan…”
“Aku tidak tahu jawapannya. Namun, aku rasa dia menulis surat rahsia tersebut untuk seseorang yang sangat diyakininya. Kadang kala aku terfikir juga sama ada Mona menulis surat itu untuk seorang yang dia langsung tidak kenali sebelum itu. Namun, kandungan surat itu pula berbunyi bagai dia hanya percaya akan orangnya itu.”
“Apakah kandungan suratnya itu?” tanya aku kepadanya. Minat untuk mengetahui kandungan surat itu sudahpun tercetus dalam hatiku. Barang yang disediakan dengan surat jaminan ini mempunyai nilai yang agak istimewa. Kadang kala, tandatangan yang terdapat dalam surat jaminan itu melipat ganda nilainya berbanding dengan barang yang dijual. Aku pernah lihat bola lama yang sudah buruk dijual dengan nilai ribuan ringgit hanya kerana mempunyai tandatangan Arumugam, penjaga gol Malaysia yang popular suatu ketika dahulu.
“Aku sudah hafal setiap baris ayat dalam surat itu. Aku pernah membacanya seribu kali. Dalam surat itu, Mona menyatakan bahawa dia sendiri yang mengarang lirik-lirik lagu dalam koleksi itu. Dia menyanyikan lagu-lagu itu dengan penuh jiwa sampai pernah melupakan dirinya. Sepatutnya, koleksi tersebut menjadi album pertamanya. Oleh sebab cita rasa pendengar lagu pada masa itu tidak setanding untuk menghayati keindahan lagu-lagu tersebut, maka Mona mengambil keputusan untuk menerbitkan koleksi lagu pop iaitu album ‘Diana’. Dalam suratnya juga dia menyatakan bahawa dia akan meninggal dunia tidak lama lagi. Dia hendak lagu-lagunya itu diterbitkan sebagai album sekiranya wujud peminat muzik yang suka akan lagu-lagunya setelah dia tiada lagi di bumi ini.”
Aku dapat melihat ketakutan menerusi matanya.
“Mona sudah tahu lebih awal bahawa dia akan meninggal dunia. Dia sengaja melakukan jenayah membunuh semata-mata untuk dijatuhkan hukuman gantung sampai mati,” kataku kepadanya.
“Mungkin dia sudah menilik masa depannya.”
“Adakah pak cik pernah mendengar lagu-lagu tersebut?”
“Tidak. Ketika itu, aku tinggal sebilik dengan beberapa orang rakan sekerja. Aku khuatir rahsia ini tersebar luas sekiranya mereka dapat tahu. Aku risau pihak polis akan memberkasku. Lagu-lagunya sering dimainkan dalam radio. Maka, orang awam dapat mengecam suaranya dengan mudah. Lebih-lebih lagi, aku berasa ketakutan apabila mendengar suaranya.”
“Aku berasa hairan melihat pakcik tidak pernah mendengar lagu-lagu dalam pita suara itu.”
Aku mula mencurigakannya. Ini teknik tokok tambah yang lazim digunakan oleh penjual barang antik untuk menaikkan harga permintaan mereka. Aku masih mendengarnya dengan tenang. Aku sentiasa berwaspada agar tidak kena tertipu dengan helahnya.
“Aku tidak membawa pita suara itu ke bilikku. Setelah menyerahkan kamera di pejabat, aku terus balik ke rumah ibu aku di kampung. Aku menyembunyikan peti kayu itu di dalam almariku. Suratnya pula aku simpan di dalam kocek baju. Aku sering kali membacanya. Aku menyimpannya denganku.”
“Di manakah suratnya itu? Boleh aku tengok? Jikalau ada tanda tangan Mona dalam surat itu, maka boleh meneka nilainya,” kata aku kepadanya.
“Tidak. Surat itu membuatku tidak tenteram sepanjang masa. Kadang kala aku pernah membacanya pada waktu tengah malam juga. Adakah aku tertinggal mana-mana baris? Bolehkah aku menemui maksud tersebunyi daripada mana-mana perkataan? Aku membacanya beberapa kali dalam masa sehari. Akibatnya surat itu sudah koyak rabak lama-kelamaan. Tertebuk lubang pada bahagian tengahnya. Aku membakarnya pada suatu hari setelah berasa terlalu runsing dan keadaan tidak terkawal. Ketika itu aku sedar bahawa aku dapat mengimbas kembali setiap bari ayat di dalam surat itu. Ya, kandungan surat itu sudah abadi dalam diriku.”
Kecurigaan aku terhadap Ismail makin bertambah kuat. Aku mula merenungnya dengan pandangan yang tajam.
“Surat itu memang istimewa. Aku tidak pernah melihat surat yang ditulis dengan penuh berjiwa sepanjang hidup aku. Aku pernah membaca ribuan surat yang dihantar ke pejabat untuk memberi penghargaan terhadap hasil gambar-gambarku. Namun, kandungan surat itu sendiri dapat membayangkan sifat Mona yang penuh nilai keindahan. Dia mungkin pernah mempelajari kaedah tulisan kaligrafi. Surat itu ditulis dengan menggunakan huruf Roman dalam bentuk Arabik. Kertas yang digunakannya itu putih dan tidak bergaris. Surat itu dipenuhi dengan simbol-simbol muzik. Aku tidak dapat memahami kandungan surat itu pada awalnya. Perkataan yang ditulis sengaja dipisah-pisahkan. Kemudiannya, aku membacakan kandungannya berdasarkan irama muzik Hindustani ‘Mian Ki Todi’. Dia menyatakan nama irama tersebut dalam suratnya itu dengan tulisan yang kecil.”
“Pak cik mahir dalam seni muzik?”
:Tidak. Memandangkan kebanyakan orang Melayu suka akan muzik Hindustani, mungkin dia juga meminatinya. Aku mencari irama itu untuk membaca kandungan suratnya. Aku berharap irama tersebut akan membantuku untuk memahami maksudnya dengan lebih mendalam. Akan tetapi, akhirnya aku sedar bahawa kandungan yang dibaca dengan rentak irama itu melekat kuat dalam sanubari aku selama-lamanya.”
Aku sudah tidak mengantuk lagi. Sekiranya aku dapat surat seumpama itu, sudah pasti aku jualnya dengan mudah dalam laman atas talian seperti ‘Thor’. Aku agak menyesal juga tidak dapat mengaut ribuan ringgit di situ.
“Aku cuba menulis balik kandungan surat itu berulang kali. Agak sukar juga untuk percaya, di mana aku bukan sahaja boleh menulis kandungan surat itu malah boleh menulis dengan bentuk tulisan yang sama sepertinya. Mona bukan ahli sihir yang calang-calang orangnya. Lama-kelamaan aku rasa aku dibalas dendam olehnya. Aku bagai terpukau sehinggakan merungut baris-baris surat itu dalam hatiku pada setiap masa. Baris-baris itu dilafaz bagai sajak kemudiannya mula dibunyikan bagai sebuah lagu dalam diri aku. Lagu itu sentiasa dibunyikan dalam diri aku. Jadi, aku mula mengasingkan diri daripada orang lain kerana khuatir mendedahkan bunyi tersebut kepada sesiapa. Aku mula tawar hati untuk bekerja di syarikat akhbar itu. Setelah berhenti kerja, aku pulang ke kampung dan berkebun di sana.”
“Bagaimanakah dengan pita suara itu?”
“Impak yang terhasil akibat surat itu cukup mengerikan, maka aku tidak berani untuk mendengar lagu-lagu tersebut. Setelah Mona dijatuhkan hukuman gantung pada tahun 2001, aku sudah tidak berani lagi kerana dikelilingi rasa ketakutan. Masa itu aku percaya rohnya memerhatikan aku untuk mendapatkan pita suara tersebut.”
“Jikalau begitu, pak cik tidak pernah mendengar mana-mana lagu dalam pita ini walaupun untuk sekali?” tanyaku lagi.
“Tidak pernah mendengar.”
Aku bersandar pada kerusi yang diduduk itu. Aku mula berfikir sambil menutup mata.
“Pak cik sudah membakar surat yang boleh menyatakan lagu-lagu ini dinyanyikan oleh Mona. Bagaimanakah pak cik boleh membuktikan aku bahawa lagu-lagu ini miliknya?”
“Bukankah aku dah kata aku mengambil pita ini dari rumahnya; dari biliknya.”
“Bagaimanakah aku boleh mempercayainya tanpa sebarang bukti?”
Dia tidak dapat berkata-kata lagi. “Betul juga apa yang awak kata,” katanya lalu mendiamkan diri. Matanya menjadi kemerah-merahan. “Mungkin awak tidak percaya. Namun, itulah kebenarannya. Jika tidak, apa gunanya aku hendak memberitahu maklumat yang boleh membahayakan diriku sendiri ini. Kebenaran ini sahaja nilai sebenar kepada pita ini,” katanya dengan suara yang agak keras.
“Jadi, tujuan pak cik datang ke sini hanya untuk menjualkannya, betul?”
“Ya. Aku hendak melangsungkan kenduri perkahwinan anak dara aku. Jadi, aku mengambil keputusan untuk tidak menyimpannya lagi. Bakal suami anak aku itu seorang pegawai polis yang berpangkat tinggi. Maka, aku hendak menjualnya supaya boleh memperoleh duit untuk menampung perbelanjaan kenduri. Aku juga dapat tidur tanpa ketakutan selepas ini.”
“Aku tidak boleh menawar harga yang tinggi untuk ini. Sebelum itu, aku perlu memeriksa keadaannya untuk memastikan sama ada pita itu berfungsi atau tidak. Lagipun, aku perlu memastikan lagu-lagunya memang milik Mona.”
“Ini memang hasil nyanyian Mona. Lagu-lagu yang tidak pernah dinyanyikan olehnya di mana-mana. Aku pasti benda ini tinggi nilainya. Cuma aku tidak pasti saluran yang betul untuk menjualnya. Ketika itulah aku teringat akan ayah kamu. Dulu aku pernah berjumpa dengannya untuk temu ramah surat khabar. Aku pernah bermalam dua hari di rumah kamu untuk menemu ramahnya. Ketika itu, kamu masih bayi. Ayah kamu mempunyai minat dalam seni muzik. Itulah tujuannya aku merantau ke sini dari jauh untuk menjual pita itu kepadanya.”
“Betul juga. Sekiranya ayah aku masih hidup, sudah pasti dia akan membelinya dengan harga yang pak cik minta. Dia mudah ditipu. Nanti dia akan membebel kepada burung peliharaannya apabila mengalami kesempitan hidup,” balas aku sambil meluahkan kebencian yang terpendam. Aku memang berasa benci apabila bercakap tentang ayahku.
“Berapakah yang awak boleh bagi? Aku perlu bergerak dari sini secepat mungkin,” katanya lagi. Sekali lagi aku mula mengira dalam hatiku. Aku perlu mendapatkan seorang pakar muzik yang baik untuk memastikan tahap kualiti bunyi dalam pita suara itu. Kemudian, aku mampu mendapat keuntungan dalam jutaan ringgit sekiranya menjual lagu-lagu itu kepada mana-mana artis Melayu. Persaingan yang sengit dalam bidang ini sudah pasti akan meningkatkan permintaannya. Mereka terdesak untuk menghasilkan sesuatu yang baharu untuk kekal bersaing dalam pasaran. Aku mesti akan mengaut untung berlipat ganda jika apa yang dikatakannya itu betul.
“Paling banyak pun, 500 ringgit saja. Itupun jika kualiti audio dalam lagu itu masih elok,” kata aku kepadanya.
“Ini tidak adil,” kata Ismail. Nafasnya bertambah laju. Dia agak marah nampaknya. Namun, aku tidak boleh buat apa-apa dengannya.
“Ini bagaikan khazanah yang aku jaga sepanjang hayatku aku. Tidak ada lagi sama sepertinya di mana-mana. Kamu memintanya dengan harga yang tidak masuk akal. Kamu mahu menipu aku,” katanya lagi.
Aku mengambil piring hitam album ‘Saloma’ yang dikatakan lagu kegemarannya. “Pak cik boleh teka mengapa aku tidak dapat menjualnya?” tanya aku kepadanya. Dia merenung muka aku tanpa berkata apa-apa. Aku terus menunjukkan tulisan yang terdapat pada bahagian tengah piring itu.
“Aku membeli piring hitam ini dengan membayar harga dua ribu ringgit. Namun, harga pasarannya tidak dapat melepasi dua ratus pun kerana maklumat di bahagian tengah itu telah ditaip, bukannya yang ditulis. Namun Tetapi 100 keping piring yang dikeluarkan sebelum piring ini mempunyai maklumat yang ditulis dengan tulisan tangan. Harganya boleh cecah lima ribu ringgit sekarang dalam pasaran. Kita tidak boleh membeli sesuatu barang itu tanpa mengetahui permintaan sebenarnya,” jelas aku kepadanya. Aku dapat melihat matanya mula berair.
“Namun Tetapi pita ini ada satu sahaja,” katanya lagi.
“Kita tidak boleh sahkannya. Kita perlu memastikan terlebih dahulu sama ada siapa lagi yang menyimpan salinannya ataupun pernah diterbitkan sebagai lagu dalam pasaran. Harga jualan untuk pita ini hanya boleh ditentukan setelah melalui proses-proses sebegini.”
“Jikalau begitu, aku sanggup menunggu sehingga kamu habiskan prosesnya. Setelah semua selesai, kamu bagilah sebahagian daripada harga jualan yang kamu tentukan,” kata Ismail.
“Aku tidak pasti proses itu mengambil masa berapa tahun lamanya. Lagipun, aku hendak berpindah ke Kuala Lumpur. Jika pak cik tidak berpuas hati dengan harga yang aku tawarkan, pak cik boleh menjualnya kepada orang lain,” kata aku kepadanya.
Hatiku tahu bahawa dia tidak akan beredar dari situ. Dia memberitahu aku sesuatu rahsia yang tidak pernah diberitahu kepada orang lain. Sebagai seorang wartawan, dia kenal akan sistem kehakiman negara kita di mana hukuman boleh dikenakan terhadap kesalahan yang dilakukan pada masa silam. Dia tahu bahawa perbuatannya yang mencuri peralatan dari sebuah rumah di bawah kawalan pihak polis adalah suatu kesalahan besar. Lebih-lebih lagi, benda yang dicurinya ialah pita suara. Mungkin pita itu mengandungi bukti yang boleh memihak kepada Mona untuk membebaskan diri daripada tuduhan yang disabitkan. Mungkin surat yang dibakarnya itu mengandungi maklumat tentang penjenayah-penjenayah lain yang terlibat dalam kes pembunuhan itu. Sekiranya dia meninggalkanku, dirinya akan diselebungi kegelisahan. Perasaan itu lebih buruk daripada ketakutan yang diberi oleh surat Mona itu. Dia mesti tidak mahu perkara itu berlaku kepadanya. Aku pula berpura-pura menunjukkan muka cemas bagai mengejar masa. Dia terpaksa mengambil keputusan dengan segera tanpa berfikir panjang.
Ismail duduk sambil menundukkan kepalanya. Aku dapat melihat tangannya tergetar-getar akibat kegelisahan. Dengan melihat pada keadaannya, aku berasa gembira dalam hati apabila memikirkan keuntungan yang menanti aku. Lebih-lebih lagi, aku berkebolehan untuk mereka dan menokok tambah cerita-cerita yang lebih logik untuk menaikkan harga pita itu dalam pasaran nanti. Ketika itu, orang di luar sana berasa hairan dan takut apabila melihat muka Mona yang asyik tersenyum sejak dia disabitkan kesalahan. Dia tidak pernah menyesal akan perbuatannya ataupun hukuman gantung yang dijatuhkan kepadanya. Alasan di sebalik senyumannya itu masih menjadi persoalan sehingga kini. Sekiranya maksud lagu-lagu itu boleh menjawab persoalan tersebut, maka tidak hairanlah jika harga permintaannya dalam pasaran berlipat ganda. Cerita yang direka terhadap sesuatu benda yang sebenarnya menentukan nilai barang tersebut. Ismail juga menggunakan kaedah yang sama. Maka, aku yakin bahawa aku tidak akan mengalami kerugian dalam urusan ini.
“Baik. Aku bersetuju dengan harga yang kamu tawarkan,” kata Ismail. Suaranya tidak begitu menyenangkan ketika mengatakan persetujuannya.
“Bagus. Kita tentutkannya setelah mendengar lagu-lagu dalam pita itu,” jawab aku kepadanya. Aku mempunyai sebuah alat perakam pita lama yang masih berfungsi dengan baik. Aku pergi mengambilnya.
“Jangan. Aku akan tinggalkan alamat aku. Sekiranya kualiti lagu tidak memuaskan, kamu boleh datang ke tempat aku untuk mengambil duit semula,” katanya.
“Aku ni peniaga, bukan posmen,” balas aku kepadanya. Aku berniat untuk menurunkan harga yang ditawarkan itu jika kualiti audio tidak memuaskan nanti.
“Tidak. Aku tidak mahu mendengar suaranya lagi. Aku sudah muak dengan rintihan yang aku alami akibat sepucuk surat. Aku rasa ketakutan,” katanya. Berdasarkan suaranya, aku sedar bahawa dia benar-benar gelisah. Ucapannya mula gagap. Namun aku tidak menghiraukannya.
“Tiada apa yang akan berlaku. Kan aku ada di sebelah pak cik. Aku rasa pak cik ni berasa takut kerana pernah melihat sendiri mayat mangsa yang dibunuh oleh Mona itu,” kata aku untuk menenangkannya.
“Bukan… bukan itu sebabnya,” katanya. “Kamu tidak perlu memberi duit sekarang. Kamu panggillah aku nanti jika menyukainya. Aku datang menerima duitnya,” katanya lagi.
“Tidak boleh. Nanti pak cik menuduh bahawa aku yang merosakkannya jika pita itu ada apa-apa kerosakan. Kita mendengarnya di sini sekarang juga,” kataku sambil memasukkan pita ke dalam alat perakam lalu menekan suisnya.
Pita mula berputar. Aku hanya kedengaran bunyi seperti ‘ushhhhh’ yang sangat membingitkan telinga. Dia menoleh ke arah lain tanpa melihat kepada alat perakam itu. Memandangkan tiada apa-apa bunyi, aku menekan suis untuk melajukan putaran, kemudian memainkannya semula. Sekali lagi mendengar bunyi ‘ushhhhh’ yang membingitkan itu sahaja. Tidak ada lagu yang dimainkan. Aku mengambil keputusan untuk mengeluarkan pita untuk memainkan bahagian sebelahnya. Ketika itu, Ismail memegang tangan aku dengan kuat.
Meenatchi mula berkicau dengan nyaring. Meenatchi bergerak bagai tidak tentu hala dan mula melanggar dinding sangkar. Aku merenung mata Ismail. Dia sedang menatap alat perakam itu dengan penuh gelisah. Aku tidak sangka tangannya begitu kuat sehinggakan pergelangan tangan aku yang dipegangnya itu mula sakit. Aku cuba melepaskan tangan daripada pegangannya, tetapi tidak larat. Air mata berlinangan daripada mata Ismail. Tangannya mula berasa panas bagai hendak menghanguskan sesuatu. Pelepah Meenatchi pula berguguran dari atas akibat meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada sangkar. Meenatchi mula menghentak kepalanya pada dinding sangkar. Dia cuba membengkokkan besi sangkar dengan agresif menggunakan paruhnya.
Setelah cuba sekuat yang boleh, aku berjaya melepaskan tanganku daripada pegangannya lalu menghentikan alat perakam itu. Apabila aku menggoyangkan bahunya, Ismail mula tersedar diri umpama baru bangun daripada mimpinya. Burung nuri juga merebah keletihan.
“Adakah kamu mendengarnya?” tanya Ismail kepada aku.
Aku mula berasa marah. “Yang mana?” tanyaku padanya.
“Lagu yang dinyanyi oleh Mona!” katanya.
Aku tidak dapat mengawal diri aku lagi. “Cis, orang tua! Kamu ingat aku ini bodoh?” jerit aku sambil memegang bajunya. Sekiranya dia datang untuk meminta duit untuk perbelanjaannya pada awal tadi, aku sudah mneyedekahkannya. Namun, apa yang aku benci ialah niatnya untuk memperbodohkan aku.
“Kamu tidak mendengarnya? Biar betul kamu tidak mendengar apa-apa?” katanya dengan penuh cemas.
“Sudahlah, jangan berlakon lagi,” kataku sambil menghayunkan tangan untuk memukulnya. Dia sudah terkejut dengan perbuatanku itu. Aku juga terkilan dengan perbuatan aku yang melampau itu. Aku tidak patut berniat untuk memukul orang yang sebaya ayah aku. “Berambus dari sini!” kataku sambil menolaknya ke arah muka pintu.
“Benarkah kamu tidak mendengarnya? Tidakkah kamu melihat bagaimana burung kakak tua kamu itu meronta-ronta? Burung ini kenal muzik. Burung kamu itu juga mendengari lagu itu, mana boleh kalau kamu kata kamu tak dengar?” katanya lagi. Aku seolah-olah hendak memukulnya jika dia mendekati aku lagi. Aku keluarkan pita daripada alat perakam itu lalu mencampakkan ke arahnya.
“Cis, burung itu meronta kerana kamu berkeras dengan aku, bodoh!” jerit aku sambil membuka pintu.
“Apa yang kamu kata ini. Aku betul-betul terdesak untuk memerlukan wang. Bagilah aku sekurang-kurangnya 400 ringgit. Kamu sepatutnya boleh memberi sebanyak yang boleh untuk lagu-lagu ini. Bagilah aku sedikit wang dengan mengambil pita ini,” rayu Ismail kepada aku bagaikan orang yang meminta sedekah dengan menghulurkan tangan.
Aku terus menutup pintu tanpa menghiraukan rayuannya. Aku berasa cukup geram kerana ruginya waktu petang aku pada hari itu. Aku berasa tidak salah jika aku pergi luar untuk mencekik lehernya yang sudah membuatkan aku geram. Aku lekas-lekas menghampiri sangkar burung aku. Meenatchi kelihatan terlalu letih. Ada kesan pendarahan di bahagian paruhnya. Ada kukunya yang tercabut. Lantai di bawah penuh dengan bulu pelepah berwarna kelabu yang berguguran tadi. Aku berasa kasihan melihat keadaannya. Aku cuba mendukung Meenatchi yang terbaring bagai mayat tanpa sebarang daya. Tiba-tiba, Meenatchi membuka matanya secara mengejut. Aku tidak pernah melihat matanya yang seganas sebelum ini. Aku terkaku seperti batu apabila mendengar bunyi kicauannya yang begitu mengerikan; begitu aneh. Burung itu mengejangkan badannya bagai seekor burung raksasa. Dia mula mengganas sambil mengibas-ngibaskan kepaknya. Meenatchi mematuk jari aku ketika aku cuba memasukkannya semula ke dalam sangkar. Dia terbang menuju ke arah pintu utama lalu melanggarnya sebaik sahaja terlepas daripada tanganku. Aku segera membuka pintu utama rumah.
Ismail masih berdiri di luar rumahku. Aku terkejut melihat ribuan burung kakak tua terbang mengelilingi awan di atas kepalanya. Aku tidak tahu dari mana datangnya begitu banyak burung kakak tua. Aku meneliti muka Ismail. Mulutnya menanyikan sesuatu sehingga dapat melihat gusinya. Kakinya pula bergerak-gerak mengikut rentak kecil. Tangan kanannya dihayunkan tinggi di udara. Matanya ditutup; bulu keningnya bergerak-bergerak. Hidung dan tekaknya terus kembang dan kuncup tanpa henti-henti.
Perbuatannya nampak seolah-olah dia sedang bernyanyi. Namun begitu, aku tidak dapat mendengarnya. Ribuan burung kakak tua datang lagi berlegar-legar di situ sehinggakan ruang awam menjadi semakin gelap. Bunyi kicauan burung-burung itu sangat nyaring dan membingitkan telinga aku. Meenatchiku yang cedera pada bahagian kepaknya mula terbang perlahan-lahan menuju ke awan lalu bercampur dengan ribuan burung di situ. Aku hanya dapat melihat kejadian yang berlaku itu bagai orang yang tidak terdaya untuk melakukan apa-apa.
Gambar ehsan Markus Spiske di Unsplash
You must be logged in to post a comment.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Karya fiksyen yang menarik sekali
Cerita yang bagus