Semua akan berubah. Dia tidak sangka keadaan langsung tidak menyebelahinya. Dia tidak tahu bagaimana mahu menghadapi anak isterinya nanti.
Jawatan pegawai operasi yang disandang di kilang itu hampir dua puluh tahun, hilang dalam sekelip mata. Memang dia akan mendapat pampasan. Untuk berapa lamakah dia dapat meneruskan hidup dengan wang itu?
Dalam situasi pasca-Covid-19, bukan mudah mencari kerja. Jika ada pun peluang pekerjaan baharu, sudah pasti gaji kecil. Hidup pasti merana. Ketiga-tiga anak masih bersekolah.
Ketakutan melanda jiwa.
Selepas waktu kerja, dia tidak bergegas pulang ke rumah seperti biasa. Sebaliknya, dia memandu ke kedai kopi Ah Pek.
“Wah! Hari ini awak datang masa kedai mau tutup. Biasa awak mari pagi saja.”
“Hati tak senang, Ah Pek.”
“Apa hal?”
“Saya sudah dapat surat buang kerja.”
“Aiyo! Lepas ini apa awak mau buat?”
“Tak tahu, Ah Pek.”
“Awak mau minum teh? Nanti saya buat. Mahu roti bakar?”
“Tak mahulah, Ah Pek. Bagi teh cukup.”
Walaupun dia tidak ada selera makan, Ah Pek tetap membawa roti bakar bersama teh.
“Saya belanja.”
“Tak payahlah, Ah Pek.”
“Makan sajalah. Awak jangan risau pasal kerja. Isteri awak pandai masak, bukan? Saya boleh kasi itu ruang depan. Pagi, awak boleh jual sarapan. Tengah hari, boleh jual nasi sama sayur. Sewa, saya boleh kira murah sama awak. Mau buat?”
Dia tidak terkata. Roti bakar dicapai dengan tenaga baharu.
Gambar ehsan Erez Gavish di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.