Bukaan kecil pada dinding sel dibuka. Cahaya menerjah masuk menyilaukan mata. Penderitaan bakal bermula. Aku tahu. Tubuh yang telanjang, lemah, dan cedera diheret bagaikan kain buruk lalu dicampak ke dinding. Aku melepaskan erangan perlahan. Mengeliat kerana kesakitan dibelakangku. Mata kubuka perlahan.
Pada kali ini seorang sahaja pegawai dihantar untuk proses interogasi yang telah berlangsung sejak beberapa lama, yang sudah tidak dapat aku hitung lagi. Siang atau malam, tiada bezanya dalam sel kecil ini.
Lelaki berpakaian tentera itu bertinggung di hadapanku.
“Siapa kau?”
Wajah lelaki itu kurenung tajam tanpa berkata-kata. Aku kira dia merasa tercabar dengan renungan itu lalu tubuh kurusku diangkat dan diletakkan di atas kerusi dan diikat. Tali plastik berdiameter kira-kira 1cm itu menghimpit dan mencalar buah dadaku. Peritnya menyucuk ulu hati.
Kerusi direndahkan, tuala basah diletakkan atas mukaku, lalu air dituang perlahan-lahan sehingga aku lemas dengan nafas yang semakin singkat. Paru-paru bagaikan terbakar kerana kekurangan oksigen. Aku mahu meronta semahunya namun aku tahu sekiranya aku meronta semakin banyak oksigen yang akan hilang. Tubuh mula bergetar. Hampir saja aku terasa bagaikan ingin mati, tuala direntap dari mukaku. Termengah-mengah aku menarik nafas, mengisi kembali oksigen yang hilang.
Soalan-soalan interogasi yang sama, kujawab dengan kebisuan seperti biasa. Oleh kerana bukan itu jawapan yang diperlukan, aku terus disiksa, dengan tujuan untuk mematahkan semangat juang dan menyerahkan diri serta maklumat yang dicari. Namun rasa cintaku kepada negara melebihi kesakitan yang diberikan padaku.
Sedang dia ghairah menyiksaku, tanpa disedari segugus kunci terjatuh dari poket seluar sebelah kanannya. Pandanganku tepat pada si lelaki tidak guna itu agar dia tidak sedar akan kejadian itu.
Bertahan. Bertahan. Dan terus bertahan. Mulut kukunci rapat. Hanya desahan kesakitan yang kukeluarkan agar keperitan yang dirasai tidak begitu mencengkam semangat.
Lelaki itu membuka belitan tali lalu tubuhku direbahkan ke lantai. Seluar dalamnya pantas dilurutkan ke tepi. Dia berlutut dihadapanku lalu tersenyum bagaikan syaitan dan memegang kedua-dua betisku. Dengan sepenuh tenaga dan dayaku, aku mencapai kunci yang jatuh lalu bangun dan menikam lehernya berkali-kali. Mulutnya kututup. Tikaman semakin mengganas sehingga dia terkulai lembik. Matanya bulat dan garang dengan sinar kehidupan, kini perlahan-lahan malap dihadapan mataku. Aku suka melihat cahaya kehidupan menghilang dari mata musuhku. Ia mendatangkan kepuasan yang tidak terhingga seakan hampir separuh penderitaanku dapat dihilangkan. Tanganku basah dengan darah. Mayat itu aku tolak ke tepi dinding agar tiada siapa yang perasan apa yang terjadi. Aku bersihkan diri dengan tuala yang digunakan untuk menyiksaku.
Mayat kaku itu kuludah dua kali.
“Babi…”
Aku membuka pakaian seragam lelaki itu lalu kusarungkan ke tubuh. Kesakitan tidak lagi aku pedulikan. Di tepi pintu ada seorang pengawal. Pintu sel kubuka dan langkah disenyapkan sehingga tidak disedari oleh pengawal itu. Apabila sudah dekat, mulut pengawal kututup, lalu lehernya ku patahkan dengan sekuat hati dan tenaga. Mayatnya kucampak ke dalam sel. Colt M1911 milik pengawal itu kusisip ke poket.
Aku berjalan dengan tenang di laluan sel-sel itu. Topi pegawai tentera itu aku rendahkan agar tiada sesiapa kenal.
“Berhenti!”
Aku meraba Colt di poket. Aku sudah bersedia untuk menyerang saat kuberpaling. Namun tangan terhenti.
Tegak dia di hadapanku. Preston. Memandang dengan mata yang terbelalak.
***
Kunci diserahkan. Dia menjenguk melalui tingkap kereta. Wajahnya tampak berbalam diselubungi gelap malam.
“Pandu terus dari sini, kau akan sampai ke hutan yang menjadi sempadan antara Anatolia dan Valko. Di kawasan itu tiada kawalan tentera. Duit ada dalam dashboard. Pakaian ada dalam bonet. Di Valko, cari Restoran Duff and Muff. Muff adalah sekutu kita. Ini saja yang dapat aku bantu,” kata Preston dengan wajah yang serius.
Dia memandang ke kiri dan kanan. Mengintai jika ada kelibat lain selain kami berdua. Kesunyian malam menemani kami.
Aku mengangguk lalu menghidupkan enjin kereta. Rakan seperjuangku ini memegang tanganku.
“Maafkan aku.” kata Preston perlahan.
Wajah sugulnya menunduk. Bibir diketap dua-tiga kali. Genggaman semakin erat. Ada esakan yang ingin terlepas dari dada kutahan. Perlahan genggaman Preston kulepaskan.
“Aku faham. Kau hanya menjalankan tugas kau.”
***
Mata Tuan Andika terbelalak saat dia melihat aku dihadapan pintu.. Dengan pantas, aku ditarik ke dalam rumahnya lalu pintu ditutup. Anak matanya redup melihat keadaanku yang kurus, cedera, hanya dibaluti pakaian lelaki yang ku dapati daripada Preston.
“Bagaimana kau lari? Selama ini kau masih hidup?”
Aku hanya mengangkat bahu. Tuan Andika kelihatan gusar. Dia melurut rambut yang hampir separuh ditumbuhi uban-uban halus. Tubuh sasa dengan ketinggian 5 kaki 8 inci itu mundar-mandir di hadapanku dengan seluar pendek tanpa baju. Ternyata rasa mengantuknya telah hilang.
“Aku sangat bersyukur kau masih hidup. Namun aku tak pasti bagaimana aku harus laporkan situasi ini pada pihak atasan. Mereka takkan percaya kau melarikan diri.” kata Andika dengan suara sedikit tertekan.
Aku mengeluh. Hampir 10 tahun aku bekerja sebagai pegawai perisik tentera. Semua tugas aku jalankan tanpa banyak soal, malah aku sedia berkorban nyawa untuk Regalia. Apakah kepulangan aku satu beban?
***
Sesi persidangan bermula. Tiga pegawai atasan di hadapanku memandangku dengan pandangan kosong. Aku diarahkan duduk di tengah-tengah arena. Persidangan tentera dilakukan setelah aku dimasukkan ke dalam hospital dan dikuarantinkan selama 1 bulan. Selain daripada untuk memastikan aku bebas daripada sebarang senjata biologi, mereka juga mahu aku menghadiri sesi ini dalam keadaan sihat.
“Laporan perubatan Kapten Dyna Asfikar, No Tentera 75133655. Misi : Strategi ‘Counter Terrorism Anatolia’. Ketika mendaftar, berat badan di bawah normal. Hampir kebuluran. Kecederaan – satu tulang rusuk patah tanpa sebarang rawatan, slipped disc L1-L3, tulang femur retak. Kecederaan akibat disiksa secara seksual – bahagian labia terkoyak. Pelbagai lebam dan kecederaan akibat ditoreh benda yang tajam. Pernah disiksa secara ‘waterboarding’ dan diberi renjatan elektrik. Terdapat sisa hemotoksin dan neurotoksin dalam badan. Tiada kesan senjata kimia atau biologi.”
Kolam mata bertakung. Imbasan episod ngeri di Anatolia bermain di fikiran. Nafasku tahan. Sebak kubiarkan. Kepala tegak ke hadapan.
Tuan Bambang memandangku dengan pandangan yang teduh. Tuan Zulfa dan Asfar juga saling berpandangan.
“Berikan laporan kamu, Dyna,” kata Tuan Bambang perlahan.
“Selamat pagi tuan. Kapten 75133655 Dyna Asfikar melaporkan hasil intipan misi Counter Terrorism Anatolia. Anatolia ingin memusnahkan kedamaian Regalia dengan menghantar pengintip untuk masuk ke dalam kultus-kultus pergerakan agama, memulakan pemberontakan kecil-kecilan seterusnya membawa kepada rusuhan dan peperangan saudara. Misi ini diberi masa selama 5 tahun. Mereka menyasarkan bahagian barat Regalia untuk ditawan terlebih dahulu. Senarai nama pengintip-pengintip itu telah saya berikan pegawai atasan saya, Mejar Andika,” kataku sambil berdiri dalam keadaan senang diri.
“Bagaimana identiti kamu terbongkar, Dyna?” tanya Tuan Zulfa.
“Saya tidak tahu, tuan. Saya ditangkap ketika melakukan tugas harian saya sebagai pegawai rendah di kem Revgi, Anatolia,”
“Bagaimana kamu keluar?”
“Biasanya saya akan disoal siasat oleh 3-4 orang pegawai tentera. Barangkali kerana mereka fikir saya sudah lemah, maka pada malam saya melarikan diri, mereka menghantar hanya seorang pegawai tentera yang cuai dalam menjalankan tugasnya.”
Tuan Bambang, Zulfa dan Asfar berpandangan sesama sendiri.
“Kami gembira kerana latihan yang kamu terima dapat membawa kamu keluar dari kem Revgi setelah hampir 2 tahun kamu disiksa di sana,” kata Tuan Bambang.
Aku hanya mengangguk.
“Baiklah, kami memerlukan masa untuk mengesahkan kesemua laporan ini. Sementara itu, kamu tidak dibenarkan keluar dari Kementerian Pertahanan Pusat sehingga siasatan tamat. Selepas itu, jika tiada apa-apa perkara berbangkit, kamu boleh menyambung tugas kamu seperti biasa,”kata Tuan Zulfa pula.
Mereka memeriksa dokumen masing-masing. Bersedia untuk menamatkan persidangan.
“Tuan,”
Mereka mengangkat kepala. Aku memandang mereka dengan pandangan tegas.
“Ya, ada apa Dyna?”
“Usai siasatan, saya ingin bersara, tuan,”
Keenam-enam butir mata itu buntang, kemudian berpandangan sesama sendiri.
***
Reza memandangku dengan satu pandangan yang tidak dapat dimengertikan. Aku menghampirinya dan memandangnya tanpa sebarang kata. Dia memegang pipiku, menyentuh kesan torehan di pelipisku, tangannya bergetar. Airmatanya tumpah lantas dia menarikku ke dalam rangkulan. Aku dipeluk erat bagaikan tidak ingin dilepaskan.
“Aku fikir kau sudah mati … Aku fikir kau sudah mati … maafkan aku,” bisiknya di telingaku.
Dia mengongoi bagaikan bayi. Aku hanya mampu tersenyum lemah. Airmataku tumpah juga akhirnya namun kukesat perlahan. Bahunya kutepuk.
“Sudahlah … isteri kau ada dibelakang. Aku nak jumpa Didi,” aku memandang wajah isteri baru Reza yang mencuka dalam senyuman kelat.
Reza menarik tangan anak kecil berusia 6 tahun yang berdiri di belakang isteri barunya yang entah apa nama. Didi kelihatan takut-takut. Reza mendukungnya.
“Mama?”
Aku menghulurkan dukungan. Saat tangan kecil itu memeluk leherku, kehibaan tidak dapat ditahan lagi. Aku melepaskan esakan. Tubuh kecil itu kupeluk erat. Aku leraikan semua penderitaan dan kerinduan yang kupendam selama ini. Bagaikan hujan musim terkujuh, aku biarkan airmata bercerita.
“Semua orang kata mama sudah mati. Mereka bohong, kan?” tanya Didi. Anak matanya yang bundar merenung ke dalam mataku. Esakan masih bersisa.
“Mereka tak tahu mama masih hidup,” hanya itu yang mampu kubalas pada Didi. Pipi yang gebu itu kucium berkali-kali.
Reza dan isteri barunya memegang tangan Didi lalu perlahan-lahan berjalan menuju ke pos pengawal untuk keluar ketika tamat waktu lawatan.
Didi dan Reza adalah sebab mengapa aku melawan kematian di Anatolia. Yatim sejak kecil, hanya Didi dan Rezalah ahli keluargaku.
Didi berpaling lalu tersenyum dan melambaikan tangannya. Aku membalas. Perlahan-lahan mereka menghilang di sebalik pagar tinggi yang dipenuhi oleh kawat berduri. Seorang pengawal, lengkap beruniform no 4 dengan Steyr disilangkan ke bahu membuka pagar terakhir untuk mereka. Seplatun infantri sedang berkawad di hadapan bangunan utama kem. Dengan bersemangat mereka berteriak “Kiri, kanan, kiri, kanan” sehingga bergema.. Dahulu, semua ini adalah syurgaku. Kecintaanku pada Regalia tiada duanya. Tidak pernah ada penyesalan sebelum ini saat aku memilih kor yang paling berbahaya dalam Angkatan Tentera Regalia, Kor Perisikan Ketenteraan.
Kini, perasaanku bercampur-baur. Masa, Reza dan Didi telah dirampas dariku saat kecintaan pada Regalia aku manifestasikan. Berbaloikah semua ini?
Aku memakai beret merahku kembali, mengesat cebisan rumput atas butku yang berkilat, lalu melangkah lemah ke kediamanku.
***
Setelah cukup 6 bulan, siasatan tamat, laporanku disahihkan. Kesetiaanku pada Regalia diakui setelah didapati tiada tanda-tanda aku bekerjasama dengan kerajaan Anatolia. Dalam tempoh itu, aku berfikir panjang tentang kehidupan dan masa hadapan.
Pintu pejabat Mejar Andika kuketuk. Kemudian aku diarahkan masuk.
“Kamu mahu membuat laporan penamatan tugas?”
Aku tidak menjawab sebalik terus berdiri memandang Mejar Andika. Dia memandangku kembali, menarik nafas dan terus membuka kata. Bahuku ditepuk.
“Aku sangat kesal akan apa yang berlaku di Anatolia. Aku… Setelah apa yang berlaku, aku tak berhak menahan kau untuk pergi.”
Mejar Andika melepaskan sebuah keluhan.
Aku memberi tabik hormat, berdiri tegak, bersedia untuk membuat laporan.
“Saya, Kapten 75133655 Dyna Asfikar, melaporkan untuk kembali bertugas, Tuan!”
Matanya membuntang, perlahan-lahan senyuman terukir pada wajahnya. Dia menghulurkan salam.
“Selamat kembali, Kapten Dyna,”
Aku masih ada seorang ibu, iaitu Regalia. Ibu pertiwiku. Menjadi tanggungjawab aku melindunginya. Regalia masih dalam bahaya. Sebagai anak yang taat, akan kuserahkan jiwa dan ragaku padanya. Apa yang terjadi di Anatolia adalah asam garam perisik seperti aku. Apa yang tidak membunuhku, akan menjadikan aku lebih kuat.
Gambar ehsan Vidar Nordli-Mathisen.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.