Karya ini asalnya ditulis dalam Bahasa Tamil oleh M. Navin. Ia diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh S.T. Saravanan.
Perut Elangko mula berkeroncong.
Perutnya mula berasa pedih seumpama disimbah asid di dalamnya. Tangan dan kakinya mula menggeletar; begitu juga dengan kepalanya. Dia lantas menggulungkan poster gambar naga berwarna merah yang ditatapnya sekian lama.
Ibu Elangko masih belum pulang lagi.
Dia yakin bahawa ibunya akan membawa apa-apa untuk dimakannya nanti. Jadi, dia terpaksa bertahan lapar. Apabila perutnya mula sakit akibat tahan lapar, dia teringat akan wajah ibunya. Kemudian, peristiwa pahit antara dia dengan ibu telah terlintas dalam fikirannya. Hatinya yang makin berat ekoran memikirkan peristiwa pahit itu, bertambah sakit pula perutnya yang sedang lapar.
“Cis, berani kamu berkata-kata sebegitu pada saya … bagaimanakah kamu sanggup …” kata ibu lalu menyergam. Namun, dia tersungkur rebah lalu mula menangis meronta-ronta. Elangko hanya menatap kakinya yang lumpuh tanpa berbuat apa-apa terhadap reaksi ibunya. Kedua-dua belah kakinya yang lumpuh itu kelihatan seumpama ekor yang kendur, tinggal tulang dan kulit sahaja. Ibunya masih menangis-nangis; belum bertenang lagi hatinya.
Sudah hampir sebulan masa berlalu sejak insiden tersebut berlaku. Namun, suara ibunya yang menangis meronta-ronta itu pernah membuatkan Elangko bangun secara terkejut kadang-kala pada waktu malam. Setelah benar-benar terjaga, barulah Elangko akan sedar bahawa dia telah bermimpi. Bunyi yang didengarnya itu sebenarnya bunyi dengkur ibunya. Apabila melihat wajah ibunya yang tidur lena itu, Elangko akan bersangka bahawa ibunya sudah lupa akan pertengkaran yang berlaku antara mereka berdua. Dia akan bersangka bahawa segala-galanya akan kembali kepada normal apabila subuh menjelang nanti. Namun, setelah melihat muka ibunya yang masih bermasam pada keesokan pagi, dia akan terus berdiam sahaja. Hanya kenangan manis mendiang ayahnya yang akan menenangkan hatinya ketika itu.
Elangko meleraikan tali yang diikat pada tombol pintu untuk mencapai papan berodanya. Papan beroda itu dibuat secara khas untuk Elangko oleh ayahnya ketika dahulu. Papan itu diperbuat daripada kayu dan roda kereta sorong rosak yang dibuang di rumah asap. Keempat-empat roda yang dipasang pada papan itu masih berfungsi dengan elok. Ketika itu, Elangko berumur 12 tahun. Walaupun Elangko enggan duduk di atas papan itu, ayahnya telah mengangkatnya secara paksa lalu meletakkannya di atas papan beroda itu. Apabila ibu meluru untuk membantunya dengan mengangkat kaki Elangko, ayahnya menepis tangan ibunya. Ayah Elangko membawanya berjalan-jalan di luar rumah sambil mengheret tali yang diikat pada sebelah hujung papan rodanya yang boleh meluncur. Elangko berasa begitu teruja bagai memasuki dunia kayangan walaupun hanya dibawa bersiar-siar di laluan yang bertanah merah sahaja.
“Saya berasa seperti menaiki pedati, ayah,” kata Elangko kepada ayahnya.
“Semuanya demi kegembiraan kamu, nak,” kata ayahnya lalu mula berlari supaya dapat mengheret papan beroda itu dengan lebih laju.
Elangko memegang penghadang sisi yang dipasang pada papan berodanya dengan lebih kuat. Orang kampung yang sedang bekerja di ladang getah pula melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Elangko turut hendak balas lambaian mereka, namun takut untuk melepaskan tangan yang berpegang kuat pada besi penghadang sisi.
Pada minggu seterusnya, ayah Elangko telah memasang sekeping papan di antara muka pintu rumah dengan ruang kaki lima. Papan itu berfungsi sebagai gelongsor untuk memudahkan Elangko meluncur ke ruang kaki lima rumah dengan mudah. Dari rumah asap juga, ayahnya telah membawa sarung yang diperbuat daripada kain yang tebal. Kemudian, dia meletakkan tiub getah pada bahagian bawah sarung tersebut untuk dijadikan sebagai bahagian tapak tangan untuk memudahkannya ketika hendak menolak papan beroda itu. Dia begitu berpuas hati apabila memakaikan sarung tersebut pada tangan Elangko.
Ketika Elangko hendak menggerakkan papan berodanya itu buat kali pertama, pinggangnya mula berasa sakit. Buntutnya yang tidak berisi juga menyebabkan tulang punggungnya sakit. Begitu juga dengan rangka bahunya. Dia tidak terdaya untuk menolak papan beroda yang mendukung berat badannya itu.
Badannya menjadi letih dan sakit pada beberapa hari masa awal. Ayahnya yang menyapu minyak urut padanya ketika itu.
“Ayah, saya tidak mahu menggunakan papan beroda itu,” katanya pada hari-hari seterusnya.
Dia menolak papan beroda itu dan enggan menggunakannya. Apabila ayahnya memaksa Elangko untuk duduk di atas papan beroda itu, dia pernah menggigit lengan ayahnya.
“Nak, bumi ini umpama ibu kita. Bumi ini tidak akan mengecewakan kamu. Percayalah pada bumi ini. Cuba kamu tolak kerusi itu dengan penuh yakin. Ayah yakin kamu pasti boleh melakukannya,” kata ayah Elangko supaya memberi semangat kepadanya ketika dia berasa putus asa.
Elangko pernah mencuba banyak kali. Namun, papan itu tidak dapat digerakkan olehnya. Dia akan mula menangis apabila memikirkan ketidakupayaannya untuk melakukan sebarang kerja.
“Kamu tidak akan jatuh, nak. Kamu tidak akan cedera walaupun tersungkur daripada papan itu. Kuatkan semangat kamu untuk menolaknya. Beginilah caranya… Perlu tolak sedikit sahaja,” pujuk ayahnya setelah dia sendiri duduk di atas papan beroda itu untuk menunjukkan cara menggunakannya.
Dengan penuh hairan, Elangko melihat papan beroda yang mampu meluncur dengan mudah sambil membawa ayahnya di atas. Walaupun trauma untuk menggunakan papan beroda itu sudah berkurangan, namun dia berasa sukar untuk menolak papan itu sambil mendepangkan tangannya seperti seekor labah-labah. Terlintas dalam fikirannya bahawa mungkin dia berasa sukar untuk menolak papan itu kerana tidak memiliki tangan yang panjang dan kuat sama seperti ayahnya. Namun, dia bertekad untuk mencuba hanya demi ayahnya berasa gembira apabila dapat melihat anaknya yang lumpuh itu mampu bergerak ke sana dan ke sini dengan bantuan papan beroda.
Dia mula mengenal pasti posisi yang sesuai untuk duduk di atas papan beroda itu supaya berat badannya tidak terasa ketika hendak menolaknya. Rasa segan dan malu yang menyelebungi hatinya makin berkurang dan berubah menjadi semangat dan keyakinan. Semangatnya itu membuahkan hasil apabila dia dapat menggerakkan papan itu dengan perlahan-lahan. Sekiranya hendak bergerak dengan laju, maka dia terpaksa menolaknya kuat dengan tangannya. Kesannya, malam tersebut dia mengalami sakit sendi dan otot pada lengan.
Ayah Elangko tidak pernah menangguhkan tanggungjawabnya daripada menyediakan segala kehendak dan kelengkapan untuk anak kesayangannya itu. Apabila usia Elangko makin bertambah, kelengkapan di rumah yang memudahkan kehidupannya juga turut ditambahkan. Segala baju dan pakaiannya disusun di rak-rak bawah supaya memudahkan Elangko untuk mencapainya. Dahulu, Elangko akan di bawa ke bahagian perigi jika hendak mandi, kini ruang khas yang dipasang dengan penghadang zink telah disediakan di bahagian belakang rumahnya semata-mata untuk memudahkan Elangko mandi. Segala keperluannya telah disediakan mengikut kesesuaian diri Elangko, kecuali tandas awam yang dibina di hujung kampung. Elangko mula berdepan dengan cabaran sebenar apabila dia mula menggunakan tandas awam secara bersendirian tanpa bantuan ayahnya.
Di kampungnya, terdapat lima buah tandas yang dibina secara sebaris. Berbanding dengan tandas-tandas lain, tandas yang bernombor lima yang dipilih oleh ayah Elangko untuk digunakan oleh anaknya. Tandas itu dibina pada ketinggian yang agak rendah dan benar-benar berdekatan dengan bahu jalan, maka agak mudah untuk Elangko ketika hendak masuk ke dalamnya.
“Cis, celaka betul! Ada otak ataupun tidak? Bagaimana pula anak saya akan menggunakannya?” ayah Elangko akan pekik jika mendapati tandas bernombor lima itu tidak dibersihkan oleh orang yang menggunakannya sebelum itu. Jadi, ramai daripada orang kampung tidak akan menggunakan tandas yang bernombor lima itu semata-mata untuk elakkan diri daripada dimaki oleh ayah Elangko. Lebih-lebih lagi, ayah Elangko merupakan penjaga rumah asap yang terdapat di kampung itu. Ketika bekalan air ke ladang itu terganggu ataupun berkurang, orang kampung akan mencari ayah Elangko untuk mendapatkan bekalan air dari rumah asap tersebut untuk kegunaan kecemasan. Maka, orang kampung sedar bahawa merekalah yang akan menanggung rugi nanti jikalau bermasam muka dengan ayah Elangko.
Lama-kelamaan, tandas yang bernombor lima itu menjadi milik Elangko seumpama tandas peribadinya. Pada permulaan, ayah Elangko akan menemaninya ketika dia hendak menggunakan tandas itu setiap kali. Ayahnya akan berdiri di luar tandas sambil menghisap cerut sementara Elangko habis buang air besar di dalamnya. Dia akan bersenyum lebar sebaik sahaja melihat muka Elangko yang berseri-seri ketika keluar dari tandas selepas melepaskan hajatnya. Elangko akan berasa bahawa dirinya boleh melakukan banyak lagi kerja dengan mudah selagi ayahnya ada di sisinya.
Setahu Elangko, dia tidak pernah melihat ayahnya berbual secara semuka dengan ibunya. Ibunya hanya berada di rumah mereka untuk melakukan tugas memasak. Sekiranya ibu hendak bertanya ataupun memerlukan sesuatu, Elangko yang menjadi orang tengah; begitu juga kepada ayahnya. Pada hari-hari mabuk setelah minum arak, ayah Elangko akan memaki hamun ibu Elangko sambil meludahkan kata-kata kesat. Maka, tidak hairanlah daripada siapa Elangko belajar menggunakan kata-kata kesat itu. Sambil duduk di rumah, dia akan melakar gambar-gambar yang menunjukkan maksud perkataan lucah yang didengarnya. Setiap gambar kata lucah yang dilakarnya itu mesti mempunyai bentuk dan warna yang tersendiri.
Walaupun terlanjur kata dan berkelakuan kasar dengan isterinya, ayah Elangko tidak pernah berkelakuan sebegitu pada anaknya yang lumpuh itu.
“Saya masih hidup demi kamu, nak,” kata ayahnya sering kali kepada Elangko dengan mata yang sebak. Sementara anak dan ayah saling berkongsi kasih, ibunya pula akan berada di biliknya secara berseorangan. Lazimnya, ibu Elangko akan masuk tidur lebih awal. Dia akan pergi ke ladang getah untuk bekerja pada setiap awal pagi, sebelum Elangko dan ayahnya bangun.
Dadanya berasa perit setelah minum air suam untuk menahan laparnya. Apabila kerap bersendawa akibat kelaparan, kerongkongnya mula berasa pedih. Elangko lantas merangkak ke ruang dapur lalu mencari-cari apa-apa untuk dimakan supaya dapat mengalas perut buat sementara waktu. Dia menggeledah ruang dapur dengan harapan agar dapat apa-apa yang boleh ditelan untuk mengurangkan rasa kepedihan perutnya itu. Dia terus menggeledah di celah-celah periuk, di antara tin-tin barang masak dan juga di tepi dapur. Habis semua tin dan periuk yang diseluk tangannya, namun tidak ada apa-apa untuk dimakan. Makin lama makin bertambah rasa kelaparannya.
“Ibu … Saya lapar …” Elangko teringin untuk berteriak sekuat hatinya. Dia harap ibunya akan muncul di hadapannya sebaik sahaja dia berteriak. Sudah tentu ibu akan mendapatkan apa-apa untuk dimakan.
Sepanjang tempoh dua tahun yang tidak ada ayah di sisinya, Elangko bergantung sepenuh pada makanan yang disediakan oleh ibunya sahaja. Kadang kala, dia akan mengamati cara ibunya menyediakan makanan dengan penuh hairan. Seumpama seorang ahli sihir, ibunya mampu menyediakan makanan yang enak dalam beberapa detik sahaja setelah masuk ke dalam ruang dapur. Namun sejak sebulan yang lalu, ibunya tidak dapat menyediakan makanan seperti dahulu. Makanan enak yang dimasak oleh ibunya kini digantikan dengan buah betik, telur puyuh yang direbus, cendawan goreng dan sebagainya. Ada kala, dia akan membawa air rebusan beras jika ada orang kampung yang memasak nasi pada hari itu. Walaupun tidak dapat menyediakan makanan yang seenak seperti dahulu, namun ibunya masih mencuba sedaya upaya untuk membawa apa-apa makanan agar dapat mengisi perut anaknya. Ibu Elangko tidak pernah mengecewakannya dalam hal makanan.
Elangko menenangkan diri dengan harapan bahawa ibunya akan muncul dengan membawa apa-apa untuk dimakan. Nafasnya menjadi makin kencang dan tidak stabil. Dia membayangkan bahawa naga Cina yang ada di dalam perutnya itu sudah terjaga.
Hujan mula turun secara renyai-renyai.
Hanya beberapa rumah yang sebaris dengan rumah Elangko masih dihuni oleh orang kampung. Kebanyakan penghuni dari kawasan itu sudah dibawa oleh askar-askar Jepun. Pada waktu pagi ketika peristiwa ngeri itu berlaku, Elangko masih berada di rumahnya seperti biasa. Apabila seorang kerani pergi ke setiap rumah lalu memanggil nama-nama yang terdapat dalam senarai yang dipegangnya itu, hanya bunyi tangisan yang didengar sebagai balasan. Pernah juga Elangko melukiskan peristiwa tersebut sebagai gambar dengan melakarkan gelung-gelung yang berwarna biru pekat.
“Pergi bekerja di Siam sama buruknya seumpama pergi ke neraka,” rintih nenek Rattinam yang tinggal di rumah sebelah apabila nama anaknya, Manikkam dipanggil oleh kerani pada pagi itu. Dia mula menangis meronta-ronta sambil memegang kaki anaknya, rata-rata tidak mahu membenarkannya pergi. Apabila askar-askar Jepun yang datang bersama kerani mula mengertak sambil menghunuskan pedang mereka, barulah nenek Rattinam melepaskan kaki anaknya itu.
Sama seperti nenek Rattinam, ramai lagi wanita dan ahli keluarga yang menangis dan berhuru-hara apabila suami ataupun anak lelaki daripada keluarga masing-masing dipanggil keluar oleh askar Jepun. Ayah Elangko yang mengetahui perkara ini lebih awal telah pergi bersembunyi di kampung sebelah dengan rakan-rakannya. Mereka mahu melepaskan diri daripada tentera Jepun yang hendak membawa orang kampung ke Siam untuk bekerja sebagai buruh dalam pembinaan landasan kereta api. Namun, ayah Elangko dikepung oleh askar-askar Jepun ketika dia pulang ke rumah pada keesokan hari untuk makan malam.
Sedangkan ayah Elangko merayu kepada kerani sambil menunjukkan kaki Elangko yang lumpuh itu, dia ditampar oleh seorang askar Jepun. Setelah melihat suaminya ditampar dan diheret, ibu Elangko pula berlari ke arah mereka lalu merayu kepada kerani sambil menangis. Ibu Elangko merayu kepada mereka sambil memegang tangan dan kaki mereka agar melepaskan suaminya.
“Cis, berambus kamu dari sini!” apabila ayah Elangko mengusir isterinya, kerani dan askar-askar Jepun turut terperanjat. Namun, ibu Elangko tidak putus-putus merayu lagi.
“Janganlah kamu berlakon lagi. Saya tahu kamu yang menjadi dalang kepada mereka untuk menangkap saya,” kata-kata yang dilontarkan oleh ayah Elangko menyakiti hati ibunya. Ibu Elangko duduk rebah dan terus menangis teresak-esak.
Semasa mereka bergelut di ruang makan, hati Elangko berdebar-debar kerana takut bahawa dia juga akan dibawa oleh askar Jepun. Dia terus duduk meringkukkan badan sambil memegang kedua-dua belah kakinya yang lumpuh itu. Askar-askar Jepun yang mengepung rumah Elangko tidak mengendahkan rayuan ibunya. Dengan kain pelikat yang dipakai dan tangannya yang belum dicuci, ayah Elangko diheret keluar dari rumahnya. Ibu Elangko masih menangis sambil menepuk-nepuk dadanya. Ketika diheret keluar, ayah Elangko sempat berpaling ke arah anaknya. Matanya yang sayu melihat pada kaki Elangko yang lumpuh itu. Elangko sedar bahawa ayahnya tetap risau akan nasibnya nanti walaupun pada detik-detik yang cemas tersebut.
Hanya kenangan yang ditinggalkan oleh ayahnya menjadi teman kepada Elangko sepanjang tempoh dua tahun yang lalu. Apa lagi yang boleh dilakukannya dengan keupayaan fizikalnya yang cacat itu kecuali duduk termenung dan mengimbau kenangan lama.
Memandangkan ibunya masih belum pulang, Elangko menjenguk ke luar rumah supaya dapat meminta makanan daripada mana-mana jirannya. Oleh sebab terlalu lapar, matanya mula menjadi kabur. Pada mulanya, Elangko menganggap dia sedang mengantuk. Rupa-rupanya, matanya menjadi kabur kerana badannya sudah tidak ada tenaga lagi. Dia tidak pernah jatuh pengsan sebelum ini. Namun, badannya kini terlalu lemah dan hampir hendak pengsan sebenarnya. Air liur dalam mulutnya makin banyak dirembeskan kerana perutnya terlalu lapar.
Ketika itu, wanita tua yang tinggal di hadapan rumah Elangko keluar dari rumahnya untuk melihat hujan. Dia jarang keluar dari rumahnya kerana dia tinggal sebatang kara di rumah itu selepas anak dan menantunya dibawa oleh tentera Jepun untuk bekerja di Siam. Situasinya umpama jatuh ditimpa tangga, di mana saki-baki barang dan pakaian miliknya pula dicuri oleh orang yang tidak dikenali ketika dia tidur lena di rumahnya pada suatu hari. Ibu Elangko yang telah menghulurkan guni bawang yang diubah suai sebagai pakaian untuk dipakainya.
Bukan wanita tua itu sahaja yang menjadi mangsa kecurian, malah banyak lagi penghuni di kampung itu yang mengalami nasib malang yang sama sepertinya. Ada kala, barang yang hilang di rumah seorang dapat ditemui di dalam rumah orang lain pula. Namun, mereka tidak pernah membuat aduan sesama sendiri. Begitu juga, mereka tidak bermasam muka. Lama-kelamaan, mengambil atau mencuri barang milik orang lain menjadi perkara biasa dalam kalangan penduduk yang tinggal di kampung itu. Orang yang bertenaga dan berkemampuan dapatlah menjaga barang milik mereka dengan baik. Orang yang tidak berdaya pula, asyik menjadi mangsa kecurian dan akhirnya kehilangan harta benda mereka. Bagi Elangko, dia yakin bahawa tidak ada orang yang akan berani masuk ke dalam rumahnya untuk mencuri selagi dia ada di situ.
Wanita tua yang tinggal di rumah hadapan itu sudah biasa memanggil Elangko sebagai ‘Si gemuk’. Walaupun kakinya lumpuh, makin berusia makin berisi dan bertambah gemuk badan Elangko. Apabila Elangko mengalami sakit tulang belakang, dia pernah dinasihatkan oleh doktor yang bertugas di kampung itu supaya menurunkan berat badannya. Namun, Elangko gagal melakukannya. Kadang kala, dia akan cuba menghayun dan menggerak-gerakkan tangannya supaya badannya berpeluh. Berat badannya masih tidak susut walaupun dia jarang mendapat makanan yang enak dalam tempoh sebulan yang lalu.
Elangko sedar bahawa wanita tua itu akan mengejeknya dengan memanggil nama ‘Si gemuk’ jika dia meminta makanan daripadanya. Namun dia bersenyum ke arahnya. Senyumannya tidak dibalas oleh wanita tua itu, malah dia terus menutup pintu setelah masuk ke dalam rumahnya.
“Cis, berambuslah kamu, pemakan tikus!” jerit Elangko ke arahnya.
Elangko pernah terdengar desas-desus kata orang kampung bahawa wanita tua itu gemar makan gulai tikus di rumahnya. Dia pernah juga terdengar ketika Sivagamy memberitahu ibunya bahawa dia menemui kulit tikus yang dibuang di belakang rumah wanita tua itu. Pendek kata, Elangko ini jenis telinga lintah dan tajam mata orangnya. Tidak ada perkara di sekelilingnya yang boleh terlepas daripada pengetahuannya. Perkara seumpama itulah yang menjadi kandungan kepada lakaran yang dihasilkannya. Namun, gambar naga yang dilakarnya itu boleh dikatakan sebagai sesuatu perkara yang berlaku secara tidak sengaja.
Ketika musim sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, ayahnya telah membawa Elangko pergi ke kuil Cina yang terletak di kampung sebelah untuk menyaksikan tarian singa. Dia masih ingat lagi semua yang dilihatnya pada hari tersebut. Ketika mereka ke sana, matahari sudah tiba di puncak. Sepanjang perjalanan, Elangko merenung ke arah langit sambil baring pada bahu ayahnya. Dia dapat menyaksikan seekor helang yang terbang tinggi di atas langit. Kepulan awan mula bergerak perlahan-lahan di atasnya.
Dengan mulut yang lebar dan mata yang comel, kostum singa ditarikan di sekeliling kawasan kuil itu. Elangko pernah melihat tarian singa pada tahun-tahun lepas. Namun, dia menyaksikan tarian singa pada kali itu dengan lebih khusyuk. Apabila tarian naga dimulakan pula, dia mula tercengang kehairanan. Maklumlah, tarian dengan kostum naga sepanjang 30 kaki julung-julung kali diadakan pada tahun tersebut.
Naga yang bermisai, bergigi taring dan bersisik pada seluruh badannya itu kelihatan seolah-olah merenung muka Elangko dengan garang. Rentak tarian naga itu juga agak menakutkannya. Dia memeluk ayahnya dengan erat ketika menyaksikan persembahan di situ.
Pada keesokan hari, Elangko berdemam panas. Pada malam-malam seterusnya pula dia mengalami mimpi buruk yang didatangi naga. Ada kala dia bangun terkejut apabila tersedar daripada mimpinya. Selepas pergi ke kuil Muniandy untuk membuat pemujaan, barulah dia kembali normal. Setelah berbulan-bulan lama, bentuk naga itu terlintas dalam fikirannya sekali lagi pada suatu hari yang dia berkebuluran.
Elangko berasa seolah-olah naga itu sedang bergerak di dalam perutnya.
Setahu Elangko, dia tidak pernah mengalami situasi kebuluran seperti itu selagi ayahnya ada bersamanya. Dahulu kala, kopi hitam dan biskut akan tersedia di atas meja pada setiap pagi untuk dijamunya. Untuk makan tengah hari, Elangko mesti akan disajikan dengan nasi bersama gulai. Untuk makan malam pula, dia akan dihidangkan nasi dengan sambal ikan ataupun ikan goreng. Ayah Elangko seorang penggemar ikan; begitu juga dengan Elangko. Setelah habis kerja, ayahnya akan pergi ke kolam untuk memancing ikan. Tidak pernah ayahnya pulang rumah dengan tangan kosong; sekurang-kurangnya ikan haruan ataupun ikan keli akan dibawa pulang bersamanya.
Setelah pegawai-pegawai British yang menjadi tuan tanah di ladang-ladang getah pulang secara tiba-tiba ekoran daripada kehadiran tentera Jepun, penduduk kampung telah menyara keluarga masing-masing dengan bekalan makanan yang berbaki untuk beberapa minggu. “
Peniaga-peniaga Chetti telah tinggalkan kedai-kedai mereka untuk pulang ke tanah air. Kedai dan gudang mereka penuh dengan barang-barang runcit. Banyak barang yang sudah dirompak dari sana. Tidak ada pihak yang menyoalnya,” kata ayah Elangko kepada Manikkam yang tinggal di rumah sebelah.
Mulai hari itu, mereka berdua juga mundar-mandir ke pekan untuk membawa pulang barang kegunaan dapur seperti gula, susu tin, beras dan sebagainya. Ada juga orang yang membawa pulang barang berguni-guni banyaknya dengan bantuan kereta lembu. Masing-masing menyembunyikan bekalan makanan yang diperlukan di rumah mereka. Kemudian, mereka saling bertukar barang sesama mereka mengikut keperluan masing-masing, pertukaran barang seumpama sistem barter kononnya.
“Ah, buat apa perlu takut dengan golongan ‘pendek’ ini! Tidak lama lagi, mereka akan diusir oleh penjajah British semula. Usah berfikir panjang lebar lagi,” kata ayah Elangko dengan gagah pada mulanya.
Apabila bekalan beras yang disimpan di rumah mula habis, Elangko tidak lalu untuk makan ubi kayu. Oleh sebab terdesak, ayah menyertai kumpulan buruh yang bekerja sebagai penjaga lembu-lembu yang dimiliki oleh tentera Jepun. Sekiranya keluar bekerja pada pukul enam pagi, ayah Elangko akan pulang ke rumahnya dengan upah tiga ringgit pada pukul enam petang. Elangko akan berasa khusyuk untuk melihat duit kertas yang diguna pakai ketika zaman pendudukan Jepun di Malaya. Mulutnya berliur apabila melihat lambang pokok pisang bertandan yang terdapat dalam duit kertas tersebut.
Elangko teringat akan peristiwa askar-askar Jepun yang membawa pulang tandan pisang yang sudah masak dari belakang rumahnya pada tempoh hari. Askar Jepun tidak pernah meminta izin daripada sesiapa pun untuk melakukan apa sahaja yang mereka hendak. Jika mereka sudah mengidam, maka barang tersebut akan menjadi milik mereka. Pernah juga Elangko terdengar bahawa apek Cina yang enggan menyerahkan basikalnya kepada askar Jepun telah dipancung kepalanya. Orang kampung menjadi gerun apabila kepala yang dipancung itu telah dipacak pada sebatang tiang di halaman kampung sebagai tanda amaran kepada orang lain supaya tidak ada yang berani menentang mereka nanti.
Ayam dan kambing yang dibela serta hasil kebun juga akan dirampas oleh askar-askar Jepun sekiranya mereka masuk ke dalam kampung. Apabila tidak ada barang basah untuk dimasak, ibu Elangko mula menyediakan makanan seperti ubi rebus, ulam pucuk ubi dan sebagainya. Keadaan mereka menjadi lebih teruk semenjak ayahnya dihantar ke Siam. Keluarga mereka hanya dibekalkan dengan beras catuan sebanyak empat cupak untuk setiap bulan.
Elangko tidak suka makan nasi yang ditanak daripada beras catuan yang diberi. Nasinya akan menjadi hancur sebaik sahaja ditanak.
“Belum makan lagi, namun nasi ini nampak seperti sudah dimamah,” kata Elangko sebagai alasan supaya tidak makannya.
Nasi yang bercampur bau kapur itu mengganggu seleranya. Namun, dia memaksa dirinya untuk makan nasi tersebut apabila sedar bahawa tidak ada pilihan lain untuknya. Beras catuan sebanyak empat cupak itu hanya cukup untuk tempoh sepuluh hari. Untuk hari-hari seterusnya, ibu Elangko terpaksa membeli beras dengan duit yang disimpannya. Apabila duit yang disimpannya pula habis, dia terpaksa menggadaikan barang kemas serba-serbi yang ada padanya untuk mendapatkan duit.
Apabila duit tersebut juga habis, maka mereka terpaksa bergantung pada pucuk-pucuk ubi, ubi kayu, ubi keledek dan ulam paku-pakis untuk mengisi perut. Elangko pula tidak lalu untuk makan ubi dan ulam. Dia mula berdegil dan menangis sambil enggan untuk makannya. Jika ada sahaja orang kampung yang pergi memancing ataupun pergi memburu, maka ibu Elangko akan mendapatkan ikan atau daging daripada mereka dengan menawarkan ubi atau ulam sebagai penggantinya. Dia melakukan sebegitu semata-mata untuk memenuhi selera makan Elangko. Apabila bekalan ubi yang ada padanya habis, dia terpaksa meminta ikan dan daging sebagai hutang. Apabila tidak dapat menunaikan hutangnya, dia sudah tidak lagi meminta daripada mereka kerana segan untuk meminta sedekah. Lama-kelamaan, air teh yang diiringkan dengan gula kabung sahaja menjadi menu makanan mereka berdua.
Ketika merayau-rayau di jalan sekitar kampung dengan menaiki papan berodanya, Elangko pernah terserampak dengan orang ramai yang merintih kebuluran.
“Abang, sedekahlah pada kami apa-apa untuk dimakan,” terperanjat Elangko apabila ada juga kanak-kanak yang berbadan kurus-kering mendekatinya sambil meminta sedekah.
Perut sendiri pun tidak mampu untuk diisikan, apakan dayanya untuk membantu kanak-kanak tersebut. Elangko hanya mampu menunjukkan koceknya yang kosong kepada kanak-kanak itu. Pernah terfikir juga dalam hatinya bahawa alangkah baik jika koceknya penuh dengan apa-apa untuk dimakan.
Elangko sedar bahawa kehidupan orang di kampung itu tersongsang sepenuhnya sejak tentera Jepun menguasai Malaya. Rumah milik orang yang dibawa oleh askar-askar Jepun dan juga rumah milik orang yang bersembunyi di hutan telah pun dipecah masuk dan digeledah sepenuhnya. Halaman kampung tersebut sudah tidak berseri seperti dahulu lagi. Orang yang hilang tempat pergantungan dan tidak berdaya untuk bekerja kelihatan kurus kering akibat kebuluran. Yang sedihnya, anjing-anjing jalanan yang merayau-rayau di kampungnya juga kelihatan kurus kering kerana kekurangan makanan.
Hanya sedua orang kampung yang masih bertenaga untuk bekerja telah mengusahakan tanaman ubi kayu di sekeliling rumah mereka. Ada juga orang tua-tua yang sudah uzur mati kebuluran. Beberapa orang wanita yang kehilangan suami akibat angkara tentera Jepun mula hidup di bawah sebumbung. Ada juga yang sanggup menjadi wanita simpanan kepada suami orang kerana tidak sanggup hidup berseorangan. Manusia yang berkeliaran di sana sini dengan menyarungkan guni bawang sebagai pakaian membuktikan Elangko bahawa kampungnya benar-benar hilang seri dan warnanya. Segala yang dilihatnya kelihatan seperti berwarna kelabu dan perang sahaja.
Sebentar tadi Elangko berasa seperti perutnya digeser dengan sisik naga, kini terasa seperti digeser dengan taringnya pula. Dia mula berasa cemas lalu menggenggam perutnya dengan sekuat yang boleh. Setelah hujan berhenti, dia turun ke jalan. Dia cuma perlu menolak papan berodanya untuk memulakan pergerakan, nanti papan itu akan meluncur di atas jalan dengan mudah. Memandangkan roda-roda yang dipasang pada papan itu tidak berengsel, maka dia perlu menggunakan tenaga berlebihan ketika hendak mengelak kawasan yang berlopak atau bertakung air hujan sewaktu meluncur. Dia menutup hidungnya dengan baju yang dipakai supaya tidak terhidu bau tanah merah yang masih basah lepas hujan itu.
Sambil meluncur di atas jalan, dia sudah tiba di kawasan bangsal. Beberapa orang wanita sedang berborak tidak jauh dari kawasan itu. Bunyi dentuman yang nyaring pula terus kedengaran. Hatinya berkata supaya dia tidak berpaling ke arah kawasan bangsal itu. Maka, dia meluncurkan papan berodanya dengan lebih laju. Namun, papan itu meluncur pada kelajuan yang sama sahaja.
Sebenarnya, ibu Elangko bekerja di bangsal itu sehingga bulan lepas. Orang Jepun menggelar kawasan bangsal itu sebagai ‘Kutirothai’. Tidak ada seorang pun orang tempatan yang pandai menyebut nama tempat itu. Namun, tidak ada juga orang yang tidak kenal Chellaiyah yang dilantik sebagai mandor di bangsal itu. Ada juga orang kampung yang memanggilnya dengan gelaran ‘orang bangsal’. Selagi ibu Elangko bekerja di situ, mereka tidak berdepan dengan masalah kebuluran seperti mana yang dihadapi sekarang. Lebih-lebih lagi, Elangko masih dapat makan nasi setiap hari selagi ibunya bekerja di situ. ibunya pula diberi makan tengah hari di tempat kerjanya.
Seperti yang dikatakan tadi, bunyi dentuman yang nyaring asyik akan kedengaran di situ ekoran daripada kerja-kerja pengasingan bolt dan nat. Elangko pernah masuk ke dalam bangsal itu. Seluruh kawasan bangsal itu ditimbun dengan timbunan nat, bolt, skru, pencangkuk, dan sebagainya. Setiap timbunan itu akan mempunyai nat atau bolt yang berlainan saiz dan warna. Wanita-wanita yang bekerja di situ akan mengasingkan nat dan bolt tersebut mengikut kategorinya lalu mencampak skru-skru yang diasingkan itu ke dalam tong besi yang besar. Jadi, bunyi dentuman akan kedengaran secara berterusan apabila nat dan skru yang dicampak terkena pada permukaan tong besi itu.
Elangko tidak pernah melihat nat dan bolt yang begitu besar dan juga yang begitu kecil seperti yang terdapat di situ. Apabila mendapat tahu bahawa skru, bolt dan nat yang tertimbun di situ merupakan alat ganti yang diuraikan daripada senjata-senjata yang digunakan dalam perang dunia, tercetus keinginan dalam hati untuk menyentuh dan memegangnya. Setelah mendapat persetujuan ibunya, dia turut mengambil beberapa skru dan nat untuk mengasingkannya. Apabila cecair pelicin kotor yang termendap pada permukaan nat dan bolt itu melekit pada tangannya, dia berasa jijik untuk memegangnya lagi. Apabila terhidu baunya, Elangko mula berasa mual. Baunya tidak hilang walaupun tangannya telah dicuci beberapa kali. Jari-jemarinya terasa seperti memegang sesuatu yang berpasir.
Selepas beberapa hari, dia berasa bahawa badan ibunya juga berbau sama sepertinya. Sejak itu, dia enggan tidur sebelah ibunya kerana tidak lalu dengan bau tersebut. Lama-kelamaan, dia dapat menghidu bau yang sama di seluruh rumahnya.
Sejak perusahaan nat dan bolt dibawa masuk, ramai juga orang kampung yang mula bekerja di bangsal itu untuk mengatasi masalah kebuluran keluarga masing-masing. Sekali dalam setiap minggu, lori tentera Jepun akan masuk ke bangsal itu untuk menurunkan timbunan alat ganti yang perlu diurai, kemudian menurunkan guni-guni beras. Pada malam tersebut juga, pekerja-pekerja di sana akan mula mengasingkan skru, nat dan bolt mengikut tong besi yang disediakan. Minggu seterusnya, lori tentera akan datang sekali lagi untuk mengangkut tong-tong yang telah dipenuhkan. Apa yang menghairankan, semua kerja di bangsal itu dilakukan oleh pekerja wanita sahaja. Mereka diselia oleh empat orang askar Jepun dan seorang mandor, iaitu Chellaiyah.
Sama ada mengasingkan nat dan bolt ataupun mengusung tong besi yang berat itu, setiap pekerja hanya akan diberi upah dua ringgit untuk sehari. Dengan berbekalkan duit itu, ibu Elangko akan pergi membeli barang-barang dapur dari pekan. Lama-kelamaan, pekerja di bangsal itu tidak diberi upah harian, malah digantikan dengan makan tengah hari dan dua cupak beras untuk dibawa pulang. Apabila stok alat ganti yang perlu diuraikan dihantar secara berkurangan, maka hanya segelintir wanita yang akan dipanggil untuk bekerja. Jika stok yang dihantar habis diasingkan, maka mereka tidak akan dipanggil bekerja sehingga lori tentera datang lagi pada minggu seterusnya. Dalam ketika itu, ada daripada kalangan pekerja yang akan pergi bekerja di kandang ternakan babi yang diusahakan oleh orang Cina di dalam hutan.
Ibu Elangko bijak orangnya dalam kerja-kerja yang dibuat. Dia sentiasa akan memastikan dirinya dipanggil untuk bekerja setiap hari supaya periuk nasinya tidak terjejas.
Tempoh hari yang lalu, Elangko berdepan dengan situasi yang sama seperti mana yang dialaminya hari ini. Ibunya yang pergi ke bangsal pada waktu tengah hari untuk bekerja tidak pulang walaupun sudah senja. Jadi Elangko bertekad untuk keluar mencari ibunya. Hari itu perutnya tidak selapar seperti yang hari ini, seolah-olah perutnya digeser dengan sisik naga sahaja. Dari jauh, Elangko sudah melihat pintu utama bangsal itu ditutup. Ketika mengambil keputusan untuk pulang, barulah dia perasan bayang-bayang di bahagian bawah pintu utama seperti ada pergerakan orang di sebalik pintu.
Apabila dia mendekati pintu utama, suara ibunya bergelak ketawa dan bermanja-manja jelas kedengaran.
Badan Elangko sudah mula berpeluh; tangannya mula bergetar-getar. Lantas dia memusingkan papan berodanya agar menjauhi tempat itu. Hatinya yang menjadi gundah gulana menyukarkan lagi pergerakannya. Dia bergelut dengan dirinya sendiri supaya dapat meninggalkan tempat itu secepat yang mungkin. Apabila papan berodanya itu tidak tergerak-gerak, dia seakan-akan hendak bangun daripada papan berodanya lalu berlari dari situ.
Apabila terdengar bunyi ‘krik… krik…’ daripada roda yang bergeser dengan permukaan tanah ketika Elangko menolak papannya, perbualan ibu dan orang di dalam terus berhenti. Mandor Chellaiyah membuka pintu bangsal itu lalu menjenguk ke arah Elangko.
“Tidak ada sesiapa di sini,” katanya lalu menutup pintu semula. Elangko terfikir bahawa mungkin ibunya berasa serba salah untuk keluar dan menghadap mukanya ketika itu. Lebih-lebih lagi, ibunya sudah tahu bahawa yang berada di luar bangsal itu anaknya.
Pada malam hari itu, ibu Elangko pulang ke rumah dengan membawa karung kecil yang penuh dengan beras. Sebaik sahaja pulang, dia terus memulakan kerja memasak. Elangko bertekad supaya tidak mahu makan apa-apa yang dimasak oleh ibunya pada hari itu. Dia berbaring sahaja di tempat tidurnya dengan memberi alasan bahawa perutnya sakit. Namun, bau nasi yang ditanak dan gulai ikan masin membuatkan perutnya terus berkeroncong.
Seperti yang dibayangkannya selalu, perutnya sudah mula dicalarkan dengan gigi taring naga yang ada di dalam perutnya itu. Dia terus meringkukkan badannya supaya tidak menoleh ke arah dapur. Ibu Elangko berasa simpati melihat keadannya.
“Janganlah kamu baring dengan perut kosong. Tidak dapat tidur nanti,” katanya lalu menyediakan susu masam untuk Elangko.
Dia pernah dengar kata orang bahawa susu masam mampu mengubati masalah perut. Makin lama, perutnya makin bertambah lapar. Naga yang berlegar-legar di dalam perutnya tadi kini sedang berputarantara bahagian ususnya. Naga itu seolah-olah sedia untuk mengoyakkan perutnya lalu keluar dari situ.
“Bilakah ayah akan pulang?” Elangko mulakan perbualan dengan ibunya.
Ibu Elangko terus mendiamkan diri buat sekian lama.
“Entah dia akan pulang ataupun tidak,” jawabnya kemudian.
“Mengapa kamu berkata begitu?” tanya Elangko lagi.
“Dengar kata orang kampung, ramai daripada yang di bawa ke Siam itu sudah terkorban,” balas ibunya pula. Elangko naik darah setelah mendengar alasan ibunya. Dia seperti hendak mengheret ibunya sambil memegang pada sanggulnya.
“Ayah akan pulang,” kala Elangko dengan suara yang tegas.
“Perang sedang berlaku di luar sana. Masing-masing mengebom tempat musuh dengan sesuka hati. Entah siapa akan hidup ataupun siapa akan mati,” balas ibunya sambil menyediakan susu masam.
“Siapa yang beritahu kamu … orang bangsal?” tanyanya lagi.
Ibunya berpaling ke arah Elangko tanpa berkata apa-apa.
“Bukankah senang nanti untuk kamu tidur dengan orang bangsal itu jika ayah tidak pulang selama-lamanya?” katanya lagi.
Ibunya tidak pernah terfikir bahawa Elangko akan melontarkan kata-kata sebegitu.
“Apa yang kamu kata?” tanyanya dengan gelisah.
Elangko tidak dapat mengingat semula tohmahan dan makian yang dikatakan ke arah ibunya selepas itu. Dia seumpama meludahkan segala-gala yang terpendam dalam hatinya. Badannya bergegar dan nafasnya menjadi kencang. Dia hanya berhenti sebaik sahaja ibunya mula menangis. Tanpa diduga, dia terus merangkak ke arah dapur lalu meludah ke dalam periuk nasi.
Semenjak itu, Elangko sudah tidak bercakap lagi dengan ibunya. Ibunya juga tidak pergi ke bangsal itu lagi untuk mengambil upah dengan mengasingkan nat dan bolt. Elangko dapat memastikannya kerana bau cecair pelicin itu sudah tidak dapat dihidu lagi di dalam rumahnya.
Elangko meluncurkan papan berodanya ke arah ladang getah. Dalam perjananan, Elangko terserampak dengan beberapa orang budak yang gembira pulang ke rumah mereka sambil membawa baldi yang penuh dengan ikan. Semangat yang dilihat pada wajah mereka turut menyenangkan hati Elangko. Elangko pernah melihat mereka yang berbadan kurus kering suatu ketika dahulu. Kini mereka tidak mengalami kebuluran seperti dahulu lagi.
Memandangkan masa itu musim luruh, dedaun getah semuanya sudah berguguran dan pokok-pokok getah pula kelihatan seperti bogel. Dahulu kala, ada orang yang akan membersihkan dedaun yang bergugur itu kerana boleh menyebabkan kebakaran. Dedaun luruh yang mendap di bahagian tanah itu kelihatan seperti tilam yang luas. Elangko terus merenung ke arah langit yang dapat dilihat dengan jelas di celah-celah pokok getah yang bogel itu. Pokok-pokok getah yang ditanam secara selari pada jalur-jalurnya kelihatan seperti memanjang hingga ke langit.
Dengan mata yang sebak, Elangko menolak papan berodanya untuk pulang ke rumah. Tanah di belakangnya kelihatan seperti tikar yang terbentang luas. Seumpama menyentuh belon yang berisi air, tangannya ditekan di atas permukaan tanah untuk menggerakkan papan berodanya. Papan itu mula bergerak kemudian meluncur dengan laju. Hatinya berasa lapang. Angin yang kena pada mukanya ketika meluncur menguatkan semangatnya. Rambutnya yang panjang mula beralun-alun ke belakang apabila dipukul angin. Jalur-jalur pokok getah dilepasinya dengan mudah apabila meluncur dengan laju.
Setelah tiba di rumah, Elangko melihat selipar ibunya yang ada di halaman.
Ibunya sibuk memotong sesuatu di dapur. Setelah turun daripada papan berodanya, Elangko merangkak perlahan-lahan untuk masuk ke dalam rumah. Memandangkan bekalan elektrik diputuskan sepenuhnya ketika itu, lilin telah dinyalakan di rumahnya. Bayang-bayang ibunya yang sedang sibuk bekerja di dapur jelas kelihatan dalam pantulan cahaya lilin itu. Elangko pernah melihat ibunya yang bersungguh-sungguh untuk mengitar semula lilin yang telah digunakan setiap kali. Ibunya akan mengikis lilin yang telah habis dibakar, meleburkannya, kemudian menuang ke dalam batang daun betik untuk diguna semula. Dia mula melihat ibunya dengan rasa kagum. Ibunya mampu melakukan apa sahaja untuk meneruskan kehidupan mereka. Dia mampu mengharung hari demi hari dengan penuh keyakinan. Sambil merenung ke arahnya, barulah Elangko sedar bahawa badan ibunya sudah menyusut lebih daripada separuh saiz asalnya, lebih-lebih lagi dalam tempoh sebulan yang lalu.
“Mak,” Elangko teringin untuk memanggil ibunya dengan penuh kasih. Walaupun mulutnya sudah dibuka, namun katanya tersekat sahaja dalam tekak.
Ibunya datang ke arah Elangko lalu meletakkan pinggan yang berisi makanan. Mulutnya sudah muncung; pipinya sudah kecut. Muka ibunya kelihatan agak berbeza pada mata Elangko. Apabila lilin yang bernyala itu diletakkan bersebelahan Elangko, barulah dia dapat melihat kepingan isi kelapa yang dihidangkan atas pinggan itu; isi kelapa yang sudah dikeratkan kepada kepingan kecil. Mungkin itulah rezeki yang didapatnya pada hari itu. Elangko mengambil segenggam lalu masukkannya ke dalam mulut. Naga di dalam perutnya itu meluncur naik sehingga ke tekaknya untuk menelan kepingan isi kelapa itu.
Terlintas juga dalam fikirannya sama ada ibunya sudah makan ataupun belum. Sehingga hari itu, dia tidak pernah mengambil tahu sama ada ibunya makan ataupun tidak, ataupun sekurang-kurangnya memastikan ada makanan yang disimpan untuknya. Selama itu, Elangko mengandaikan bahawa ibunya selaku penyedia makanan di rumah itu akan sentiasa berada dengan perut yang kenyang.
Ibunya duduk di suatu sudut yang dipenuhi kegelapan. Sinaran matahari yang makin terbenam pada waktu senja itu masih terpancar-pancar malap hinggahalaman rumah. Sebentar lagi, kegelapan waktu malam akan menyelebungi seluruh kawasan rumahnya. Elangko tidak lalu untuk menelan makanannya. Wajah ibunya yang makin berusia itu merunsingkan hatinya.
“Mak,” suara Elangko memecahkan kesunyian waktu malam tersebut. Ibu Elangko menoleh ke arahnya selepas seketika.
“Kamu tidak makan?” tanya Elangko lagi.
Ibunya tidak membalas apa-apa.
“Mak, pergilah bekerja semula di bangsal itu. Sudah tentu kamu juga akan lapar,” ibunya mula menangis teresak-esak sebaik sahaja mendengar kata-kata Elangko itu. Elangko berasa lega apabila dapat membayangkan naga dalam perutnya itu memencilkan dirinya setelah sekian lama berbelit-belit.
Gambar ehsan Annie Spratt di Unsplash. Ikuti kami di Telegram.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.