“Kenapa kamu nampak gelisah?”
“Ya. Saya memikirkan tentang malam ini. Tentang anak-anak kita,” dia berkata sambil memandang langit yang semakin gelap.
“Malam ini? Ada apa malam ini?” Soal si isteri seakan-akan lupa. Lupa akan peristiwa yang pernah melukakan hati semua ahli keluarga.
“Sudah lupakah kamu? Malam yang meragut nyawa anakmu?”
“Memang aku tidak lupa. Tetapi apa yang boleh aku lakukan? Aku hanya mampu menjerit dan meraung sekuat hati.”
Dia kelihatan semakin risau. Takut kehilangan anak-anak tanpa dapat melihat jasad mereka. Anak bongsu, yang berumur dua bulan, mati tanpa jasad. Tidak dapat dikesan di mana-mana. Hilang bersama beberapa rakan lain. Ada yang tua dan ada yang muda.
Ada anak-anak yang hilang pendengaran. Ada yang menjadi tempang. Ada yang buta sebelah mata.
Dia tidak mahu peristiwa sama berulang. Dia bercadang untuk membawa anak-anak ke tempat yang selamat.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi letupan yang terlalu kuat.
Belum sempat dia dan keluarganya mengatur langkah untuk bergerak, dua letupan berlaku. Anak-anak mula menyalak ketakutan.
Seketika kemudian, kedengaran siren ambulans masuk ke kawasan tersebut. Dengan segera, dua paramedik turun lalu mengusung dua budak di atas strecer masuk ke dalam ambulans.
Mercun sepanjang tiga meter telah diletupkan oleh budak-budak itu. Mercun jenis sama yang pernah meragut nyawa anaknya.
Dia hanya mampu bersedih memikirkan perlakuan manusia yang tidak mahu berubah.
Gambar ehsan Gursimrat Ganda di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.