Semua orang menjangkakan dunia bakal fucked up di masa depan. Tapi tak ada yang tahu ia kerana puisi.
Cerita ini sukar dijejak di mana garis permulaannya, tapi jika ada, ia bermula dengan sebuah paradoks. Seorang rebel, kami panggil dia Mior, rongak dan berambut mangkuk, kawan sekolah saya dulu yang dihantar balik ke tahun 2008 bagi membetulkan keadaan dengan menghancurkan momen awal untuk percambahan puisi pop dan alternatif gagal menjalankan misinya. Malahan bukan itu saja, dia turut menikahi seorang pemuisi perempuan yang ditemuinya di sebuah acara sastera.
Kami di masa depan, sebuah kumpulan yang anti-puisi (tak ada kaitan dengan gerakan poet yang antipuisi) jadi kacau tak boleh bincang kerana perkhabaran itu. Tindakan Mior yang tidak membinasakan semua budak puisi, tak kiralah yang medioker, yang laku keras atau yang syok sendiri menyebabkan ideologi poetrisme semakin menguat. Mior memberitahu satu negara pada tahun 2010 bahawa dia datang dari masa depan dan ditugaskan melenyapkan puisi. Berita penting itu mendorong penerbit hiliran dan institusi bahasa nasional melupakan perseteruan yang sudah lama tercetus dan memutuskan untuk menyilang lengan pada bahu sesama agar puisi dapat dilestarikan sampai bila-bila. Meraikan puisi dimasukkan dalam Rukun Negara dan puisi dijadiakan matawang untuk beberapa transaksi di kedai-kedai kopi yang didirikan menggunakan subsidi kerajaan. Menjengkelkan bila sedang menikmati sepotong sandwich dan di kaunter, boleh terdengar pesanan untuk segelas espreso dibayar dengan ungkapan “Aku hanya ingin mengingatkan”. Kerana itu, seseorang perlu kembali ke zaman lepas bagi menyiapkan kerja Mior dan komiti kolektif memilih saya untuk mengubah sejarah buat kali kedua.
“Bawa pulang kejayaan” ucap Pengerusi “Dan kepala bedebah itu sekali.”
***
Lima belas minit sebelum bertolak, saya memeriksa beg sandang termuat bom tangan dan senjata. Kolektif kami dapatkannya daripada sebuah organisasi Siam yang turut anti pada puisi dan sudah dikategorikan sebagai kumpulan teroris. Siam juga terjajah oleh poetrisme.
Sebelum menaiki motorsikal hiper yang akan membawa saya ke tahun 2011 di mana ia adalah tahun Mior menubuhkan syarikat penerbitan buku puisinya dan menerbitkan banyak buku puisi yang menjadi tiang fahaman poetrisme moden nasional, saya membakar sebatang sigaret untuk pasang mood seorang penunggang motor.
Ia perjalanan yang jauh dan mungkin bikin mengantuk dan banyak termenung. Lohong masa akan memaparkan bingkai waktu yang bermacam seperti hari selepas saya berkhatan atau zaman persekolahan saya dan Mior. Saya tak menghalang Mior untuk jatuh cinta tapi mengapa antara semua manusia yang ada, Mior memilih pemuisi sebagai pasangan hidup? Mengapa bukan pekerja zoo atau penjawat awam yang boleh memudahkannya buat pinjaman kerajaan?
Puisi telah membuatkan dunia jadi fucked up, Mior jadi fucked up, dan begitu juga saya. Pesta Buku Antarabangsa KL 2011 wajib dihentikan. Dan saya tidak teragak-agak untuk melakukannya walaupun saya perlu memijak betis seorang kanak-kanak yang tak habis pantang berkhatan berulang kali.
***
Kuala Lumpur, atau nama kota ini seratus tahun akan datang; Neo-KL, masih berbau segar pokok tak macam plastik basah melekit gam kasut seperti di masa depan. Motorsikal hiper saya mempunyai fungsi penyamaran yang begitu kompleks dan boleh menukarkan dirinya menjadi sebuah motor EX5. Kuala Lumpur banyak pencuri tapi mereka tak layan sangat EX5. Saya sudah buat kajian terlebih dahulu.
Saya menyusuri Jalan Haji Taib. Siulan kedengaran. Pekerja-pekerja seksual transgender dari sebalik gril pintu memanggil saya. Saya tidak menoleh. Tersenyum pun tidak. Saya menyentuh pistol laser di belakang pinggang. Merasakan muncungnya. Ia masih di sana. Masih lagi tersemat kemas.
Rancangan saya pada mulanya mahu menuju terus ke PWTC kerana di sana bakal berlangsungnya PBAKL selama 10 hari. Di sanalah, kalau tak ada aral melintang, chaos akan tercetus. Di sanalah, Mior akan menyesali tindakan yang diambilnya. Di sanalah, keranda puisi beserta kubur tujuh kaki dalamnya saya akan galikan. Tetapi, kerana saya sampai pada waktu hujan baru saja reda, tekak saya mengingini sesuatu yang hangat dan habiskan satu atau dua keping roti telur. Pekerjaan saya memerlukan tenaga yang banyak dan saya fikir tak mengada-ngada jika duduk di sebuah warung mamak sebentar seperti seorang perantau yang sebenar.
“Abang, order apa?” Tanya pelayan sebaik saja saya duduk
“Teh tarik,” saya jawab.
“Makan?”
“Kurang manis.”
Pelayan mengangguk. Dia menjerit ke bahagian dapur. Seorang lelaki di sana menyahut dengan okey. Sekali lagi, tangan saya mengusap tubuh pistol uranium yang saya sembunyikan. Dingin muncungnya mengingatkan saya kepada kejorokan dunia masa depan. Aku ini binatang jalang dijadikan bio oleh kebanyakan pengguna medsos yang ada padahal muka jambu dan pakai pendakap gigi. Saya mencebik pedih. Budak-budak puisi memang fucker.
Teh tarik sampai dan saya menghirupnya perlahan-lahan. Ia masih lagi terlebih manis tapi saya masih boleh tahan. Banyak yang saya fikirkan ketika itu seperti apakah saya perlu letupkan PWTC sekali setelah berbuat onar di dalamnya nanti? Perlukah saya membawa Mior pulang hidup-hidup? Haruskah saya menutup wajah ketika melepaskan tembakan laser uranium secara rambang? Tahukah orang-orang sekeliling saya mengenai wabak maut yang akan berlaku dalam 10 tahun akan datang nanti? Apakah tujuan Malaysia mendirikan tol sebenarnya? Siapakah perempuan berambut pendek paras bahu berbaju kurung kain kapas yang sedang memandang saya macam saya baru saja meragut beg tangannya?
Fokus saya terganggu. Kami bertatapan buat seminit dua lamanya dan perempuan itu menghantar beberapa senyuman. Saya jarang senyum tapi ketika itu saya terpujuk untuk meletak pengecualian, lalu kembali fokus memikirkan pelaksanaan rancangan mendapatkan Mior. Saya meneguk teh tarik di dalam cawan buat kali terakhir dan masuk ke tandas untuk membasahkan muka. Bila kembali ke meja, saya dapati perempuan di hadapan saya sudah tidak ada lagi. Dan di atas meja saya, ada nota yang berbaca “Your smile is pure poetry.”
***
Pentas runtuh dan tiang lampu tumbang. Jeritan serta tangisan kedengaran di sana-sini. Eskalator telah awal-awal saya letupkan dan Mior, si jahanam itu, terkulai layu di atas lantai. Saya melihat ada seorang perempuan, bertudung putih kapas yang berlumuran darah, tertiarap di sebelah kirinya tak lagi bernyawa. Itulah perempuan yang telah disarungkan cincin dan merebut Mior dari tujuan hidupnya. Mata Mior merah. Entah sebab pendarahan internal atau merasa marah.
“Kau seharusnya jalankan misi kau sebaiknya, kawan dan semua ini tak perlu terjadi.” Saya tidak tahu kenapa ayat itu, yang seakan ada nada simpati, saya ucapkan kepada Mior. Mior hanya terlentang diam. Dia memandang ke arah siling di mana ada lampu mewah berjuntai. Di luar, siren kedengaran. Autoriti sudah pun sampai tapi saya tak takut. Kalau ada seribu daripada mereka bakal merempuh masuk pun tidak dapat menghalang hari bersejarah ini.
“Kenapa kau berubah?” Tanya saya mahu mendengar jawapan Mior. Celaka itu tidak menjawab walaupun saya sudah lama menunggu. Dirasuk emosi saya jadinya. Saya menendang bahagian kanan perut Mior dan darah tersembur.
“Sebelum aku letupkan kepala kau yang sarat dengan puisi-puisi jahanam tu semua, bagi aku satu jawapan. Sekarang!”
Mata Mior seakan hanya boleh melekat ke arah siling dan enggan dipertemukam dengan mata saya yang geram menyala. Entah apa yang dilihatnya ada di atas sana. Malaikat puisi? Tuhan puisi? Mereka semua boleh pergi mampus! Saya mahukan jawapan, segera dan letupkan kepala Meor, lontarkan grenad plasma ke arah autoriti, bakar bangunan ini supaya tak ada satu pun budak puisi boleh terselamat.
“Jawablah lekas, Mior!” Dua penumbuk hinggap ke muka Mior. Wajahnya sudah lunyai, lebam dan membiru. Saya tidak tahu kenapa saya begitu beria-ia melakukan kekerasan ke atasnya. Mungkin saya terasa dikhianati. Mungkin juga, saya, merasa terpukul kerana puisi punya kuasa untuk melencongkan kebencian Mior keluar dari jiwanya.
Akhirnya Mior membuka mulutnya “Bukowski, si kaki botol tu tak la sedap sangat menulis puisi. Tapi dia ada kata sesuatu yang selalu saja…” Dia terbatuk kuat. Sedikit percik darah membasahi tangan saya. “…diikuti oleh banyak pembacanya. Ungkapannya itu memang mantra para poet di sini.”
“Para poet? Geli bodoh! Dah, aku tak nak dengar syarahan kau. Aku cuma nak jawapan. Cakap sekarang apa dia?!”
“Kau akan tambah sakit hati bila dengar apa dia cakap jadi biar aku petik satu lirik dari sebuah lagu.”
“Wah, dah jadi macam anjing nazak pun kau masih nak bermadah, jahanam?” Saya hampir lagi menumbuk wajahnya tapi Mior yang lekas bersuara menghentikannya.
Ketika itu autoriti sudah pun berada di belakang saya. Mereka datang dari bumbung dan turun ke bawah lalu pecahkan tingkap. Saya diarah melepaskan senjata yang memang sudah kehabisan peluru. Mior, saya lihat, seolah-olah sedang bergelut menarik nafasnya yang terakhir. Tangannya mencapai tubuh isterinya yang terkujur di sebelahnya. Matanya hening dan berair. Tidak jauh di atas kepalanya, buku-buku berselerakan. Banyak halaman buku tertanggal dan salah satu darinya sempat saya baca. “Yang fana itu waktu, kita abadi.”
Dada Mior, kemudiannya, kembang kempis begitu pantas dan tidak lagi bergerak selepas itu.
Mior sang pengkhianat sudah terbunuh. Meninggalkan saya dan autoriti yang ramai lagi lengkap dan bersedia. Semua muncung senapang dihalakan ke tubuh saya. Memang saya akan makan peluru pagi itu. Salah saya juga kerana terlalu leka. Budak-budak puisi, saya fikir mesti banyak yang sudah pun dapat melepaskan diri. Dan esok lusa atau sebulan dua kemudian, mereka akan menjadikan hari ini sebagai puisi. Memerihalkan kemungkinan itu dalam kepala saya membuatkan saya jadi loya. Boleh saja saya lepaskan diri tapi beg sandang yang dipenuhi peralatan canggih berada terlalu jauh untuk saya dapatkan.
Beberapa anggota polis semakin merapat. Saya tak tahu macam mana untuk bereaksi apabila tubuh saya dijatuhkan dan dipakaikan gari. Adakah misi saya berjaya? Saya tak tahu. Hanya waktu bakal tentukan. Saya hanya membiarkan tubuh saya diseret autoriti sementara ayat terakhir Mior bajingan sebentar lalu terus-menerus berngiang dalam kepala saya.
“I’d lay my whole life on the line just to see this through. If it consumes me, let the script upon my tomb read: I found my love and let it kill me.”
Saya tersengih. Fuck you, poetry.
Gambar ehsan Nick Fewings di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.