Manori melihat cermin sambil membetulkan lipatan sari pada bahu kanan. Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Kucingnya, Sopi, melompat ke atas katil lalu menjilat badan. Manori menyelak kain langsir tingkap bilik. Tiada kenderaan di luar. Cahaya neon oren menyinari jalan yang sunyi.
Manori menarik nafas panjang. Dia sebenarnya penat. Minggu itu merupakan minggu Hari Guru di sekolah tempat kerjanya. Mujurlah, selepas mendapat Anugerah Guru Terbaik, dia dikerumuni murid-murid yang menyayangi dan menghargainya. Manori bukan seperti guru yang lain. Layanannya kepada murid ibarat ibu dengan anak. Dia bukan sahaja berperwatakan menarik, tetapi cara pemakaiannya yang serba kemas dan cantik menarik mata memandang.
Dia menyapu bedak pada muka lalu melukis celak pada mata. Tiba-tiba, telefon bimbitnya bergetar.
‘I will be there in 5 minutes.’
Manori membaca mesej ringkas itu lalu memakai gincu merah. Siapakah klienku kali ini? Adakah dia sudah berkahwin? Bujang? Tua? Muda?
Dia tidak tahu. Dia tidak mahu tahu. Manori hanya mahu membereskan tugasnya. Minggu lepas, dia mendapat klien yang mabuk. Klien yang meluahkan isi hati kepadanya sambil menangis.
Manori tahu lumrah kehidupan orang bandar. Bukan semua pasangan yang berkahwin hidup bahagia. Kebahagiaan hanya ada pada gambar yang dimuat naik pada laman Facebook dan Instagram. Dalam realiti kehidupan, tiada pasangan yang gembira seperti yang digambarkan oleh mereka dalam media sosial.
Manori terdengar bunyi kereta yang semakin hampir ke rumahnya. Dia menjenguk dari tingkap. Kereta Proton Wira berwarna hitam. Enjin masih hidup. Manori tidak dapat melihat bayangan si pemandu.
Tiba-tiba, telefon bergetar lagi.
‘I have arrived.’
Manori melihat dirinya pada cermin buat kali terakhir lalu menutup suis lampu dan kipas bilik. Sopi pula mengekorinya hingga ke pintu halaman rumah.
‘Bye Sopi.’
Manori melihat ke kiri dan ke kanan selepas mengunci pintu rumah lalu bergegas masuk ke bahagian belakang tempat duduk kereta itu. Sejuk. Aneh. Lampu dalaman kereta tidak menyala apabila pintu kereta dibuka.
‘Hai,’ tegur suatu suara yang garau.
‘Hai,’ balas Manori.
Si pemandu menekan minyak lalu memandu keretanya.
‘Had your dinner?’ tanya lelaki itu.
Manori tersentak. Klien lain tidak pernah bertanya soalan yang sama.
‘Yes, you?’
Tiada balasan.
Manori membetulkan posisi duduknya supaya berasa lebih selesa. Dari belakang, si pemandu kelihatan botak. Mungkin kacak. Usianya pasti dalam lingkungan 30-an. Dia berpakaian formal dan kemas. Tempat duduk kereta pula bersih.
‘Which hotel?’
Tiada balasan daripada si botak.
Manori berasa aneh tetapi tidak diendahkannya. Dia melihat ke luar tingkap kereta. Bangunan-bangunan pencakar langit melintasinya. Selepas beberapa minit, kereta yang dinaiki itu memasuki sebuah lorong yang sempit. Tiba-tiba, lelaki itu mematikan enjin kereta.
Manori tidak berganjak. Si botak itu menarik nafas yang panjang lalu menoleh ke arah Manori yang duduk di belakang. Mata mereka bertemu buat kali pertama. Namun, dalam kegelapan itu, Manori tidak dapat melihat raut wajahnya.
Dia menoleh ke depan semula.
‘I don’t want your body.’
Manori mengerut dahi.
‘I just want someone to talk to.’
Manori tersenyum simpul. Si botak ini merupakan kliennya yang ke-12. Sepanjang pengalamannya sebagai kutu embun yang mendambakan malam, Manori hanya menjadi objek pilihan lelaki yang menikmati kelembutan badannya. Hari ini merupakan hari yang berbeza.
‘I will listen,’ kata Manori.
Si botak itu menyalakan sepuntung rokok lalu menurunkan tingkap tempat duduknya.
‘I actually wanted to kill myself today.’
Manori tidak membalas. Dia hanya mahu menjadi si pendengar yang baik hari ini, seperti yang dimahukan kliennya.
Lelaki itu menghisap rokok lalu menoleh ke arah Manori. Mata mereka bertemu semula.
‘You know, I have two kids. My wife … she doesn’t understand my feelings at all. She nags all the time. To be honest, it’s been months since we last had sex,’ si botak tergelak lalu mengelap matanya.
Manori tidak memberikan respons. Kata-kata si botak merupakan isi hati kebanyakan kaum lelaki yang tinggal di bandar yang megah ini. Stres, komitmen, pekerjaan – dalam melalui landasan mengejar kemewahan, kasih sayang ahli keluarga semakin luntur. Hubungan suami isteri semakin reggang. Sudah menjadi kebiasaan bagi Manori untuk menawarkan badannya kepada lelaki yang kebanyakannya sudah berkahwin. Di mana lagi mereka boleh mencari kasih sayang?
Sebab itulah Manori memilih kerjaya sambilan yang jijik ini. Jijik? Tidak. Kerjaya ini baginya ialah kerjaya yang mampu mengubat hati lelaki yang luka. Hati lelaki yang penat. Hati lelaki yang kecewa. Bagi Manori, tidak salah untuk melakukan kerja yang mulia ini. Ya, mulia. Tiada siapa yang boleh menilai dan memutuskan apa yang betul dan salah di dunia ini. Dunia ini memerlukan kasih sayang. Oleh itu, Manori bersedia untuk memberikannya apabila didampingi malam.
Lelaki itu menghisap rokok beberapa kali lalu bersuara.
‘Is that why you are not married? I mean… is that why you choose to do this? Because you know the truth?’
Manori tersenyum simpul. Perjalanan hidup Manori berliku-liku sejak kecil. Si ayah pemabuk. Si ibu mencintai lelaki lain. Manori pula diabaikan. Soal perkahwinan tidak pernah wujud dalam hidup Manori. Dia tidak mahu melibatkan diri dalam norma kehidupan masyarakat yang berumah tangga.
‘By the way, you have a beautiful name – Manori. Manori… Manori… Manori...,’ lelaki itu menyebut namanya berulang kali.
Manori hanya terdiam. Mahu sahaja dia memeluk lelaki itu seperti ibu yang mendakap anak.
Lelaki itu membuang puntung rokok ke luar tingkap kereta lalu menghidupkan enjin. Dalam perjalanan, mereka ditelan kesunyian.
Apabila tiba di halaman rumah Manori, lelaki itu memberhentikan kereta lalu menghulurkan sehelai sampul surat kepada Manori.
‘It’s ok, you don’t need to pay me. You didn’t use me.’
‘But you heard me, and that is enough. Take it.’
Manori mengucapkan terima kasih lalu menerima sampul itu. Dia turun dari kereta lalu berjalan ke arah rumahnya. Kereta hitam itu masih tidak berganjak. Manori membuka pintu rumah lalu menguncinya. Selepas menutup pintu, Manori menutup mata lalu menyendengkan badannya di sebalik pintu.
Dia terdengar bunyi kereta itu yang beredar meninggalkan rumah. Manori mengimbas semula perbualannya bersama lelaki muda itu. Muda tetapi kesunyian. Muda tetapi luka.
Dia membuka sampul surat. Ada beberapa helai wang kertas RM50. Manori tiada tenaga untuk mengiranya. Sampul surat diletakkan di dalam laci. Sopi berlari ke arahnya lalu mengiau.
‘I have a long day at school tomorrow… Let’s sleep,’ kata Manori kepada Sopi lalu berjalan ke bilik tidur.
Gambar ehsan Deva Darshan di Unsplash
You must be logged in to post a comment.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Menarik dan tertanya-tanya akan sambungannya.
Satu bacaan yang menarik. Memang terdapat ramai Manori yang menjadi penawar kepada sekumpulan kaum lelaki yang memerlukan perkhidmatan mereka.