• Home
    Home 

  • Articles
    Articles 

  • Happenings
    Happenings 

  • Eksentriks
    Eksentriks 

  • Community
    Community 
  • Home
  • Asian Arts Magazine  ▾
    • News
    • Arts
    • Culture
    • Films
    • Literature
    • Music
    • Performing Arts
    • Photography
    • Poems
    • Stories
  • Artist Registry
  • Arts Community
  • Happenings

  • Sign In
  • Submit Stories & Poems
  • List Your Events
  • Be On Artist Registry

  • What Is Eksentrika?
  • Get In Touch With Us
  • FAQ
  • Join Our Monthly Newsletter
  • Eksentrika Facebook
  • Eksentrika Instagram
  • Eksentrika Twitter
  • Eksentrika Linkedin
  • Eksentrika Telegram
  • Start Writing
  • Asian Arts Magazine
  • Artist Registry
Arts & Culture Malaysia | Eksentrika
Eksentrika Login
CERPEN | Lari oleh Xeva Spaite
Xeva Spaite

Written by Xeva Spaite

CERPEN | Lari oleh Xeva Spaite

Share this article via


Entah mengapa mimpi gagal disambung sejak terbangun pada pukul tiga pagi tadi untuk mengesat air liur basi Amit yang meleleh di bahu. Berpusing ke kiri, berlaga hidung dengan Bahadur pula. Lantas kaki dibawa ke ruang tamu, Chin dan teman-teman kelihatan sudah terbongkang di sana.

Kugosok dada perlahan. Kepala tergeleng sendiri tanpa pengertian kenapa aku berdebar.

Lampu menyala terang di dapur. Rafi sudah bangun untuk kerja sambilannya. Pada waktu pagi dia akan berniaga sirih di sekitar Kota Raya, kemudian terus bekerja di sebuah kedai makan di kawasan Chow Kit yang baru dibangunkan. Aku mencapai tuala biru yang sudah kehitaman dan menuju ke bilik air.

“Kau akan ke Valyou ke pagi ini? Cuti?” tanya Rafi yang sedang menjerang air. Matanya tepat memandangku.

“Ya. Mak aku tak berapa sihat. Amina telefon minta duit semalam.”

“Kau baik-baiklah berjalan di kawasan Pasar Seni tu. Banyak raid sekarang.”

Aku tidak menjawab apa-apa. Emtiaz, Fahim dan Fazal baru saja ditahan dan dihantar ke Depot Imigresen Semenyih minggu lepas. Beberapa kali sudah disuarakan kepada tauke. Jawapannya tetap sama. Aku akan dijaga, tidak ada orang imigresen boleh sentuh aku. Ada orang dalam, tegasnya.

Tauke sentiasa menjaga kebajikan aku dan pekerja-pekerja lain. Kerja kami memang berat, saban hari membanting tulang, di bawah matahari terik, dia tidak pernah membiarkan kami kelaparan. Makan tengahari dan makan malam tidak pernah putus, agak jarang layanan sebegini diterima oleh rakan-rakan yang lain.

Semalam, dalam poket cuma ada RM200. Duit ini akan kucatu sehingga hujung bulan. Hari ini baru 18 haribulan. Aku adukan pada tauke. Tanpa banyak bertanya, dia keluarkan RM300 dari poketnya lalu diberikan kepadaku. Kemudian, dia menarik laci dan menyerahkan buku nota A4 berkulit keras warna hijau. Katanya, mulai bulan depan gajiku akan dipotong RM50 setiap bulan.

Aku angguk dan terus menulis nama di dalam buku itu.

LRT pada hari ini luar biasa padatnya dengan manusia yang memakai baju kemeja kemas pelbagai warna masing-masing menyandang, memeluk dan menjinjit beg pelbagai gaya. Tidak kurang juga yang tidur mahupun menikmati muzik sambil melemparkan pandangan kosong di hadapan. Ada juga mata yang kurang senang memandang aku. Mereka cuba duduk berjauhan dariku. Perlahan kuhidu ketiak kiri dan kanan yang bergayutan pada palang penumpang. Semalam aku tidak makan bawang. Akhirnya aku memilih untuk membuang pandangan ke luar tingkap setelah tidak bertemu jawapan kenapa manusia dalam LRT merenung dan mencemik padaku sedemikian rupa.

Sampai saja di Stesen Pasar Seni, cepat-cepat aku tolak penumpang yang masih terhegeh-hegeh di depan pintu LRT. RM300 yang kusimpan dalam sampul surat berwarna coklat di poket belakang seluar corduroy hitam pudar ditekan dengan kuat. Hari ini perjalanan ke kaunter Valyou terasa begitu panjang. Pandangan curiga kulemparkan ke kiri dan kanan.

“Mak kata dia nak kahwinkan aku dengan Taher.”

“Jangan mengarutlah. Kau nak masuk AUW (Asian University For Women di Chittagong), kan?”

“Mak kata dia tak ada duit.”

“Aku usahakan.”

“Kau mampu ke? Aku dengar macam-macam cerita dari Malaysia.”

Tajamnya perkataan-perkataan Amina menikam hatiku. Sudah tentu segala kata-katanya aku tertawakan. Berjenaka tentang aku yang sudah jadi orang kaya di sini. Amina tumpang ketawa, namun di hujungnya bagaikan ada sendu kecil. Ingin sekali aku berbicara panjang, tetapi kadar percuma 60 minit Digi telah pun tamat.

Fikiranku melayang tentang Malaysia. Gah yang bukan main meluncur indah dari mulut agen. Tandasnya lebih bersih dan berkilat berbanding tandas di Hazrat Shah Jalal. Aku begitu bersemangat menarik beg troli kecil yang hampir lusuh, dihadiahkan bapa saudaraku yang begitu berbangga anak saudaranya dapat berkerja di Malaysia. Kawasan perkampungan Shah Porir Dwip itu tidak ada televisyen. Maka semua cerita tentang Malaysia datang daripada orang-orang kampung yang pernah membanting tulang di sana. Pulangnya mereka ke kampung begitu bergaya. Berkemeja kotak oren dan merah jambu dan memakai kaca mata hitam bagaikan Ferdous Ahmed dalam filem Gangajatra.

Diam-diam Malaysia kusemat dalam hati sebagai destinasi impian. Aku penat mengerjakan sawah. Upah mengerjakan sawah takkan cukup untuk menyara mak dan Amina. Apatah lagi setelah Amina mendapat keputusan cemerlang di sekolah dan kini sedang memohon untuk ke universiti. 5 tahun aku mengumpulkan wang, akhirnya cukup dana untuk ke Malaysia – untuk bayaran agen, visa, permit serta makan-minum dan sedikit wang belanja.

Belum puas aku menikmati indahnya Malaysia saat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, aku dan pemuda-pemuda Bangladesh yang mendaftar di agensi yang sama diherdik oleh seorang lelaki Bangladesh lain yang bertubuh besar dan memegang sekeping kertas. Nama-nama kami dipanggil dan kami disuruh beratur seperti kanak-kanak sekolah, memegang bahu antara satu sama lain dan dibawa menaiki van putih. Oleh kerana kepenatan, aku tertidur di atas van dan ketika dikejutkan, aku tiba di sebuah rumah besar di tepi hutan. Berkampunglah aku di sana selama seminggu. Makan dan minum hanya diberikan sekali setiap hari.

Aku bertanya pengawal rumah, mengapa kami ditahan di sini, jawapan diberikan melalui sepak terajang ke atas tubuhku yang kurus-kering. Akhirnya aku tidak berani buka mulut, begitu juga dengan rakan-rakanku yang lain.

Tepat tujuh hari, penjaga rumah meminta bayaran. Bayaran untuk urusan pekerjaan? Bukankah agen yang menguruskan permohonan mengatakan bahawa bayaran yang telah dibuat mencakupi semua urusan di Bangladesh dan juga Malaysia. Penjaga rumah itu mencerlungkan matanya lalu…

Itu semua sudah berlalu. Esok, genap 3 tahun aku di Malaysia. Aku bersyukur dengan pekerjaan dan taukeku. Tambah bersyukur lagi apabila kudengar yang kerajaan Malaysia sudah bertukar tangan. Kerajaan baru, kata orang Malaysia, sangat memperjuangkan hak asasi kemanusiaan.

“Kita ini menumpang. Janganlah diharap yang bukan-bukan.”

Begitulah kata-kata Bahadur pada satu ketika. Dalam diam aku enggan percaya, terus mempercayai kuasa doa. Aku risau. Gajiku hanya gaji. Jikalau terjadi kemalangan, semuanya ditanggung sendiri. Tidak seperti Juriah, kerani tauke. Kalau sakit, boleh ke klinik panel. Baru-baru ini Juriah kemalangan kereta. Bil hospital dibereskan syarikat dan dapat pampasan dari SOCSO pula.

Aktivis pekerja migran beberapa kali cuba memohon pindaan Akta Pekerjaan 1955 agar lebih banyak perlindungan diberikan kepada manusia seperti aku. Aku cuma mahukan perlindungan. Bagaikan telur di hujung tanduk, bila-bila masa boleh dipecat, kalau benar terjadi ke mana nanti arah tujuku?

Mataku terbelalak mendengar riuhbising dari luar. Rupanya aku terlelap di ruang tamu setelah pulang dari Pasar Seni, bingkas bangun dan terus mengintai di tingkap nako.

“Imigresen!!!”

Aku terdengar Chin dan rakan-rakan telah menendang pintu dapur untuk lari. Aku ikut melompat, kami berlanggar sesama sendiri, lintang-pukang, menuju ke dapur. Tapak kaki tertusuk entah apa, tidak aku pedulikan. Dalam sekelip mata, lenganku direntap dan muka ditekan ke tanah. Debu-debu mula mencium bibir.

“Lagi mau lari ya lu PATI.”

“Saya bukan PATI incik, tauke sudah tolong saya buat permohonan. Boleh tanya tauke saya.”

“Sudah lulus ke belum?”

“Belum, incik. Tapi sudah pohon.”

“Kalau belum, PATI lah juga!”

Jerutan gari plastik di pergelangan tanganku begitu memedihkan. Serta-merta wajah mak dan Amina bermain di fikiran.

Mak masih sakit. Radang paru-parunya makin memburuk.

Amina tak jejak ke universiti, menikah pula Taher yang suka mengunjungi Daulatdia, perkampungan pelacuran di Rajbari, namun licik menipu orang kampung kononnya dia lelaki suci. Silap haribulan Amina pula dijualnya nanti! Ya Allah!

Pandanganku jadi berpinau. Bagaikan ada batu yang besar menghempap kepala. Bayangan mak dan Amina silih berganti membuatkan kepalaku ingin pecah. Aku melihat seorang demi seorang teman serumahku ditangkap dan disuruh duduk bertinggung di hadapan rumah sewa kami. Pegawai imigresen yang lengkap beruniform sedang berbual dengan pegawai berpakaian preman dan bercakap sesuatu tentang KPI dan jumlah tangkapan.

Dahiku kebasahan direcik peluh. Saraf dan tulang belulang bagai berperang mencari kekuatan. Tekad!

“Woi! Jangan lari!”

*** Gambar ehsan Malaysian Trades Union Congress.

Ingin siarkan cerpen, puisi atau esei anda bersama kami? Hantarkan saja kepada [email protected]. Baca yang ini pula.

CERPEN | Aku nampak Allah oleh Xeva Spaite

Ini adalah bacaan yang menyeronokkan. Saya mahu lebih banyak kandungan seperti ini dalam emel saya.


Tags: Xeva Spaite

Contribute to Us

We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.

SUBMIT

Other Stories You May Like

Love Caught Off Guard by Firzana R

Love Caught Off Guard by Firzana R

Firzana R

short story the dragon m navin

The Dragon by M. Navin

M. Navin

A Surprise Delivery Premonitions by Russell Ting

A Surprise Delivery; Premonitions by Russell Ting

ghostsofwords

SHORT STORY | Eat by Bissme S

Eat by Bissme S

Bissme S

STORIES | A Legend Of Our Days by Christina Yin

A Legend Of Our Days by Christina Yin

Christina Yin

ian dooley v9sAFGJ3Ojk unsplash

It Came in Threes By Nik Fateen

Nik Fateen

About Eksentrika

Eksentrika is an arts community and an online Asian arts magazine with an artist registry. Join us to get inspired and find Asian artists here!

Quick Links

  • About Eksentrika
  • Contact Us
  • F.A.Q.

Join Our Newsletter

 


All Rights Reserved © 2021 Eksentrika | By eJeeban Web Design Company

  • Eksentrika Facebook
  • Eksentrika Instagram
  • Eksentrika Twitter
  • Eksentrika Linkedin
  • Eksentrika Telegram