“Hoi, pergi campak duit itu jauh dari sini!” Apoi agak terkejut apabila melihat Valar yang mula memekik. Matanya kelihatan merah benar setelah bangun tersentak daripada tidur. Suaranya juga garau.
Valar masih berasa sebak apabila memikirkan masalah yang menghantui hatinya sejak tadi. Dia teringin untuk minum air kerana berasa terlalu haus. Hidungnya ditembusi asap colok Cina yang menyelebungi kawasan luar sebaik sahaja dia membuka pintu rumah. Muzik Nanyin yang berkumandang sayu-sayu pula menambahkan lagi kesuraman rumah pada waktu senja itu.
Sambil berdiri di halaman rumah, dia menghulurkan tangan untuk melihat kukunya. Dia berfikir bahawa kuku yang menentukan kecantikan dan keunikan setiap tangan. Bagi dirinya, kuku umpama mahkota yang terdapat pada tangan. Esok, dia sudah tidak boleh menyimpan lagi kuku-kuku tersebut. Tangannya yang dibuang mahkota itu perlu bersedia untuk mengangkat baldi najis mulai hari esok. Hatinya mengeluh bahawa dia tidak mampu melakukannya. Hatinya meronta-ronta seperti hendak berlari ke arah Kepala dan mencampak sarung tangan getah yang diberinya itu ke atas mukanya.
Apoi yang masuk ke dalam rumah sambil menundukkan kepalanya pergi duduk di antara guni-guni kain. Apoi berasa muram apabila memikirkan bahawa kakaknya mula berkeras dengannya sejak belakangan ini. Dia bertungkus-lumus mengutip duit kertas palsu itu kemudian terpaksa dibuangnya semula ke atas jalan.
“Kertas duit palsu itu disediakan khas untuk menyembah roh-roh hantu Cina. Bukankah roh-roh tersebut akan masuk ke dalam rumah ini kalau kita menyimpannya?” kata Valar kepada Apoi. Kini nada suaranya agak rendah; tidak segarau seperti yang sebentar tadi.
Sebenarnya, Valar dilamun mimpi ketika dia terlena sebentar tadi. Dalam mimpinya itu, seorang bidadari yang berkuku panjang pada jari kelingking dan jari manis menaburkan duit kertas ke atasnya. Valar tidak dapat mengecam muka bidadari itu; hanya dapat melihat tangannya. Duit kertas yang ditabur itu memenuhi seluruh ruang biliknya. Ketika Valar menghulurkan tangannya untuk mengambil duit kertas tersebut, barulah dia tersentak setelah terdengar bunyi pintu yang dibuka oleh Apoi.
Valar berasa simpati untuk melihat Apoi yang duduk di hadapannya sambil menundukkan kepala. Apabila dia menarik Apoi ke pangkuannya lalu mengusap-usap rambutnya, air mata Apoi mula berlinang secara mencurah-curah. Apoi lantas berbaring di atas riba kakaknya. Valar jarang memanjakan adiknya itu kecuali sekali-sekala supaya tidak memberi kesempatan kepada Apoi untuk merindui ibunya. Terlintas juga dalam fikirannya, mungkin dia akan lari dari rumah tersebut sama seperti ibunya jikalau Apoi tidak ada dalam hidupnya.
Sedang leka mengusap rambut adiknya itu, sekali lagi Valar merenung kuku pada tangannya itu. Kuku-kukunya yang berwarna merah dan berukuran panjang satu inci itu kelihatan berseri-seri. Valar baru sapu pengilat pada kukunya sebelum terlena tadi. Namun, dia teringin untuk sapu pengilat pada kukunya sekali lagi pada waktu malam. Tiba-tiba dia teringat akan kuku pada tangan bidadari yang menaburkan wang kertas ke atasnya dalam mimpi tadi. Sebelum ini, Valar tidak pernah melihat kuku yang secantik itu. Kuku bidadari yang tidak disapu apa-apa warna itu kelihatan melengkung dan lebih panjang berbanding saiz jarinya. “Benarkah yang datang tadi itu bidadari? Mengapa pula bukan hantu agaknya?” Valar tertawa dalam dirinya apabila memikirkan persoalan itu. Namun, dalam beberapa saat sahaja hatinya mula berasa takut. Dia terfikir bahawa dia mengalami mimpi tersebut akibat duit palsu yang dibawa oleh Apoi tadi. Duit palsu tersebut dilihat seperti simbol kuasa jahat.
“Adakah kamu berasa lapar?” tanya Valar kepada adiknya.
“Kepala berjanji bahawa dia akan memberi daging babi untuk dimakan selepas kayu-kayu colok itu habis bakar,” kata Apoi. Kemudian dia lantas bangun lalu pergi menjenguk kayu colok setinggi 7 kaki yang sedang berbara di luar sana. Kayu-kayu colok tersebut diukir seperti dililit naga dan diwarnakan dengan warna biru, hijau dan merah. Ketika dilihat olehnya, bara api pada colok itu sudah menghampiri bahagian kepala naga yang diukir padanya. Colok itu akan habis bakar dalam masa beberapa minit lagi. Menurut Kepala, sampai itulah masa yang diberi kepada hantu-hantu Cina untuk makan. Apoi juga mengerling di sekitar tempat makanan terhidang, gara-gara boleh nampak kelibat hantu Cina yang datang ke sana untuk mengisi perutnya. Namun, khemah yang dipasang di tempat makanan terhidang itu kelihatan lengang sahaja. Anjing-anjing liar yang biasa merayau di kawasan kampung itu juga masing-masing berbaring di sana sini tanpa mempedulikan bau daging yang terhidang itu.
Apabila anjing-anjing tersebut melolong pada waktu tengah malam tempoh hari, Apoi telah memeluk Valar dengan erat-erat. Menurut kata kawan-kawan sekolahnya, anjing berkebolehan untuk melihat hantu. Anjing akan melolong sebaik sahaja melihatnya. Mereka juga menasihatinya supaya mengambil kotoran mata anjing lalu meletakkan di atas matanya jikalau dia hendak melihat kelibat hantu secara langsung. Apabila Apoi menyatakan cadangan tersebut kepada kakaknya pada suatu malam, Valar terus membantahnya lalu mencubit pehanya. Memandangkan Valar mempunyai kuku yang panjang dan tajam, bahagian yang dicubitnya itu kelihatan agak lebam dan kesannya tidak hilang selama tiga hari.
Beberapa orang pemuda sibuk bekerja di atas pentas yang dipasang sebelah khemah makanan itu. Mereka memasang kain rentang yang dilukis dengan gambar awan pada bahagian latar pentas tersebut. Apoi terus berlari menuju ke arah pentas itu sambil bergumam lagu kegemarannya.
Valar juga tahu menyanyikan lagu yang digumamnya itu. Lagu tersebut perlu dinyanyikan sambil membunyikan bunyi binatang. Apabila dia bergumam lagu itu sejenak, kenangan zaman sekolah terlintas dalam fikirannya. Tahun ini Valar sepatutnya menduduki peperiksaan SPM. Latihan intensif akan diajar bermula bulan Julai. Murid-murid yang mendapat markah yang rendah dalam peperiksaan pertengahan tahun akan dimaki di khalayak murid lain pada waktu perhimpunan. Valar tidak pernah ditegur ataupun dimaki oleh mana-mana guru walaupun dia seorang murid yang sederhana pandai. Jika ibu Valar masih bersama-samanya, mungkin dia dapat menduduki peperiksaan SPM tanpa sebarang masalah atau resah. Selepas menamatkan peperiksaan, mungkin dia sudah dapat bekerja sebagai kerani di mana-mana pejabat. Dia pernah mendengar bahawa orang yang bekerja sebagai kerani akan disediakan dengan bilik yang dipasang alat pendingin hawa. Dia juga pernah melihat kerani-kerani di sekolahnya yang bekerja di ruang pejabat yang berhawa dingin. Maka, secara tidak langsung Valar juga mengidam untuk bekerja di sebuah bilik yang sama sepertinya.
Setelah mengikat rambut, Valar keluar dari rumahnya ke bahu jalan. Asap daripada kayu-kayu colok yang dibakar itu sudah menyelebungi kawasan perumahan itu seolah-olah berlakunya jerebu. Kertas-kertas sembahyang yang berwarna emas dan perak bertaburan secara berselarak di sepanjang jalan itu. Ada juga beberapa orang penghuni berbangsa Cina yang tinggal di situ sibuk membakar kertas sembahyang di dalam tong merah di hadapan rumah masing-masing. Setelah berjalan beberapa langkah, Valar dapat melihat daging babi panggang yang terhidang di atas meja-meja makan yang terdapat di bawa khemah. Ayam dan itik yang dipanggang juga turut disusun secara telangkup di sisi daging-daging babi yang terhidang. Meja-meja di bawah khemah seterusnya pula diletak dengan patung berpakaian, kereta, rumah dan duit emas yang diperbuat daripada kertas. Semua hiasan tersebut akan dibakar dalam tempoh 10 hari yang akan datang. Menurut kepercayaan kaum Cina, barang-barang hiasan yang dibakar itu akan dibawa balik oleh roh-roh nenek moyang yang turun ke bumi untuk menjamu makanan yang dihidangkan.
Valar mula mencari-cari Apoi di sana. Dia terfikir bahawa dia sepatutnya memakaikan bedak pada muka Apoi sebelum membenarkannya keluar dari rumah tadi. Apoi juga tidak mempunyai pakaian yang elok untuk dipakai. Ketika ibunya masih ada bersama mereka, dia akan memastikan Apoi berpakaian kemas dan mukanya kelihatan elok sekiranya hendak keluar dari rumah. Bagi ibunya, kebersihan diri dan rumah perlu diberi keutamaan terlebih dahulu.
Ibu Valar juga tidak pernah lupa untuk bersolek ketika hendak pergi ke kerja setiap pagi. Mukanya yang disapu bedak dan diletak ‘kum kum’ pada dahi akan kelihatan sentiasa berseri. Rambutnya yang panjang juga disikat rapi dan dibuat tocang. Dia terpaksa berdiri di atas bangku ketika hendak menyikat rambutnya yang panjang itu. Dia juga akan menggunakan produk kecantikan tradisional yang diperbuat daripada herba untuk menjaga kecantikan rambutnya. Dia juga tidak pernah membiarkan kukunya kelihatan kusam tanpa disapu cecair pengilat. Ibu Valar tidak pernah mengabaikan kepentingan untuk bersolek walaupun setelah suaminya meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan. Walaupun ada orang antara yang datang ke upacara pengebumian suaminya mengata-ngata tentang sikapnya itu, namun dia tidak pernah mempedulikannya. Ketika mengadakan upacara sembahyang pada hari ulang tahun peringatan suaminya, dia tidak memanggil sesiapapun daripada saudara-maranya.
Selain itu, ibu Valar juga gemar menggunakan serbuk kunyit sebagai herba dalam penjagaan kecantikan kulitnya. Valar suka akan bau serbuk kunyit yang dapat dihidu pada kedua-dua belah tangan ibunya pada setiap masa. Kadang kala, Valar akan menekap kedua-dua belah tangan ibu pada mukanya. Dia akan berasa gembira apabila ibu memegang pipinya dengan penuh manja. Ketika itu, Valar akan mengalami keselesaan yang tidak terhingga. Dia melihat ibunya buat kali terakhir pada suatu awal pagi bulan lepas ketika ibunya bertolak dari rumah ke tempat kerja dengan menaiki van kilang. Valar masih ingat, wajah ibunya begitu berseri pada pagi tersebut. Sebelum bertolak, ibunya sempat mencium dahi Valar dan juga memberitahunya bahawa dia meninggalkan sedikit wang di bilik sembahyang.
“Apoi” laung Valar untuk memanggil adiknya. Dia sedar juga bahawa suaranya itu tidak cukup lantang untuk menarik perhatian adiknya. Valar berasa agak letih juga pada hari tersebut. Mamandangkan ramai penghuni berbangsa Cina berkumpul di sana untuk menyaksikan pementasan opera Cina yang khas dipersembahkan pada hari ketujuh perayaan ‘Hungry Ghost’, Valar berasa segan untuk memanggil nama adiknya sekali lagi dengan suara yang lantang. Apabila perutnya mula berlapar, pau kaya yang dbelinya pada waktu tengah hari tadi terlintas dalam fikirannya. Dia segera pulang ke rumah untuk mengisi perut. Pau itu sudah tidak panas lag, jadi agak sukar untuk Valar menelannya. Sejak bermulanya sambutan perayaan dan pementasan opera seminggu yang lalu, Valar sudah tidak payah menyediakan makanan untuk Apoi. Apoi yang dahulunya asyik bermanja-manja dengan ibu, kini sudah boleh bergaul dan berinteraksi dengan penduduk di kampung itu. Dalam tempoh masa sebulan sahaja, dia sudah belajar untuk merayau-rayau di sekitar kawasan kampung itu seperti seorang dewasa. Ada juga beberapa perkataan Mandarin yang sudah dihafalnya untuk berbual-bual dengan penduduk kampung. Namun, Valar berasa bimbang juga apabila memikirkan bahawa dirinya akan ditegur oleh ibunya jika pulang pada suatu hari nanti kerana tidak menjaga adiknya dengan baik. Sambil memamah pau, Valar menjenguk juga ke luar rumah untuk mencari-cari adiknya.
Sebenarnya, kedudukan rumah-rumah yang dibina dengan konsep koloni di kampung lama itu agak memudahkan mereka untuk melihat orang yang lalu-lalang sepanjang jalan tersebut. Terdapat 15 buah rumah di baris kiri dan 12 buah rumah di sebelah kanan. Rumah Kepala pula terbina di hujung sebagai penghubung antara rumah-rumah di baris kanan dan di baris kiri. Dulu, Kepala memiliki sebuah kilang kayu kecil. Apabila kilang itu musnah dalam kebakaran, dia menerima wang pampasan daripada syarikat insurans. Memandangkan dia hidup membujang, dia membeli kebanyakan daripada rumah di kampung itu secara tunai dengan wang pampasan tersebut. Agak lumayan juga duit sewa yang diperoleh daripada rumah-rumah yang disewakannya. Pernah juga terdengar desas-desus bahawa dialah orang yang membakar kilang kayunya semata-mata untuk mendapatkan wang pampasan tersebut.
Orang baharu yang datang ke kampung itu akan menganggap rumah Kepala sebagai kuil ibadat Cina apabila memandangnya pada kali pertama. Bumbung rumahnya dibina agak unik juga; bentuknya melengkung sama seperti bumbung di kuil Cina. Kepala mula menilik nasib orang kampung dan menjalankan upacara sembahyang di rumahnya hanya selepas kilang kayunya musnah dalam kebakaran. Ruang tamu rumahnya dipenuhi dengan patung-patung dewa yang berjanggut dan bermisai tebal dan berwarna merah pekat. Kayu colok, batang kemanyan dan lilin juga sering dibakar di sana pada setiap masa. Sekiranya ada penduduk kampung yang menghidap penyakit atau demam, dia akan membuat puja dan menyediakan kertas kuning yang ditulis dengan kata-kata mantera. Kertas-kertas tersebut akan dibakar, diambil abunya dan dicampurkan dalam air untuk diminum oleh orang yang sakit. Kepala sentiasa memakai sebentuk cincin yang bertatahkan batu berkuasa yang berwarna hijau anggur pada tangannya. Lehernya juga dikalungkan dengan banyak tangkai yang dipuja.
Pernah juga orang kampung berkata bahawa Kepala merupakan seorang warga Singapura yang dibuang negara dan pernah menjadi gangster besar di kawasan Lunas ketika usia mudanya. Memandangkan Kepala memiliki kekayaan, remaja yang tinggal di sekitar kawasan itu akan teragak-agak untuk meninggikan suara kepadanya.
Sejak bermulanya bulan hantu berdasarkan kalender Cina, Kepala kelihatan agak sibuk. Pada suatu malam, semua penduduk Cina yang tinggal di kampung itu telah berkumpul di halaman rumahnya untuk mengadakan perjumpaan. Kepala yang kelihatan seperti jin dengan perutnya yang buncit dan badannya yang licin tak ditumbuhi bulu pula duduk di tengah antara mereka. Mereka berbincang tentang persiapan yang perlu dilakukan sempena sambutan ‘Hungry Ghost’ yang bakal diadakan sepanjang bulan Julai. Mereka juga bersetuju agar menyediakan makanan mengikut kemampuan masing-masing untuk dihidangkan sepanjang tempoh upacara.
Valar pernah melihat upacara sembah roh yang dilakukan oleh penduduk Cina di kampungnya pada tahun-tahun lepas. Namun, dia tidak berasa asyik untuk menyaksikannya, seperti mana yang dibuat oleh adiknya Apoi. Sifat Valar saling tak tumpah sama seperti ibunya, tidak gemar bersosial dan suka mengasingkan diri daripada orang kampung. Walaupun berat mulut orangnya, namun muka ibu Valar sentiasa kelihatan manis, seolah-olah asyik senyum lebar. Apabila dia ketahui bahawa Valar menyimpan kuku yang panjang walaupun masih bersekolah, dia tidak memarahi anak daranya. Malah, dia memberi pengilat kuku milik sendiri kepada anaknya. Maka tidak hairanlah Valar bertambah khusyuk untuk menjaga kukunya yang panjang itu. Selain itu, Valar juga menghabiskan masa lapangnya dengan mengumpul keratan lirik lagu yang diterbitkan dalam majalah mingguan. Ketika ibunya tidak ada di rumah, dia akan berlatih untuk menyanyikan lirik-lirik tersebut. Kadang kala dia berasa bangga terhadap diri sendiri, kononnya pandai bernyanyi. Terfikir juga dalam hatinya untuk menyanyikan lagu-lagu yang dilatih itu kepada sesiapa.
Walaupun sambutan perayaan ‘Hungry Ghost’ diadakan pada setiap tahun, namun pentas yang didirikan untuk mementaskan opera Cina itu agak baharu kepada penduduk di kampung itu, termasuk Valar. Biasanya, persembahan muzik tradisional Cina sahaja yang akan diadakan selama 15 hari berturut-turut sempena sambutan perayaan tersebut. Namun kali ini, suatu pentas yang besar didirikan secara khas betul-betul di hadapan rumah Kepala untuk mengadakan opera Cina selama tujuh hari berturt-turut.
Sebaik sahaja melihat pentas yang didirikan itu pada hari pertama, kanak-kanak yang tinggal di kampung mula berlonjak-lonjak gembira. Sehingga waktu petang, mereka akan naik ke atas pentas untuk bermain-main dan bersuka ria. Ada yang berbaring dan berguling sekali di atas pentas itu. Kepala hanya akan melihat telatah mereka dengan muka bengis dan kemudiannya pergi tanpa berkata apa-apa. Selepas pulang dari sekolah, Apoi juga akan pergi bersama-sama mereka untuk bermain di atas pentas itu. Valar tidak dapat menghalangnya daripada pergi ke sana. Walaupun Valar mengeluh dengan sikap Apoi itu, namun dia berasa lega apabila melihat Apoi yang tidak menangis mahupun tidak mencari-carikan ibunya dalam tempoh sebulan itu. Apabila mendengar cacian yang dilontarkan oleh sanak saudara yang datang menziarahi mereka berdua selepas pemergian ibunya, hanya Valar yang menangis; Apoi tidak mempedulikannya langsung. Valar berasa lega apabila sedar bahawa Apoi belum cukup umur untuk mengenali nasib yang menimpa mereka berdua itu.
Setelah pementasan opera bermula sejak awal minggu tersebut, Kepala sudah tidak membenarkan sesiapapun untuk naik ke pentas itu. Walaupun muzik dan lagu Cina yang diudarakan sepanjang minggu itu membingitkan telinga penduduk berbangsa India di kampung tersebut, namun mereka sanggup meredahnya. Ada antara mereka yang meletakkan penyapu lidi dan paku di kaki lima rumah, kononnya dapat mengelakkan rumah mereka daripada dimasuki roh jahat. Kebanyakan gerai-gerai makanan yang diwujudkan secara sementara di kampung itu menjual pelbagai jenis hidangan daging babi. Sepanjang tujuh malam yang diadakan pementasan opera Cina, penduduk berbangsa Cina dari pelbagai kawasan di Lunas telah datang berkumpul di sana. Kepala telah menyediakan kemudahan penginapan kepada artis-artis opera Cina di rumahnya sendiri. Memandangkan makan minum mereka juga diuruskan oleh Kepala, artis-artis tersebut berehat sepanjang hari dan hanya membuat raptai persembahan di penginapan mereka sebelah waktu petang.
Menurut kepercayaan kaum Cina, persembahan opera yang akan dipentaskan pada hari ketujuh dipercayai lebih unik dan istimewa berbanding dengan pementasan yang dilangsungkan selama enam hari yang sebelumnya. Maka seluruh warga kampung berkumpul di hadapan pentas yang disediakan untuk menyaksikannya.
Walaupun Valar teringin-ingin untuk menyaksikan persembahan opera tersebut, namun dia berasa segan untuk keluar. Hatinya memberat apabila memikirkan takdir yang perlu diharungi olehnya mulai hari seterusnya. Sejak pemergian ibunya, Valar sudah jemu mencari kerja di banyak tempat sekitar kawasan Lunas. Pernah juga dia pergi mencari jawatan kosong di kilang roti yang terletak di Kulim, kilang yang sama ibunya bekerja dahulu. Namun, nasib tidak memihak kepadanya. Ada antara pihak majikan yang bertanya tentang keputusan peperiksaan SPM; ada pula yang lepas tangan berdasarkan faktor tiada pengangkutan sendiri. Sekiranya hendak pergi ke mana-mana, Valar terpaksa berjalan kaki selama setengah jam dari Kampung Lama yang dia tinggal untuk pergi ke stesen bas yang terdapat di pekan Lunas. Yang buruk lagi, bas hanya akan datang ke stesen bas itu selang satu jam. Kelam-kabut benar apabila dia bergantung sepenuhnya pada pengangkutan awam sekiranya hendak pergi bekerja di mana-mana. Tambahan pula, Kepala sudah mula membising apabila duit sewa pada bulan itu tertangguh.
“Mengapakah kamu tidak lari dari rumah sama seperti ibu kamu? Bukankah kamu sudah capai umur untuk berfoya-foya sesuka hati kamu?” apabila Kepala memekik sambil berdiri di hadapan rumah, Valar berasa malu untuk mengangkat kepala untuk melihat mukanya. Valar merintih dalam hatinya, seolah-olah mencari tempat yang kelam untuk menyembunyikan mukanya akibat tidak tahan malu. Dia berasa malu seperti badannya dibogelkan di hadapan orang ramai.
Valar sempat mengikat mulut Kepala buat sementara waktu setelah menghulurkan saki baki duit yang ada padanya. Valar berasa tidak selesa seumpama dirinya dicucuk dengan puntung api apabila Kepala menjalarkan matanya ke atas badan Valar dari bawah ke atas. Sebaik sahaja Kepala beredar dari situ, wanita tua Cina yang tinggal di rumah sebelah datang berjumpa dengan Valar. Dia memberi cadangan kepada Valar supaya membuat kerja menggunting kain sambil duduk di rumah. Memandangkan pada keadaannya yang terdesak, Valar akur sahaja dengan cadangan tersebut.
Selepas beberapa hari, datanglah seorang taukeh Cina ke rumah Valar untuk menghantar guni-guni yang penuh dengan carik kain. Valar perlu menggunting kain-kain tersebut mengikut saiz yang dihendaki tanpa merosakkan jahitan yang ada padanya. Setiap kain yang dipotongnya itu dibayar dengan upah sepuluh sen sekilo. Walaupun Valar menghabiskan masanya dari pagi sampai petang untuk menggunting kain berguni-guni banyaknya, namun upah yang diterimanya itu hanya cukup sekadar untuk menyara makan minum mereka berdua. Apabila dia mencuri masa kerjanya untuk memasak sendiri di rumah rata-rata dapat menjimatkan perbelanjaan makanan, upah yang diterimanya pula berkurang. Apabila memikirkan pada dugaan yang dialaminya itu, dia berasa bahawa dirinya seumpama sebiji bola yang diterajang dari kedua-dua belah sisi. Apabila tidak ada pilihan lain, dia mengambil keputusan untuk menjual radio yang ada di rumahnya itu untuk membayar baki duit sewa kepada Kepala. Hanya radio itu sahaja yang ada di rumahnya untuk dijual. Radio itu digunakan oleh ibunya sejak Valar masih bayi lagi. Radio itu berwarna putih dan berbentuk segi empat tepat. Jika pelarasnya dilaraskan pada frekuensi yang tepat, saluran radio Singapura juga boleh didengar melaluinya. Tidak ada hari yang ditinggalkan oleh Valar untuk turut bernyanyi lagu-lagu yang dimainkan menerusi radio tersebut. Lebih-lebih lagi, lagu kegemarannya telah diudarakan secara berterusan pada setiap hari sepanjang minggu tersebut. Valar berasa berat hati ketika menjual radio tersebut, seolah-olah terpaksa berpisah dengan seorang kawan rapat.
Ketika Valar menghulurkan duit sewa yang berbaki itu kepada Kepala, mukanya sudah mula bermerah. Nafasnya yang kencang menandakan bahawa dia sedang naik angin. Kepala sudah tahu bahawa Valar tidak mampu membayar duit sewanya dengan sempurna selepas ini. Valar tidak mempunyai kenderaan. Tahap pendidikannya juga tidak cukup sempurna. Jika hendak bekerja di bandar pula, dia terpaksa berjalan kaki selama setengah jam untuk ke stesen bas. Apabila dia membuat kepastian bahawa Valar benar-benar tidak ada sebarang harapan lain, dia mendapat suatu idea. Sebaik sahaja Kepala menyatakan ideanya, Valar terus bermuntah di hadapannya.
Dalam kampung tersebut, terdapat empat bilik tandas dengan nisbah satu kepada enam buah rumah yang ada di situ. Semua bilik tandas tersebut dibina pada aras tinggi setelah dipasang dengan tiang-tiang yang besar. Baldi akan diletakkan tepat di bawah posisi kedudukan mangkuk tandas di dalam setiap bilik tersebut. Selang setiap tiga hari, baldi yang diletakkan di bawah itu akan penuh dengan najis yang diberak oleh penduduk kampung itu. Ada pekebun Cina yang akan datang memungut baldi-baldi yang penuh itu dan menggantikannya dengan baldi kosong. Najis itu akan dibawa balik untuk dijadikan baja di kebun sayurnya. Sekiranya ada orang yang sanggup menghantar baldi-baldi najis itu ke kebunnya, dia sanggup membayar upah sebanyak dua ringgit untuk setiap baldi. Orang yang menghantar baldi itu juga dibenarkan untuk mengutip hasil kebun yang secukupnya untuk kegunaan sendiri secara percuma. Sekiranya dua baldi najis dihantar pada setiap hari, upah yang dikutip daripada pekebun itu sudah mencukupi untuk membayar sewa rumah. Maka, dia mencadangkan Valar supaya mengutip upah dengan menghantar baldi najis ke kebun sayur itu. Sepanjang malam tersebut, Valar tidak habis-habis berasa hendak muntah apabila memikirkan kerja yang dicadangkan kepadanya itu. Dia asyik berlari ke halaman rumah untuk bermuntah, sebaik sahaja membayang-bayangkan keadaan baldi najis yang disebut oleh Kepala tadi. Memandangkan perutnya kosong dan tidak berisi, dia tidak memuntahkan apa-apa kecuali air liur sahaja.
Sudah menjadi biasa kepada Valar untuk pergi membuang air besar di tandas tersebut sebelum subuh menjelang pada setiap pagi. Bukan seperti orang lain, dia akan membawa dua baldi air bersama-samanya apabila pergi ke tandas setiap kali. Dia akan menyimbah sebaldi air di ruang tandas sebelum menggunakannya; sebaldi air lagi akan disimbah selepas membuang air besar. Ada kala ketika pulang dari tandas, Valar pernah terserampak dengan pekebun Cina yang menunggu dengan vannya untuk mengutip baldi-baldi najis yang sudah penuh. Walaupun baldi najis yang diangkatnya, dia tetap melakukan tugasnya dengan penuh dedikasi. Baldi-baldi najis yang ditarik keluar akan ditutup dengan karung plastik sebelum dinaikkan ke dalam van. Kemudian, dia akan meletakkan baldi-baldi kosong pada posisi yang ditentukan. Dia mengusahakan kebunnya berdekatan dengan ladang kelapa sawit yang terletak di sebelah kawasan kampung itu.
“Kamu perlu menghantar baldi-baldi najis ke kebun itu sebelum waktu subuh menjelang. Kerja yang mudah sahaja. Memakan masa tidak sampai sepuluh minit. Sudah memadai jika kamu hantar dua baldi setiap hari.”
Valar tidak bersetuju dengan cadangan yang diberitahu oleh Kepala. Dia mula melakukan kerja menggunting kain yang dibuatnya itu dengan lebih giat. Sebaik sahaja masuk minggu kedua pada bulan seterusnya, Kepala sudah kembali mengumpat semula. Walaupun bekerja siang malam, Valar tidak mampu mengumpul upah lebih daripada sepuluh ringgit. Duit yang ada padanya itu cuma cukup untuk membayar bil elektrik. Kutukan dan hinaan yang keluar daripada mulut Kepala makin hari makin bertambah. “Kalau kamu sanggup tidur dengan orang untuk mendapatkan wang, beritahu pada saya… Saya boleh aturkan,” sebaik sahaja Kepala berkata sedemikian, Valar benar-benar teringin untuk mengerat lidahnya dengan gunting yang ada pada tangannya. Dia menangis sepanjang malam tersebut. Dia berasa berang apabila melihat pada adiknya ketika itu. Sekiranya Apoi tidak ada bersama-samanya, mungkin Valar sudah tentu keluar dari kampung itu dan merantau ke mana-mana untuk meneruskan kehidupannya. Dia berasa benci melihat adiknya yang tidur lena tanpa mengetahui masalah yang dihadapi oleh kakaknya itu.
Valar bersetuju dengan cadangan Kepala pada malam pementasan opera hari keenam. Ketika itu dua orang artis yang berpakaian baju tradisional Cina sedang membuat pertunjukan Kung Fu di atas pentas. Pertunjukan itu berlangsung selama lima minit. Mereka berdua menunjukkan aksi-aksi pertahanan di depan tirai, manakala di belakang tirai pula terdapat sekumpulan lagi artis yang memberi latar suara dan memainkan alat muzik tradisional. Bunyi muzik yang dimainkan dengan rancak itu sangat lantang. Ketika orang kampung yang berkumpul di hadapan pentas itu menyaksikan pertunjukan dengan leka, Valar mengambil kesempatan untuk menyampaikan persetujuannya kepada Kepala. Dia mempercayai bahawa rasa segan yang dialaminya ketika memberitahu persetujuan kepada Kepala itu dapat diatasi oleh bunyi muzik yang kedengaran lantang. Dia menyampaikan persetujuannya dengan suara yang terputus-putus. Kepala ketawa sinis lalu mengangguk kepalanya sahaja setelah mendengar kata-kata Valar. Sepanjang malam tersebut Valar dia makan apa-apa.
Pementasan opera dimulakan. Salah seorang daripada ahli kumpulan pemuzik membunyikan gendang besar yang diperbuat daripada kulit. Sekeliling badan gendang itu diukir dengan bentuk naga yang cantik.
Kayu-kayu colok yang terpacak di sebelah khemah makan semuanya sudah habis bakar. Valar berasa lega kerana mungkin Apoi sudah mengisi perutnya dengan apa-apa makanan yang dihidangkan di khemah makan. Baris hadapan daripada kerusi-kerusi yang disusun di hadapan pentas dibiarkan kosong tanpa diduduk oleh sesiapa. Menurut kepercayaan mereka, roh nenek moyang yang turun ke bumi akan duduk di baris hadapan yang kosong itu. Valar pergi duduk di atas kerusi yang disediakan di baris terakhir. Menurut kata orang ramai yang berkumpul di sana, pertunjukan opera kemuncak pada hari ketujuh itu agak istimewa untuk ditonton. “Dahulu ketika kecil, saya pernah menyaksikan pementasan opera ini di Pulau Pinang. Kini saya datang dari jauh ke sini untuk menyaksikannya sekali lagi,” kata seorang wanita tua Cina kepada Valar yang duduk di sebelahnya. Kepala telah menguruskan segala perancangan untuk menyambut perayaan tersebut dengan baik sekali. Valar berasa hairan juga apabila melihat pada Kepala yang mampu bergerak ke sana sini dengan membawa badannya yang gemuk untuk menguruskan segala pengaturan. Suaranya yang mengarahkan orang terus kedengaran sepanjang malam itu.
Pada awal pagi hari seterusnya, Kepala pergi ke rumah Valar dan memberi karung plastik yang penuh dengan sarung tangan getah. “Kamu boleh memulakan kerja menghantar baldi najis mulai esok. Dengar kata saya dengan baik-baik. Pakai sarung tangan ketika mengangkat baldi najis. Ikat sehelai kain pada muka kamu. Pekebun itu akan menyerahkan upah kamu kepada saya pada hujung bulan. Jika ada wang lebih setelah menolak duit sewa, nanti saya akan serahkan bakinya pada kamu,” kata Kepala.
Valar tidak membalas apa-apa. Apabila dia mencuba untuk menyarung sehelai sarung tangan, hujung-hujung sarung itu terkoyak setelah kena pada kukunya yang panjang. Kepala mula memekik setelah melihatnya.
“Sudahlah hendak hidup pun susah, apa gunanya simpan kuku panjang sebegini? Baik kamu ketip kuku sebelum memulakan kerja pada hari esok,” Valar berasa terkejut setelah mendengar kata-kata Kepala. “Saya akan memakai sarung tangan yang diperbuat daripada kain,” kata Valar untuk memujuknya.
“Jika najis terlekat pada sarung tangan kain, nanti berbau busuk pula setelah kamu pulang ke rumah. Mungkin kamu sudah biasa hidup dengan bau busuk, tetapi nanti menyusahkan pula wanita tua yang tinggal di rumah sebelah,” kata Kepala lagi.
Sekali lagi, Valar cuba menyarungkan sehalai sarung tangan. Kali ini dia membuatnya dengan sabar dan berhati-hati. Namun, hujung sarung tangan masih terkoyak lagi apabila dia menggenggamkan tangannya.
“Kalau kuku terkeluar daripada hujung sarung yang dipakai, tidak apa bukan?” tanya Valar sekali lagi. Dia masih bertanya soalan itu walaupun dia tahu bunyinya agak remeh.
Kepala ini orang jenis cepat naik darah. Dia tidak berasa sabar untuk memberi penerangan secara panjang lebar. “Kamu belum pernah tengok baldi najis itu. Bentuknya lebih buruk daripada muka kamu. Mungkin kamu sudah boleh biasa dengan baunya dalam masa beberapa hari. Namun, jikalau kamu bersikap cuai dalam mengutamakan aspek kebersihan, nanti orang kampung pula yang akan dijangkiti penyakit. Adakah kamu hendak orang lain tanggung kesannya disebabkan kecuaian kamu?” kata Kepala.
“Saya boleh mencucinya sehingga bersih. Lagipun, bukan sukar untuk mencuci kuku sendiri,” kata lagi Valar. Valar hanya berniat untuk memujuknya supaya Kepala beredar dari situ secepat yang boleh.
Kali ini Kepala benar-benar hilang sabar. “Ini bulan untuk menyembah hantu dan roh. Kalau melakukan apa-apa kesilapan, mungkin nyawa kamu boleh diancam. Aspek kebersihan amat diutamakan sepanjang bulan ini. Jika kamu hendak, buatlah kerja ini. Jika tidak mahu, berambus kamu dari sini setelah melangsaikan baki duit sewa rumah ini,” pekik Kepala lalu beredar dari situ sambil mengomel dalam bahasa Cina.
Kawan-kawan sekolah Valar pernah memberitahunya tentang sambutan bulan menyembah hantu dahulu. Menurut kata mereka, pintu di neraka akan dibuka sepanjang bulan Julai untuk memudahkan roh-roh nenek moyang yang terlepas daripada hukuman di neraka turun ke bumi untuk menjamu makanan kegemaran yang dihidangkan oleh ahli keluarga mereka. Sekiranya manusia di bumi gagal untuk menjaga kehendak roh-roh tersebut ataupun melakukan sebarang kesilapan yang boleh membuatkan roh-roh tersebut berasa terhina, maka mereka perlu menanggung risikonya. Masyarakat Cina akan menjaga tindak-tanduk dan aspek kebersihan serta keselamatan sepanjang bulan sambutan perayaan tersebut.
Valar berasa buntu dan mati akal untuk mencari tempat yang hendak dituju. Agak sukar juga untuk mencari rumah dengan bayaran sewa yang rendah seperti di sini. Sekali lagi dia mengeluh dengan takdirnya; terpaksa menerima sesuatu kerja yang menjijikkan dan terpaksa melepaskan sesuatu yang disayanginya pada hari yang sama.
Pentas yang didirikan itu telah dihias khas sempena sambutan hari ketujuh. Pentas yang hanya dihias dengan kain berwarna merah sepanjang enam hari yang lepas, kini kelihatan seperti istana di kayangan setelah dihias dengan kain yang berwarna putih dan biru muda. Pentas tersebut turut dipasang dengan lampu berwarna-warni. Lantai pentas itu dilitupi dengan asap tiruan. Lampu-lampu di tepi jalan dan di gerai-gerai yang terdapat di sana dipadamkan semata-mata supaya menampakkan pemandangan pentas itu kelihatan lebih berseri. Seorang pengacara majlis sedang bercakap di atas pentas sambil diiringi dengan muzik liuyeqin.
Walaupun tidak faham bahasa, Valar tetap berkenan untuk mengetahui kandungan cerita opera yang hendak dipentaskan. Menurut cerita itu, sistem pemerintahan Dinasti Qing hendak berakhir tidak lama lagi. Puyi merupakan Maharaja terakhir dalam dinasti tersebut. Namun, Maharani Dowager Longyu yang menamatkan pemerintahan tersebut bagi pihak Maharaja Puyi. Suasana hari terakhir yang Maharani Dowager Longyu menyampaikan pengumuman kepada masyarakat di negaranya itulah yang hendak dipentaskan sebagai opera pada malam tersebut.
Setelah gong dibunyikan sebaik sahaja pengacara habis bercakap, semua penonton bertepuk tangan termasuk Valar sekali. Apabila menoleh ke belakang, barulah dia sedar bahawa banyak kerusi telah disusun di belakang barisnya untuk menampung lebih ramai pengunjung yang datang untuk menyaksikan pementasan opera pada malam itu. Ada juga ramai orang yang berkumpul di sana untuk menyaksikan opera sambil duduk di atas motosikal yang mereka tunggang. Jadi, amat mustahil kepada Valar untuk mengesan adiknya di situ.
Asap yang memenuhi ruang pentas makin ditambahkan. Lampu berwarna kuning emas dipancarkan ke arah pentas. Bunga api pula diletupkan secara berterusan. Valar yang duduk di belakang tidak dapat melihat apa-apa apabila para penonton yang duduk di barisan hadapan bertepuk tangan dengan gemuruh sambil berdiri. Setelah mereka duduk, Valar dapat melihat sinaran berbentuk bintang yang berkerlipan di ruang pentas itu. Sebuah kerusi yang besar juga diletakkan di bahagian tengah pentas.
Kemudian, pentas itu didatangi oleh beberapa penari wanita. Mereka bertocang dua, berkening sepet, memakai pelapik mata yang tebal dan bersolek muka dengan warna putih serta warna merah muda pada kelopak mata. Mereka mempersembahkan tarian tradisional dengan menggunakan kipas tangan yang dihias. Mahkota yang dihias di atas kepala mereka padan dengan pakaian berwarna biru yang dipakai serta berkerlip apabila terkena pancaran lampu berwarna. Tarian itu dipentaskan sebagai tarian iringan kepada ketibaan Maharani. Sama seperti penonton lain, Valar juga menanti-nantikan ketibaan Maharani itu. Tarian iringan itu tamat setelah muzik rancak yang dimainkan bersama nyanyian latar dihentikan.
Bunyi gong yang membingitkan telinga dibunyikan sekali lagi dan disusuli dengan ketibaan Maharani yang diiringi dua orang penjaga. Pakaiannya yang bersinar seperti emas mesti menawan mata yang memandangnya. Kepalanya dihias dengan mahkota emas. Gaun yang dipakainya itu labuh dan dihias dengan kain berwarna gelap, menambahkan lagi kecantikan warna emas yang terdapat pada pakaiannya. Maharani berdiri megah di tengah sambil diiringi dengan lampu berwarna-warni yang memenuhi ruang pentas itu.
Valar hampir hendak terpengsan setelah melihat wajah pelakon yang tampil sebagai Maharani di atas pentas itu. Wajah Maharani tersebut benar-benar mirip dengan wajah bidadari yang dilihatnya dalam mimpi tempoh hari. Bentuk badannya juga kelihatan sama seperti yang dimimpi. Hatinya mula berdebar-debar; badannya mula berpeluh. Tiba-tiba timbul hasrat dalam hatinya untuk melihat kuku yang terdapat pada tangan Maharani tersebut. Namun, seluruh anggota badan Maharani ditutup dengan gaun yang dipakainya. Valar hanya dapat melihat muka Maharani yang disolek dengan warna putih dan merah muda. Setelah muzik latar dikurangkan, Maharani mula bercakap. Semua penonton yang berada di bawah terus senyap untuk mendengar dialog yang diujarnya dengan teliti. Hanya muzik seruling Cina yang berkumandang sebagai muzik latar. Valar berasa muzik tersebut sedikit demi sedikit membangkitkan kedukaan yang terpendam dalam hatinya. Dia terus mengawal dirinya supaya tidak menangis. Setelah gong dibunyikan sekali lagi, datanglah seorang dayang untuk menurunkan mahkota yang terdapat di atas kepala Maharani tersebut. Para penonton di bawah mula berkecoh sambil melambaikan-lambaikan tangan mereka. “Jangan… jangan buat,” Valar dapat memahami maksud perkataan yang diujar-ujarkan oleh mereka. Dia juga hendak menuruti mereka, namun tidak membuatnya kerana berasa segan.
Setelah mahkota diturunkan, Maharani itu memandang tepat ke arah Valar. Pada mulanya Valar menganggap keadaan itu sekadar khayalannya semata-mata. Apabila dia merenungnya dengan tajam, barulah dia sedar bahawa Maharani itu sedang menatapnya dengan mata yang sayu. Valar berasa meremang bulu suak di tengkuknya. Badannya mula menggetar apabila membayangkan seperti ibunya sedang mengusap rambutnya. Walaupun dia menggerak-gerakkan badannya ke kiri dan kanan, Maharani tetap mengamatinya tanpa mengalihkan mata. Keadaan pentas menjadi sunyi buat seketika.
Setelah beberapa detik berlalu, Maharani di atas pentas itu mula menangis secara mencurah-curah. Emosinya yang diiringi dengan muzik Bangu turut menyentap hati Valar. Valar menangis juga akhirnya. Tangisannya sebati dengan ratusan suara tangisan yang kedengaran di sana.
Apabila Maharani mengangkat tangannya ke atas, Valar sempat melihat kuku yang berseri-seri pada tangannya. Tangisan Valar masih belum reda lagi. Dia tidak dapat mengalihkan mata daripada merenung mukanya, seolah-olah Maharani tersebut sudah memukau hati dan mindanya. Selepas seketika, Maharani berhenti menangis, namun muzik Bangu masih kedengaran di latar. Maharani melihat pada kuku-kukunya. Kedua-dua belah tangan Maharani itu terpasang dengan perisai kuku yang disadur emas pada jari manis dan jari kelingking.
“Kuku ini lambang kemegahan kuasa seseorang. Saya selaku waris terakhir dalam dinasti ini pernah memakai perisai kuku yang disadur emas,” para penonton bertepuk tangan semula dengan penuh bersemangat setelah Maharani mula berdialog semula. “Selagi ada perisai kuku ini, maharani tidak akan dibenarkan untuk bekerja. Penjagaan terhadap kuku ini diberi pertimbangan yang setaraf seperti mana kuasa Maharani dipelihara. Jadi saya tidak memerlukan lagi perisai kuku ini,” kata Maharani sambil mencabut perisai kuku yang berkerlipan dengan warna emas yang dipakainya itu lalu mencampaknya ke arah Valar. Keadaan di bawah mula menjadi huru-hara apabila ada antara penonton yang mula mencari-cari perisai kuku yang dicampak itu. “Ampun, Maharani. Jangan tinggalkan kami. Kami berjanji akan membawa perisai kuku itu kepada Maharani,” dengar juga kata orang antara mereka yang sedang berkucar-kacir di bawah. Keadaan di situ menjadi kelam-kabut buat seketika; ada yang berlari lintang-pukang; ada yang merosakkan kerusi-kerusi yang tersusun; ada yang menyusahkan kaum wanita, dan kanak-kanak. Sedangkan mereka yang berkumpul di sana tercengang melihat pada huru-hara yang berlaku, Valar pula berfikir dalam hatinya bagaimana dia boleh faham dialog yang disampaikan oleh Maharani di atas pentas tadi. “Jangan Maharani… jangan,” terus berkatanya sambil menangis.
Sebaik sahaja Maharani itu mengambil pedang daripada pembantu lalu mengeratkan kukunya, Valar mula berteriak seperti hilang kawalan. Suara teriaknya itu dapat didengar secara asing daripada puluhan lagi suara laungan yang kedengaran di situ. Maharani itu menoleh ke arah Valar, seolah-olah terdengar akan jeritannya tadi. Sambil merenung mata Valar, mukanya mula hilang di belakang tirai pentas yang dilabuhkan. Para penonton berdiri lalu memberi tepukan gemuruh. “Maharani Dowager Longyu” laungan turut kedengaran. Lampu-lampu di sekitar pentas itu dinyalakan semula. Muka yang sayu dan muka yang berair mata dapat dilihat di sekelilingnya. “Nasib baik saya sempat melihat maharani sebelum menemui ajal,” kata pula wanita tua yang duduk di sebelah Valar tadi.
Valar duduk sahaja buat seketika. Nafasnya sesak; degupan jantungnya pula makin laju. Kawasan pentas itu mula menjadi lengang setelah penonton-penonton mula bersurai. Hatinya teragak-agak untuk mengangkat tangannya yang sedang memegang pada kerusi untuk mengelap matanya yang berair. Dia berasa takut kerana mungkin badannya akan terbang menuju ke awan jika dia melepaskan genggamannya. Tiba-tiba, Apoi datang berlari menuju ke arah Valar lalu memeluknya dengan erat. Apoi melonjak-lonjak kegembiraan sambil mengatakan sesuatu dalam bahasa Mandarin. Valar tidak faham langsung dengan apa yang dikatakan oleh adiknya itu.
Tiba-tiba, Kepala muncul dalam kalangan orang yang sedang bersurai pulang itu lalu menghampiri Valar. Valar berasa takut setelah melihatnya. Semua yang berlaku sebentar tadi menjadi seperti mimpi kepadanya. Memandangkan badannya akan bergesel dengan perut boroi Kepala jika bangun, maka Valar mengambil keputusan untuk mendongakkan kepalanya sambil duduk. Setelah merenung muka Valar buat seketika, Kepala menyarungkan perisai kuku yang dibuang oleh Maharani tadi pada kuku di jari kelingkingnya lalu beredar tanpa berkata apa-apa.
Karya ini asalnya ditulis dalam Bahasa Tamil oleh M. Navin. Ia diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh S.T. Saravanan.
Gambar ehsan Sharon McCutcheon di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.