“Jika kamu sudah tahu teknik, kamu akan teringin untuk mencubanya nanti,” kata Maari lalu menyambar beg plastik yang dihulurkan oleh Saran.
Dia ketagihan setelah menghidu gam yang kuat baunya itu. Saran meninggalkan motosikalnya di tepi sebatang tiang lampu yang terletak bertentangan dengan pondok pengawal pintu gerbang ladang. Dia menggerak-gerakkan hendal sedua kali untuk memastikan motosikalnya sudah dikunci.
Tangannya mencari-cari sapu tangan sebaik sahaja mula berjalan di atas jalan tanah merah itu.
“Sekarang sudah masuk waktu senja. Usah peduli tentang habuk,” kata Maari.
Saran berasa hairan apabila melihat Maari yang mampu berjalan tanpa bertunggang-langgang. Walaupun sudah habiskan tiga botol bir jenis ‘stout’ bertambah lagi ketagihan bau gam,tenang sahaja gerakannya. Saran bertemu dengan Maari apabila hendak pulang setelah puas mencari Kuil ‘Kanni’ di sekitar kawasan Kuala Selangor itu.
“Kamu mungkin dapat bertemu dengan pak cik Maari jika tunggu sebentar lagi. Barangkali, dia berlegar-legar di sekitar kawasan ini sahaja,” kata pelayan kedai thodi sambil menghidangkan sepinggan varuval puyuh.
Kebetulan pada masa itu, editor Letchumi juga menelefon Saran. Apabila dia tidak menjawab, nada ‘Ting’ yang ringkas berbunyi sekali, menandakan ada rakaman suara dihantar melalui Whatsapp.
“Kamu perlu hantar artikel itu pada malam hari ini juga. Barulah reka letaknya dapat dibuat dengan segera untuk diterbitkan pada hari Ahad nanti. Saya sudah berpesan pada kamu supaya siapkan tugas ini lebih awal. Kamu pula tidak mengendahkannya, siap boleh hadir ke majlis pelancaran buku lagi. Gara-gara dapat imbuhan daripada ahli poltik…” Saran sudah tidak mahu dengar lagi leteran suara itu.
“Perempuan sundal!” Saran berpaling ke kiri dan kanan seolah-olah pekikannya tadi terdengar oleh sesiapa. Orang di sekitarnya pula masing-masing sibuk minum thodi dan menjamu lauk ayam kampung dan ayam belanda yang dihidangkan. Kebanyakan daripada mereka pemandu lori agaknya. Sudah lama juga Saran tidak menikmati makanan yang dihidangkan di tepi kawasan hutan yang lapang seperti itu. Burung-burung gagak pula berterbangan di sana sini, seolah-olah menunggu saki-baki makanan yang akan ditinggalkan di atas meja. Lauk puyuh goreng yang dihidangkan kepadanya tidak sama seperti yang dihidangkan di ibu kota. Kebanyakan kedai di ibu kota biasa menjual daging puyuh di tempat yang terdedah dengan habuk di tepi jalan. Jika tidak terjual pada hari pertama, daging puyuh yang sama akan digoreng secara berkali-kali untuk dihidangkan pada hari seterusnya.
“Mengapakah kamu hantar orang untuk memanggil saya?” semua pelanggan yang khusyuk menjamu tadi berpaling ke arah datangnya suara itu. Di sana, berdirinya seorang lekaki dengan rambutnya yang kusut masai dan pakaiannya yang tidak terurus.
“Encik, dialah pak cik Maari yang kamu cari tadi. Kalau kamu membawanya, mesti dapat pergi ke kuil ‘Kanni’ itu,” kata lagi pelayan sambil menghulurkan bil untukmakanan yang dimakan oleh Saran tadi. Saran merenung tepat ke arah Maari sekali lagi. Matanya bengkak dan merah; mulutnya penuh dengan noda sirih; rambutnya keriting. Matanya tidak mempedulikan sesiapa yang ada di sana.
“Mengapakah kamu mencari kuil itu?” Saran teragak-agak untuk memberitahu tujuannya apabila ditanya oleh Maari tadi.
“Beritahu sebabnya!” kata Maari sekali lagi lalu duduk di sebelah Saran. Bulu keningnya yang tebal dan bergulung menampakkan mukanya lebih bengis apabiladipandang.
“Sebab mayat seorang gadis ditemui dalam keadaan rentung di kawasan kuil itu pada 20 tahun yang lepas,” kata Saran dengan ringkas.
“Jadi, kamu datang untuk makan mayat itu?”
Telefon bimbit Saran berdering lagi. Oleh sebab jemu dengan omongan editornya, Saran telah menukarkan mod bunyi kepada mod senyap dalam telefonnya. Namun, lampu yang berkelip-kelip dalam mod senyap itu pula membuatkannya rasa tertekan lagi. “Saya hendak menulis tentang kejadian tersebut,” balas Saran kepada Maari sambil menahan rasa geramnya.
“Hendak buat filem seram? Masih tidak muak nampaknya hasilkan filem seram secara berderet-deret.”
Saran bertambah geram dengan sindiran Maari. “Ini bukan untuk filem, tetapi untuk liputan berita!” Saran memberitahunya walaupun dia tidak mahu mendedahkan perkara tersebut.
“Aduhai, malangnya nasib pihak media tempatan sekarang! Apalah yang hendak dicapai dengan membuat liputan berita mengenai kejadian bunuh diri yang berlaku pada 20 tahun lalu,” balas Maari. “Ada jejaka yang sudah memperdayakan gadis itu. Jadi, dia membakar dirinya. Boleh kamu beri saya lima ringgit? Hendak beli thodi. Kepala dah mula rasa pening,” kata Maari sambil menghulurkan tangannya setelah membakar sebatang cerut.
Saran sudah tidak berkenan lagi untuk berbual dengannya. Dia lantas mengeluarkan duit untuk membayar bil makanan. Telefon bimbitnya tidak putus-putus berdering sejak tadi lagi.
“Encik, pak cik ini tahu segala-galanya. Orang lama di kawasan ini,” kata lagi pelayan setelah menerima duit.
“Kamu beritahu dahulu apa yang kamu tahu. Yang bakinya akan saya beritahu kemudian,” kata Maari sambil duduk bersilang kakinya.
“Tidak ada apa-apa untuk diberitahu. Cukuplah jika kamu tunjukkan lokasi Kuil ‘Kanni’ itu,” balas Saran.
“Buat apa kamu hendak pergi nun jauh ke sana untuk mengetahui tentangnya? Gadis yang mati itu Buvana namanya. Memang anggun rupa parasnya. Dia membakar diri setelah mendapat tahu kekasihnya telah memperdayakannya. Pihak polis pula sudah menutup kawasan itu dengan memasang tali amaran dan tidak membenarkan sesiapapun menceroboh kawasan itu. Setelah mahkamah memutuskan bahawa gadis itu telah membunuh diri, tidak ada orang kampung yang berani pergi ke sana lagi,” kata Maari sambil lewa.
Saran sedar bahawa dia tidak ada pilihan lain kecuali berbaik dengan Maari. Diamenyatakan tujuannya mencari kuil itu untuk merakam gambar tempat kejadian tersebut. Setelah diterangkan secara panjang lebar, Maari bersetuju untuk membawa Saran ke sana.
“Kita perlu pergi mengikut jalan utama di pekan Batang Berjuntai. Jadi, kamu singgah dahulu ke kedai 7-Eleven dan beli empat botol bir jenis ‘stout’. Kemudian, beli sebotol gam yang digunakan untuk menampal tayar pancit dari bengkel kereta di sebelahnya,” pesan Maari. Saran berasa tergamak untuk menurunkannya di tengah jalan. Namun, dialah satu-satunya harapan yang ada untuk tiba di Kuil ‘Kanni’ itu nanti. Sudahlah editor Letchumi juga mengejarnya dengan membuat panggilan telefon sejak pagi tadi. Saran antara orang yang terbeban apabila wanita itu mengambil alih tugas editor di syarikat akhbar itu. Dialah orangnya yang mendepankan cadangan untuk menerbitkan artikel-artikel berkaitan topik seram dan paranormal untuk membangkitkan semula jualan akhbar dalam kalangan pembaca. Sejak hari itu, dia mula mengerjakan kru-kru bawahannya secara paksaan.
Apabila Saran hendak menyatakan cadangan atau idea ketika perjumpaan mingguan diadakan, editor baharu itu tidak akan membenarkannya untuk bercakap. Apabila nasib malang yang sama menimpanya berulang kali, Saran bangkit untuk bersuara kepadanya. Namun, segala kemarahannya itu akan hilang entah ke mana sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik editor Letchumi. Kata-kata yang ada dalam ingatannya tidak akan keluar melaluimulut. Mungkin dirinya yang tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris menjadi faktor kepada pergelutannya. Dalam suatu kejadian pada dua minggu lepas, editor Letchumi telah memakinya dengan istilah ‘bastard’ (anak haram) apabila mendapati Saran telah melakukan kesilapan kecil pada tajuk artikel yang hendak diterbitkan. Saran benar-benar hampa dengan maksud istilah tersebut apabila terlintas dalam fikirannya secara berulang kali. Walaupun dia bertekad untuk memaki balik editornya itu, namun hilang upaya terus pada saat seterusnya. Setelah menghantar mesej kepada editornya bahawa dia sedang menuju ke Kuil ‘Kanni’ itu, Saran telah mengaktifkan ‘flight mode’ dalam telefonnya. Inilah caranya dia melayan editor Letchumi sejak seminggu yang lalu.
“Ciri-ciri tanah merah di jalan ini sama seperti seorang wanita. Bersikap tenang pada waktu pagi setelah dipenuhi kabus; terbang ke sana sini seperti hantu pada waktu siang; hanya bangkit apabila diusik pada waktu malam,” kata Maari sambil bergelak.
Apabila membandingkan ungkapan itu dengan editor Letchumi, Saran tidak pernah melihatnya bersikap tenang ataupun berbaik muka dengan sesiapa. “Dia mungkin jenis yang ‘siang’ pada setiap masa,” Saran terfikir dalam hatinya. Suatu lagi peristiwa berkaitan kandungan muka hadapan majalah cinema edisi Ahad terlintas dalam fikirannya. “Adakah perlunya kamu letakkan gambar seksi pelakon yang menunjuk-nunjukkan buah dada itu kononya untuk mendapat liputan atas kandungan cinema ini? Kalau kamu gatal sangat, mengapa pula tidak membaham sahaja puting dada yang menyusu kamu ketika kecil?” kata-kata itu telah membuatkan Saran terkilan hatinya. Setelah pulang ke rumah, dia berasa sebak seolah-olah hendak menangis setelah melihat wajah ibunya. Dia lekas menelefon editornya itu. Dia hendak memaki wanita itu dengan sepuas-puasnya. Namun, editor Letchumi tidak menjawab panggilannya pada malam tersebut. “Mengapakah kamu menelefon saya pada waktu malam? Adakah kamu terlalu sibuk sehingga tidak dapat habis berbincang pada waktu kerja?” cara dia memekik kepada Saran pada keesokan pagi telah menukarkan segala kemarahan terhadapnya menjadi ketakutan.
“Wanita yang sudah berumur dan belum kahwin lagi seperti dia memang suka bermasam muka dengan orang lain,”apabila Gopal, rakan sekerjanya berkata demikian, Saran tidak faham erti pada mulanya. “Apa salahnya jika kamu menjadi penawar kepada masalahnya?” sindirnya lagi. Secara kebetulan, hati Saran mula berenyah apabila terpaksa bertugas dengan editor Letchumi untuk menyediakan reka layar artikel yang perlu diterbitkan pada setiap hari Ahad. Bau peluh bercampur minyak wangi yang dipakainya mula mencelarukan tumpuan Saran. Mata Saran mula mengamati tangan putihnya yang penuh beroma halus. Barulah dia sedar bahawa editornya itu bukanlah wanita yang berumur sangat. Apabila bangun dan duduk, Saran sempat menggesel bahu dan pinggulnya. Pada awal, Saran berasa cemas juga apabila mendapati editor Letchumi tidak menampakkan sebarang reaksi pada mukanya. Lama-kelamaan, perasaan cemasnya bertukar menjadi rangsangan yang mendorong kenakalannya itu. Dia mula menggesel badan editornya secara sengaja. Editor Letchumi tetap berfokus pada komputernya; tidak menunjukkan sebarang reaksi. Kesempatan itu menambahkan lagi kekhusyukan Saran. Dia berasa teruja apabila memikirkan cara-cara untuk menggodanya. Dia mula berasa yakin apabila memikirkan editornya itu tumpang berseronok secara diam-diamdengan kelakuannya itu.
Jalan tanah merah yang panjang itu bersinar-sinar dipukul cahaya matahari senja. Habuk jalan yang bermendap pada pelepah sawit turut mengerlip. Jalan itu kelihatan tidak rata dan berlopak di sana sini kerana sering dilalui traktor dan lori. Setelah menyeberangi sebatang parit, mereka berdua terus berjalan di antara batas yang ditumbuhi pokok-pokok sawit berketinggian lapan kaki. Pelepah pokok sawit yang tumbuh bertindih antara dua batas itu kelihatan seumpama bumbung sepanjang laluan tersebut.
“Terdapat banyak kuil di kawasan Kuala Selangor ini,” kata Maari sambil menghidu karung yang dipenuhi gamdengan nafas panjang. Kedua-dua belah matanya memandang ke atas buat seketika, seolah-olah sedang berkhayal. Dia mencampakkan plastik itu setelah pulih ingatannya.
Saran berasa aneh melihat kelakuan Maari. “Banyak kuilsudah saya kunjungi dari pagi tadi. Namun, belum pergi ke kuil yang saya carinya. Orang di sini sering tunjuk arah yang salah,” katanya.
“Manalah boleh pergi ke Kuil ‘Kanni’ dengan semudah itu? Ramai yang sudah mencuba untuk menyembunyikan identitinya sejak zaman pendudukan orang Inggeris lagi. Jalan ke kuil itu sudah diubah; laluan di sekeliling kuil itu sudah ditumbuhi semak samun. Walaupun banyak cara yang sudah dicuba, namun tidak ada sesiapa pun berani untuk merobohkan kuil itu. Kuil itu jarang dikunjungi penduduk tempatan. Kadang kala ada pengunjung datang dari luar negeri, itu pun jika terkena sumpahan wanita sahaja,” kata Maari sambil berjalan.
Sebenarnya, tugas yang dipinta oleh editor Letchumi kepada Saran itu amat mudah sahaja. Dalam budaya ritual orang-orang Tamil, penyembahan terhadap dewa atau dewi penjaga keturunan adalah amalan yang penting. Salah seorang moyang dalam keturunan akan disembah sebagai dewa penjaga secara turun-temurun. Terdapat ratusan dewa penjaga yang masih disembah sehingga hari ini, ‘Kanni’ adalah salah satu daripadanya. Jadi, Saran telah dipinta untuk mencariKuil ‘Kanni’ dan mengambil gambar di kawasansekitarnya. Kemudian, dia perlu menulis artikel fiksyen berdasarkan sejarah kuil itu dan juga rahsia yang tersembunyi sebalik kematian gadis yang bernama Buvana . Dia juga perlu tambah ‘asam garam’ dalam artikelnya bahawa dia telah diganggu oleh kuasa ajaib ketika melawat kuil itu. Jika artikel yang direkanya itu diterbitkan dengan tajuk ‘Di sinilah saya melihatnya…’ dan dipadankan dengan beberapa ilustrasi yang diubahsuai, sudah tentu para pembaca akan berasa seram. Mereka mesti akan membuat khayalan dan imaginasi masing-masing. Menurut Letchumi, jika hendak membangkitkan rasa takut ataupun rasa spiritual yang ada dalam diri seseorang individu, sudah cukup setakat menyentap daya khayalan mereka.
“Manalah ada lagi orang yang percaya pada karut-marut semua? Sekarang semua orang sudah berpendidikanlah!” pernah juga Saran membantah kata-kata editornya.
“Itulah yang menjadi tugas kita. Kita perlu meyakinkan mereka. Walaupun hendak menyampaikan perkara karut-marut, kandungannya mesti berlandaskan pada peristiwa sebenar. Carilah cerita seumpama itu. Janganlah buat rasa menyesal kerana mengambil orang lepasan ijazah dalam bidang Tamil seperti kamu ini. Langsung tidak ada kreativiti!” tengking balik editor Letchumi itu.
Mereka berdua tiba di lereng sebuah kawasan tanah tinggi. “Kuil itu terletak di atas!” kata Maari lalu mula mendaki.
“Apakah maksud terkena sumpahan wanita yang kamu katakan tadi?” tanya Saran sambil tercungap-cungap menarik nafas.
“Apalah gunanya kamu bekerja dalam media, sedangkan ini pun tidak tahu?” kata-kata Maari itu mengingatkan wajah editor Letchumi kepada Saran. Dia menoleh ke belakang untuk membuat kepastian, gara-gara editor Letchumi itu mengekorinya di belakang. Bau minyak wanginya juga terlintas dalam fikirannya.
“Ada 13 jenis sumpahan secara keseluruhannya. Sumpahan Tuhan, sumpahan sami, sumpahan ular dan ada banyak lagi. Antaranya, sumpahan wanita paling buruk padahnya. Kesan sumpahan itu akan kekal sampai beberapa keturunan.”
“Bagaimanakah kamu tahu tentang semua ini?” tanya Saran.
“Kan kamu tak tahu, sebab itulah saya tahu!” kata Maari sambil tergelak.
“Sudahlah kamu, balik sahaja. Biar saya sendiri mencari kuil itu,” Saran mengamuk dalam hatinya. Namun, apatah dayanya untuk berkata sedemikian sedangkan jalan masuk yang mereka datang tadi pun tidak dapat diingatnya. Semakin tinggi mereka daki ke atas, semakin sama sahaja semua yang dilihat di bawah sana. Semua susur jalan yang ada di situ ditumbuhi semak samun yang tebal. Kesan tahi lembu dapat dilihat di sekeliling kawasan itu.
“Mayat juga mampu meninggalkan sumpahan. Namun, sumpahan daripada kaum lelaki tidak ada sebarang kuasa. Lahirnya sebagai seorang lelaki langsung tidak membawa apa-apa kelebihan kepada kita kecuali adanya zakar,” kata Maari sambil ketawa. Apabila terasa penat dan masih tercungap-cungap, Saran bertekad dalam hatinya untuk melangsingkan perut yang makin membuncit dengan melakukan aktiviti senaman.
Mereka berdua mula berjalan dengan laju setelah melihat bentuk bumbung beratap zink tidak jauh dari sana. Semakin melangkah semakin jelas pondok kuil itu boleh dilihat. Saran lantas mengambil gambar pemandangan ladang sawit yang kelihatan indah dari kawasan tanah tinggi itu. Setelah tiba di hadapan pintu muka pondok kuil itu, Saran menyembah sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya ke atas. Kelihatan beberapa batu bata dipacak dalam kuil itu. Setiap batu itu diikat dengan kain sutera berwarna. Warna pada kain-kain itu kelihatan pudar dan luntur, mungkin sudah lama tidak ditukar agaknya. Hanya sedua benang sutera yang menyinarkan warnanya. Pondok kuil itu didirikan dengan batang pokok pada keempat-empat sudutnya. Atap zink yang dipasang sebagai bumbung sudah berkarat dan rapuh. Ada beberapa kepingan atap itu sudah tertanggal pakunya. Tanpa melengahkan masa, Saran merakam gambar menggunakan kamera telefon bimbitnya.
“Budak zaman sekarang semuanya bergantung pada alat ini semata-mata. Janganlah sampai hendak bersetubuh nanti masih mencari alat ini juga,” Saran tidak membalas leteran Maari itu. Saran terkejut melihat sesuatu yang lekas menyembunyikan dirinya ke dalam semak apabila dia mengalihkan sekeping atap zinkyang terdampar di tepi pondok kuil itu. Dia lekas mencampakkan atap itu lalu mengundur beberapa langkah ke belakang.
“Mungkin cicak tokek agaknya. Jangan kamu menyentuh apa-apa,” kata Maari lalu meliarkan pandangannya ke seluruh kawasan. “Haa, tengok itu… Saya sudah agak tadi… Ada orang tinggalkan belanga yang digunakan untuk menanak ponggal. Monyet yang datang setelah mencium baunya sudah mengotorkan tempat ini. Nasib baik ruang dalam kuil tidak dikotorkan!” kata Maari.
“Adakah orang datang lagi ke kuil ini?”
“Saya sudah katakan tadi, ada orang akan datang ke sini jika terkena sumpahan wanita. Bukankah kita mencari pengubat apabila menghidap penyakit? Samalah caranya,” kata Maari sambil mengangkat belanga ponggaltadi lalu lihat ke dalamnya. “Mungkin sudah lebih tiga bulan agaknya,” Maari mencampakkan belanga itu jauh dari tempatnya.
Ketika mengamati kawasan luar dan dalam, barulah Saran sedar bahawa hanya ada enam batu berhala (‘Kanni’) dalam kuil itu.
“Mengapa ada enam ‘Kanni’ sahaja?” tanya Saran kepada Maari.
“Di sini hanya ada enam!”
“Bukankah kuil ini sepatutnya ada tujuh ‘Kanni’?”
“Buat masa sekarang, ada enam ‘Kanni’ sahaja.”
“Apakah sebabnya?” Saran mula berfikir bahawa dia telah tiba ke kuil yang salah. Berdasarkan apa yang dibacanya dalam carian Google, sepatutnya ada tujuh batu berhala yang disembah dalam Kuil ‘Kanni’ itu.
“Dalam kawasan Kuala Selangor, hanya inilah satu-satunya Kuil ‘Kanni’,” balas Maari.
Angin di kawasan tanah tinggi itu mula bertiup kencang dan membuatkan atap zink pondok kuil yang tertanggal itu mula berdentam-dentum. Apabila habuk berterbangan, kedua-dua mereka menutup mata. Saran cuba melihat dengan mata kecilnya. Memang indah pemandangan pelapah sawit yang beralun-alun di sekitar ladang itu. Saran duduk meriba di tepi pondok kuil itu. “Menurut apa yang saya baca, Dewi Parvathy telah menciptakan tujuh gadis yang digelar sebagai’Kanni’ ini semata-mata untuk mengancam syaitan. Kelahiran ketujuh-tujuh gadis ini unik kerana mereka bukanlah mahkluk yang dilahirkan daripada kandungan rahim.”
“Adakah Dewa dan Dewi dari kayangan turun ke bumi berdasarkan mitos-mitos ini? Sejak dahulu lagi, tidak ada tujuh ‘Kanni’ di kuil ini. Nak lebih jelas lagi, dahulu ada satu batu berhala (‘Kanni’) sahaja di sini,” kata Maari.
“Satu sahaja?”
“Ya, menurut kata oranghanya ada satu ‘Kanni’ sahaja sejak zaman pendudukan orang Inggeris. Mengikut cerita, adanya seorang gadis yang menjadi tukang tilik kepada kaum asli yang tinggal di sini. Dia yang akan menilik masa untuk keluar memburu bagi kaum ini. Pada suatu hari, dia telah dibaham oleh seekor harimau. Gema rintihan gadis yang dalam kesakitan itu telah menyebabkan banyak pokok di kawasan ini tumbang lalu meranapkan rumah-rumah orang asli. Ikan-ikan di sungai pula melompat keluar ke tebing. Orang dahulu tahu tentang peristiwa ini. Gadis yang cedera itu telah dirawat selama 21 hari. Dia tidak putus-putus merintih kesakitan walaupun dalam keadaan separuh nyawa. Orang asli pula buntu akal untuk menyelamatkannya. Akhirnya, mereka telah bersepakat untuk menguburkannya dalam keadaan separuh nyawa itu. Gadis itu pernah menjadi tukang tilik kepada mereka, jadi mereka telah mencari kawasan yang bertanah tinggi untuk melakukan upacara tersebut. Setelah mencari kawasan ini, mereka telah mendapatkan persetujuan daripada pengurus ladang yang bertugas ketika itu. Di sinilah gadis itu dikuburkan. Tiang yang dipacakkan sebagai tanda pada kubur itu telah reput dimakan anai-anai. Kemudian, pengurus ladang telah datang memacakkan dua keping batu berhala di sana menggantikan tiang itu. Pada tahun-tahun seterusnya, orang asli telah datang ke sini sekali dalam setahun untuk menjalankan upacara dengan mengorbankan khinzir hutan. Mereka orang asli daripada puak Mah Meri. Mereka tinggal berhampiran kawasan laut. Kini puak itu sudah tidak ada lagi di kawasan Kuala Selangor ini.”
Saran mula tertarik dengan cerita yang disampaikan oleh Maari itu. Akalnya mula berfikir bahawa jika cerita ini diterbitkan dengan ilustrasi yang relevan berbanding dengan cerita pembunuhan yang berlaku pada 20 tahun lepas, sudah tentu dapat menghangatkan jualan akhbar syarikatnya. Sebelum sambung berbual, dia telah menghidupkan fungsi rakaman suara dalam telefon bimbitnya.
“Mengapa pula pengurus ladang itu datang memacakkan batu berhala di sini?”
“Ikut kata orang, pengurus ladang itu mempunyai seorang anak perempuan yang kurang waras. Segala jenis rawatan sudah dicubanya, namun tidak dapat memulihkan keadaan anaknya. Jadi, dia telah mengurungkan anaknya di dalam rumah. Kemudian, gadis itu telah membunuh diri. Namun, ada juga desas-desus mengatakan bahawa gadis itu memang waras orangnya. Dia telah dilamun cinta dengan anak pegawai Inggeris yang memiliki ladang tersebut. Pengurus yang hanya makan gaji tidak boleh bermusuh dengan pemilik ladang, nanti kena pancung kepala pula. Dia juga tidak sampai hati untuk mengahwinkananaknya dengan orang Inggeris, nanti jatuh air muka di hadapan sanak saudara. Jadi, dia telah mengurungkan anaknya di dalam rumah. Gadis yang tidak dapat berjumpa dengan kekasihnya pula patah hati lalu membunuh diri,” Maari membuka penutup botol bir yang keempat setelah habis bercerita.
“Bagaimana pula kamu dapat tahu semua cerita ini?”
“Ayah saya pernah beritahu.Pengurus ladang itu menjadi kurang siuman setelah pemergian anaknya. Setelah merawat di pelbagai tempat, akhirnya isteri pengurus itu telah pergi berjumpa dengan nujum orang asli. Mereka memang arif dalam bidang bomoh dan sihir. Sebagai tebusan dosa, nujum itu telah menasihatkan isteri pengurus agar melakukan upacara sembahyang di kubur ini selama tiga hari Sabtu secara berturut-turut. Mereka diminta tinggalkan seekor kambing yang hidup di tepi kubur untukdikorbankan dalam upacara. Apabila datang pada hari seterusnya, hanya tinggal bangkai kambing sahaja di sana. Bangkai itu tidaklah dibaham oleh binatang buas seperti harimau ataupun beruang. Itu memang lain ceritanya,” Maari minum seteguk bir.
“Pada hari Sabtu yang keempat, keluarga pengurus ladang itu telah mengadakan kenduri sembahyang secara besar-besaran. Bukan seekor ataupun dua ekor… 30 ekor kambing telah dikorbankan dalam kenduri tersebut. Sejak kejadian itu, tidak ada lelaki yang bekerja di ladang berani datang ke kawasan ini. Bukan pekerja sahaja, mandor ladang juga tidak berani naik ke atas. Jika ada yang datang, sudah tentu mereka akan lari bertempiaran seolah-olah melihat sesuatu yang menakutkan.
Badan Saran mula meremang. Dia menoleh ke arah kuil itu. Tanpa diperasan oleh Maari, dia telah sembah sekali lagi sambil mengangkat tangannya.
“Kemudian, apakah yang terjadi padanya?”
“Kamu maksudkan pengurus ladang? Dia sudah pulih dan waras akhirnya. Namun, sumpahan gadis dara manalah hendak memaafkannya? Sumpahan daripada gadis yang penuh dengan penderitaan di hatinya. Api yang membara boleh dipadam; hati yang sengsara manalah hendakdipadam?” kata Maari lalu bersendawa. “Keinginan dalam hati manusia sifatnya sama ibarat api, makin lama makin membara. Walaupun sudah waras, pengurus ladang itu tidak dapat meneruskan hidupnya secara normal. Dia tidak dapat duduk lena di rumahnya pada waktu malam. Jadi, dia akan merayau-rayau di sekitar kawasan pekan ini seperti hantu. Sudah bertahun-tahun lamanya dia berbuat demikian. Saya pernah melihat keadaannya dengan mata saya sendiri. Banyak kali saya terserempak dengannya ketika menggembala lembu di tepi hutan. Saya tidak dapat melupakan mukanya yang kelihatan kusam dan pucat itu. Namun, dia tidak mati sembarangan sahaja. Dua lagi nyawa telah diragutnya sebelum meninggal dunia.”
“Dua kematian?” suara Saran mula terketar-ketar.
“Ketika itu mungkin kamu belum lahir lagi. Peristiwa tersebut pernah diterbitkan dalam semua akhbar tempatan.”
“Tahun bila?”
“Bilakah Dato Samy Vellu menang pilihan raya buat kali pertama?”
“Tahun 1973 atau 74 rasanya.”
“Ya, pada tahun tersebut. Sebelah sini kemenangan Dato Samy Vellu mengemparkan negara, di sebelah sana pula berita pembunuhan kembar itu menggerunkan seluruh rakyat Malaysia. Mangsa yang dibunuh bukan calang-calang orangnya. Dia telah membinasakan keluarga pegawai polis yang baru berpindah ke kawasan ini. Memandangkan si pengurus ini berkeliaran di kawasan pekan pada waktu malam, pegawai polis tersebut telah memanggilnya untuk bersoal siasat. Walaupun kelihatan ganjil, pada dasarnya si pengurus itu seorang yang berpendidikan. Jadi, pegawai polis tersebut telah mengupahnya menjadi pembantu kebun di rumah beliau. Dia perlu menjaga rumah dan dua orang anak kembar pegawai itu. Si pengurus itu telah membunuh kedua-dua anak kembar itu di sini juga dengan mengerat leher mereka.
“Mengapa pula dia membunuh mereka?”
“Entah apa sebabnya. Si pengurus itu tidak berkata apa-apa sehingga akhir, hanya menangis secara berterusan sambil menyebut-nyebut nama anak perempuannya. Lupa pula nama gadis itu. Nama Tuhan juga. Tuhan yang duduk di atas bunga teratai,”
“Adakah namanya Saraswathy?”
“Itu Tuhan yang duduk di atas teratai putih. Yang saya maksudkan itu teratai merah.”
“Letchumi,” apabila sebut nama tersebut, Saran teringat wajah editor baharunya. Mindanya berkata bahawa mungkin banyak mesej Whatsapp akan diterimanya jika dia menyahaktifkan ‘flight mode’ dalam telefon bimbitnya sekarang.
“Ya, itulah namanya. Setelah disabitkan kesalahan, si pengurus itu dihantar ke penjara. Pegawai polis itu meletakkan tuduhan bahawa si pengurus yang membunuh kedua-dua anak kembarnya. Ada juga orang kata bahawa si pengurus yang membisukan diri selama itu telah berketawa selepas 20 tahun. Apabila tuduhan ke atas si pengurus itu dibuktikan dengan saksi yang secukupnya, maka hukuman penjaranya telah dikekalkan.”
“Maari, hulurkan botol bir itu.”
“Saya dah minum separuh, harap kamu tidak kisah.”
Saran benar-benar teringin untuk minum bir ketika itu. Setelah dapatkan botol bir daripada Maari, Saran minum beberapa teguk. Habis bersendawa, barulah dia rasa lega semula.
“Oleh sebab rasa serba salah setelah kedua-dua anaknya dibunuh di hadapan Kuil ‘Kanni’ ini, pegawai polis itu yang telah membelanjakan duit untuk memasang pondok beratap sebagai balasan. Setelah mengadakan upacara sembahyang, pegawai polis itu pula memacak dua lagi batu berhala di sini sebagai kenangan anak kembarnya. Dahulu pondok ini cuma diatapkan dengan pelepah pokok kelapa yang telah dianyam. Ketika itu, saya masih berusia remaja. Saya bersama beberapa orang rakan selalu ke sini untuk bermain daun terup dan minum arak. Ketika kami khusyuk bermain terup di sini pada suatu hari, kami terdengar bunyi tangisan seorang gadis. Sejak hari itu, kami tidak berani ke sini lagi.”
“Bunyi tangisan gadis?”
“Ya. Tadikan saya sudah kata bahawa gadis tilik daripada kaum asli itu dikuburkan di sini secara hidup-hidup. Dia masih merintih kesakitannya. Kalau boleh bersabar, nanti kamu juga boleh mendengarnya. Tulislah tentangnya sekaligus dalam artikel kamu nanti,” kata Maari.
Hati Saran mula berdebar-debar. Dia mengambil keputusan untuk bergerak pulang dari situ. “Marilah kita balik. Kita berbual sambil berjalan,” kata Saran kepada Maari setelah bangun dari tempat yang diduduknya tadi.
“Tinggal sedikit lagi. Biar saya habiskan dahulu,” kata Maari lalu meneguk bir sambil mendongakkan kepalanya. Matahari senja makin terbenam di belakang pelepah sawit. Sebentar lagi, kawasan itu akan menjadi gelap. Saran bertanyasoalan lagi untuk memecahkan kesunyian yang menambahkan ketakutannya.
“Mengapa pula tidaknya pegawai polis itu sendiri yang membunuh kedua-dua anak perempuan kembar itu?”
“Hebatnya… Kamu memang wartawan yang bijak. Ada juga orang kampung berkata sedemikian. Ada yang berkata bahawa sebelum ini kedua-dua anak perempuannya itu hendak melarikan diri dari rumah mereka. Itulah sebabnya pegawai polis tersebut telah mendapatkan pertukaran ke daerah ini. Pegawai polis itu jenis orang yang suka bandingkan kasta dan kedudukan sosialnya.”
“Jadi, kemungkinan besar pegawai polis itu sengaja melibatkan si pengurus ini sebagai mangsa dalam kes pembunuhan anak-anaknya. Itulah sebabnya dia telah mengupah si pengurus itu menjadi orang bantu di rumahnya. Dia sengaja memanggil si pengurus itu untuk bersoal siasat supaya mendapatkan maklumat yang boleh digunakan untuk menuduhnya pada kemudian hari.”
“Mungkin juga. Terpulang pada tekaan dan sangkaan fikiran masing-masing. Kalaulah pegawai polis itu masih hidup, bolehlah menyoal kepadanya. Dia sudah meninggal dunia dilanggar lori kayu balak. Kereta yang dipandunya terhumban jauh apabila dilanggar bahagian ekor lori kayu balak ketika hendak membelok.
“Sudah meninggal dunia?”
“Lagi baik jika dia mati di tempat kejadian, malangnya tidak. Tidak ada isteri ataupun anak-anak di sisi untuk menjaganya. Nasibnya memang malang. Pegawai polis itu mati setelah menderita sekian lama.”
Saran berasa dirinya sudah mendapat cerita yang cukup untuk diterbitkan dalam artikel. Cerita pegawai polis itu boleh diubah suai dan diterbitkan sebanyak tiga siri jika hendak melariskan jualan edisi hari Ahad. Siapa tahu, mungkin syarikatnya akan menerima tekanan daripada pihak atasan jika cerita pegawai polis itu menjadi tular dalam kalangan pembaca nanti. Walau apapun yang berlaku, semuanya mampu memberi keuntungan kepada kerjayanya. Sudahlah sampai ke penghujung tahun, jadi ada kemungkinan editor Letchumi berusaha untuk mendapatkan bonus kepada mereka yang bertungkus-lumus melariskan jualan akhbar. Jika dapat bonus pada hujung tahun nanti, maka tercapailah hasratnya untuk pergi melancong di Bangkok bersama-sama kawannya. Setelah sampai di Bangkok nanti, bolehlah dia menyertai pesta arak, menyaksikan pertunjukan gadis Thailand, menghabiskan dua malam bersama gadis yang disukai hanya dengan membayar RM200 dan bermacam-macam lagi. Belum berangkat ke Bangkok lagi, Saran sudah mula risau apabila memikirkan apa hendak dibuatnya dengan gadis Thailand sepanjang dua malam itu nanti. “Selagi kita dalam keadaan mabuk, apapun boleh dibuat nanti,” Saran teringat akan kata-kata semangat yang pernah diberitahu oleh kawannya. Dia juga teringin untuk mencuba pil khayal yang digelar sebagai ‘butterfly’.Kita akan terasa seperti rama-rama berterbangan di dalam perut sebaik sahaja menelannya. Biar apapun berlaku, dia hendak mencuba semua keseronokan asalkan boleh bersuka ria tanpa berfikir panjang tentang kerja atau pejabatnya.
“Boleh kita balik sekarang? Saya rasa sudah cukup dengan semua cerita ini.”
Maari menghempaskan botol bir ke lantai. Kaca daripada botol yang pecah itu berkecai hancur.
“Cerita? Kamu rasa apa yang saya kongsikan itu semuanya cerita semata-mata? ‘Kanni’ yang ada di kuil ini bukanlah dewi seperti yang diceritakan dalam hikayat yang kamu baca sebelum ini. Yang ada di sini merupakan’Kanni’ yang ganas. Dia masih sedang merintih di dalamnya. Bagaimana pula kamu boleh menganggapnya sekadar cerita sahaja?”
Saran terkejut mendengar suara Maari yang bergema itu. Dia lantas menjauhkan diri beberapa langkah daripada Maari yang sudah terlalu mabuk agaknya. Tangan dan kakinya mula menggeletar. Dia sedar bahawa dirinya tidak mampu berlari dari situ. Kepalanya mula pening seolah-olah hendak jatuh pengsan. Dia terus bersandar pada sebatang tiang pondok di kuil itu. Dia terus membisukan diri, takut akan tergagap jika berkata apa-apa.
“Orang kampung mula berkhuatir apabila dua anak dara telah dibunuh di kawasan kuil ini. Untuk melakukan upacara menebus dosa, mereka telah mendampingi bantuan seorang sami. Sami itulah orangnya yang biasa melakukan upacara pengorbanan ketika sambutan thiruvila diadakan di Kuil Anggalamman. Apabila orang kampung mula mendesak, pegawai polis itu telah berhubung dengan sami untuk berbincang mengenai persiapan upacara tebus dosa. Akhirnya, sami itu berkata bahawa dosa ini hanya dapat ditebus dengan mengorbankan seekor lembu betina. Upacara pengorbanan itu perlu dilakukan oleh jejaka yang masih bujang lagi. Lima ribu ringgit pula dimintanya sebagai bayaran atas upacara tersebut. Ketika itu, lima ribu ringgit memang tinggi nilainya. Demi kebaikan semua orang, penduduk kampung masing-masing telah bertungkus lumus mencari duit untuk menyelesaikan bayarannya. Upacara itu berlangsung pada suatu bulan baharu.”
“Adakah upacara itu berlangsung di sini?”
“Ya, di sini. Di tepi tiang yang kamu bersandar itu,” kata Maari sambil menyalakan sebatang cerut.
“Pada awalnya, dosa itu dikhuatiri membawa malang kepada kampung dan orang yang tinggal di sini sahaja. Lama-kelamaan, semuanya bertukar menjadi petanda buruk. Pendang dan sawah di sekitar kawasan Tanjung Karang menjadi kering-kontang. Hujan tidak turun buat beberapa bulan. Kaum nelayan pula tidak dapat menjala ikan di sungai sekitar Pasir Penambang. Kelip-kelip pula berkeremun di dalam rumah orang.”
Saran tidak pernah percaya apabila ada orang berkata bahawa orang dalam keadaan mabuk akan bercakap benar. Kadang kala, kenyataan seumpama itu akan mendalamkan lagi imaginasi seseorang. Dalam keadaan yang tidak waras itu, seseorangboleh membuat khayalan dengan tujuan menokok tambah cerita. Kesannya sama seperti labah-labah yang membina sarangnya setelah diberi ubat khayalan. Saran pernah menonton dokumentari tersebut. Labah-labah yang diberi ubat khayalan mampu membina sarangnya dalam pelbagai reka bentuk yang unik. Namun, sarang yang unik itu tidak sesuai untuk memerangkap mangsanya. Labah-labah yang membinanya juga tidak dapat hidup di atasnya. Cuma, sarang yang direka dalam keadaan khayalan itu nampak lebih unik daripada sarang biasa.
“Mungkin kamu tidak percaya pada apa yang saya katakan. Pergilah tanya pada orang lama yang tinggal di kawasan Kuala Selangor inilebih daripada 40 tahun. Ketika itu, hanya ladang getah yang diusahakan; ladang sawit belum ada lagi. Sami yang menguruskan upacara tebus dosa itu telah melarang orang kampung datang berkumpul di kuil pada hari mengorbankan lembu. Dia juga hantar orang ke kandang untuk mencari lembu betina yang sesuai digunakan dalam upacara korban,” kata Maari sambil melepaskan asap cerut yang dihisapnya. Ketika mengamati wajah Maari, Saran mendapati air matanya sedang berlinang. Saran berasa aneh melihat Maari yang sedang menangis itu.
“Lelaki yang datang ke kandang itu akhirnya memilih lembu yang saya pelihara seumpama anak sendiri. Lembu kesayangan saya itu ada pusar berbentuk naga pada bahagian tenguknya. Malangnya, pusar itu dijadikan sebagai alasan semata-mata untuk dibawa ke kuil. Penduduk kampung pula sudah menahan saya daripada menghalangnya. Mereka merayu kepada saya agar lepaskan lembu kesayangan saya itu untuk dikorbankan demi kebaikan semua orang. Ada juga antara mereka yang sanggup menawarkan duit sebagai ganti rugi. Saya enggan menerimanya,” Saran berasa kasihan melihat Maari yang mula menangis teresak-esak. “Baiklah, jangan menangis. Mari kita pulang,” kata Saran sambil mendakap bahunya. Tangan Saran masih terketar-ketar lagi.
“Pada malam tersebut, saya telah datang ke sini untuk melihat lembu peliharaan saya itu. Saya menyusup diri dalam kawasan semak di sini sejak waktu senja lagi walaupun digigit nyamuk. Dalam kegelapan malam bulan baharu hari itu, badannya yang putih kelihatan berseri seperti disadur warna perak. Saya menyaksikan segala upacara yang berlaku itu sambil bersembunyi dalam semak. Terfikir juga untuk melarikan anak kesayangan saya itu jika mendapat kesempatan. Walaupun tidak mampu melarikannya dari sini, sekurang-kurangnya saya boleh merayu kepada sami itu supaya melepaskan lembu kesayangan saya itu. Kalau ikut hati, saya hendak anak saya itu berpaling ke arah saya. Namun ikut akal, takut juga nanti sami itu sedar akan kelibat saya di tempat upacara itu. Sambil mengumat-kamit mantera, sami itu meletakkan kalung bunga ke atas keempat-empat batu berhala yang terdapat di kuil ini. Kemudian, dia mengikat setiap batu itu dengan kain hitam, seolah-olah menutup mata ‘Kanni’sebelum upacara pengorbanan dilakukan. Ketika itulah anak peliharaan saya itu mula berdengus. Pernahkah kamu pelihara lembu?”
Saran hanya menggelengkan kepalanya dengan lemah.
“Orang yang membela lembu itu ibarat ibu kepada haiwan peliharaannya. Mereka dapat mengenal perasaan haiwan berdasarkan bunyinya. Hati saya berkecai pada malam tersebut apabila lembu saya berdengus seolah-olah memanggil saya sambil menangis,” kata Maari sambil terus menangis. Saran tidak tahu apa yang sepatutnya hendak dilakukan, jadi dia mendakap bahu Maari dengan lebih kuat.
“Tahu tak apa yang dibuatnya setelah kepalanya dikerat? Badannya yang terputus kepala itu berlegar-legar di sekitar kawasan semak mencari saya. Dia melompat ke sana ke sini ibarat mencari-cari ibunya,” kali ini Maari menangis dengan lantang sambil memukul-mukul dadanya.
“Saya sepatutnya meluru daripada belukar itu untuk mendakapnya. Namun, apatah daya saya. Nanti orang kampung akan mengadu bahawa terbatal pula upacara korban yang dilakukan tersebut. Semuanya akan menjadi sia-sia sahaja,” kata Maari sambil mengesat hidung setelah membuang hingusnya. Saran mula berasa tenat untuk bernafas. Dia terus menahan rasa sebaknya.
“Setelah lembu kesayangan saya dikorbankan, batu kelima telah dipacak dalam kuil itu. Sebenarnya, setiap batu yang ada dalam kuil itu melambangkan ketakutan kaum lelaki. Batu itu melambangkan ketakutan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh kaum lelaki terhadap kaum wanita semata-mata,” kata Maari lalu bangun untuk beredar dari situ. Saran terfikir untuk menyebut kata-kata yang dapat menenangkan hati Maari, namun dia tidak melakukannya. Dia khuatir perbuatannya itu akan melanjutkan lagi perbualan mereka sedangkan waktu senja makin mengelap. Dia mula melangkah sambil mengikut Maari menuju ke jalan keluar.
Saran berjalan sambil menundukkan kepalanya, namun bunyi burung hantu yang berterbangan untuk memburu tikus di sekitar kawasan ladang sawit itu tetap mengencangkan degupan jantungnya. Dia terus berjalan sambil mengikut jejak bayang-bayang Maari yang berjalan di hadapannya. Dia juga tidak dapat mengawal mindanya yang berkhayal seolah-olah ada lembaga yang mengikut di belakang untuk mencengkam tengkuknya. Roma di bahagian tengkuknya sudah meremang. Dia pernah mengalami khayalan seumpama itu apabila hendak pergi ke tandas dalam pejabatnya seorang diri pada waktu malam.
Saran juga sedar bahawa memikirkan hal ataupun masalah yang lebih rumit adalah solusi terbaik untuk melupakan khayalan yang menakutkan seumpama itu. Jadi, dia lantas mengeluarkan telefon bimbitnya untuk nyahaktifkan ‘flight mode’. Beberapa panggilan yang tidak dijawab dan pesanan daripada editor Letchumi terpapar pada skrin telefon. Saran hanya membaca pesanan terakhir. Dalam pesanan tersebut, editor Letchumi menyuruh Saran agar menyiapkan artikel yang perlu diterbitkan walaupun pulang lewat ke pejabat. Saran melihat jam tangannya. Mungkin pukul 8.00 malambaru dia akan tiba di pejabatnya nanti. Memandangkan sudah lewat, editor Letchumi mesti akan membuatkan dia berasa serba salah. Pekikannya nanti bukan sahaja akan memecahkan kesunyian pejabat pada waktu malam itu, malah akan menusuk telinganya juga. Kata-kata yang disebutnya akan meranapkan lagi hatinya. Bukan mudah untuk menyiapkan kandungan artikel dalam suasana yang tegang seumpama itu. Walau apa sekalipun, Saran perlu pulang ke pejabat untuk menyiapkan tugasnya. “Baik,” Saran membalas mesej editornya dengan ringkas lalu matikan telefonnyasemula.
Saran mula bernafas lega apabila dapat melihat motosikalnya yang diletakkan di bawah tiang lampu. Fikirannya menjadi tenang, degupan jantungnya kembali normal, jadi dia mula berjalan dengan tenang, tidak lagi terhesa-gesa mengekori jejak Maari.
“Tujuan asal saya ke sini adalah untuk menulis artikel tentang kematian Buvana. Namun, kamu tidak memberitahu apa-apa tentangnya. Jadi batu berhala yang keenam itu melambangkan Buvana, bukan? Siapakah yang memacaknya?” tanya Saran.
“Saya dah beritahu tadi. Ada orang yang sudah menipunya. Jadi, dia membakar diri untuk mengancam nyawa,” kata Maari.
Saran makin lega apabila dapat melihat pergerakan manusia di pondok pengawal berhampiran laluan utama ke ladang. Hatinya sudah tidak lagi menghayal benda yang bukan-bukan.
“Ada khabar angin yang mengatakan bahawa gadis itu bukan membunuh diri tetapi telah dibunuh,”
“Mengapa pula tidaknya? Mungkin lelaki yang merogol gadis itu telah membakarnya. Mungkin dia yang memacak batu yang keenam itu,” kata Maari tanpa menunjukkan sebarang reaksi pada mukanya.
“Namun, bukankah dalam rekod siasatan polis dinyatakan bahawa tidak ada bukti bahawa gadis itu pernah dirogol?” tanya lagi Saran.
“Buat apa kamu hendak mengetahuinya. Baik kamu pulang ke tempat kamu dengan selamat.”
“Jangan risau, saya tidak akan menulis peristiwa itu dalam artikel saya. Tetapi, saya hendak mengetahui perkara sebenar yang telah berlaku,” kata Saran.
“Buat apa kamu hendak tahu jika bukannya untuk tujuan menulis?” Maari mula melajukan langkahnya.
“Saya cuma hendak tahu kebenarannya,” balas Saran.
“Kamu pulanglah dengan selamat. Saya akan balik sendiri,” suara Maari agak tegas kali ini.
Sebaik sahaja tiba dalam lingkaran cahaya di bawah tiang lampu, Saran mula memberanikan diri. “Sami yang menguruskan upacara korban lembu itu sebenarnya bukan seorang lelaki bujang. Dia telah memperdayakan orang kampung. Walaupun dia tidak berkahwin secara rasmi, namun dia mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita. Buvana merupakan anak yang lahir kepada mereka berdua. Selepas kematian Buvana, sami tersebut juga mati setelah jatuh sakit, bukan?”
Maari menoleh ke arah Saran dengan tergamam. “Siang tadi kamu kata bahawa kamu tidak tahu apa-apa tentang kematiannya?” tanya Maari sambil merenung mata Saran dengan tajam.
“Jika betul ceritanya, maka ada orang telah membunuh Buvana dengan niat untuk membalas dendam terhadap sami itu!”
“Kamu jangan sangkutkan diri kamu dalam kitaran ini. Baik kamu beredar sekarang,” suara Maari sudah tidak setegas seperti siang tadi.
“Sami itu yang membunuh lembu kesayangan kamu, bukan?” sedangkan Saran menyoalnya, Maari mengundurkan dirinyatanpa menjawab.
“Betul atau tidak?” tanya Saran sambil menghalangnya.
Maari merenung wajah Saran dengan penuh kesayuan. Saran berasa aneh ketika melihat mata Maari yang begitu sayu dan hiba. Mungkin begitulah caranya melihat ke arah lembu kesayangannya.
“Andai kata kamu sudah mengetahui rahsianya, mungkin kamu juga teringin untuk mencubanya. Hati kamu akan menyokongnya dengan seribu alasan nanti. Cukuplah setakat enam ‘Kanni’ yang ada di kuil itu,” kata Maari sambil mengundurkan dirinya daripada lingkaran cahaya lalu melangkah masuk ke dalam kegelapan.
Karya ini asalnya ditulis dalam Bahasa Tamil oleh M. Navin. Ia diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh S.T. Saravanan.
Gambar ehsan M. Navin.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.