Aku turun naik kedai itu. Pada bulan ini sahaja, aku sudah empat kali ke situ. Bulan lepas, dua kali. Barang di tangan dan leher memang sudah lama berada di kedai itu.
Pagi tadi, aku gadai rantai tangan anak. Maklumlah, dia sedang belajar dan tidak perlukan semua itu sekarang.
Semalam, Daniel meminta aku berjanji untuk tidak ke sana lagi. Adui! Apa sudah jadi? Mengapakah aku menggilai segala barangan yang dijual dalam talian? Hampir setiap hari, ada sahaja bungkusan yang sampai ke rumah atas nama aku.
Sudah lama aku tidak ke pasar raya. Sejak diberhentikan kerja susulan pandemik Covid-19, aku duduk rumah sepenuh masa. Anak-anak aku, tiga orang, sudah tamat sekolah menengah dan sudah ada kehidupan sendiri.
Membeli-belah dalam talian menjadi kegilaan bagi mengisi kekosongan. Kadang-kadang, aku memang memerlukan barangan tersebut, tapi selalu juga aku beli kerana suka. Hendak membeli satu periuk kecil, tapi akhirnya membeli tiga periuk berlainan saiz.
Blaus yang dipakai model dalam gambar sangat cantik, lalu aku pun beli. Apabila blaus sampai, aku tidak boleh memakainya. Akhirnya, tergantung di dalam almari.
Simpanan aku habis dengan membeli macam-macam barang. Aku bukan sahaja membeli peralatan dapur, malah perhiasan rumah serta pokok bunga mahal.
Sekarang, aku kena cari jalan untuk menebus barang-barang kemas yang digadai. Mungkin benar kata Daniel, aku perlu segera insaf.
Gambar ehsan Freepik dari www.flaticon.com
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.