Aku akan tinggalkan segala-galanya. Dua hari, dua malam aku tidak dapat melelapkan mata. Malah, aku hilang selera makan.
Aku sudah membuat keputusan. Aku sudah cukup matang dan boleh berdikari. Aku akan meninggalkan tuan dan halaman rumah yang selama ini menjadi teman. Halaman rumah di mana aku membesar dan bergembira.
Lagipun, tuan sudah sibuk. Tuan sibuk menguruskan minat baharu. Sibuk dengan tanah, daun-daun hijau, pasu-pasu bunga, dan baja. Hari-hari, itu sahaja yang dibuat. Tanam dan siram. Aku tidak lagi diberi perhatian. Aku kesepian. Aku pernah dimarahi apabila aku cuba mendekati.
Kalau dulu, tuan akan membelikan mainan untuk aku apabila pulang dari kerja. Tapi kini, tuan sudah lupa semua itu. Kadang-kadang, tuan lupa tentang makan mimum aku. Aku rasa seperti disingkir. Terbiar.
Dulu, akulah teman berbual. Akulah teman untuk menumpahkan segala kegembiraan dan kedukaan. Aku juga teman berjoging. Teman ke kedai, membeli barangan keperluan harian.
Masihkah tuan ingat? Aku pernah menjadi penyelamat. Aku menjerit sekuat hati untuk menyelamatkan tuan daripada reptilia tersebut. Tuan sungguh bernasib baik waktu itu.
Tapi kini, tuan lupa segala-galanya. Aku tidak dipandang, walaupun aku berada di depan mata. Hari ini, tuan tidak lagi ingin berteman denganku. Aku ditinggalkan keseorangan. Terkurung.
Ya, tuan. Aku sudah membuat keputusan. Muktamad. Hari ini, apabila tuan pulang dan membuka pintu, aku akan berlari keluar mencari tuan baharu.
Mungkin akan ada insan berhati mulia yang sedia menerima dan menyayangi aku sepenuh jiwa.
Cover image by Mathew Coulton on Unsplash
You must be logged in to post a comment.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Cerpen yang menarik dan menyayat hati. Syabas!
Terima kasih, Thanusya.
awesome