Kavitha membuka kasut sekolah lalu memasuki rumah. Seperti biasa, ibunya sibuk menonton televisyen. Sebuah botol arak berdiri di atas meja. Kosong.
Kavita menuju ke biliknya. Sudah seminggu sejak peperiksaan penggal pertama berakhir. Markah peperiksaannya cukup memberangsangkan. Dia mendapat markah tertinggi dalam setiap subjek. Apa gunanya? Sindiran dan ejekan rakan sekolah dan jiran tetangga tetap menghantuinya setiap malam.
Anak gengster.
Anak gengster.
Anak gengster.
Dia terbaring di atas katil tanpa menanggalkan beg. Dia menutup mata. Dia pasrah. Air mata bergenangan apabila dia terdengar bunyi botol pecah.
***
Hafilah bangun awal pagi itu. Sebagai rutin, dia membersihkan dapur dan membuang sampah terlebih dahulu sebelum mandi. Suaminya tiada disebelah ketika dia bangun dari katil. Aneh. Hari itu hari Ahad. Selalunya, Haikal akan tidur lebih lama.
Selepas mandi, Hafilah mula masak untuk makan tengahari. Sambil memasak, dia mengunyah kuih pisang yang digorengnya untuk sarapan. Air kopi yang dibancuh sudahpun sejuk. Setengah jam lagi, dia perlu membangunkan Arif dan Qhairun.
Langkah suaminya terdengar. Dia memasuki dapur. Sambil memotong bawang, Hafilah memerhatikan si suami yang kelihatan gelisah. Dia seolah-olah telah menelan bom yang akan meletup tidak lama lagi.
Tetapi, yang terguris, yang meletup, yang bernanah ialah hati Hafilah kemudiannya. Suaminya telah beredar selepas meluahkan kata-kata hati. Sepanjang perbualan, Hafilah tidak menghentikan jari-jemarinya daripada membuat kerja dapur. Entah mengapa.
Boleh dia beredar begitu sahaja? Hafilah tidak menjangka suaminya akan mempunyai niat untuk berkahwin dengan perempuan lain. Kelmarin, Hafilah dan suaminya bersetubuh. Semalam, dia mesra sahaja dengannya. Hari ini, nak perempuan lain pula.
Air mata berderai jatuh membasahi pipi Hafilah. Dia penat. Rumah terurus rapi. Anak-anak dibesarkan dengan baik. Makanan sedia terhidang di atas meja setiap hari. Buat apa? Apa gunanya?
Hafilah mencuci pisau yang digunakan tadi lalu memerhatikannya dengan lama.
***
Edmund menekan butang lif bernombor 18. Warna bertukar kepada merah. Pintu lif bergerak tutup. Tiada sesiapa di dalam bersamanya. Edmund melonggarkan tali leher. Dia menelan air liur. Dia dahaga. Tetapi, tidak mengapa. Semuanya akan berakhir sekejap lagi.
Minda Edmund mengimbas semula kejadian di pejabat. Dia memerah keringat mengerjakan slaid PowerPoint untuk pembentangan bagi projek yang diberikan kepadanya. Panggilan ibu dan bapanya diendahkan. Sudah beberapa hari dia terjaga untuk menyiapkan slaid tersebut.
Namun, apa gunanya?
Pembentangannya tidak dihargai. Kata-katanya disindir majikan. Sekumpulan pegawai atasan melihatnya seperti ular yang mahu mematuk. Dia berasa jijik. Dia berasa tidak berguna. Fail yang disediakan olehnya dilempar ke mukanya.
Pintu lif terbuka luas. Angin bertiup kencang apabila dia melangkah keluar menuju ke koridor kosong. Dari tingkat 18, dia melihat ke bawah. Tingginya. Dia menarik nafas lalu mengatur kata.
‘Maafkan saya ibu, maafkan saya abah, memang betul, saya tidak berguna… saya bodoh…’
***
Kumar menunggu si isteri tidur selepas makan tengah hari. Anaknya, Nandini yang berumur dua tahun pula bermain di ruang tamu. Ruang tamu tiada sofa. Dinding diconteng pensel warna. Servis ASTRO pula terputus.
Apabila isterinya terbaring di atas lantai, dia menuju ke bilik besar di hujung rumah. Dia menutup pintu perlahan-lahan. Almari dibuka luas. Tangannya mencari sehelai kain. Kain panjang. Sari pun boleh.
Tiba-tiba, bunyi telefon bimbitnya berdering. Kumar tidak menjawab panggilan bank itu. Hutang keliling pinggang. Ah Long sudah meninggalkan kesan di pintu rumah.
Dia menarik sehelai kain sari lalu memeriksa panjangnya. Cukup panjang. Dia memandang kipas siling. Dia tidak mahu membazir masa. Dia tidak mahu menangis. Dia berani. Dia mahu menghilangkan kesakitan hati.
Kerusi sudah disediakan di penjuru bilik. Dia mengangkatnya lalu menempatkan kerusi itu di bawah kipas. Dia memanjat kerusi lalu mengikat sari pada kipas. Dia memeriksa panjang pendek sari lalu melihat lantai. Telefon bimbitnya berdering lagi.
‘Appa sayang Nandini…’ kata-kata yang tidak kesampaian ke cuping telinga si anak dituturkan.
***
Kau bodoh!
Macam ibu kamu!
Markah macam taik!
Asyik main bola!
Mana nak belajar?!
Bodoh!
Baik mati!
Suara ayah bermain dalam minda Lim berkali-kali. Ini sahaja kata-kata yang ayahnya curahkan hampir setiap hari. Dia tidak pernah berbual mesra, bergaul atau meluangkan masa bersama anak. Ayahnya merupakan pengarah syarikat terkenal.
Lim melihat kertas ujian. Semuanya gagal. Dia sudah tiada haluan. Ibunya hanya berdiam diri apabila ayah memarahinya dengan kata-kata yang menikam hati.
Lim mula menangis teresak-esak. Dia tidak mahu melalui keperitan kata-kata ayahnya sekali lagi. Seperti yang dimahukan ayah,
‘Baik aku mati saja…’
Dia menuju ke dapur untuk mencari sesuatu yang boleh menamatkan degupan nadi.
***
Suzainah memutar kunci untuk mematikan enjin kereta. Lampu kereta dipadam. Renyaian hujan mula mencuci kotoran pada badan kereta. Dalam kegelapan, Suzainah menutup tirai mata. Dia penat setelah seharian bekerja. Dia pasrah.
Beberapa langkah keluar dari kereta, dia akan memasuki rumahnya. Rumah yang dipenghuni si suami, anak-anak dan mak mertua. Dia menarik nafas panjang lalu menelan air liur. Suara si mak mertua terngiang-ngiang dalam telinga. Semuanya kata-kata yang negatif. Setiap langkahnya diperhatikan mak mertua. Si suami pula sentiasa berdiam diri. Dia tidak pernah mengutarakan pendapat sebagai ketua rumah.
Suzainah mula menangis. Renyaian hujan menyamai titisan air mata. Suzainah berasa terperangkap. Dia keseorangan. Dia pilu. Dia stres. Dia didapati menghidap kemurungan oleh seorang pakar kaunseling minggu lepas.
Dalam kekusutan minda yang sedang merembeskan air mata, mahu sahaja dia duduk di dalam kereta sehingga ditemui mati keesokan harinya akibat kekurangan oksigen.
***
Informasi: Hubungi talian Kasih di 15999 jika anda kemurungan atau memerlukan khidmat kaunseling. Ada suara yang akan menaruh simpati dan empati terhadap kepiluan anda.
Gambar ehsan engin akyurt on Unsplash. Ikuti kami di Telegram.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.