Karya ini asalnya ditulis dalam Bahasa Tamil oleh M. Navin. Ia diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh S.T. Saravanan.
“Mengapa memilih saya bang? Lelaki yang datang ke sini biasanya mencari awek dari Filipina ataupun Indonesia sahaja. Saya jarang menjadi pilihan mereka,” Catherin memulakan perbualannya dengan Harris. Rambut Catherin kelihatan diikat rapi dengan gaya tocang ekor kuda. Hujung rambutnya itu berwarna perang; mungkin disapu pewarna rambut agaknya. Catherin memakai blaus tanpa lengan dan seluar ‘legging’ putih yang ketat. Jadi, untunglah bagi Harris kerana dapat melihat buah dadanya yang tegang dan punggungnya yang montok. Cuma gincu dan pengilat kuku berwarna merah gelap yang disapu oleh Catherin itu kurang menarik perhatiannya.
Harris lebih gemar memilih gadis yang memiliki warna kulit yang sama dengannya, rata-rata dapat berkhayal seperti berseorangan ketika hendak bersetubuh. Tambahan pula, dia agak segan untuk berbogel di hadapan gadis-gadis yang memiliki kulit berwarna cerah. Dia tidak menjawab soalan yang ditanya oleh Catherin.
“Mengapakah kamu membuat kerja pelacuran ini?” tanya pula Harris kepadanya. “Ayah saya sudah meninggal dunia setelah terjatuh di laut. Itulah sebabnya bang,” balas Catherin sambil menanggalkan pakaiannya. Harris lantas mengalihkan mata daripada terus melihatnya.
Dari dahulu lagi, Harris sudah biasa dengan alasan-alasan remeh seperti yang dikatakan oleh Catherin tadi. Gadis-gadis yang terlibat dalam kerja pelacuran ini tidak serik mengatakan bahawa mereka terpaksa melacur akibat kesusahan keluarga; akibat ayah atau abangnya meninggal dunia; akibat ditipu oleh kekasihnya dan banyak lagi. Motif mereka, hanya untuk memerah duit daripada lelaki yang menjadi pelanggannya dengan mengatakan kisah-kisah secara tokok tambah.
“Oh, begitu sebabnya!” balas Harris dengan singkat. Bilik yang mereka masuk itu diaturkan supaya kelihatan lebih romantik. Tiga daripada sisi-sisi dinding bilik itu dipasang dengan cermin dan diterangi dengan cahaya lampu kuning. Walaupun keadaan agak malap, Harris dapat melihat keanggunan tubuh Catherin dengan jelas.
“Bang, boleh kita pergi ke kolam jakuzi dahulu?” tanya Catherin dengan mesra setelah melilit sehelai tuala di keliling badannya. Harris tidak membalas apa-apa, malah terus menyalakan sebatang rokok di mulutnya. “Penggunaan jakuzi dan sauna serta makanan ala bufet sudah termasuk dalam pakej yang abang ambil itu. Kalau abang bayar 70 ringgit lagi di kaunter, maka saya dapat melayan abang untuk sekali lagi,” kata Catherin sambil menghulurkan kondom.
Alangkah manisnya kata-kata yang disebutnya itu. Gayanya sama seperti jurujual produk secara semuka, menanam tebu di tepi bibir.
Harris memandang wajah Catherin dengan hairan. Jika adanya seorang pelacur Thailand atau Filipina di tempat Catherin, sudah lama dia menghabiskan pusingan pertama dan memaksa pelanggan untuk melayannya buat kali kedua. Motif mereka sebenarnya bukan untuk melayan nafsu pelanggan tetapi untuk menambahkan pendapatan. Sudah tentu dia akan menyarung kondom baharu pada ‘adik’ pelanggannya yang sudah tidak bermaya lagi.
“Mungkin Catherin bukan seperti pelacur-pelacur yang lain. Dia tidak pandai membuat duit,” kata Harris dalam hatinya. Dia pergi berdiri di tepi tingkap agar lebih mudah untuk menghembus asap rokok.
Harris leka mengamati pemandangan laut yang dapat dilihat dari tingkap bilik itu. Bau hanyir ikan dan bau diesel terus menyentap hidung Harris sebaik sahaja dia membuka tingkap bilik. Laut yang dilihatnya itu mungkin laut mati agaknya; bunyi tiupan angin langsung tidak kedengaran, apatah lagi bunyi ombak. Harris melepaskan asap rokoknya sambil melihat pantulan sinar matahari senja yang berwarna kemerah-merahan pada permukaan laut. Bahagian pantai yang berisi pasir dan beberapa bumbung dan atap turut dilihatnya dari tingkap bilik itu.
“Di sanalah terletaknya rumah saya bang,” kata Catherin sambil menuding jari ke arah sebuah atap zink yang terletak jauh dari sana. Harris hanya menganggukkan kepala sebagai tanda mengaku dengan apa yang ditunjukknya itu. Kemudian, dia menunjukkan tangannya ke arah sebuah bot yang ditambat di pinggir pantai. “Itulah bot yang dinaiki oleh ayah saya ketika pergi ke laut sebelum meninggal dunia,” kata Catherin.
Harris dapat melihat sebuah bot yang sedang berolang-aling di bahagian kiri pantai tersebut. Bot itu kelihatan berwarna perang kerana terkena pantulan sinaran matahari. Mungkin warna asalnya berbeza dan dapat dilihat dengan terang pada waktu siang. Harris merenung bot yang ditunjuk oleh Catherin buat seketika. Sebenarnya, Harris telah melanggan pakej lima jam untuk berada di bilik itu. Dia juga tidak gemar melakukan apa-apa secara tergopoh-gapah. Maka, dia sengaja berbual-bual seketika dengan Catherin supaya dapat menghabiskan masa.
“Bagaimanakah ayah kamu terjatuh ke dalam laut?” tanya Harris pada Catherin.
***
Kali ini kapal dikemudi oleh Gopi. Kiyat dan Kepala pula melayan ganja sambil berbaring di atas pukat ketam. Mula-mula, mereka menghisap ganja semata-mata untuk menghindar ketakutan terhadap mabuk laut. Lama-kelamaan, mereka tertagih dengannya.
“Bolehkah kapal kita melepasi angin kencang di laut ini, abang?” tanya Kepala dalam keadaan separuh khayal. Mulutnya terus mengomel. Semua yang berada di atas kapal itu sudah biasa dengan tabiat menghisap ganja, kecuali Ethan. Agak bangga juga kerana dia bukan seperti rakan-rakan lain yang turun ke laut untuk mencari pendapatan dengan menangkap ikan. Setelah terselamat daripada kejadian ribut taufan di Thanuskodi, India, ayah Ethan berhijrah ke Pulau Pinang lalu menetap di sana untuk menyara hidup. Setelah bermula daripada menangkap ketam, lama-kelamaan ayah Ethan menjadi orang berpengaruh dalam kalangan penduduk kampung perikanan di sana. Sedangkan ayah Ethan disanjung sebagai tok guru, maka tidak hairanlah Ethan juga turut disegani oleh penduduk di sana. Kecintaan Ethan terhadap laut tersebut sudah terjalin sejak dia kecil lagi. Patutlah dia tidak kenal erti dengan istilah takut atau mabuk laut ketika hendak turun ke laut untuk menangkap ikan.
Memandangkan cuaca terlalu buruk dan laut sedang bergelora, pihak kerajaan telah mengeluarkan amaran kepada para nelayan agar tidak turun ke laut selama tiga hari. Namun, Ethanlah orangnya yang mengambil keputusan untuk turun ke laut pada hari ketiga itu agar pendapatan para nelayan tidak terjejas akibat larangan yang dikeluarkan. Anak perempuannya, iaitu Catherin memerlukan duit dalam tempoh seminggu lagi untuk menjelaskan bayaran di kolej. Sekiranya dia dapat menangkap ikan merah kali ini, maka duit untuk satu semester dapat dibayar secara sekaligus.
Setelah berlepas, Ethan berasa lega apabila melihat keadaan laut yang agak stabil di sekitar perairan Selat Melaka, seperti mana yang dijangkakan. Apabila seorang nelayan mengemudi kapal, seorang lagi perlu menjadi pemerhati atas dasar keselamatan. Maka, Ethan mengambil keputusan untuk menjadi pemerhati sementara Gopi mengemudi kapal. Ethan tidak bercakap dengan Gopi. Antara nelayan yang berada di atas kapal itu, Gopilah orang yang paling muda dan rajin mencari duit. Gopi pandai berbual dalam bahasa Inggeris dengan fasih. Maka, dia akan menjual ikan-ikan yang diperoleh berdasarkan syernya dengan mudah di hotel-hotel yang terkemuka dengan harga yang lumayan.
Sebenarnya, Ethan bermasam muka dengan Gopi kerana dia telah menunjukkan hidung belang kepada Catherin. Nasib baik orang kampung telah bercampur tangan dalam pertelingkahan yang berlaku antara mereka berdua. Jika tidak, sudah lama Ethan membunuh Gopi kerana dia telah mengusik dan berperangai buruk terhadap Catherin ketika dia berseorangan di rumahnya. Siapalah yang tidak mengamuk jika ada pemuda seperti si Gopi ini datang menunjukkan alat kelaminnya kepada seorang gadis sambil berkata, “Marilah makan ikan ini, saya akan menanggung kos pembiayaan kolej kamu”.
Sejak kejadian tersebut, mereka berdua tidak bersua lagi. Memandangkan mereka berdua terikat atas perjanjian kontrak pajakan kapal ikan selama dua tahun, mereka terpaksa menjalankan kerja-kerja penangkapan ikan secara berpakat walaupun tidak rela. Antara mereka berdua, Gopi yang melabur banyak duit untuk membeli jala dan pukat yang digunakan dalam penangkapan ikan, kecuali pukat ikan pari sahaja yang dimilik oleh Ethan. Walaupun mereka berdua saling tidak berbual, namun masing-masing mahir dalam kerja yang dibuat. Maka, mereka dapat menguruskan proses penangkapan ikan dengan serba mudah tanpa berkomunikasi antara satu sama lain.
Setiap kali turun ke laut, Ethan akan duduk di bahagian muncung kapal, sama seperti ayahnya. Ketika kecil, Ethan pernah belajar daripada ayahnya tentang cara belayar di lautan pada waktu malam hanya dengan berpandukan bintang di langit. Ayahnya jarang bergantung pada bantuan gajet atau alatan untuk membuat kerja. Dia hanya menaruh kepercayaannya secara menyeluruh terhadap sumber alam semula jadi. Sepanjang pelayaran, Ethan hanya duduk mengamati lautan tanpa menoleh ke arah Gopi. Ombak-ombak yang terbentuk di laut dalam menyebabkan air laut kelihatan seperti warna kemerahan. Semangat Ethan bertambah apabila melihat keadaan laut itu, sebagai alamat baik untuk meraih tangkapan yang lumayan. Kemudian, dia berjalan menuju ke bahagian belakang kapal kerana hendak membuang air kecil.
Ketika melintas bahagian pengemudi, dia menunjukkan muka bengis ke arah Gopi yang sentiasa bersikap mata duitan. “Cis, laut ini ibarat kilang untuk orang seperti kamu; untuk saya, laut ini ibarat rumah!” kata Ethan lalu beredar ke bahagian belakang kapal.
Di dek belakang, Ethan berdiri di atas sebatang papan lalu menghulurkan zakarnya ke arah laut untuk berkencing. Sambil berkencing, dia menghayati ombak-ombak kecil yang membuatkan kapal itu terumbang-ambing.
“Betapa syoknya untuk melihat ombak-ombak ini yang tidak putus-putus bergerak sehingga sampai ke pantai,” terlintas dalam fikirannya. Tanpa disedari, Ethan terhumban ke dalam laut apabila bahagian belakang kapal itu dilambung tinggi apabila dilibas oleh ombak yang besar secara tiba-tiba. Ethan pandai berenang. Jadi, serta-merta dia timbul di permukaan air semula. Namun, dia mula berasa panik apabila melihat kapal yang dinaikinya itu terus belayar meninggalkannya di tengah laut.
Dia menjerit sekuat hati sambil melambai-lambaikan tangan, namun sesiapapun yang berada di atas kapal itu tidak menyedarinya. Sambil terapung dia yakin bahawa kapal yang dinaikinya itu akan berhenti sebentar lagi. Apabila keyakinannya itu menjadi hampa, dia mula berenang menuju ke arah kapalnya. Ethan mampu berenang untuk jarak beberapa kilometer. Ethan yakin bahawa mesti ada orang di atas kapal itu akan mula mencarinya setelah menyedari ketiadaannya di sana.
Dia menggerakkan tangan dan kakinya untuk terus berenang, namun alunan ombak di laut dalam itu mengurangkan kelajuannya sehingga dia benar-benar ketinggalan jauh di belakang kapal itu. Apabila tangannya letih dan tidak terdaya, dia sedar bahawa dirinya tidak mampu untuk berenang lagi. Badannya mula tenggelam ke dalam air laut.
***
Catherin terus bercakap sambil menunjukkan tempat-tempat yang terletak jauh di sana dengan tangan kanannya, sementara tangan kirinya pula memegang tuala yang diikatnya itu. Sambil mendengar ceritanya, Harris meneliti rupa paras Catherin sebahagian demi sebahagian. Bahu-bahunya tegap dan kuat. Kedua-dua lengannya pula agak berisi manakala bulu ketiaknya juga agak lebat.
“Dahulu saya suka mandi di sana. Sekarang sudah tidak lagi kerana tempat itu sudah tercemar dengan limpahan minyak kapal,” kata Catherin kepada Harris sambil menuding jarinya ke arah pinggir laut. “Jom bang, kita pergi mandi,” kata Catherin kepada Harris selepas termenung seketika. Dia membawanya ke kolam jakuzi yang terletak di tingkat atas.
Dalam pakej yang dilanggan selama lima jam itu, semua pelanggan dibenarkan untuk menggunakan segala perkhidmatan yang ditawarkan di sana secara tidak terhad, kecuali perkhidmatan seks yang terhad kepada satu kali sahaja. Pakej-pakej seumpama ini mudah didapati di sekitar kawasan Kuala Lumpur dengan harga yang lebih murah. Namun di Pulau Pinang pula, pakej tersebut ditawarkan dengan gadis-gadis tempatan untuk dipilih.
Harris merenung mata Catherin yang berbaring di dalam kolam jakuzi. Dia berbaring sambil memejamkan matanya. Cara dia berbaring kelihatan seperti mayat; badannya tidak bergerak langsung. Cuma air panas yang dipancutkan dari sisi-sisi dinding jakuzi itu membuatkan badannya membuai-buai. Rambutnya terapung-apung mengikut rentak alunan air di dalam kolam itu.
Harris tidak pernah melihat mayat orang yang terapung-apung akibat mati lemas dalam air. Harris berpeluang untuk membayangkan keadaan tersebut dengan melihat pada keadaan Catherin ketika itu. Bahagian dada Catherin yang timbul di permukaan air itu dibayangkan sebagai gugusan pulau yang terdapat di tengah laut. Harris berasa selesa apabila air panas yang dipancut dari sisi kolam jakuzi itu terkena pada bahagian bawah zakarnya. Jadi dia duduk bersandar pada dinding kolam tersebut tanpa merendamkan seluruh badannya.
Catherin merupakan seorang gadis yang berkulit hitam manis. Kehitaman kulitnya juga agak berbeza-beza apabila dibandingkan antara bahagian peha, perut dan mukanya. Mungkin warna hitam yang agak cerah dapat dilihat pada buah dadanya jika dia menanggalkan coli yang dipakai.
Selepas seketika, Harris turun ke dalam kolam jakuzi yang berair panas itu. Dia menghampiri Catherin lalu memercikkan sedua titis air ke arah mukanya. Catherin hanya senyum tanpa berkata apa-apa. Apabila Harris memercikkan air sekali lagi, Catherin lantas menoleh ke arah belakang lalu berenang ke bucu bertentangan sambil berketawa. “Bang nak masuk bilik?” tanya Catherin.
“Bagaimanakah kamu boleh mengapung di atas air tadi?” tanya Harris tanpa menjawab soalannya.
“Mudah sahaja, bang,” balas Catherin lalu menunjukkan cara bagaimana dia mengapung di atas air. Kemudian, dia meminta Harris membaringkan badannya di atas permukaan air sambil menahan nafas. Oleh sebab tidak biasa menahan nafas, Harris asyik tenggelam ke dalam air.
“Maaf ya, bang,” kata Catherin kepada Harris apabila melihatnya tersedak ketika tenggelam.
“Aduh, saya tidak tahan! Saya mengaku kalah. Kamu ini memang hebat,” kata Harris sambil memuji kebolehannya.
“Mestilah bang, saya ni anak nelayan,” kata Catherin dengan bangga sambil memercik air ke arah muka Harris. “Sebenarnya, sesiapapun boleh membuatnya jika terus mencuba. Kita perlu menahan angin di dalam badan seperti belon. Beginilah ayah saya terapung ketika dia terjatuh ke dalam laut,” katanya lagi.
Harris melihat wajah Catherin dengan penuh kagum.
***
Ethan agak kabur dengan arah yang sepatutnya dia berenang untuk sampai ke pantai.
Laut dalam ini hampir sama cirinya dengan hutan tebal; tidak mudah untuk mencari jalan keluar, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Sekiranya dia terus berenang, mungkin boleh diserang oleh ikan-ikan yang besar.
Oleh sebab tidak lagi terdaya untuk berenang, Ethan mengambil keputusan untuk terapung sahaja. Itulah teknik yang lazim digunakan oleh kebanyakan nelayan. Apabila ada nelayan ataupun kelasi kapal yang hilang, kapal akan berpatah balik mengikut laluan yang sama berpandukan ‘Global Positioning System (GPS)’. Jadi, Ethan memastikan dirinya tidak tersasar daripada laluan kapalnya.
Dia tahu bahawa badannya tidak akan dihanyut jauh apabila dipukul ombak. Jadi, dia mula baring telentang untuk mengapungkan badannya. Waktu senja makin berlalu seolah-olah memberi laluan kepada kegelapan malam. Dia terus memandang langit yang luas terbentang di atasnya dengan penuh keyakinan.
Sambil terapung, Ethan meyakinkan dirinya bahawa semua yang berlaku ini hanyalah dugaan semata-mata daripada Tuhan untuk menguji kekentalan hatinya. Dia terus menggiatkan semangatnya agar dapat mengatasi cabaran yang sedang dilaluinya itu. Dia mencari-cari insan yang akan datang untuk menyelamatkannya. Kelopak matanya sudah sayu, sedangkan hatinya terus berdebar agar dia tidak terlelap. Sekiranya terlelap, dia tidak dapat menahan nafasnya, maka lebih mudah tertenggelam dalam air.
Dia tidak henti-henti berdoa kepada Tuhan sepanjang malam tersebut. Ada kala dia merayu kepada langit dan bintang dengan menganggapnya sebagai Tuhan yang muncul untuk menyelamatkannya. Kepulan awan yang bergerak turut dilihatnya sebagai salib untuk sejenak masa. Dia sempat mengenang semula detik-detik penampakan salib di ruang langit ketika dia terperangkap dengan ikan jerung pada usia muda dahulu. Dia masih mengenang detik-detik cemas yang dilaluinya dan bersyukur kerana dia sempat diselamatkan oleh ayahnya.
Masa itu, salib yang terbentuk di langit itu mula lenyap setelah dia naik semula ke atas kapal dengan selamat. Sekarang, penampakan salib di langit itu menyemai keberanian dalam diri Ethan sama seperti dahulu.
Ethan menarik, menahan dan mengembus nafas secara selang satu minit untuk terus terapung di atas permukaan laut. Ketika menarik nafas setiap kali, dia menenangkan dirinya bahawa dia masih lagi bernayawa.
Sementara badannya terapung, hatinya pula terkenang akan nasib anak perempuannya, Catherin. Catherin baru pulang dari kolejnya ketika Ethan bersiap sedia untuk turun ke laut. Catherin melambai-lambaikan tangan ke arah ayahnya yang sudah bersedia di atas kapal untuk memulakan pelayaran. Ethan sempat membalas lambaian anaknya. Namun, dia tetap khuatir sama ada lambaian terakhirnya itu sempat dilihat oleh anaknya ataupun tidak.
Catherin mula menuntut di kolej hanya sejak sebulan yang lalu. Walaupun masih awal, Ethan sempat membelikan segala kelengkapan yang diminta oleh anak emasnya itu. Sekiranya dia tidak ditakdirkan untuk mengharungi dugaan daripada dewi lautan yang sedang dialaminya itu, sudah tentu dia dapat membayar duit pengajian yang diminta oleh Catherin dalam masa dua tiga hari.
Apabila terkenang akan nasib anaknya itu, hati Ethan meronta-ronta bagai hendak melaung nama anaknya itu sekuat hati. Walau sekuat mana dia melaung jua, suaranya tidak akan sampai ke pantai.
Kesunyian laut dalam itu sebenarnya sangat mengerikan. Ketika membandingkan keadaan pinggir laut dengan keadaan laut dalam, barulah Ethan sedar bahawa alunan ombak di pinggir laut itu boleh diibaratkan seumpama anak-anak kecil, sedangkan laut dalam pula diibaratkan sebagai wanita tua. Lazimnya, wanita tua tidak akan menunjukkan sikap belas kasihan, tidak menangis untuk menunjukkan simpati dan juga tidak risau tentang ketibaan ataupun pemergian seseorang. Renungan mereka yang tidak mengeluarkan sebarang emosi akan menambahkan kegerunan kita terhadap mereka. Kita akan berasa teragak-agak untuk memahami rahsia yang tersembunyi di sebalik kelakuan mereka.
Apabila Ethan membayangkan dirinya kini berada di pangkaun seorang ‘wanita tua’, maka bertambah lagi gentarannya. Pada masa yang sama, dia sedar juga bahawa tidak adil untuk mempersalahkan keadaan laut dalam itu semata-mata atas dugaan yang dialaminya itu. Namun, dia tetap berasa malu kerana dirinya terpaksa bergantung pada ‘wanita tua’ yang tidak berprihatin seperti mana yang dibayangkannya. Badannya mula tenggelam secara perlahan-lahan apabila dia mula mengantuk.
***
“Nak saya bawa apa-apa untuk dimakan, bang?” tanya Catherin kepada Harris yang menatapnya dengan tajam. Kejelitaan Catherin tidak sama seperti yang dilihat sebentar tadi, malah lebih mengasyikkan.
Baju putih yang dipakainya itu menampakkan dia sudah tidak memakai coli di dalamnya. Pusar di perutnya ditumbuhi roma halus di atas dan di bawah; kelihatan seolah-olah dilukis garis lurus kerana badannya masih basah. Ruam yang terdapat di pehanya agak padan dengan warna kulitnya. Kakinya juga ditumbuhi roma halus. Bahagian bawah yang ditutup dengan seluar dalam berwarna hitam pula kelihatan agak tembam.
Apabila Harris menggelengkan kepalanya sebagai tanda dia tidak mahu makan, Catherin membawanya pergi ke bilik sauna. “Berpanas di bilik sauna ini sangat baik untuk kesihatan, bang. Setelah air yang berlebihan keluar melalui peluh, badan abang akan berasa ringan nanti,” jelas Catherin.
Sebaik sahaja masuk, haba yang tinggi di dalam bilik itu dapat dirasakan pada cuping-cuping telinga Harris. Kedua-duanya duduk bersebelahan di atas bangku yang diperbuat daripada kayu di dalam bilik itu.
Pakaian nipis yang dipakai oleh Catherin kering dengan lebih cepat sehingga menampakkan buah dada dan putingnya yang tegang. Apabila Harris menghulurkan tangan untuk memegang buah dadanya, serta-merta ditegah oleh Catherin.
“Bilik sauna ini dipasang kamera tertutup, bang. Jom kita pergi ke bilik,” kata Catherin. Setelah tangannya dilepaskan oleh Catherin, Harris masih dapat merasakan kesakitan pada pergelangan tangannya.
Kemudian, Catherin memicit-micit bahu Harris dengan tangannya yang kuat. Dalam beberapa minit sahaja, badan Harris mula berpeluh dengan banyak. Oleh sebab tidak tertahan dengan haba di dalam bilik itu, Harris menunjukkan isyarat kepada Catherin bahawa dia mahu keluar.
“Ha…ha…ha…Mengapa bang? Abang tidak mampu bertahan dengan haba ini? Sedangkan ayah saya pernah berpanas di bawah matahari selama dua hari berturut-turut,” kata Catherin setelah tergelak.
***
Hati Ethan berasa lega sedikit apabila dapat melihat matahari yang terbit pada keesokan paginya.
Sudah tentu Kiat dan Kepala mencari-carinya setelah tersedar daripada ketagihan. Mungkin Gopi mengetahui perkara yang berlaku setelah diberitahu oleh mereka berdua. Jikalau mereka melihat pada pukat yang belum lagi diusik, pastinya mereka dapat meneka bahawa Ethan sudah hilang dari kapal itu sebelum menurunkan pukat.
Antara mereka, Ethanlah orang yang paling mahir untuk melakukan kerja menurunkan pukat mengikut keluasan kawasan penangkapan yang disasarkan. Tanah berlumpur yang terhasil selepas hujan di laut akan termendap pada permukaan jaring sekiranya pukat diturunkan pada keluasan atau kedalaman yang tidak betul. Kesannya, ikan-ikan berwaspada dan tidak akan mendekati pukat tersebut.
Jadi tanpa Ethan, mustahil bagi mereka untuk menurunkan pukat tersebut. Dia masih yakin bahawa rakan-rakannya itu akan menemuinya sebelum waktu puncak jikalau mereka sudah berpatah balik pada awal pagi.
Burung-burung camar yang berterbangan di langit turut menguatkan keyakinannya. Perutnya sudah mula berlapar. Sambil terapung, dia menoleh perlahan-lahan ke sekelilingnya. Permukaan laut itu bersinar kehijauan tatkala terkena pancaran matahari.
Tidak jauh dari situ, Ethan dapat melihat rumpai laut yang terkatung-katung di permukaan laut. Dia mendayungkan tangannya sehingga mencapai rumpai laut itu lalu menyambarnya untuk dimakan.
Rasanya agak kelat walaupun bercampur kemasinan air laut. Ethan berasa bersyukur atas budi yang dicurahkan oleh ‘wanita tua’ itu. ‘Wanita tua’ itu tahu bahawa Catherin sudah kehilangan ibunya sejak kecil. Dia juga sedar akan usaha-usaha yang diambil oleh Ethan untuk menghantar anaknya jauh dari halaman kampung itu. Apabila berlepas ke laut setiap kali, hanya dewi laut yang didoa oleh Ethan agar melindungi anaknya daripada ancaman dan usikan kaki perempuan ataupun penagih dadah.
Walaupun digelar sebagi ‘wanita tua’, dewi laut turut dilihat sebagai seorang ibu. Tidak ada kuasa yang dapat menandingi kasih sayang seorang ibu. Jadi, Ethan sangat yakin bahawa ‘wanita tua’ yang dipercayainya itu tetap akan membela nasib diri dan anaknya. Langit yang masih cerah meyakinkannya bahawa hujan tidak akan turun dalam masa terdekat. Namun, tekak yang sudah kering membuat dirinya berasa tidak selesa. Sambil menutup mata, Ethan masukkan dua jarinya yang basah ke dalam mulut supaya melegakan sedikit tekaknya.
Kapalnya masih belum muncul lagi walaupun matahari sudah naik ke puncak. Pancaran matahari yang terik menyilaukan mata sungguhpun kelopak matanya ditutup. Air laut juga mula berpanas ketika waktu puncak itu.
Entah berapa banyak peluh dan air kencing yang keluar daripada badannya untuk mengimbangi air masin di laut itu. Ethan membayangkan dirinya sebagai seekor katak kecil yang terperangkap di dalam kawah yang berisi minyak yang sedang mendidih.
Keyakinan Ethan mula tergugat apabila dia terasa belakang badannya digigit oleh sesuatu. Kulit badannya yang merekah akibat sekian lama berendam dalam air laut mula digigit oleh beberapa ekor ikan. Berdasarkan pada cara gigitannya, Ethan sudah meneka bahawa ikan kod yang sedang mengigit kulit belakang badannya.
Ikan kod ini jenis ikan yang suka makan bangkai. Ethan pernah melihat dengan matanya sendiri ketika ikan-ikan kod ini menyerbu bangkai yang terapung-apung di permukaan air laut untuk dijadikan makanan. Walaupun memiliki bentuk mulut yang kecil, namun ikan ini mampu mengoyakkan daging daripada badan mangsanya. Kebiasaannya, kaum nelayan tidak gemar untuk makan ikan kod jenis ini.
Sekiranya Ethan membiarkan sahaja badannya diserbu oleh ikan-ikan yang bergerak dalam kumpulan yang besar itu, mungkin tulang badannya sahaja yang akan ditinggalkan nanti. Maka, Ethan menggunakan saki-baki daya yang masih ada dalam badannya untuk mengusir ikan-ikan tersebut dengan menghayunkan tangan. Ikan-ikan tersebut mendekatinya semula walaupun sudah diusir beberapa kali.
Badannya yang hanya digigit di sana sini oleh sedua ikan pada awalnya sudah mula dikeremuni oleh puluhan ikan menjelang waktu senja. Luka-luka yang terbentuk akibat kesan gigitan di belakang badannya mula berasa pedih apabila terdedah pada air laut itu. Dia bertekad untuk mengusir ikan-ikan tersebut daripada terus menggigitnya selagi dia terdaya.
Sekiranya darah terkeluar daripada luka-luka yang menjadi parah, badannya mudah diserang oleh ikan jerung. Ikan-ikan jerung memiliki daya sensitif yang tinggi untuk menghidu bau darah walaupun berenang dari jarak setengah kilometer. Kegelisahan mula menyelebungi hati Ethan apabila dia terkenang nasib malang yang ditimpa oleh ayahnya sehingga mati terapung di laut suatu ketika dahulu.
***
Harris dan Catherin pulang ke bilik mereka semula. Sementara badannya masih berpeluh, sekali lagi Harris melihat keadaan laut dari tingkap biliknya.
“Itulah kapal yang saya sebut tadi, bang,” kata Catherin. Laut itu hanya kelihatan seperti padang hitam yang luas kerana waktu malam sudah menjelma. Jadi, Harris hanya dapat melihat bayang-bayang kapal dan bot yang berlabuh di pinggir laut itu.
“Pernahkah kamu menaiki kapal itu?” tanya Harris kepadanya.
“Saya akan mengikut ayah saya jika orang tak cukup. Saya tahu semua kerja untuk dibuat di atas kapal,” balas Catherin sambil senyum manis.
“Patutlah badannya dan tangannya kuat; pernah buat kerja-kerja yang susah,” fikir Harris dalam hatinya.
“Nak saya ambil kondom, bang?” tanya Catherin sambil memegang sekeping bungkusan plastik di tangan.
“Jadi orang kampung berjaya temui tak mayat ayah kamu yang digigit ikan itu?” tanya lagi Harris.
“Eh, ayah saya tidak meninggal dunia sebab digigit ikan, bang!” katanya secara terkejut apabila ditanya soalan sebegitu.
***
Pada hari kedua, Ethan sudah tidak lagi bertenaga untuk melihat fajar yang menyinsing. Dia juga sudah tidak lagi mengusir ikan-ikan yang menggigitnya. Walaupun sakit, dia membiarkan sahaja ikan layur, ikan mabong dan ikan kerisi untuk merasakan daging di belakang badannya sambil meneka nama-nama ikan yang menggigitnya itu.
Apabila matahari berada di puncak, dia sudah tidak larat dengan rasa pedih yang dialaminya akibat luka dan pancaran terik. Dia berasa seperti dirinya sedang bergelut dalam lautan api. Namun, dia masih ada harapan tipis bahawa mana-mana kapal yang belayar di laluan itu akan menyelamatkannya.
Bukan lagi seperti hari pertama, kini dia hanya dapat menahan nafas selang beberapa saat sahaja. Oleh sebab matanya ditutup buat sekian lama, dia membayangkan badannya sudah dihanyutkan ke jarak yang jauh, seolah-olah sudah tiba di pantai kepulauan Sumatera.
Banyak lagi ilusi dan khayalan yang dipentaskan dalam tirai mindanya. Apabila berasa dirinya tidak bernyawa lagi, dia akan tersentak untuk menarik dan menghembus nafas supaya memastikan bahawa dirinya masih hidup lagi.
Apabila Kiat dan Kepala memegang rambutnya untuk menarik ke atas kapal, barulah Ethan melepaskan semangatnya untuk bertahan lalu terus pengsan.
Sebelum badannya dinaikkan sepenuhnya ke atas kapal, sempat juga seekor ikan cupak menggigit belakang badan Ethan untuk kali terakhir lalu melompat semula ke dalam laut dengan cebisan kulitnya.
Setelah di bawah ke darat, Ethan menerima rawatan rapi di hospital selama dua minggu. Kemudian, dia hanya sedar diri setelah terlantar dalam keadaan koma selama dua bulan. Bunyi perbualan doktor dan jururawat di sana membingitkan telinganya; dibayangkan seperti mendengar bunyi alunan ombak yang nyaring.
Dia menganggap dirinya masih sedang terapung di atas permukaan laut. Setelah meraba permukaan katil dan tilam dengan tangannya, dia berasa lega dan menenangkan dirinya bahawa dia tidak berada di atas permukaan yang berair.
Kemudian, barulah dia membuka matanya untuk melihat orang di sekelilingnya. Apabila melihat Catherin di sisinya, dia merenung wajah anaknya itu untuk sekian lama. Dia mendapati wajah anak kesayangannya itu lebih berseri.
“Maklumlah, dia melihat muka anaknya selepas dua bulan,” sindir kenalan yang duduk di sekelilingnya. Air mata yang berlinangan dari matanya membuktikan Ethan benar-benar sudah sedar diri dan kembali kepada keadaan asalnya. Bibirnya terketar-ketar untuk menyatakan sesuatu, namun dia hanya merengek dalam mulutnya.
***
Harris masih dalam kekeliruan. Catherin pula sudah masuk ke dalam selimut setelah menanggalkan pakaiannya. Dia membaring seperti bayang-bayang di bawah selimut putih itu.
“Jadi mengapakah kamu berbohong tadi bahawa ayah kamu mati setelah terjatuh ke dalam laut?” tanya Harris kepadanya.
“Setelah bangun daripada koma, dia asyik bertanya-tanya tentang bilangan harinya terlantar tanpa sedar diri. Saya memberitahunya. Selepas itu, dia tidak berkata apa-apa. Kadang kala dia akan bertanya semula soalan yang sama untuk membuat kepastian. Dia terus mendiamkan diri walaupun sudah hampir pulih sepenuhnya. Dia juga tidak hiraukan tentang diri saya, kolej saya mahupun tentang pelajaran saya.
Ketika sedang tidur pada suatu malam, saya dikejutkan oleh ayah. Sekali lagi dia tanya soalan yang sama dengan penuh kesayuan. Ketika itu, saya melihat wajah ayah saya yang sudah uzur buat kali pertama. Badannya sudah tidak bertenaga lagi seperti dahulu kala. Tubuhnya sudah menyusut. Bau nanah daripada luka di badannya masih dapat dihidu. Dia hanya merenung wajah saya. Saya hanya mendiamkan diri tanpa berkata apa-apa.
Entah berapa lama dia duduk merenung wajah saya pada malam tersebut. Keesokan pagi, dia berdegil untuk turun ke laut. Orang kampung juga berkata bahawa dia akan sembuh sepenuhnya jika kembali bekerja. Saya juga gembira melihat pada kebangkitannya. Saya pergi ke kolej setelah dia berlepas ke laut. Malangnya, pada malam tersebut, saya menerima berita bahawa dia sudah terjun ke dalam laut untuk membunuh diri di lokasi yang sama sewaktu dia terjatuh dahulu. Menurut rakan-rakan yang mengikutnya dalam kapal, mereka bertungkus-lumus untuk menyelamatkannya, namun dia enggan menerima apa-apa bantuan dan membiarkan badannya tenggelam ke dalam laut,” kata Catherin dengan penuh beremosi.
Badan Harris mula mengeletar. Ketika dia hendak menghisap rokok sambil berdiri di tepi tingkap bilik itu, angin yang bertiup dari arah laut memadamkan api mancis yang dinyalakannya.
Harris mula menyarung seluarnya semula secara gopoh-gapah; takut-takut Catherin akan menghulurkan kondom sekali lagi kepadanya.
Gambar ehsan Mohamed Nashah di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.