Karya ini asalnya ditulis dalam Bahasa Tamil oleh M. Navin. Ia diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh S.T. Saravanan.
“Jari itu boleh digunakan untuk mengorek dubur nanti…” kata Jamal sambil menunjuk-nunjukkan jari hantunya ke arah saya.
Saya tidak menunjukkan sebarang reaksi kepadanya. Saya dan Jamal sedar bahawa perbuatan kami berdua itu sedang diperhatikan oleh penyelia kami, iaitu Encik Amir. Namun, Jamal masih menunggu untuk melihat reaksi saya terhadap isyarat lucah yang ditunjuknya tadi.
Saya hanya mula bekerja di kilang itu sejak sebulan yang lalu. Saya tidak ada pilihan lain kerana hanya kilang tersebut yang sudi mengambil saya untuk bekerja walaupun terdapat ratusan lagi kilang di kawasan perindustrian itu.
Kebanyakan pengurus kilang di kawasan itu tidak mahu menerima saya untuk bekerja sebagai pekerja mungkin berdasarkan faktor usia saya. Mereka tahu bahawa kami merupakan pelajar-pelajar lepasan sekolah yang hanya akan bekerja secara sementara pada musim cuti akhir tahun. Maklumlah, budaya tersebut sudah lama diguna pakai di seluruh Malaysia. Kebanyakan kilang di sana meminta kami datang untuk memohon kerja pada bulan Januari, kecuali kilang itu.
“Bolehkah kamu bekerja mengikut syif?” tanya Encik Amir ketika menemu duga. Saya membalasnya bahawa saya mampu, maka saya terus diterima untuk bekerja di kilang itu.
Kilang itu kilang yang kecil. Hanya lima orang pekerja yang bekerja pada satu syif termasuk saya. Dua daripada mereka warga Bangladesh, seorang wanita Vietnam dan seorang lagi pemuda Melayu yang bekerja dalam syif tersebut. Pemuda Melayu itu agak berbeza keupayaan fizikalnya berbanding dengan kami. Badannya kecil dan berbongkok, namun dia boleh berjalan dengan pantas. Dia tidak dapat bertutur dengan lancar. Agak sukar juga buat kami untuk memahami apa yang hendak diberitahunya. Bukanpun pihak kilang akan menawarkan elaun tambahan sekiranya kami berbuat demikian. Jadi, kami jarang mempedulikannya. Namun, dia tetap bergaul mesra dengan semua pekerja di sana. Sekiranya dia ketawa sambil bercakap, maksudnya dia sedang berjenaka.
Pada mula, saya berasa takut melihatnya. Saya keliru apabila melihat gayanya yang cukup menggertak, pada hal rupa fizikalnya kurus kering. Kemudian, barulah Encik Amir memberitahu bahawa dia merupakan orang kelainan upaya dan juga anak buah kepada pemilik kilang tersebut. Dia dibenarkan bekerja di kilang itu supaya dapat menyara keluarganya. Patutlah tidak ada seorangpun yang mempedulikannya di situ. Dia sendiri yang berangan – angan bahawa dia merupakan orang penting dalam kilang tersebut.
“Mengapakah kamu tidak melanjutkan pelajaran di kolej? Buat apa kamu hendak datang bekerja di sini?” itulah soalan-soalan yang diajukan oleh Ami apabila bertemunya buat kali pertama di sana.
“Ayahlah sebabnya,” balas saya dengan ringkas. Bau wangi bedak yang disapunya itu dapat dihidu bersama-sama bau plastik yang merebak di seluruh kawasan kilang itu. Bau wangi itu membuatkan saya berasa tergiur sungguhpun masih awal pagi lagi.
Ami melakukan kerja-kerja memotong sisi dan bucu produk plastik yang dihasilkan oleh mesin-mesin di sana. Kilang itu sebenarnya beroperasi untuk menghasilkan sejenis produk alat ganti yang terdapat di dalam bahagian enjin. Sesiapapun di sana tidak tahu sebarang maklumat tambahan tentang bahagian alat ganti yang kami hasilkan. Apa yang kami tahu ialah, alat ganti yang kami hasilkan itu dieksport ke luar negara.
“Adakah kamu tidak cukup wang untuk meneruskan pelajaran? Jadi kamu datang ke sini untuk mencari duit, bukan?” Ami bertanya lagi.
Apabila saya melihat mukanya untuk membalas, barulah saya sedar bahawa dia kelihatan sungguh menawan. Hati saya tidak dapat menerima jika gadis – gadis yang cantik berasa simpati terhadap saya.
“Saya datang bekerja di sini atas paksaan ayah. Saya sudah membuat permohonan untuk mengikuti kursus perguruan. Saya datang bekerja sementara menunggu keputusannya. Saya tidak perlu membuat bayaran untuk meneruskan pengajian di institut perguruan,” saya menjelaskan kepadanya secara panjang lebar.
Saya memang berasa hairan memikirkan bagaimana gadis – gadis Vietnam ini menjaga kecantikan diri mereka. Saya juga tidak pernah melihat mereka merungut tentang beban akibat kerja yang mereka lakukan. Mahupun ketika datang ataupun pulang dari tempat kerja, rupa mereka tetap berseri dan bergaya bak bekerja sebagai pegawai tinggi di sektor kerajaan.
Saya tidak pernah melihat ibu saya kelihatan sebegitu. Muka ibu sentiasa kelihatan pucat dan kusam tatkala pulang dari kilang kayunya. Habuk kayu yang terlekat pada bajunya sudah tentu akan membuatkan saya terbersin.
“Kamu patut bersyukur kerana ayah kamu mengambil berat tentang kamu,” kata Ami.
Ayah saya tegas dengan pendiriannya bahawa saya harus pergi ke kerja untuk menguruskan perbelanjaan diri saya selepas tamat sesi persekolahan. Ketika itulah saya terlibat dalam suatu kemalangan dan mengalami kecederaan yang teruk pada lutut kaki kanan. Agak ngeri juga kemalangan yang berlaku itu. Saya hampir terkorban dalam kemalangan itu. Sekiranya saya ditakdirkan untuk menemui ajal pada hari itu, bukan lutut kaki yang sepatutnya tercedera, sebaliknya kepala saya yang patut terpenyet.
Apabila kawan-kawan menghantar saya pulang ke rumah setelah diberi rawatan, ayah hanya melihat dengan selamba. Tanpa berkata apa – apa, beliau masuk ke dalam biliknya. Entah apa yang dibuatnya dengan ibu tiri saya di dalam bilik itu tanpa mengira siang malam. Emosi saya terganggu akibat kemalangan yang saya alami itu. Emosi saya asyik terganggu apabila saya berseorangan. Ada kala saya bangun tersentak daripada tidur.
Hari itu saya sangat rindu akan arwah ibu saya. Ketika kecil, saya pernah jatuh banyak kali daripada basikal ‘Hercules’. Apabila saya terjatuh, ibu akan datang mengangkat saya dengan penuh cemas. Basikal ‘Hercules’ itu sebenarnya basikal orang dewasa peninggalan datuk saya. Oleh sebab tidak cukup tinggi, saya akan menunggangnya sambil berdiri dan mengimbangi badan di antara palang tengahnya.
Disebabkan saya asyik terjatuh daripada basikal dewasa itu, ibu mengambil keputusan untuk menjualnya lalu membeli sebuah basikal mini untuk kegunaan saya. Mulai hari itu, ibu saya sanggup berjalan kaki ke tempat kerjanya yang terletak beberapa ratus meter jauh dari rumah.
Setiap hari, saya akan menunggu ibu di hadapan pintu utama kilang itu sebelum siren kilang dibunyikan pada pukul 5.00 petang. Ibu tidak pernah membenarkan saya memasuki kawasan kilangnya itu. Dia mungkin takut kerana mesin-mesin dan jentera yang mengangkut kayu di dalam kilang itu boleh mengancam keselamatan saya.
Ketika pulang, saya akan mengayuh basikal sambil mengelilingi ibu saya. Saya akan mengayuh basikal secara ulang-alik beberapa pusingan dari kilang ke rumah sementara menunggu ibu saya berjalan pulang. Ibu saya pula akan memerhatikan telatah saya dengan penuh gelisah walaupun dia letih sebenarnya. Saya pula sengaja akan menambahkan kegelisahannya dengan mengayuh basikal secara melulu dan laju.
Suatu ketika dahulu, saya mengalami kecederaan pada dahi apabila terjatuh daripada basikal ketika pulang dari sekolah bersama Tanabal. Sebaik sahaja pulang dari tempat kerja, ibu menderita seumpama cacing kepanasan setelah melihat pada keadaan saya. Dia mendukung kepala saya di atas ribanya sepanjang malam. Saya dapat merenung matanya yang penuh dengan kesayuan. Agak hairan juga bagi saya apabila melihat keadaan ibu yang sentiasa berasa cemas dan gelisah hanya kerana memikirkan keselamatan saya semata-mata.
Keesokan harinya, ibu mengambil cuti walaupun dia tahu bahawa elaun kehadiran penuhnya akan dipotong. Sejak peristiwa itu, ibu saya mula melihat Tanabal sebagai musuh tradisi keluarga kami. Jika ibu saya terserampak dengan ibu Tanabal di mana-mana, maka mereka akan saling memaki hamun. Ada kala mereka saling meludah seolah-olah melancarkan senjata nuklear masing-masing di samping pandai mengelakkan diri daripada terkena ludahan itu.
Saya tidak dapat membayangkan betapa renyuknya hati arwah ibu saya nanti sekiranya dia melihat keadaan saya yang tercedera akibat kemalangan yang ditimpa itu. Kalau tidak silap saya, sudah dua tahun lebih ibu meninggal dunia. Jika ada kesempatan, saya akan pergi ke tepi palang besi di lebuh raya yang menjadi lokasi kemalangan. Sambil memegang kepala, saya akan mengimbas kembali detik-detik kemuncak yang saya lalui antara hidup dengan maut itu.
Kilang yang saya bekerja itu agak selesa keadaannya. Cuma, saya tidak suka akan tandas di sana kerana masih menggunakan tandas jenis mencangkung. Bukan saya tidak pandai menggunakannya, cuma saya tidak selesa untuk membuang air besar sambil mencangkung kerana kecederaan yang dialami pada bahagian lutut. Sekiranya hendak membuang air besar, saya terpaksa duduk mencangkung sambil melunjurkan kaki kanan.
Walaupun nampak kelakar, namun kaki kiri yang menahan berat badan itu akan mula berasa kebas dan sakit. Dengan kesakitan itu, bukan mudah bagi saya untuk memikul guni – guni bahan mentah dan naik ke bahagian atas untuk memasukkannya ke dalam mulut mesin. Maka, pada minggu pertama saya meminta bantuan Jamal, pemuda Bangladesh yang bekerja dengan saya di bahagian pemotongan.
Dalam tempoh sehari sahaja bekerja di sana, saya sudah tahu bahawa Jamal ini jenis bengis orangnya. Dalam kilang yang beroperasi dengan sistem tiga syif itu, hanya Jamal yang menjadi rakan sekerja di bahagian saya. Kami berdua ditugaskan untuk mengeluarkan alat ganti yang sudah siap dibentuk dan dipotong oleh mesin pengacuan. Alat ganti yang dimasukkan ke dalam bakul pula akan dibawa, dibersihkan bahagian bucu dan sisinya, serta disusun di dalam peti oleh Ami dan rakannya.
Di bahagian ketiga pula, seorang lagi pemuda Bangladesh ditugaskan untuk memeriksa kualiti barang sehinggalah selesai membungkus dan menaikkannya ke dalam lori. Kassim, pemuda Melayu yang bongkok itu pula tidak ada tugas yang spesifik seperti yang kami lakukan. Lazimnya, dia akan menguruskan kerja-kerja pembersihan seperti membersihkan takungan minyak hitam di bawah mesin, mencuci tandas dan juga membuang bangkai tikus serta bangkai kucing jika termakan umpan tikus yang beracun. Kebanyakan masa, Jamal yang mengarahkannya untuk membuat kerja. Kadang kala, geram juga saya apabila melihat seorang warga Bangladesh yang datang ke sini untuk mencari nafkah mampu mengerjakan orang di sini mengikut sesuka hatinya.
Encik Amir menguruskan kilang tersebut hanya kerana adanya Jamal di sana. Jamal bukan calang – calang orangnya kerana dia mampu membaiki apa jua kerosakan yang berlaku pada mesin pengeluar. Pendek kata, pemilik kilang tersebut yang tinggal di luar negara bergantung pada Encik Amir; Encik Amir pula bergantung pada Jamal sepenuhnya.
Ada seorang lagi pemuda Bangladesh yang bekerja di syif yang sama. Dia pula tidak suka bergaul dengan Jamal. Mengikut kata Kassim, berlakunya pergaduhan antara mereka berdua dahulu sebelum saya masuk kerja di sana. Kassim juga melakonkan bagaimana Jamal mematahkan rahang pemuda Bangladesh itu dengan mudah dalam pergaduhan yang berlaku itu.
Apa yang menghairankan saya ialah pemuda Bangladesh itu juga sasa tubuh badannya sama seperti Jamal. Jadi, saya membuat keputusan agar lebih berwaspada apabila hendak berbual dengan Jamal. Hanya Ami yang suka bermanja-manja dengan Jamal apabila dia datang ke bahagian kami untuk mengambil atau memulangkan bakul barang. Jamal hanya akan membalasnya dengan senyuman.
Kebanyakan masa, Encik Amir tidak akan datang ke kilang. Pejabat kilang itu terletak di tempat lain dan isterinya pula bekerja sebagai kerani di pejabat tersebut. Maka tak hairanlah apabila orang berkata, kerja yang sepatutnya buat di rumah akan dilakukan di pejabat; kerja-kerja pejabat pula akan dibawa balik ke rumah. Sekiranya Encik Amir tidak datang, maka Jamallah menjadi bos di kilang.
Daripada empat bakul barang yang perlu dihantar dalam tempoh 15 minit, hanya satu bakul yang akan dibuatnya. Manakala tiga lagi bakul yang baki itu, sayalah yang terpaksa buat. Apabila tiba gilirannya, dia akan mengeluarkan alat ganti daripada acuan secara sambil lewa. Ada kala, dia akan tinggalkan kerja yang dibuatuntuk menelefon kawan – kawannya lalu berborak-borak dalam bahasa Bangladesh. Sekiranya kerja-kerja pengeluaran dilambatkan di bahagian kami, pekerja – pekerja di bahagian lain pula akan merungut. Oleh sebab mereka tidak berani menyoal Jamal, maka sayalah yang menjadi mangsa kemarahan mereka.
Pernah juga saya tegur Jamal sedua kali, namun dia tidak pernah mengendahkannya. Malahan, dia sengaja akan melambatkan lagi kerja yang dibuatnya itu. Tubuhnya yang sasa membuatkan saya tidak terdaya untuk menentangnya. Saya tidak akan menunjukkan sebarang reaksi pada muka, mahupun rasa marah atupun malu. Jika saya hendak menunjukkan reaksi, maka saya perlu berani menentangnya. Jika saya hendak menentangnya, sudah pasti saya yang akan menerima padahnya. Jadi, saya terpaksa membuat tugas dua orang secara seorang diri demi gaji RM 600 yang akan diberi pada hujung bulan.
Saya akan berasa lega sekiranya Encik Amir berada di kilang. Jamal pula akan berpura-pura melakukan kerja dengan bersungguh – sungguh di hadapan Encik Amir. Dia mampu mengerjakan orang lain dengan cekap, mampu mengumpul tiga bakul barang dalam tempoh 15 minit dan juga mampu naik ke atas bahagian mulut mesin secara seorang diri untuk mengisi bahan mentah. Semua yang dibuatnya itu semata-mata untuk mendapat perhatian dan nama baik daripada Encik Amir. Ada kala, Encik Amir akan membelanjakan makan tengah hari ataupun minum petang untuk Jamal.
Pada minggu kedua, saya dijadualkan untuk bekerja di syif malam. Hanya dua bahagian pertama sahaja yang akan beroperasi pada syif tersebut. Jamal, Kassim dan Ami turut dijadualkan untuk bertugas dengan saya sepanjang minggu. Pada suatu malam ketika sibuk bekerja, Jamal mula berbual mesra dengan saya. Dia berkata bahawa agak sukar untuk bekerja di syif malam tanpa tidur yang secukup. Dia juga mengingatkan saya bahawa terlalu bahaya untuk mengendalikan mesin-mesin dalam keadaan mengantuk. Maka dia memujuk saya untuk berehat sambil berbaring di atas guni-guni bahan mentah yang disimpan di tepi dinding.
Pada malam tersebut, saya mengalami mimpi buruk mengenai kemalangan ngeri itu. Dalam mimpi, saya tercampak daripada motosikal saya sebaik sahaja sebuah kereta melanggar saya dari arah belakang. Topi keledar yang tidak dipasang kancingnya pula tertanggal daripada kepala saya. Saya tidak dapat mengelakkan kepala saya daripada terkena palang penghadang di lebuh raya. Otak saya terkeluar daripada tengkorak sebaik sahaja kepala terhentak pada palang itu. Alangkah sedihnya jika arwah ibu saya melihat keadaan saya yang buruk ini.
Sementara saya sedang fikir, arwah ibu saya sudah pun muncul di hadapan saya. Naluri saya meyakinkan lagi kewujudannya di sisi saya. Mungkin dalam mimpi juga manusia dapat menyedari nalurinya sendiri. Saya mencari-cari wajah ibu saya untuk direnung. Tiba-tiba, bunyi enjin motosikal yang nyaring pula kedengaran. Belum sempat saya melihat wajah ibu, saya jatuh ke atas lantai yang berumput. Rumput-rumput yang tumbuh secara lebat itu melantun badan saya semula ke atas. Badan saya melambung ke udara.
Saya tersedar daripada mimpi ketika hendak menjunam ke bawah semula. Ketika itu baru saya perasan bahawa guni-guni yang saya baring tadi betul-betul sedang bergoyang. Bunyi enjin motosikal tidak lagi kedengaran kecuali bunyi dengkur Kassim. Setelah mengesat mata, barulah saya dapat lihat dengan jelas, Jamal sedang melakukan hubungan intim dengan Ami di atas guni-guni yang tersusun itu. Lantas saya menutup mata dan telinga saya. Saya tidak mahu melihat ataupun mendengar apa-apa yang berlaku di sana. Ketika itu, saya dapat membayangkan keadaan arwah ibu saya yang sedang meraung sementara ayah dan ibu tiri saya pula sedang merayu keampunan daripada arwah ibu saya.
Mulai hari seterusnya, saya sengaja mengelakkan diri daripada bersemuka dengan mereka berdua.
“Jika kamu nak buat, bagitahulah saya. Saya akan memujuk Ami. Tapi, kalau Encik Amir dapat tahu tentang perkara ini, habislah engkau nanti,” kata Jamal dengan tegas.
Sebenarnya saya langsung tidak ada niat untuk mengadu perkara tersebut kepada Encik Amir, sehingga Jamal berkata sedemikian.
Oleh sebab mereka berdua mengulangi perbuatan itu pada malam-malam seterusnya, maka terpaksalah saya membawa isu tersebut kepada perhatian Encik Amir. Pecah tembelang Jamal dan Ami apabila Encik Amir sendiri datang ke kilang tersebut secara mengejut pada waktu malam untuk menangkap mereka berdua yang sedang khusyuk bersetubuh.
Beliau tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Jamal, sebaliknya Ami pula dibuang kerja serta – merta dalam tempoh 24 jam kerana dia hanya seorang pekerja kontrak. Saya tidak berasa simpati terhadap Ami atas tindakan yang diambil ke atasnya. Yang paling menghairankan, kami langsung tidak tahu bahawa Ami sebenarnya sudah berkahwin, sehinggalah suami dan kawan-kawannya menyerbu kilang pada malam seterusnya untuk membelasah Jamal.
Jamal langsung tidak menentang mereka yang datang membelasahnya. Dia juga tidak meraung kesakitan. Hanya Kassim yang bersusah-payah untuk menahan mereka daripada terus memukul Jamal. Bunyi Kassim yang menjerit-jerit untuk mengahalau suami Ami dan kawan-kawannya itu jelas kedengaran pada malam itu. Sejak peristiwa tersebut, Jamal mula bermusuhan dengan saya. Dia benar – benar tidak berpuas hati kerana sayalah puncanya kepada segala yang berlaku.
Encik Amir tidak membuat aduan polis mengenai peristiwa serbuan yang berlaku terhadap Jamal. Pada masa yang sama, beliau juga tidak mengendahkan lagi Jamal semenjak kejadian tersebut. Jamal bukan lagi seperti dahulu, sudah mula mendiamkan diri kerana patah taringnya. Seorang lagi pekerja Bangladesh di syif saya pula sejuk hati melihat keadaan Jamal itu; ada kala bernyanyi lagu – lagu Bangladesh dengan gembira.
Sebenarnya, perang dingin antara saya dengan Jamal benar – benar tercetus apabila saya mendapat tahu bahawa Jamal telah meludah ke dalam botol air yang saya bawa ke kilang. Saya pula membalas dendam dengan memberi makanan yang dibelinya kepada anjing untuk dimakan. Saya sudah tidak lagi berasa takut padanya.
Sejak hari itu, Jamal mula mengganggu saya secara sengaja. Dia menguji kesabaran saya dengan mengambil alat – alat ganti daripada bakul saya lalu memasukkan ke dalam bakulnya. Saya pula akan mencampurkan alat – alat ganti yang ada kerosakan ke dalam bakul Jamal supaya menyusahkannya ketika hendak membuat pemeriksaan kualiti. Kami berdua saling berdendam tanpa membuat aduan terhadap satu sama lain.
Pada mulanya, saya berasa geram dengan tindakannya itu, lama – kelamaan agak seronok juga untuk saling berdendam secara balas-membalas. Perbuatan kami berdua itu seolah-olah seperti berada di medan pertempuran, hari demi hari tunggu giliran masing-masing untuk berbalas dendam.
Ada kala kami pernah melampaui batas juga. Jamal pernah memancitkan tayar motosikal saya ketika hendak pulang ke rumah selepas habis syif malam. Saya terpaksa menuntun motosikal pada awal pagi itu. Sebelum pulang, saya sempat naik bilik Jamal yang terletak di bahagian atas kilang untuk berkencing di atas tilamnya.
Alangkah seronok apabila seorang lagi pekerja Bangladesh itu memberitahu bahawa Jamal tidak dapat tidur sepanjang waktu siang ekoran angkara yang saya buat.
Hari itu, saya dan Jamal sibuk membuat kerja seperti biasa. Kami berdua cepat-cepat membuat kerja untuk menentukan siapa antara kami yang paling banyak mengumpul alat ganti yang sudah diproses daripada mesin acuan. Saki – baki plastik yang terlekat pada sisi dan bucu alat ganti itu perlu dicabut terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam bakul.
Ketika sibuk membuat kerja, Jamal membaling plastik yang dicabut itu ke arah saya dengan sengaja. Saya berasa sakit apabila terkena muncung plastik yang runcing itu. Maka, saya jua membaling plastik yang saya cabut ke arahnya untuk membalas. Alat ganti yang sudah diproses di dalam mesin acuan perlu dibiarkan untuk beberapa saat sebelum dicabut keluar agar suhu bahangnya itu menurun. Selepas mencabutnya, pintu keselamatan mesin perlu ditutup, barulah alat ganti seterusnya akan diproses.
Sambil membuat kerja, kami sempat ejek-mengejek apabila terkena sasaran masing-masing. Sebenarnya, Jamal lebih mahir dan berpengalaman untuk mencabut alat ganti yang sudah diproses daripada mesin acuan. Maka, tak hairanlah apabila dia membaling dua kali, saya hanya dapat membalas serangannya sekali sahaja. Saya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk mencabut baki plastik kerana jari – jemari saya tidak biasa dengan bahang alat ganti yang baru dikeluarkan daripada mesin. Sampainya satu tahap, saya mula hilang sabar kerana Jamal tidak putus-putus membaling plastik itu ke arah saya.
Apabila saya mencabut alat ganti daripada mesin untuk dibaling ke arahnya, muka Jamal berubah menjadi cemas secara tiba – tiba.
“Hoi, hoi!” jerit Jamal sambil melihat ke arah saya.
Saya tidak dapat meneka apa yang sedang berlaku. Tanpa disedari, saya telah menutup pintu keselamatan mesin sedangkan sebelah tangan saya masih ada di dalamnya.
Ya, tangan saya tersangkut di dalam mesin. Saya cuba sedaya upaya untuk menarik keluar tanganyang tersepit di antara pintu keselamatan mesin itu, namun gagal. Saya dapat melihat dengan mata sendiri apabila tiga jari saya dipenyet oleh dua batang cerucuk besi yang keras.
Jamal lekas berlari ke arah saya lalu menekan suis – suis mesin tersebut untuk memberhentikannya. Namun, semua usahanya itu sia-sia sahaja.
Saya dapat mendengar bunyi tulang – tulang jari saya meretak. Apabila mengeluarkan tangan setelah pintu keselamatan terbuka, saya dapat melihat jari-jari saya yang penyet dan berlumuran darah.
Jamal memegang pergelangan saya dengan sekuat yang boleh. Jari-jemari saya sudah kebas agaknya kerana saya langsung tidak berasa sakit. Hanya pergelangan tangan yang dipegang oleh Jamal yang berasa sakit sebenarnya.
Tanpa melengahkan masa, Jamal membawa saya ke klinik. Setelah diberi pertolongan cemas, saya dibawa ke hospital besar dengan bantuan teksi. Tidak tahu apa yang berlaku selepas itu kerana saya sudah tidak sedar diri. Setahu saya, saya hanya menatap muka Jamal sebelum pengsan.
Apabila tersedar di hospital, saya dapat melihat balutan yang besar pada tangan saya. Menurut doktor, tangan saya sudah dirawat, namun jari – jari saya akan kelihatan terencat bentuknya setelah sembuh nanti.
Setelah sembuh sepenuhnya, jari hantu saya membengkok seperti cangkul walaupun mengikuti rawatan fisioterapi. Saya juga difahamkan bahawa jari tersebut tidak dapat digerakkan ataupun dirasakan responsif kerana sarafnya terputus.
Yang buruk lagi, saya terpaksa sambung bekerja di kilang itu kerana belum cukup tempoh satu bulan bekerja untuk memohon pampasan daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Hari ini, saya masuk ke kilang itu semula setelah dibenarkan untuk melakukan kerja – kerja ringan. Ketika itulah Jamal mengejek jari tengah saya dengan menunjukkan isyarat lucah.
Encik Amir yang memerhatikan apa yang berlaku tadi telah mendekati saya lalu bertanya khabar sambil menepuk bahu saya.
“Sekiranya tidak ada Jamal di sana, maka mustahillah untuk menyelamatkan tangan kamu pada hari itu. Usah kamu peduli sindirannya. Saya akan menasihatinya nanti,” katanya lagi.
Setelah mengangguk kepala, saya terus beredar ke bahagian ketiga untuk menyusun peti – peti yang perlu dihantar. Saya tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan kepada Encik Amir bahawa saya telah melihat mata arwah ibu saya yang penuh cemas itu pada wajah Jamal sebelum saya pengsan di dalam teksi pada hari kejadian tersebut.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.