Hirupnya secara perlahan kopi latte yang baru dihidangkan pada mejanya. Gadis muda awal 20an itu menutup matanya seolah sedang mengunjungi dimensi lain dalam menikmati pahit espresso yang diselimuti lemak manis susu. Berhenti dia seketika, “manis, terlalu manis” bisiknya bersendirian. Untuknya kopi itu hanya kopi jika ianya mengekalkan kepahitan mencengkam deria rasa yang selalunya dapat membangkitkan jiwa ketika masih tidur. Walaubagaimanapun dia tetap menikmati latte di hadapannya itu kerana susu yang digunakan kafe kecil ini segar dan sedap.
Dalam lamunannya tadi, tidak disedari langit kian mendung, walaupun baru 11:30 pagi. Pengunjung kafe pop-up ini yang lain sudah lama meninggalkan kerusi mereka. Tinggalnya berseorangan berlatarkan bunyi trafik dan angin yang meniup kuat petanda hujan lebat makin menghampiri. Berselang menghirup latte akan dia menyemak waktu di jam tangan di mana beberapa kali terakhir ini disudahi dengan raut wajah yang sedikit garang. Tetapi kembalinya semula menghirup menikmati latte-nya secara perlahan kembalinya tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku di dunia luar.
Sudah tiga per empat latte’ sudah diminumnya, 20 minit sudah berlalu membuatkan pekerja kafe tertunggu-tunggu kerana mereka juga sudah ingin tutup kedai kerana menjangkakan hujan lebat akan turun bila-bila sahaja. Dalam hirupan perlahan gadis itu dan resah pekerja kafe muncul pula pihak ketiga, seorang lelaki yang nampak sedikit tua dalam pertengahan 20an. Tariknya kerusi yang bertentangan gadis itu dan ditanyai “ada orang di kerusi ni?”
Persoalan yang tidak dijawab, tetapi lelaki tersebut duduk sahaja. Imej berlawanan dapat dilihat dari dua yang sedang bertentangan: si lelaki berbeg sandang yang memakai t-shirt kelabu bersama jeans lusuh dan kasut Converse berwarna hijau – manakala gadis itu kemas memakai blouse bermotif bunga bersama skirt labuh beropol berwarna hitam, beg tangannya berwarna pink berkoordinasi dengan tudungnya.
Lelaki tadi cuba menyapa lagi, kini berjaya mengeluarkan gadis itu dari lamunan kopinya. Buih-buih terakhir dari latte jelas kelihatan terbentuk atas bibirnya. Raut wajahnya berubah garang, bibirnya berkerut, matanya menjeling tajam kepada lelaki yang sedang mengganggunya ini. Makhluk asing yang tidak dijemputnya pun. Sambungnya menghabiskan hirupan-hirupan terakhir manis sebelum menyedari lelaki tadi tersenyum melihatnya sambil menunjukkan jari ke arah bibir.
Akhirnya gadis itu sedar akan buih-buih susu yang terbentuk atas bibirnya itu. Terus diambilnya tisu dari atas meja dan mengelap atas bibirnya secara cermat tanpa sedikit pun mengubah wajah garangnya terhadap lelaki tadi, si entiti asing dalam matanya. Fikir gadis itu jika perempuan lain mungkinlah merasakan lelaki dihadapannya itu kacak, tetapi tidak untuknya, mengganggu ketenteraman sahaja.
“Usah mencerlang mata sebegitu, saya bukan lelaki jahat”
“Kalau bukan orang jahat, orang apa?”
“Iya, minta maaf, bukan apa, sebenarnya ingin bertanya sebuah soalan”
Gadis itu mengangguk sahaja. Tidak memberi sepenuh perhatian pun kepada lelaki itu.
“Begini situasinya, hari ini sebenarnya hari jadi adik perempuan saya, adik kesayangan, yang sebenarnya lebih kurang umur awak, tetapi tiada idea hendak membeli apa untuknya”
“Tidak bermaksud semua perempuan sama umur menyukai perkara yang sama, kata adik kesayangan, takkan tidak tahu apa yang disukainya?”
“Iya, iya, tiada idea sahaja, dia seperti awak juga, mengikut fesyen terkini, suka meminum kopi sampai terkumpul buih atas bibir” ketawa lelaki itu.
“Tumbuk nak?” Gadis itu menggenggam tangan dalam bentuk tumbukan.
“Maaf, maaf, jadi awak ada cadangan?”
“Belikan sahaja apa yang dirasakan sesuai, adik yang baik akan menghargai sahaja hadiah pemberian abangnya, tidak perlu risau”
“Tapi itulah, dia sedang marah kepada saya sekarang ni, hendak belikan sesuatu yang istimewa untuk meminta maaf sekali”
“Siapa suruh buat dia marah?”
“Itulah, kelemahan manusia”
“Jangan salahkan keseluruhan kemanusiaan untuk kesilapan seorang”
“Baik, baik, garang betul awak ini”
“Saya memang terkenal sebagai seorang yang garang”
Tiba-tiba petir berdentum mengejutkan dua pihak yang sedang berlawan bahasa di sini. Dua-dua ketawa selepas menyedari masing-masing terjerit kecil dan melatah semasa petir berdentum tadi. Ketawa yang mengubah terus suasana di satu-satunya meja dipenuhi orang di kafe pop-up yang tidak sabar hendak menutup kedai sebenarnya.
“Sepatutnya begini, dari awal pagi lagi plan hari jadinya, ajak dia minum kopi, hadir tepat pada masa yang diajak itu. Jangan lupa tepat pada masa. Selepas itu bawak dia pergi shopping, pergi kedai buku, belikan untuk dia hadiah dari sana ke jika tidak beli lagi. Teman dia sebagai seorang abang yang bertanggungjawab, bukan hampir pukul 12 petang baru hendak bertanya hendak beli apa untuknya. Fail betul”
“Iya, iya, tetapi sebenarnya sudah dibelikan hadiah untuknya, itu yang dibuat sepanjang pagi sebenarnya”
Lelaki itu terus mengeluarkan sebuah kotak dari beg sandangnya itu. Diletakkan kotak di atas meja dan membukanya. Jam tangan wanita berjenama bersama warna rose gold nampak cantik dan mewah mengejutkan gadis latte dihadapannya itu.
“Rasanya adik saya akan suka tak pada jam ini?”
Gadis itu tersenyum, terpegun akan hadiah mahal yang dibeli seorang abang untuk adiknya. Dipakainya dengan betul kasut wedges baru dibeli sempena hari jadinya sendiri yang jatuh pada hari ini juga. Dengan muka tersenyum gadis itu terus menyepak kaki lelaki tadi, entiti asing tadi, dengan kuat, membuatkan lelaki itu ketawa terbahak-bahak.
“Abang ni, janji pukul berapa pukul berapa baru datang? Kopi pun sudah habis, mesti jumpa awek tadi”
“Ish, ke sana pula, abang sudah set untuk bersama adik sepanjang hari ni, maaf, abang tadi lewat sedikit sebab membeli hadiah, suka tak?”
“Satu jam lewat, ingatkan nak balik terus sahaja tadi dan repot kat mama”
“Janganlah begitu, trafik tadi, kan abang sudah sampai, bukankah itu yang lebih penting”
“Yela tu, lain kali jangan lewat”
Petir berdentum lagi mengejutkan dua orang yang sebenarnya adik beradik ini lagi. Mungkin takut dengan petir ini dikongsi dalam keluarga mereka. Kerana terkejut lagi mereka ketawa lagi akan kesenangan kedua-dua terkejut dan melatah kerana petir.
“Sebelum hujan lebat ni, jom, sudah bayar kan”
“Ya, sepatutnya abang yang belanja”
“Iya, iya, abang belanja lagi satu latte di kafe kegemaran abang kejap lagi”
“Dengan carrot cake”
“Iya, iya, dengan carrot cake”
“Dengan ais krim satu scoop”
“Baiklah, order sahaja apa yang ada dalam kafe itu nanti, dengan syarat kena habis makan semua”
“Yay” soroknya gembira sebelum menyambung, “tapi tidak cukup ni”
“Apa yang tidak cukup?”
“Sekadar belanja di kafe, langsung tidak cukup untuk memaafkan abang yang lewat lebih sejam ni”
“Eh, tak sampai sejam pun kot, baiklah, baiklah, selepas itu kita pergi kedai buku, ok? Pilihlah lima buku, abang belikan”
Gadis itu, si adik bersorak gembira lagi.
Sebelum mereka bangun, si abang memakaikan jam tangan pada tangan kiri adiknya itu, sambil si adik bising lagi sepatutnya si abang yang memakainya baru tidak lewat lagi. Dua beradik ini ketawa sepanjang jalan ke kereta untuk ke destinasi seterusnya dalam harapan petir tidak berdentum lagi dalam perjalanan ke sana.
Gambar ehsan Zhanjiang Chen di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.