Dia yang aku kenali hanya melalui tulisan demi tulisan dalam paparan media sosial.
Tanpa gambar, aku dekati dia setiap hari.
Tulisan-tulisannya ada rasa dan jiwa, selalunya menusuk terus ke hati.
Setiap hari tanpa jemu, dia pasti aku cari melalui tulisannya. Jika hasil tulisannya tidak melintasi di laman media sosial, akan aku usaha dan gagahi untuk mencarinya.
Dia yang tidak aku kenali wajah dan rupa, cuma hanya pada nama sahaja
Entah kenapa, aku jatuh hati dengan semua hasil lontaran pemikirannya walaupun cuma sebaris ayat.
Pernah suatu ketika dia menghilangkan diri hampir 2 bulan lamanya dari media sosial. Aku merasakan kehilangan yang teramat sangat, aku jadi perindu umpama sang pungguk merindukan bulan.
Aku mencari-cari dan membaca semua tulisannya yang dulu, aku mencari-cari melalui kawan-kawannya, aku mencari-cari petanda atau petunjuk di mana dia berada.
Aku menjadi seorang ‘stalker” mencari-cari dia yang menyepi.
Rindu untuk membaca baris-baris ayat ilhamnya.
Akhirnya aku memberanikan diri menghantar mesej peribadi bertanyakan kenapakah dia mendiamkan diri.
Penuh dengan debaran apabila menanti balasannya. Waktu berputar terasa seakan lama sekali.
Bagaikan jantungku seakan mahu meletup dan aku melonjak keriangan bila dia membalasnya.
Dia yang hilang sudah aku temui walaupun cuma di alam maya.
Ya Tuhan!
Kegilaan apakah yang sedang melanda diri aku sekarang?
Aku mengulangi membaca setiap tulisannya bila aku rindu. Seolah setiap tulisannya itu ditujukan kepada aku walaupun pada hakikatnya tidak.
Tulisannya umpama pencetus semangat untuk aku mulakan hari setiap pagi. Ada masanya menjadi penawar ketika aku berduka dan ada ketikanya membuatkan aku senyum gembira.
Aneh bukan?
Dia berupaya menghidupkan kembali semua rasa rindu, rasa kasih, rasa sayang dan mungkin juga rasa cinta dalam hatiku yang telah lama mati.
Adakah aku gila bayang?
“Oh bulan! Katakan padanya ku cinta dia.”
Gambar ehsan Charles Deluvio di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.