“Aunty, aunty sedar atau tidak? Perbuatan aunty itu salah. Sanggup aunty mencintai lelaki yang sudah berumah tangga?”
Mak ciknya yang sedang menghiris bawang tidak memberikan sebarang respons. Namanya Leela. Dia berumur 53 tahun. Ramai yang suka bergaul dengannya kerana muka yang cantik manis dan personaliti yang ramah. Dia sangat aktif melakukan kerja harian. Oleh itu, ramai yang menyangkakan bahawa si perempuan yang kulitnya putih seperti susu ini berumur dalam lingkungan 30-an.
Aruvi tidak berganjak. Dia merenung mak ciknya dengan tajam.
“Aruvi, jangan buruk sangka akan saya jika kamu tak tahu cerita yang sebenar. Saya memerlukan seorang teman. Saya hanya seorang manusia biasa yang mempunyai keinginan dan memerlukan kasih sayang seperti yang lain,” kata mak cik Leela.
“Saya faham aunty, tetapi mengapa pilih lelaki itu? Tak dapat lelaki bujang tua?”
Selepas beberapa saat mengisi kesunyian, Mak Cik Leela bersuara.
“Isterinya ada penyakit kanser payudara. Dia telah kehilangan payudara selepas menjalani pembedahan beberapa tahun yang lepas. Sekarang, dia memakai payudara plastik sahaja. Dia dijangka meninggal dunia lima belas tahun yang lalu, tetapi memang ajaib kerana dia masih hidup sehingga sekarang.”
Aruvi menggaru kepala.
“Apa maksud aunty ni? Adakah dia sedih kerana si isteri itu masih hidup atau ini merupakan justifikasi untuk perbuatannya?” fikir Aruvi.
Aruvi menggelengkan kepala tanda tidak puas hati lalu masuk ke dalam bilik untuk melipat pakaian. Aruvi tinggal bersama mak ciknya yang kehilangan suami dua tahun yang lepas. Suaminya kaki botol. Mayatnya ditemui di dalam loji kumbahan air berdekatan rumah panjang yang pernah didiami mak cik. Khabarnya, dia mati akibat ketagihan dadah yang melampau.
Sambil melipat pakaian, Aruvi terkenang kata-kata Encik Shahril dan teori Sigmund Freud yang bercampur aduk dalam mindanya.
Encik Shahril merupakan seorang pengurus akauntan. Aruvi pernah bekerja dengannya beberapa tahun yang lepas. Pejabat mereka sering dipenuhi gelak tawa mendengar jenaka Encik Shahril yang mencuit hati. Perbualan antara Aruvi, Encik Shahril dan rakan-rakan sekerja yang lain pada suatu hari di sebuah kedai mamak tidak dapat dilupakannya.
“Aruvi, you must know the truth,” kata Encik Shahril selepas ketawa berdekah-dekah bercerita tentang norma hubungan suami isteri.
“Breast cancer among women will reduce if every husband, suck their wife’s breasts daily,” kata Encik Shahril sambil menghisap rokok.
Meja makan bergetar hasil gelak tawa rakan sekerja yang makan bersama.
“Wow, daily?” tanya seorang rakan sekerja yang bujang.
“Not necessarily daily, at least twice or thrice a week, when you have sex,” kata Encik Shahril.
Aruvi tersenyum memikirkan kata-kata beliau. Baru sekarang Aruvi sedar makna disebalik kata-kata tersebut.
Kata-kata Encik Shahril membuka perigi pengetahuan psikologi Aruvi yang sudah kering sekian lama. Dia masih ingat akan Sigmund Freud, seorang pengasas psikoanalisis yang terkenal untuk kajian-kajiannya terhadap nafsu berahi, penindasan dan fikiran bawah sedar.
Menurut Sigmund Freud, personaliti seseorang manusia dipengaruhi oleh perkembangan psikoseksual. Apabila bayi menghisap susu pada peringkat oral, kawasan mulut akan mendapat stimulasi apabila terkena objek seksual buat kali pertama, iaitu payudara ibu.
“Adakah stimulasi dari kecil itu membuatkan lelaki menginginkan payudara yang berkeadaan baik daripada si isteri? Adakah lelaki itu mahukannya daripada aunty?” fikir Aruvi.
Walaupun kebanyakan teori Sigmund Freud ditentang pada masa dahulu, Aruvi meminati pemikiran beliau yang baginya masuk akal. Teori-teorinya dimuatkan dalam buku-buku psikologi . Kepentingan teori beliau dihargai dan diteliti untuk kajian psikologi sejak kebelakangan ini.
Dengan pengetahuan ini, bertambah payah bagi Aruvi untuk melukis peta minda antara perbuatan betul salah mak cik Leela.
“Sebenarnya, apa yang betul dan apa yang salah? Cinta tak datang ketuk pintu, tetapi nafsu?” fikiran Aruvi melayang memikirkan nasib warga tua yang masih menginginkan kasih sayang.
Tiba-tiba, mak ciknya memasuki bilik lalu duduk di sebelah Aruvi.
“Aruvi, apa yang perlu saya buat?”
“Aunty, buat sajalah ikut suka hati kamu.”
“Kamu biar betul?”
“Ya aunty, saya pun tak tahu apa nak kata. Mungkin lelaki itu memerlukan teman. Teman yang mendengar, teman yang bergaul mesra. Mungkin si isteri yang tiada payudara itu dalam kemurungan atau mempunyai masalahnya sendiri yang membuatkan si lelaki itu mencari kasih sayang daripada aunty.”
Mak cik Leela terdiam seketika.
“Tetapi mereka sudah berkahwin…”
Aruvi mencekak pinggang lalu menegur,
“Amboi…. aunty baru sedar bahawa mereka sudah kahwin ya?”
Mak cik Leela tersenyum .
“Jadi, apa aunty nak buat?”
“Em… saya rasa… saya putuskan sahaja hubungan ini,”
“Mengapa?”
“Mungkin dengan ketiadaan saya, dia akan duduk di rumah dan meluangkan masa bersama isteri. Mungkin saya boleh menasihatinya untuk mengambil langkah bergaul dan membawa isterinya bersiar-siar.”
“Wah… aunty dah sempurna ya,” sindir Aruvi.
“Betul lah kan, tetapi, keinginan, perasaan dan nafsu keghairahan tidak dapat saya pendam. Tidak dapat saya kawal. Mengapa ya?”
“Aunty nak tahu mengapa?”
“Ya, mengapa?”
Aruvi mendekatkan mukanya pada mak cik Leela lalu bersuara,
“Kerana aunty belum menopause lagi…”
Mereka ketawa terbahak-bahak lalu bermain pukul bantal.
Sumber teori Sigmund Freud: Psychreviews, Britannica, Wikipedia. Gambar ehsan oleh Charles Deluvio di Unsplash.
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.