Karya ini asalnya ditulis dalam Bahasa Tamil oleh M. Navin. Ia diterjemahkan ke Bahasa Malaysia oleh S.T. Saravanan.
Terdapat seekor orang utan di dalam sampan itu; mungkin binatang peliharaannya. Orang utan itu baring telentang memenuhi sebahagian besar daripada ruang di dalam sampan yang kecil itu. Dengan rasa teragak-agak, saya duduk di ruang yang sempit agar tidak menggangunya.
Dalam perjalanan, pengemudi sampan itu berleter dalam bahasa Iban. Dia tidak habis-habis menunjukkan isyarat tangan seolah-olah membuka dan menutup sambil menunjukkan air sungai itu. Saya langsung tidak faham apa yang hendak disampaikannya. Kemudian dia mendiamkan diri setelah melihat saya tidak membalas leterannya.
Bunyi deruan air sungai yang mengalir deras terus kedengaran jelas ditambah dengan kayuhan pendayung. Saya tidak dapat melihat sebarang objek di sekeliling kawasan kecuali sampan itu sahaja kerana diselebungi kabus tebal pada awal pagi itu. Saya agak risau orang utan itu akan menghampiri saya jika saya bertanya apa-apa kepada pengemudi sampan. Saya perhatikan sahaja gelagatnya yang asyik menggaru-garu pada celah-celah bulu roma yang berwarna perang keemasan lalu memasukkan sahaja apa-apa yang didapatnya itu ke dalam mulut. Orang utan itu langsung tidak menghiraukan kehadiran saya di dalam sampan itu.
Selepas menurunkan saya di Kapit, pengemudi sampan itu mengeluarkan duit syiling emas satu ringgit yang disimpan di antara celah telinga lalu menunjukkan ke arah saya. Saya tidak faham apa yang hendak disampaikannya pada awal. Kemudian saya faham lalu menghulurkan duit syiling emas satu ringgit kepadanya.
Orang utan tampil menghampiri saya untuk mendapatkan duit syiling itu. Barulah saya sedar bahawa orang utan itu pembantu sampan agaknya dan bukan binatang peliharaan milik orang Iban itu. Pengemudi sampan melambaikan tangannya sebagai tanda menyuruh saya berjalan menuju ke dalam.
Agak sukar juga untuk saya berjalan setelah kasut yang saya pakai tertimbus ke dalam lumpur di situ.
Sejak menerima surat penempatan jawatan daripada pihak kementerian, ibu saya mula risau tentang kesukaran yang bakal saya alami di negeri yang tidak pernah saya kunjungi sebelum ini. Ayah pula seperti biasa, terus mendiamkan diri sahaja tanpa menunjukkan apa-apa reaksi. Sudah jemu saya membuat rayuan kepada pihak kementerian untuk membuat pertukaran penempatan. Namun, keputusan cemerlang yang saya peroleh dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris menjadi satu-satunya alasan yang kukuh untuk mereka menghantar saya ke Bumi Kenyalang itu. Menurut mereka, murid-murid di kawasan pedalaman Sarawak memerlukan perkhidmatan saya sebagai guru di sana untuk mengajarkan mata pelajaran Bahasa Inggeris. Apabila saya masih enggan untuk menerima alasan tersebut, mereka secara tegas memperingatkan saya tentang perjanjian yang saya setujui sebelum memulakan kursus perguruan tersebut. Memandangkan seluruh kos pengajian saya ditanggung oleh pihak kerajaan, saya terpaksa menurut segala arahan yang diperintahkan. Saya masih degil untuk menuruti kehendak mereka. Kemudian, saya didatangi notis yang menyatakan bahawa saya boleh mengundurkan diri daripada perjanjian perkhidmatan hanya dengan satu syarat, iaitu membayar balik jumlah kos pembiayaan yang saya terima untuk pengajian dalam tempoh tiga tahun tersebut.
Detik itu, saya benar-benar menyesal atas keputusan cemerlang yang saya peroleh.
Saya sudah menemui kawasan sekolah dengan mudah. Dari jauh, saya dapat melihat beberapa orang murid yang berdiri di luar sekolah. Mereka leka membaling batu ke atas sesuatu sambil berteriak keriangan sesama mereka.
Apabila memasuki kawasan sekolah, terbeliak biji mata saya apabila melihat dua ekor buaya yang terbaring di situ. Dua orang pegawai perhilitan yang sedang bertungkus-lumus dibantui oleh tiga orang warga Iban untuk menghalau buaya-buaya itu keluar dari situ. Buaya-buaya itu pulak langsung tidak mahu bergerak. Apabila orang Iban cuba mendekatinya sambil mengacu-acukan lembing, buaya itu pula melibaskan ekornya seolah-olah bersedia untuk menyerang.
Saya hampir jatuh pengsan melihat situasi yang sedang berlaku itu. Saya tidak dapat membayangkan langsung bagaimana seekor buaya boleh berada di dalam sebuah bilik darjah. Apabila lembing yang direjam oleh seorang warga Iban itu tepat menusuk badannya, seekor buaya merangkak keluar dari bilik itu dengan segera. Murid-murid pula lari ke tepi untuk memberi laluan kepadanya.
Buaya itu terus menuju ke tebing lalu terjun ke dalam sungai dengan bunyi yang amat kuat seumpama bunyi jatuhnya batu yang besar. Satu lagi buaya yang berada di dalam kelas itu berjaya ditangkap oleh tiga orang warga Iban. Pada mulanya, mereka menebarkan jala ke atas buaya itu untuk mengawal pergerakannya. Kemudian, seorang daripada mereka membaring ke atas ekornya manakala seorang lagi memegang mulutnya dengan kuat. Orang ketiga itu pula segera mengikat keempat-empat kaki buaya itu bersama-sama badannya. Mulut buaya itu turut diikat dengan tali.
“Sudah takut melihat buaya itu?” tanya seorang lelaki setelah menepuk bahu saya dari belakang. Apabila saya menoleh ke arahnya, dia terus memperkenalkan dirinya sebagai ‘Layau’. Seperti yang saya sangkakan, beliau ialah seorang guru.
“Semalam hujan lebat di sini. Lebih-lebih lagi, cuti sekolah. Maka, buaya sudah masuk ke dalam. Kami menunggu ketibaan kamu sejak dua minggu yang lalu,” kata Cikgu Layau. Memandangkan beliau dapat mengenali saya tanpa sebarang formaliti ataupun suai kenal, maka kegelisahan dalam diri saya mula berkurangan. Saya cuma membalasnya dengan senyuman.
Sebenarnya, kaki saya masih terketar-ketar. Saya masih dalam ketakutan apabila membayangkan buaya yang terjun ke dalam sungai itu tadi kembali ke darat untuk membaham saya seperti mana yang kita lihat dalam filem-filem Hollywood. Ketakutan itu membuatkan saya asyik menoleh ke arah belakang seolah-oleh ada benda yang berdiri di belakang badan.
Enam orang penduduk lagi datang membantu mereka untuk mengheret keluar buaya yang ditangkap tadi.
“Buaya ini untuk makan malam,” kata Cikgu Layau sambil menjeling matanya. Saya hampir termuntah setelah mendengar kata-katanya. Artikel yang pernah saya baca tentang tabiat buaya yang suka makan bangkai yang sudah reput dan busuk terlintas dalam fikiran saya. Tanpa berkata apa-apa, saya menyertai orang kampung yang datang untuk membersihkan bilik darjah yang menjadi tempat buaya berkampung tadi.
Beberapa orang asli di kampung itu mula menyembelih dan melapah buaya yang ditangkap itu di tepi kawasan sekolah. Mereka kelihatan bergelut juga untuk menterbalikkan badan buaya itu. Agak aneh untuk diri saya melihat seekor buaya dalam keadaan begitu, seolah-olah baring telentang. Bahagian perutnya kelihatan putih seumpama tilam. Seorang pemuda asli mula melapah perutnya dengan sebilah kapak kecil.
Tidak ada sesiapapun di situ menghiraukan apa yang berlaku kecuali saya. Apabila seorang lagi pemuda menarik keluar ketulan lemak yang berwarna putih daripada perut buaya yang dipotong tadi, saya segera mengalihkan pandangan ke arah lain.
Di sekolah itu, hanya tiga orang guru yang berkhidmat termasuk saya. Sejumlah 14 orang murid sahaja belajar di situ. Sekolah itu menjalankan kelas gabungan, di mana semua murid tahap satu akan belajar dalam satu kelas manakala murid-murid tahap dua pula ditempatkan di dalam satu lagi kelas. Saya terus memperkenalkan diri saya dengan guru besar sekolah itu, iaitu Encik Jetta. Beliau adalah antara orang yang kushyuk menangkap buaya sebentar tadi. Kulit mukanya yang sudah berkedut-kedut menandakan beliau sudah agak tua. Beliau ketawa sehinggakan gigi gerahamnya dapat dilihat dengan jelas. Apabila beliau berjabat tangan, saya dapat merasakan kekuatan yang bertentangan dengan usianya. “Masih tegap lagi, cikgu,” kata saya kepada beliau sambil menunjukkan tangannya.
Sekali lagi beliau ketawa lalu berkata “Boyak” sambil menunjukkan otot lengannya. Apabila Cikgu Layau menerangkan bahawa istilah ‘Boyak’ itu bermaksud buaya, barulah saya sedar genggamannya itu menggambarkan seolah-olah tangan saya tersangkut di mulut seekor buaya.
Pada petang hari itu, suatu jamuan khas dianjurkan di sebuah rumah panjang untuk menyambut ketibaan saya. Cikgu Jetta dan Cikgu Layau mengiringi saya untuk ke sana. Mereka berdua benar-benar berniat untuk menyambut ketibaan saya dengan begitu mesra. Mereka sedar akan peranan mereka untuk memastikan saya berasa selesa dengan keadaan kampung mereka itu. Mereka berdua agak kecewa dengan sikap guru-guru bahasa Inggeris yang pernah datang berkhidmat di sana sebelum ini. Disebabkan tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tempat itu, guru-guru tersebut bertukar ke sekolah lain. Kesannya, pencapaian murid-murid dalam bahasa Inggeris agak ketinggalan. Mereka berdua sebagai anak bangsa Iban mempercayai bahawa pendidikan merupakan satu-satunya pencetus kemerdekaan dalam kehidupan bangsa mereka. Setiap layanan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh mereka itu jelas membuktikan bahawa kehadiran dan keberadaan saya di sana amat bermakna kepada mereka berdua.
Anjing-anjing yang sudah melihat kelibat kami itu sudah mula menyalak dari jauh lagi. Apabila kami melepasinya, anjing-anjing itu turut mengekori kami sambil menyalak. Di luar pagar rumah panjang, terdapat beberapa ekor khinzir hutan ditambat bersama-sama dengan kambing. Sekeliling rumah panjang itu, dipasang pagar yang diperbuat daripada batang-batang buluh. Beberapa ekor ayam jantan dan ayam betina bertenggek di atas pagar-pagar di sana. Di ruang halaman rumah panjang itu, kelihatan beberapa orang wanita yang sedang sibuk meraut pelepah kelapa untuk menghasilkan penyapu lidi. Kebanyakan wanita di sana hanya memakai kain pelikat sehingga paras dada. Kaum lelaki pula hanya memakai kain cawat untuk menutup kemaluan mereka.
Walaupun saya berlagak seperti normal sahaja, namun mata saya tetap berkeliaran ke sana dan ke sini untuk melihat persekitaran yang aneh itu. Ketika itulah saya ternampak sebatang buluh yang penuh dengan tengkorak manusia terpacak di situ. Cikgu Layau sedar akan kejutan yang saya alami apabila saya terpegang ribanya secara mengejut.
“Semua itu ialah simbol-simbol kewiraan. Apabila kepala orang daripada puak lain dipancung dan diletakkan sebegini di hadapan rumah, kejantanan lelaki di rumah ini dipercayai jelas terbukti. Lelaki itu akan dilamar dengan wanita untuk berkahwin. Roh si mati pula dipercayai akan menjadi hamba kepadanya lalu menjaga rumah ini selama-lamanya,” kata Cikgu Layau.
Saya menahan linangan air mata yang hendak turun secara mencurah-curah. Saya rasa bagai hendak menangis sambil menjerit sekuat hati yang saya mampu. Tekanan itu membuatkan kepala saya menjadi semakin berat dan sakit.
“Rumah penginapan guru yang dibina oleh kerajaan mengalami kerosakan. Kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan. Maka, tuai rumah mengizinkan cikgu untuk tinggal di kampung ini sementara menunggu kerja-kerja penyelenggaraan selesai,” kata Cikgu Jetta sambil senyum lebar.
Senyuman itu terhasil kerana beliau menganggap dirinya telah membuat pertolongan yang amat besar kepada saya. Saya bertanya kepada beliau di mana terletaknya rumah-rumah di kampung itu. Cikgu Jetta lantas menuding jarinya ke arah sebuah rumah panjang yang terletak di belakang pokok besar yang sedang kami duduk. Cikgu Layau memberitahu bahawa semua penduduk kampung itu akan menghuni di dalam satu rumah panjang yang besar itu. Kemudian, beliau meminta saya pergi mengucapkan terima kasih kepada tuai rumah kerana mengizinkan saya untuk tinggal sebumbung dengan mereka.
Di sana, berdirinya tuai rumah yang memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit pokok. Pada lehernya terdapat kalung yang dihiasi daripada gigi-gigi khinzir hutan. Mahkotanya pula dihiasi dengan bulu pelepah burung dan manik yang berwarna-warni. Apabila saya berjabat tangan dengan tuai rumah, orang di sekeliling ketawa dengan penuh keriangan. Tuai rumah itu melihat saya dengan penuh hairan apabila saya berjabat tangannya. Setelah menyedari tujuan saya berbuat demikian, tuai rumah membalasnya sambil mengangkat sebiji periuk tanah yang kecil. Orang di sekeliling pula menurutinya dengan penuh semangat.
Minuman tuak dihidangkan kepada semua orang di sana. Pada mulanya, saya minum tuak itu dengan mengandaikannya sebagai jus buah. Saya mula berasa loya setelah minum beberapa teguk. Sebenarnya tuak ialah sejenis arak yang diperbuat daripada ubi kayu. Rasanya tidak pahit, namun menyebabkan badan saya berasa sederhana panas.
“Bagaimanakah rasanya, cikgu?” tanya Cikgu Layau kepada saya sambil memeluk bahu saya. Saya hanya membalasnya dengan senyuman sekali lagi.
Sebenarnya, saya menyukai keenakan air tuak itu. Cikgu Layau meminta saya untuk menambahkan lagi air tuak itu ke dalam periuk saya untuk diminum. Tidak ada sesiapa yang menghalangnya.
Suasana di sana agak hingar-bingar dengan gelak ketawa orang di sekeliling, termasuk guru besar saya, Cikgu Jetta. Kemabukan air tuak itu membuatkan saya menikmati keindahan alam yang terdapat di kawasan lapang yang agak redup daripada pancaran matahari.
Dalam keadaan mabuk itu, saya membayangkan diri saya sebagai pelepah burung, ada kala terbang ke langit apabila ditiup udara; ada kala terhuyung-hayang mendarat di tanah. Perut saya mula lapar ketika itu. Alangkah sedapnya jika saya dapat makan ayam panggang yang disapu sos lada. Sementara saya berfikir dalam hati saya, sepinggan daging yang digoreng ranggup dihidangkan di hadapan saya. Saya lantas memasukkan beberapa ketul daging yang dihidangkan itu.
Sepanjang hidup, saya tidak pernah menjamu daging selembut itu. Apabila hidangan itu habis dimakan, barulah Cikgu Jetta berkata “Boyak” sambil menunjukkan otot pada lengannya sekali lagi.
Saya terus memuntahkan daging buaya bersama-sama tuak yang diminum tadi.
Ketika saya sedar dan membuka mata, Cikgu Layau dan Cikgu Jetta berdiri di sisi saya. Saya dibaringkan di atas sebuah katil yang diperbuat daripada tali. Pakaian saya juga sudah ditukar. Saya berasa agak malu dan segan. Hati saya mula rindu akan ibu saya.
Muka Cikgu Jetta tidak lagi ceria seperti petang tadi. Beliau mula bercakap sambil memegang kedud-dua tangan saya.
“Kami tidak berniat untuk memperdayakan kamu dengan menghidangkan daging buaya. Di sini, manusia dan buaya hidup bersama-sama. Manusia dan buaya di sini mempunyai perjanjian yang tidak ditulis dan kami mematuhinya setiap masa. Menurut perjanjian itu, sekiranya manusia ke sungai, buaya boleh membahamnya. Sebaliknya, manusia pula dibenarkan membunuh dan makannya jika buaya datang ke darat. Kehidupan kami di sini sepenuhnya bergantung pada sumber sungai. Anak saya juga dibaham oleh seekor buaya ketika dia leka bermandi di sungai. Saya tidak menangis atas pemergiannya. Itulah dasar perjanjian antara kami dengan buaya yang saya sebutkan tadi. Antara ahli keluarga penduduk di sini, mesti ada yang menjadi mangsa kepada buaya-buaya di sungai ini. Antara buaya yang pernah saya makan, mungkin ada juga buaya yang membunuh anak saya sebelum ini. Itulah kebiasaan di sini. Kami hanya dapat membunuhnya apabila buaya naik ke darat.”
Cikgu Layau berada di sisi saya sehingga larut malam.
“Benarkah anak Cikgu Jetta dibunuh oleh buaya?” tanya saya kepada Cikgu Layau.
“Pemergiannya itu bukan suatu pembunuhan. Buaya itu bukannya naik ke darat semata-mata untuk membunuh anaknya. Malah, buaya itu menjadikan anaknya sebagai makanan ketika dia berada di dalam air. Itu sahaja. Berdasarkan perjanjian, tidak ada apa-apa untuk dipertikaikan,” balas Cikgu Layau.
Kekentalan diri saya untuk bertahan di negeri Sarawak itu mula berkurangan mulai hari pertama juga. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana sebuah rumah panjang yang diperbuat daripada kayu, buluh dan atap boleh menjadi kediaman kepada seluruh penduduk yang tinggal di dalam kampung itu.
Yang paling mengguriskan hati, kini saya juga terpaksa bermalam di dalam rumah panjang tersebut. Saki-baki daging buaya dan tuak yang ada di dalam perut membantu saya untuk mengimbangi suhu badan dengan kesejukan angin yang bertiupan di luar sana.
Bau kehijauan yang saya hidu melalui kedinginan nafas itu melegakan hati saya serba sedikit. Bunyi dengungan kumbang yang terus kedengaran itu sekali-sekala mengingatkan saya bahawa kini saya berada di dalam hutan. Saya tidak sabar lagi menanti fajar pada pagi seterusnya. Saya bercadang untuk pergi ke Jabatan Pendidikan Negeri yang terletak di Kuching untuk memohon pertukaran semula dengan menunjukkan ancaman buaya ini sebagai alasan.
Namun, segala rancangan saya itu tertangguh sepenuhnya setelah saya bertemu dengan Seema.
Saya melihat Seema buat kali pertama apabila dia datang untuk menjemput Simba dari sekolah. Dia merenung saya dengan begitu tajam tanpa mengalihkan matanya. Saya meninggikan kening mata saya seolah-olah bertanya tujuannya datang ke sini, namun tidak ada respons daripadanya. Saya pula tidak mengendahkannya kemudian.
Setelah sekolah tamat, dia membawa pulang Simba dengan memimpin tangannya. Bahagian bahu badan yang jelas kelihatan dari belakang mencerminkan kejelitaannya. Dia mampu berjalan dengan begitu cermat di atas permukaan jalan yang dipenuhi pasir sungai.
Keluarga Seema juga tinggal di dalam rumah panjang itu. Namun, agak sukar bagi saya untuk mencari keluarga Seema daripada 13 buah keluarga yang tinggal di dalam rumah panjang itu.
Apabila saya menjenguk ke luar melalui tingkap sahaja, sudah tentu ada orang asli yang datang lalu menawarkan dirinya untuk membantu. Ada juga daripada mereka yang asyik mengelilingi saya untuk mendapatkan duit setelah menyiapkan kerja yang saya pinta.
Tidak dapat disangkal bahawa dengan ketibaan saya, sumber pendapatan purata penduduk di kampung itu sudah meningkat sebenarnya. Ada yang membasuh pakaian saya, ada yang memasak hidangan untuk saya, malah ada juga yang membawa air tuak apabila saya pinta. Mereka diberi upah yang berpatutan mengikut kerja-kerja yang dilakukan. Mereka tidak faham bahasa Melayu; saya pula tidak pandai bercakap bahasa Iban.
Kadang kala, saya meluangkan masa lebih daripada satu jam untuk berkomunikasi sekiranya hendak menyuruh mereka membuat sesuatu kerja. Agak baik juga masa lapang saya dapat dihabiskan sebegitu. Saya berasa gembira apabila melihat penduduk di rumah panjang itu bagai tinggal di bawah satu bumbung semata-mata untuk berkhidmat demi keselesaan saya. Namun, kadang kala saya berasa kecewa kerana tidak dapat bergerak secara bebas di kampung itu.
Cikgu Layau pernah memberitahu bahawa sayalah orang India pertama yang pernah datang ke kampung mereka. Menurut datuknya, orang putih pernah berkunjung ke sana suatu ketika dahulu. Maka, tidak hairanlah Seema menatap saya dengan penuh keanehan kerana dia tidak pernah melihat orang berkulit hitam seperti saya di kampungnya sebelum itu. Namun, tatapannya itu tidak semata-mata menunjukkan kehairanan sahaja, malah saya dapat melihat keriangan menerusi matanya.
Seema tidak berpendidikan. Dia tidak tahu bahasa lain melainkan bahasa Iban. Maka saya terpaksa berkomunikasi dengannya menggunakan isyarat tangan. Hanya satu perkara yang saya tidak suka padanya. Dia asyik suka mengunyah ulat sagu pada setiap masa. Amalan makan ulat sagu menjadi kebiasaan dalam kalangan kaum wanita di sana.
Cikgu Layau pernah memberitahu saya bahawa khasiat ulat sagu menjadi faktor utama kecerahan kulit wanita kaum Iban. Walau bagaimanapun, saya tidak larat melihat ketika Seema mengunyahnya.
Saya mula memberi tumpuan yang lebih banyak terhadap pembelajaran Simba. Dialah murid yang paling pandai antara 14 orang murid yang belajar di sana. Sesungguhnya, dia dapat menguasai kaedah sebutan bahasa Inggeris dengan mudah. Saya tahu bahawa apabila Simba membesar nanti, dia akan menjadi lebih jelita daripada kakaknya, Seema. Kadang kala, saya sengaja membenarkan Simba pulang lebih lewat. Jadi, Seema terpaksa menunggu lebih lama di sana untuk menjemputnya pulang.
Sungguh hairan jika melihat kebolehan Seema untuk berdiri lebih lama di suatu tempat tanpa bergerak-gerak sama seperti burung bangau. Dia akan merenung wajah saya tanpa mengelipkan matanya. Renungannya yang tajam itu membuatkan saya berasa kurang selesa, ibarat ulat bulu merangkak secara perlahan-lahan di atas badan saya. Ada kalanya saya menoleh juga ke arahnya, namun dia tidak pernah berasa segan atau malu. Apabila kami berdua saling memandang, kali-kali saya yang berasa segan dan kurang selesa dengan renungannya itu.
Saya mula merapatkan diri dengan Simba. Kesannya, peluang untuk bertemu dengan Seema secara kerap dapat diwujudkan. Saya telah meminta Simba agar datang ke rumah saya setelah habis waktu persekolahan. Saya telah mengajarnya dengan lebih berfokus. Mahu tidak mahu, Seema terpaksa datang ke rumah saya untuk membawa adiknya pulang. Dia akan menunggu di sana sementara saya habiskan bimbingan. Kulitnya yang berwarna putih kemerah-merahan akan menyebabkan bilik itu kelihatan lebih cerah sebaik sahaja dia datang.
Minat terhadap Seema membuatkan saya tidak lagi berasa rindu akan keluarga yang tinggal di semenanjung. Saya mula mencari keluarga Seema di dalam rumah panjang itu dengan lebih bersungguh-sungguh.
Sebenarnya, rumah keempat di sebelah kanan dari bahagian ruai rumah panjang itu ialah kediaman milik keluarga Seema. Memandangkan kakaknya sudah melarang dengan tegas, Simba juga tidak berani untuk menunjukkan rumahnya kepada saya.
Jadi, saya terpaksa mundar-mandir di rumah panjang itu beberapa hari sehingga berjaya mencari rumahnya. Pada mulanya, agak buruk juga pengalaman untuk berjalan di atas lantai yang diperbuat daripada buluh di dalam rumah panjang itu. Bunyi geseran buluh yang kedengaran ketika berjalan membuatkan diri saya berasa gayat seolah-olah hendak jatuh ke bawah. Lambat-laun, barulah saya sedar bahawa rumah panjang itu dibina dengan struktur yang kukuh sama seperti rumah-rumah lain. Tetulang rumah itu didirikan dengan batang-batang pokok yang agak besar juga. Dindingnya diperbuat daripada batang-batang buluh yang sudah diraut dan dibelah. Atapnya yang diperbuat daripada pelepah rumbia pula akan mengeluarkan desiran apabila angin bertiup.
Lazimnya, semua kaum lelaki yang tinggal di dalam rumah panjang akan tidur di bahagian ruai walaupun masing-masing memiliki kediaman tersendiri. Ruai berfungsi sebagai ruang tamu kepada mereka secara umumnya. Pada waktu siang, saya akan berada di bahagian serambi. Agak seronok juga bagi saya untuk menyaksikan kerja-kerja yang dilakukan oleh orang Iban sama ada di dalam rumah ataupun di luar rumah. Di sana, sudah menjadi kebiasaan kepada wanita-wanita tua untuk mengikat kain pelikat sehingga paras pinggang dan berlegar-legar sambil menunjukkan buah dada yang kendur, lebih-lebih lagi ketika musim cuaca panas.
Pada mulanya, saya berasa amat segan dengan keadaan sebegitu, namun lama-kelamaan sudah menjadi biasa. Di dalam rumah panjang itu, tempat tidur kanak-kanak akan berada di tingkat atas. Biasanya murid-murid saya akan membuat kerja rumah sambil duduk di sana. Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan, mereka akan bertanya dari atas, maka saya pula akan membalas mereka sambil duduk di serambi.
Namun, Simba bukan seperti kanak-kanak yang lain. Dia akan duduk bersebelahan dengan saya untuk membuat kerja rumahnya.
Secara jujur kata, Simba juga adalah antara orang yang memecahkan kesunyian saya. Banyak juga cerita yang saya berkongsi dengannya. Dalam setiap cerita itu, mesti ada perkataan yang ditanya oleh Simba untuk mengetahui maksud dalam bahasa Inggeris. Saya juga akan menerangkan maksud kepadanya. Saya akan menggunakan istilah bahasa Inggeris yang diterangkan tadi untuk menyampaikan cerita sehingga habis. Dalam pada itu, pernah juga saya tanya kepada Simba tentang ayahnya. Saya tidak pernah bertemu dengan ayahnya di bahagian ruai. Simba membalas bahawa ayahnya pergi ke hutan untuk bertapa.
“Mengapakah dia pergi ke sana?” saya bertanya lagi.
“Untuk mengancam orang jahat,” balasnya pula dengan penuh ghairah.
Kemudian dia bertanya tentang sebutan bagi istilah ‘orang jahat’ dalam bahasa Inggeris. Saya memberitahu sebutannya.
“Mereka akan diancam oleh ayah saya,” katanya lagi.
“Bagaimana pula?” saya bertanya lagi kepadanya.
“Ayah saya seorang ahli sihir yang sangat digeruni orang lain. Kaum lelaki yang memasuki kampung kami dengan niat jahat akan disumpah olehnya sehingga mati bermuntahkan darah. Lelaki yang datang untuk mengusik gadis-gadis dara di sini akan disumpah agar ditumbuhi zakar pada bahagian dahi,” katanya sambil berketawa.
Penerangannya itu membuatkan saya seolah-olah terhumban ke udara. Saya bertanyanya lagi untuk membuat kepastian semula. Simba menjawab dengan penuh yakin bahawa ayahnya mempunyai kesaktian tersebut untuk menjaga keselamatan penduduk kampungnya itu.
Pada malam tersebut, saya langsung tidak berani untuk menoleh ke arah Seema. Saya juga tidak berani untuk keluar dari rumah untuk memandangnya walaupun saya sedar bahawa dia asyik melihat-lihat ke arah belakang ketika beredar dari situ.
Pada keesokan pagi, saya bertanya kepada Cikgu Layau tentang perkara yang disampaikan oleh Simba.
“Di bumi Sarawak ini, ilmu sihir dipercayai sebagai penyudah kepada kebanyakan masalah yang kami hadapi. Ayah Simba memang seorang ahli sihir yang digeruni. Sudah menjadi kebiasaan kepadanya untuk pergi ke hutan dalam untuk melakukan upacara pemujaan. Sebab adanya ayah Simba, tidak ada orang dari puak-puak lain berani datang mendekati kami,” jawapan yang diberi oleh Cikgu Layau itu membuatkan saya tertelan air liur.
Saya bertanya lagi kepadanya tentang sumpahan yang diberitahu oleh Simba bahawa dahi akan ditumbuhi zakar jika mengusik anak dara. Cikgu Layau berkata bahawa ayah Simba mampu melakukan apa-apa sahaja. Namun, saya tidak puas hati dengan jawapannya. Saya mendesaknya lagi supaya memberi penerangan yang lebih lanjut.
“Cikgu, perkahwinan campur lazim berlaku di kampung kami. Sekiranya seorang lelaki sudah bersetubuh dengan wanita di sini, maka dia perlu mengahwininya dengan kadar segera. Jika sudah berkahwin, lelaki itu perlu tinggal bersama-sama kami di sini. Kami ini puak yang mengikuti tradisi keturunan ibu. Ini kepercayaan puak kami secara turun-menurun. Gadis-gadis yang mencapai akil baligh di kampung ini akan dihormati dan dijaga dengan rapi. Tambahan pula, wanita dari puak kami tidak akan meninggalkan tempat ini dengan mudah. Maka, lelaki yang hendak melarikan diri dari sini selepas melakukan kesalahan sahaja yang akan disumpahkan untuk menerima hukuman. Ada ramai lagi ahli sihir seperti ayah Simba di sekitar kawasan ini,” kata Cikgu Layau dengan jelas.
Saya sudah mula berwaspada sejak hari itu. Setelah melihat dahi saya pada cermin setiap pagi, saya akan menenangkan diri dengan memberitahu bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya juga mula mengabaikan Seema sejak hari itu. Simba pula makin hari makin pandai menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Banyak perkataan Inggeris digunakan dalam cerita yang disampaikannya. Sama seperti kakaknya Seema, kulit badan Simba juga putih kemerah-merahan.
Pada awal pagi suatu hari, Seema datang ke bilik saya seorang diri tanpa Simba. Ketika itu, saya sedang membaca buku ‘Dark Lady’, hasil karya Shakespeare. Kehadiran Seema itu tidak menghairankan saya pada mulanya. Saya bangun lalu duduk di atas katil. Seema juga lantas duduk rapat di sebelah saya. Tangannya memegang pelita minyak tanah. Saya dapat melihat mukanya yang berseri walaupun dalam cahaya yang malap itu. Menerusi matanya, saya dapat melihat kesayuan yang terkumpul akibat pengabaian yang saya lakukan terhadapnya.
Buat kali pertama saya berpeluang untuk melihat wajahnya dengan jarak yang begitu dekat. Sejenis bunga hutan diselit di sanggulnya. Bau harum bunga itu tidak habis-habis menggoda naluri kenafsuan saya. Pada hari itu, dia menyikat rambutnya dengan rapi sehingga dapat melihat garis tengah, padahal dia tidak pernah menyikat sepertinya sebelum ini. Garis itu boleh dijadikan sebagai paksi tengah yang membahagikan rupa badannya kepada bahagian kiri dan kanan. Bahu, lengan dan pinggangnya agak ramping dan kecil manakala buah dadanya agak mantul dan tegang.
Ketika itulah saya sedar bahawa kejelitaan seseorang gadis dapat dinikmati tanpa disentuh sama sekali. Dia duduk membatu tanpa bergerak-gerak. Mungkin dia tidak faham kehendak saya, maka saya cuba untuk menghalaunya keluar dengan menolak bahunya. Alangkah lembutnya kulit yang dimiliki oleh Seema. Agak hairan bagi saya, bagaimana dia mempunyai bahu-bahu yang keras sedangkan otot dan kulitnya pula lembut gebu.
Walaupun mulut saya berkata-kata untuk mengusirnya keluar, namun tangan saya tidak dialihkan daripada bahunya. Jari-jemari saya mula meraba badan Seema. Rabaan saya itu menyebabkan badannya makin tegang; ruang di antara buah dadanya pula makin sempit. Sebaik sahaja saya menyentuh buah dadanya, fikiran saya tersentak. Lantas saya bangun lalu berlari jauh daripadanya sambil memegang dahi.
Saya melihat-lihat dahi saya pada cermin dengan penuh cemas. Dari jauh, saya mengarahkan Seema supaya pulang dengan segera. Dia pula berdiri di sana tanpa menyedari apa yang berlaku. Tanpa mengeluarkan suara, saya melompat-lompat bagai berteriak dan memintanya agar keluar dari bilik saya. Bunyi geseran lantai buluh yang nyaring telah memecahkan kesunyian pada awal pagi itu.
Tanpa berkata apa-apa, Seema berjalan pulang dengan tenang. Kemudian, saya melilitkan dahi saya dengan sehelai kain. Sambil menangis, saya memohon ampun daripada bapa Simba di dalam hati. Tanpa disedari, saya pun terlena selepas itu.
Dalam mimpi yang saya alami pada malam tersebut, dahi saya didapati sudah ditumbuhi zakar. Zakar yang sepatutnya ada di bahagian sulit pula sudah hilang, entah ke mana. Saya telah melilitkan sehelai sapu tangan pada zakar yang tumbuh di dahi saya dengan tujuan menyembunyikannya daripada dilihat orang lain. Ketika hendak kencing, saya terpaksa menunduk ke bawah, sama seperti jika hendak mencuci muka. Ketika itu, Seema tampil di sana lalu memeluk saya dari belakang. Kemudian dia datang ke bahagian hadapan sambil menggeserkan buah dadanya dengan badan saya. Dia mula mengusap-usap rambut lalu mengucup bibir saya. Seema melonggarkan kain pelikatnya lalu memasukkan puting dadanya ke dalam mulut saya rata-rata untuk dihisap. Ketika itu, saya telah merasai ada sesuatu yang sedang menegang seperti tanduk di bahagian dahi saya. Sapu tangan yang saya ikat tadi terlerai akibat ketegangan yang dialami oleh zakar di dahi saya.
Tiba-tiba, saya terus membangun sambil memegang dahi. Kemudian, barulah saya sedar bahawa semua yang dikatakan tadi berlaku dalam mimpi. Setelah tersedar daripada mimpi ngeri itu, saya asyik melihat cermin untuk memastikan dahi saya tidak ditumbuhi apa-apa benda yang aneh. Hari itu, Seema tidak datang untuk membawa pulang Simba seperti biasa.
Tanpa berlengah, saya membuat keputusan untuk berpindah ke kediaman khas guru walaupun kerja-kerja pembaikpulihan masih belum disempurnakan lagi. Namun, saya berasa lega sedikit setelah berpindah ke sana. Terdapat sedua kumbang yang mati di atas lantai. Burung tekukur yang bertenggek di dalam sarangnya di penjuru dinding rumah itu mula berkukur setelah melihat ketibaan saya.
Rumah itu terletak di antara sekolah dengan rumah panjang. Rumah itu rumah biasa yang diperbuat daripada papan, buluh dan atap sahaja. Segala kelengkapan yang saya perlukan seperti meja, kerusi dan pelita minyak tanah yang terang sudah tersedia di sana. Saya berasa bersyukur kerana dapat menetap di sebuah rumah yang tidak dipacak tengkorak ataupun dijaga oleh roh jahat. Bunyi suara nyanyian kaum Iban dari rumah panjang itu masih jelas kedengaran. Ketika saya membuka baju untuk berehat sebentar, datanglah seorang lelaki untuk menghantar surat yang dikirim oleh keluarga saya.
Surat itu membawa berita malang kepada saya. Ayah saya terlibat dalam suatu kemalangan dan dimasukkan ke hospital. Saya menerima berita tersebut agak lewat juga, lebih kurang dua hari selepas daripada tarikh surat itu dikirim. Saya menempah tiket penerbangan secara tergesa-gesa. Cuma ada satu penerbangan sahaja pada keesokan paginya. Tanpa membuang masa, saya mula mengemas barang-barang keperluan saya.
Cikgu Layau dan Cikgu Jetta tidak putus-putus memberi kata-kata semangat kepada saya. Mereka meminta saya untuk mengambil cuti mengikut tempoh yang saya perlukan dan kemudiannya kembali ke sekolah semula. Mereka berjanji bahawa mereka tidak akan maklumkan perihal cuti saya kepada pihak jabatan pendidikan.
Hari tersebut, saya berkurung sahaja di rumah itu sementara menunggu pagi seterusnya menjelma. Hati saya tidak tenteram. Tidak adil jika ayah saya dihukum atas kesilapan yang saya buat. Saya teringin untuk berjumpa dengan Seema ketika itu. Hati saya berasa yakin bahawa ayah saya akan terselamat jika saya memohon maaf kepadanya. Namun, Seema tidak datang untuk berjumpa dengan saya.
Waktu senja yang makin menggelap itu mula membuatkan saya berasa takut dan bimbang. Untuk mengatasi kekalutan tersebut, saya telah menempah dua periuk air tuak lalu meminumnya. Kemudian, saya memanggil Simba datang ke rumah saya lalu memintanya untuk bercerita. Ikut andaian saya, Seema akan datang ke sini nanti untuk membawa adiknya pulang.
Namun, hujan yang mula turun ketika itu menyebabkan sesiapapun tidak keluar dari rumah panjang itu. Semenjak saya tiba di sini, inilah kali kedua hujan turun dengan begitu lebat. Sudah tentunya paras air sungai akan meningkat; mungkin buaya-buaya akan memasuki kawasan sekolah sekali lagi; mungkin ada orang yang akan memburu dan menjamu dagingnya; mungkin Seema dan Simba juga antara orangnya.
Simba terus menceritakan kisah-kisah hutan di kampungnya. Dia menyampaikan ceritanya dengan penuh ekspresi yang dapat dirasa menerusi mata dan suaranya. Seema tidak muncul-muncul lagi walaupun sudah lewat malam.
Hujan masih turun renyai-renyai pada pagi tersebut. Air hujan bertitisan daripada atap rumbia. Saya mendukung Simba ke rumahnya lalu membaringkannya di sana. Dia masih tidur dengan lena. Pipinya yang dilinangi cecair mata melekit seperti tapak yang siput babi berengsot.
Walaupun tidur nyenyak, mukanya masih berseri-seri seperti kuntum yang sedia untuk mekar pada pagi. Saya sudah berasa tawar hati untuk berjumpa dengan Seema. Bukanpun saya hendak meminta maaf dengannya walaupun berjumpa.
Lantasnya, saya berjalan menuju ke arah tebing sungai sambil memikul beg-beg saya. Agak berat juga beg-beg tersebut kerana saya membawa pulang semua barang yang dibawa ke sini pada hari pertama. Saya yakin bahawa pihak jabatan akan bersetuju untuk membuat pertimbangan terhadap pertukaran saya berdasarkan faktor kesihatan ayah saya nanti.
Khinzir-khinzir hutan yang ditambat di pagar sana mula berdengus dengan nyaring. Mata khinzir-khinzir itu kelihatan tergamam sama seperti mata Simba yang saya lihat pada malam sebelumnya. Saya tidak berasa payah untuk berjalan di tebing itu walaupun kasut saya tersekat dalam lumpur sekali-sekala.
Hati saya berdebar-debar untuk meninggalkan kawasan itu secepat yang mungkin, maka saya terus berjalan tanpa menghiraukan apa-apa sahaja yang ada di pertengahan jalan. Pengemudi sampan berehat sambil berbaring di atas botnya di tebing. Orang utannya pula sibuk menggaru-garu badannya untuk mencari kutu.
Saya cepat-cepat membantu pengemudi itu untuk menurunkan sampannya ke permukaan sungai. Seperti biasa, orang utan segera menaiki sampan itu dan mengambil tempat untuknya. Arus air sungai agak deras pada pagi itu. Sepanjang perjalanan, pengemudi sampan itu berleter lagi dalam bahasa Iban sambil menunjuk-nunjukkan isyarat tangan ke arah air sungai itu.
Saya masih gelisah dan takut memikirkan sumpahan ayah Simba, iaitu lelaki yang bersetubuh dengan gadis-gadis dara sahaja yang akan disumpah agar ditumbuhi zakar pada bahagian dahi.
Dalam pada itu, barulah saya sedar maksud isyarat yang ditunjuk-tunjukkan oleh pengemudi sampan. Kini kami berada di atas permukaan sungai. Maka, mengikut kepercayaan dan perjanjian kaum Iban di sana, kami boleh menjadi mangsa kepada buaya yang tinggal di dalam sungai itu.
Gambar ehsan Vlad Kutepov di Unsplash
We accept short stories, poems, opinion pieces, and essays on a complimentary basis.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.